Tinta Bicara

Tinta Bicara: Kisah Ballerina Sang Pemimpi Dan Si Pencuri Impian

Tadi adik aku ada share satu video mamat ni (awal 20-an barangkali) yang salahkan cikgu dia memperkecil-kecilkan cita-cita dia nak jadi juruterbang masa dia darjah 5… Ya, masa dia darjah 5.

Aku agak terkejut juga mamat ni kendong kekesalan dia tu sampai dia dah agak tua dan mampu berfikir dengan lebih ‘cermat’.

Teringat aku satu cerita teladan orang putih ni…

Kisahnya….

Ada seorang remaja ni, dia bercita-cita nak jadi penari ballet yang terkenal di dunia. Asal ada peluang untuk berlatih, pasti dia akan berlatih. Walaupun jatuh sakit, pasti dia akan cuba juga untuk berlatih menari. Tiada cita-cita lebih tinggi baginya daripada menjadi penari ballet yang berjaya. Siang dan malam itu impinya.

Pada suatu hari, terdengarlah olehnya akan kedatangan seorang jurulatih ballet yang amat terkenal untuk mencari bakat muda ke bandarnya. Hanya beberapa orang sahaja yang bakal terpilih, hanya yang terbaik antara yang terbaik.

Maka, berbondong-bondonglah penari muda yang hadir pada hari ujibakat tersebut. Tibalah masa remaja tadi beraksi…

Dewan senyap-sunyi, muzik dialunkan, maka beraksilah remaja tadi. Pasti dia akan terpilih, detik hatinya.

Baru beberapa gerakan dibuat olehnya, tiba-tiba, jurulatih tadi mengangkat tangan dan muzik pun terhenti. Lalu dia berkata,

“Maaf, awak tak berbakat. Awak takkan berjaya menjadi penari ballet dengan bakat sebegini. Sila tinggalkan pentas.”

Remaja tadi berlari meninggalkan pentas sambil menangis teresak-esak. Dia bersumpah, mulai hari ini dia tidak akan menari ballet lagi. Impiannya terkubur pada hari malang ini.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, remaja tadi sudah menjadi wanita dewasa. Suatu hari, dia terpandang satu poster yang menyatakan akan ada satu pertunjukan tarian ballet di bandarnya. Dia terpandang nama jurulatih yang telah merampas impiannya dahulu. Hatinya membuak-buak dengan api kemarahan.

‘Ini peluang aku nak balas kembali apa yang dikatanya 15 tahun dahulu,’ getus hatinya.

Hari yang dinantikan olehnya pun tiba. Dia hadir dipertunjukan ballet tersebut dan menanti hingga tamat. Kelihatan jurulatih sang perampas impian tadi keseorangan. Inilah peluang yang dinanti-nantikannya. Sudah 15 tahun dia menanggung azab kekecewaan dan kemarahan ini.

Lalu dia pergi ke arah jurulatih tadi dan memperkenalkan dirinya.

“Tuan ingat lagi tak 15 tahun dahulu, tuan ada ke bandar ini mencari bakat muda?” dia memulakan bicara.

“Ya, saya ingat… mengapa puan?” tanya jurulatih tadi.

“Saya adalah salah seorang yang gagal. Tuan telah hancurkan impian saya nak menjadi penari ballet. Tuan kata saya tak berbakat. Tuan kata saya takkan berjaya. Kerana tuan saya tidak menari ballet lagi,” katanya dengan keras dan kasar.

“Tuan perampas! Tuan salah tentang saya!” tambahnya lagi.

Jurulatih itu melihatnya dengan wajah penuh kasihan, lalu tersenyum, sinis lagaknya.

Lalu berkata,

“Saya tak salah katakan awak takkan berjaya! Saya betul!” katanya lembut tapi tegas.

Wanita tadi semakin marah, wajahnya sudah kemerah-merahan menahan lava yang membuak-buak di dalam.

Jurulatih itu menambah lagi,

“Saya betul kata awak takkan berjaya kerana kalau awak yakin dengan kebolehan dan usaha awak… awak tidak akan percaya akan kata-kata saya. Tiada sesiapa dan tiada kata-kata yang mampu merampas cita-cita awak. Awak akan teruskan jua dan buktikan saya salah,” kata jurulatih itu.

Wanita tadi terdiam.

Jurulatih tadi kemudiannya berkata,

“Bukan saya yang merampas cita-cita awak…. Awaklah orangnya,” kata terakhirnya sebelum berlalu pergi.

Wanita tadi terdiam, tunduk dan berlalu pergi.

Begitulah kisahnya…

Memang mudah nak salahkan cikgu, tok penghulu dan jkkk atas kesusahan yang aku dan engkau alami, tetapi terkadang, mungkin aku dan engkau perlu melihat wajah sang perampas impian itu di hadapan cermin dalam bilik tidur malam ini…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *