Artikel Umum Sejarah

Tiada Indianisasi Hindu-Buddha Pada Tamadun Kedah Tua Dan Lembah Bujang

Saya menghadiri Bicara Arkeologi Siri 4/2017 anjuran USM dengan kerjasama Muzium Arkeologi Lembah Bujang pada 27 Feb 2017 kelmarin.

Hati saya agak terpaut dengan sesi ceramah Dr. Nazaruddin Bin Zainun yang bertajuk ‘Warisan Hindu-Buddha Di Kedah Tua – Suatu Kritikan’.

Ceramah beliau lebih kepada penemuan bukti-bukti di sekitar Lembah Bujang setakat ini dan apakah implikasi penemuan ini terhadap pendapat umum tentang warisan Hindu-Buddha di Lembah Bujang dan di Kedah Tua secara amnya.

George Coedes (gambar ehsan Google)

Dengan mengutarakan tujuh keperluan asas berdasarkan pendapat George Coedes dalam proses Indianisasi sesebuah kerajaan dan masyarakat setempat, Dr. Nazaruddin mengetengahkan bukti-bukti ini, membincangkannya dan kemudian memberi peluang kepada hadirin untuk membuat kesimpulan peribadi di atas perbincangan tersebut.

Oleh itu, saya terpanggil untuk menulis artikel ini berdasarkan fakta dan juga kritikan peribadi saya dalam membahaskan kebenaran akan kewujudan warisan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh penduduk setempat.

Sebelum saya membuat kesimpulan itu, apakah fakta terkini tentang Lembah Bujang dan apakah tujuh elemen penting untuk menentukan bahawa sesebuah kerajaan lokal itu mengalami proses Indianisasi menurut George Coedes?

Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah (gambar ehsan Google)

Elemen pertama yang perlu ada ialah; adakah Kerajaan Kedah Tua itu mengamalkan sistem beraja seperti di India yang menekankan kepada konsep Devarāja atau bahasa mudahnya ‘raja itu mewakili tuhan’/’god-king’?

Pertamanya, bagaimana kita hendak melihat interpretasi devarāja di dalam sesebuah kerajaan?

Devarāja adalah satu konsep di mana raja itu adalah yang paling agung, tiada yang lebih agung daripadanya di muka bumi (tuhan di bumi). Konsep ini hampir kepada konsep Chakravartin di India seperti terdapatnya binaan monumen pengasas Empayar Maurya (323-185 SM) iaitu Chandragupta Maurya yang besar.

Candi Bayon di Siem Reap, Cambodia (gambar ehsan Google)

Elemen devarāja dapat dilihat dengan jelas di Kompleks Percandian Angkor Wat. Diukir di dinding Angkor Wat, susuk Suryavarman II yang lebih besar daripada subjeknya. Wajah Jayawarman VII juga diukir dengan gah dan besar sekali di Candi Bayon. Ini adalah antara contoh devarāja yang boleh dilihat jelas pada Kerajaan Khmer Angkor.

Adakah bukti devarāja ini dapat dilihat di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada satu pun bukti devarāja yang ada di Lembah Bujang apatah lagi di seluruh Kedah Tua. Maka, kerajaan lokal Kedah Tua TIDAK mengalami Indianisasi.

Elemen ke-dua yang perlu ada menurut Coedes ialah bukti penerimaan ajaran Hindu-Buddha oleh penduduk lokal.

Apakah contoh bukti penerimaan ini? Contoh yang paling mudah ialah Kitab Sang Hyang Kamahayanikan yang ditulis oleh Mpu Shri Sambhara Surya Warama dari Kerajaan Mataram Kuno. Kitab ini menceritakan tentang ajaran Mahayana dan membicarakan dewa-dewa dalam Mazhab Mahayana. Sebutan yang terdapat di Candi Borobudur seperti Ruphadatu dan Kamadhatu juga terdapat di dalam kitab ini.

Kitab Sang Hyang Kamahayanikan (gambar ehsan Google)

Ini adalah contoh di mana kerajaan lokal itu sudah menyerap kepercayaan dan juga mengamalkan cara hidup Hindu-Buddha. Sinkretisme adalah sesuatu yang perlu untuk dikatakan adanya proses Indianisasi.

Adakah bukti ini terdapat di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada satu pun bukti konkrit yang boleh dianggap sebagai mutlak. Yang ditemui di Lembah Bujang hanyalah patung kecil yang di bawa masuk oleh orang luar dari India. Penemuan arkeologi di Bukit Batu Pahat pula lebih bersifat ajaran tantrik atau ritual sahaja.

Elemen ke-tiga pula ialah adanya adaptasi mitologi purana dalam sastera tempatan.

Devas dan Asuras beraksi dalam Churning of the Ocean of the Milk di dinding Angkor Wat (gambar ehsan Google)

Epik Mahabhrata dan Ramayana serta kitab-kitab agama rujukan lainnya merupakan asas penting Hindu manakala Buddha pula mempunyai 3 buah kitab utama iaitu Sutta Pițaka, Vinaya Pițaka dan Abhidhamma Pițaka.

Di Indonesia, pujangga-pujangga mereka telah menyadurkan kisah-kisah di dalam kitab di atas ke dalam sastera tempatan. Antara contoh utama ialah watak Petruk, Gareng, Bagong dan Semar dalam sastera lokal.

Bukan di dalam buku sastera sahaja, saya pernah melihat tugu besar Irung Petruk di jalan raya menuju ke Selo dari Boyolali dan patung 4 watak ini tersedia menyambut anda di pintu masuk Taman Wisata Baturaden di Jawa Tengah.

Petruk, Gareng, Bagong dan Semar (gambar ehsan Google)

Adakah Lembah Bujang mempunyai bukti penemuan adaptasi purana dalam sastera tempatan?

TIDAK! Hingga kini tiada satu pun penemuan kitab sastera yang menjurus kepada proses Indianisasi ini.

Elemen ke-empat pula adakah ditemui apa-apa tinggalan prasasti berbahasa Sanskrit di Lembah Bujang?

Di Indonesia, prasasti yang menggunakan Bahasa Sanskrit berhuruf Pallava ditemui Kabupaten Kutai, Kalimantan Timur . Prasasti sekitar 400 Masihi ini dinamakan Prasasti Kutai atau Prasasti Mulawarman. Ianya menceritakan tentang Raja Mulawarman yang menghadiahkan lembu yang banyak kepada Kaum Brahmana.

Gambar ehsan Google

Satu lagi prasasti yang menggunakan Bahasa Sanskrit ialah Prasasti Cidanghiyang yang dibuat oleh Kerajaan Tarumanegara di Jawa Barat.

Adakah sebarang prasasti berbahasa Sanskrit ditemui di Lembah Bujang?

TIADA! Walaupun dua prasasti ditemui iaitu Prasasti Cherok Tok Kun dan Prasasti Budhhagupta, namun, kedua-duanya ditolak sebagai bukti kukuh kerana tiada tarikh pada prasasti tersebut.

Ke-lima, menurut Coedes, proses Indianisasi itu perlu ada bukti penggunaan ‘Kalendar Saka’.

Apakah Kalendar Saka? Kalendar ini menggunakan sistem ‘Candrasengkala’ yang bermaksud ‘Pernyataan Angka Tahun’. Hanya terdapat 5 hari di dalam kalendar ini iaitu Legi, Pahing, Pon, Wage dan Klewon.

Gambar ehsan Google

Antara prasasti yang bertanda tahun saka ialah Prasasti Canggal yang bertarikh 654 saka dan Candi Diyono bertarikh 682 saka.

Isi baris Candi Diyono ialah;

‘svasti śaka varṣātīta 682’

yang bermaksud;

‘Kemuliaan di tahun Saka 682 yang telah berlalu.’

Adakah ditemukan sesuatu yang bertarikh Kalendar Saka di Lembah Bujang?

TIADA! Hingga kini tiada ditemukan apa-apa yang bertanda Kalendar Saka.

Elemen ke-enam pula ialah adaptasi sistem penulisan India. Terdapat 52 buah prasasti berbahasa Melayu Kuno/Sanskrit yang ditemui di Asia Tenggara. 29 buah daripadanya menggunakan aksara Pallava, 16 buah prasasti menggunakan aksara Jawa Kuno atau Kawi, 4 buah prasasti pula menggunakan aksara rencong dan 3 buah prasasti yang terakhir menggunakan gabungan aksara Pallava, Jawa Kuno dan Arab/Jawi.

Adakah salah satu daripada 52 prasasti ini ditemui di Lembah Bujang?

TIDAK! 52 prasasti… dan satu pun tidak terletak di Lembah Bujang malah tiada prasasti yang berbahasa Sanskrit atau beraksara identifikasi Melayu ditemui.

Elemen ke-tujuh atau yang terakhir ialah penerapan atau pengaruh Dharmaśāstra (Undang-Undang Hindu-Buddha) dalam kerajaan tempatan.

Dharmaśāstra ditulis dalam bentuk puisi dan ianya menerangkan tanggungjawab, tugas dan etika terhadap diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Undang-undang ini amat penting di Negara India, malah, ianya diadaptasi di awal pembentukan negara moden India. Kerajaan Khmer Angkor adalah salah sebuah kerajaan kuno yang menggunakan Dharmaśāstra ini.

Adakah teks Dharmaśāstra ini ditemui atau ianya digunapakai di Lembah Bujang?

TIDAK! Tiada langsung bukti penggunaan undang-undang ini di Kedah Tua.

7 persoalan berdasarkan saranan Coedes sudah ditanya dan kesemuanya TIADA di Lembah Bujang.

Apakah kesimpulannya?

Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada sehingga hari ini, penduduk asal dan tempatan di Lembah Bujang dan Kedah Tua TIDAK menganut ajaran Hindu-Buddha. Penemuan candi-candi di Lembah Bujang yang lebih bersifat tantrik dan senibinanya yang mudah tidak menampakkan suatu tamadun yang sudah diindianisasikan pernah terjadi.

Berdasarkan bukti hingga kini, relik yang dijumpai di sini berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pendatang asing yang membuat penempatan sementara dan tidak berasimilasi dengan demografik Lembah Bujang, mahupun Kedah Tua.

Oleh itu, ubahlah minda anda! Asia Tenggara ini bukan semuanya melalui proses Indianisasi. Kedah Tua tidak melalui proses ini.

Sekian

8 thoughts on “Tiada Indianisasi Hindu-Buddha Pada Tamadun Kedah Tua Dan Lembah Bujang”

  1. Kerajaan kedah tua berasal dri krajaan pattani..krna prjnjian pndmaian dgn rja siam krjaan pattani dpecahkn kpda 4 ngri,kdah,klntan,trengganu dan dbri pkok emas kpda krjaan siam stiap bln..prjnjian itu hnya tipu helah krjaan siam untk mngalahkn krjaan pattani..sbbtu lh smpai skrg brgolak di daerah jajahn pattani smpai skrg dgn krjaan siam..

    1. Kerajaan Kedah Tua yang dimaksudkan ni adalah lebih tua daripada kerajaan Pattani. Tak ada kena mengena langsung. Lama sebelum pengaruh Islam (mungkin) di sekitar Tanah Melayu!

    2. Tamadun Kedah tua dah ada sejak abad ke 5 sebelum masihi… yg ni sudah diwartakan dan tiada usul yg dapat pertikai lagi.

      Mungkin saudara tertukar zaman kesultanan kedah dgn kedah tua ni

      1. Org kita mmg alergic btul bila dpt tahu sesuatu yg asal usulnya dr tanah Melayu.. smua bnda klu boleh nk dikaitkan dgn pengaruh luar.. kedah tua tiada kna mgena lsung dgn patani atau siam.. siam pn blum wujud lg pd zaman tu.. ptutla bgsa asing pndang rendah je bgsa Melayu ni sb org Melayu sndiri rase pelik n susah btul nk pcaya dgn tmadun sndiri.. dh ade bukti kewujudan tmadun yg hebat pn nk jgk dikaitkn dgn siam..

  2. Berdasarkan bukti hingga kini, relik yang dijumpai di sini berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pendatang asing yang membuat penempatan sementara dan tidak berasimilasi dengan demografik Lembah Bujang, mahupun Kedah Tua. Ulasan and penganalisaan yang perlu diberi perhatian. Isu-isu seperti unsur Indianisasikan sepertimana disaranankan oleh ahli sejarah tempatan perlu ditelitikan. Saya agak tertarik dengan pandangan asimilasi kebudayaan Indiasasi tidak begitu menonjol kerana pengaruh pada demografik budaya Lembah Bujang atau Kedah Tua tidak begitu jelas. Terdapat beberap persoalan yang perlu dijawab. Relik-relik yang digalijumpa banyak menunjukan elemen-elemen pengaruh Buddha and Hindu. Begitu juga terpapar pada peninggalan struktur candi yang berunsur Buddha Hindu. Sebagai contoh, peninggalan tulisan Pallava jelas menunjukkan unsur ajaran Buddha Mahayana. Tidak dapat dinafikan unsur-unsur ajaran Buddha dan Sivaism (Hindu) diperlihatkan pada struktur bangunan dan relik-relik dalam bangunan tersebut. Sekadar berkongsi pandangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *