Tawarikh Nusantara

Tawarikh Nusantara: Bahagian 1 – Kesultanan Siak Sri Indrapura

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kerajaan Siak Sri Indrapura ini diasaskan oleh Raja Kecil dari Pagaruyung pada tahun 1723. Mengikut Bahasa Sanskrit, Sri Indrapura bermaksud ‘Kota Raja Bercahaya’. Siak pula ada yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan ‘Sihag’ yang bermaksud ‘Pedang’. Sihag atau Asiagh merupakan sebuah kawasan atau perkampungan di antara India dan Pakistan.

Cara paling mudah untuk ke Siak ialah dengan kapal terbang terus ke Sultan Syarik Kasim II International Airport

Kerajaan Melayu Siak adalah contoh rapat mengapa dikatakan Orang Malaysia dan Orang Indonesia ini serumpun dan sedarah. Aku sering mengatakan kepada rakan-rakan, kalau tidak dek kerana kedatangan bangsa penjajah (Portugis, Belanda dan Inggeris) kita mungkin masih lagi berbunuh-bunuhan sesama sendiri… Ironik, tapi itulah alam Kerajaan Melayu yang saling berbunuhan berebut kuasa.

Jambatan Siak merentangi Sungai Siak
Balai Sultan Yahya

Siapa Raja Kecil ini dan apa hubungannya dengan Kesultanan Johor dan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang?

Ceritanya begini…

Raja Kecil yang mengasaskan Kerajaan Melayu Siak ini sebenarnya adalah Sultan Abdul Jalil Syah yang mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti yang sah berketurunan raja dan bukan bendahara. Kesultanan Johor setelah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang dikuasai oleh Keturunan Sultan Abdul Jalil IV (yang asalnya bendahara).

Masjid Al Fattah
Masjid Raya Syahabuddin

Dikatakan, Sultan Abdul Jalil IV telah membunuh kesemua isteri Sultan Mahmud untuk mengelak daripada ada waris yang akan lahir dan menuntut takhta. Dikatakan juga bahawa seorang isterinya yang bernama Che Pong terlepas ke Sumatera dan warisnya ialah Raja Kecil ini.

Makam Pahlawan Nasional

Raja Kecil menguasai Johor dan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Johor pada 1718 namun pada tahun 1722, Raja Sulaiman, anak Bendahara Johor berjaya merampas kuasa dengan bantuan Bugis, menyebabkan Sultan Abdul Jalil lari ke Siak dan menubuhkan kerajaan di sana.

Istana Siak Sri Indrapura
Binaan seperti kubu pengawal

Kerajaan Siak amat hebat di zaman pemerintahan Raja Ismail yang pada ketika itu menguasai Pulau Bangka yang kaya dengan bijih hinggalah ke Kalimantan Barat. Kalau nak tahu, Raja Ismail jugalah yang membantu Terengganu menakluk Kelantan. Hubungan Kerajaan Siak dan Terengganu diperkukuhkan lagi dengan perkahwinan Raja Ismail dengan saudara perempuan Sultan Terengganu.

Balai Rong Istana
Sultan Syarif Kasim II
Ruang santapan istana

Kekuatan serta pengaruh Belanda dan Inggeris yang semakin memuncak telah melemahkan pengaruh Siak sepanjang kurun ke-19 hingga 1930an. Namun begitu Kesultanan ini masih terus bernafas walaupun semakin terjerut oleh VOC yang semakin menekan.

Sultan bersama keluarga adik beliau, Tengku Long Putih
Cantik tangga ni
Ada emblem Nederland

Kesemuanya, dua belas sultan yang memerintah Kesultanan Melayu Siak sebelum sultan yang terakhir iaitu Sultan Syarif Kasim 2 membuat keputusan untuk bergabung dengan Republik Indonesia dan membubarkan kesultanan hebat ini.

Antara cenderamata yang diterima Sultan Siak
Lagi cenderamata yang diterima Sultan Siak

Kini, kita masih lagi berpeluang untuk melihat tinggalan sejarah Kerajaan Melayu Siak ini di Buantan, Kabupaten Siak. Masih terdapat istana dan juga makam pahlawan nasional untuk diziarahi.

Akhir kata, Kerajaan Melayu Siak ini amat berkait rapat dengan Kesultanan Melaka, Kesultanan Johor dan Kesultanan Terengganu. Malah Siak juga pernah bergabung dengan Belanda untuk menyerang Selangor dan tahukah anda bahawa Kedah juga pernah berada di bawah pengaruh Siak. Begitulah serba ringkas tentang Kerajaan Melayu Siak.

Hebat kisah Kesultanan Melayu…

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *