Artikel Umum Sejarah

Portugis Datang Ke Nusantara Kerana Rempah? Biar Betul…

Suatu ketika dahulu, di zaman persekolahan, masihku ingat lagi pertanyaanku kepada guru sejarah.

“Maksud cikgu… Portugis datang jauh-jauh ni sebab nak bawa balik bunga cengkih, bunga lawang dan lada hitam?”

“Ya”, balas guruku.

Perlahan-lahan aku tundukkan muka ke bawah meja dan gelak tanpa suara. Dalam hatiku berkata, ‘Biar betul, datang jauh-jauh sebab nak rempah masak kari… nasib baik Adabi tak ada lagi…’

Pencarian tempah ratus zaman kuno (gambar ehsan Google)

Namun, aku belajar juga, memang mereka datang kerana rempah dan juga barangan berharga lain seperti emas, perak, mutiara dan apa saja yang boleh didagangkan.

Jadinya, mengapa aku terpanggil untuk menulis mengenai perdagangan rempah kali ini?

Sebabnya, kebelakangan ini aku terbaca beberapa komen sinis di media sosial yang mempersoal kedatangan kuasa Eropah ke Nusantara kerana mahukan rempah. Namun aku faham mengapa mereka beranggapan begini kerana aku pun begitu juga dahulu. Semuanya salah kari dan kurma kerana orang Barat sampai sekarang tak pandai masak kari dan kurma!

Incense Route dan Silk Road digunakan untuk membawa rempah-ratus ke Eropah (gambar ehsan Google)

Begitulah dangkalnya cara aku berfikir…

Mungkin juga telah ditakdirkan aku perlu luruskan kembali tanggapan ‘mereka yang berkenaan’ ini mengenai hal kepentingan perdagangan rempah di Eropah!

Ayuh kita mulakan…

Bilakah perdagangan rempah bermula di Eropah dan siapakah watak utama yang menguasainya?

Rempah adalah bahan mewah zaman kuno di Eropah (gambar ehsan Google)

Secara ringkasnya, perdagangan rempah-ratus sudah bermula sejak 4,000 tahun yang lalu dan dipelopori oleh pedagang-pedagang dari Timur Tengah yang memperoleh bekalan rempah-ratus ini dari kawasan-kawasan sekitar Laluan Sutera, terutamanya dari India. Kemudian Greco-Roman menguasai perdagangan ini melalui Kota Alexandria di Mesir pada abad pertama Sebelum Masihi. Kemuncak perdagangan rempah ini bermula di zaman penguasaan raja-raja Venice ke atas laluan rempah ke Eropah pada pertengahan abad ke-13 Masihi.

Mengapa rempah punyai nilai dan permintaan yang tinggi di Eropah?

Secara ringkas, nilai rempah-ratus ini tinggi dek kerana kegunaannya dan permintaan yang sentiasa melebihi bekalan.

Portugis tiba di India (gambar ehsan Google)

Tahukah anda pada zaman kuno Eropah, pala lebih mahal nilainya daripada emas? Pala ini digunakan dengan meluas oleh orang kaya Eropah sebagai bahan perisa, perubatan dan pengawet makanan.

Tahukah anda pada abad ke-16 Masihi, di London, pekerja-pekerja limbungan dibayar gajinya dengan bunga cengkih?

Tahukah anda pada tahun 410 Masihi, Visigoths meminta tebusan berupa lada hitam seberat 3,000 paun setelah menakluk Kota Rom yang masyhur itu?

Portugis berperang dengan pribumi India (gambar ehsan Google)

Soalan ketiga, kenapa dan bagaimanakah kuasa Eropah seperti Portugis datang ke Nusantara mencari rempah?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu tahu akan kepentingan India di dalam laluan perdagangan rempah. India merupakan pusat pengumpulan utama rempah-ratus dan pelbagai lagi barangan eksotik seperti gading gajah, sutera dan lain-lain. Ianya kemudian akan dihantar melalui jalan darat ke Constantinople, di bawah kekuasaan Kerajaan Kristian Byzantine dan dari sini ianya dihantar ke Eropah. Namun, Kerajaan Islam Uthmaniyah di bawah Sang Penakluk, Sultan Muhammad Al Fateh pada tahun 1453 Masihi telah meranapkan Kerajaan Byzantine ini dengan menakluki Constantinople.

Ilustrasi meriam yang digunakan untuk membedil tembok kota Constantinople (gambar ehsan Google)

Dek kerana kebencian yang teramat sangat Ratu Isabella terhadap Islam dan Kerajaan Uthmaniyah, dia bertekad untuk mencari India dan seterusnya menidakkan sebarang urusan jual beli dengan Kerajaan Uthmaniyah melalui Constantinople.

Dengan berbekalkan sebahagian daripada kekayaan hasil penaklukan Kerajaan Islam Granada Andalusia, Ratu Isabella menaja ekspedisi Christopher Columbus untuk mencari India dan membawa pulang rempah-ratus ini. Namun, seperti yang kita ketahui Columbus telah sampai ke Benua Amerika dan bukannya India.

Al Fateh memasuki Kota Constantinople (gambar ehsan Google)

Sedang Kerajaan Sepanyol sibuk menjarah Benua Amerika, Raja Portugal mengambil kesempatan untuk belayar ke Timur. Selepas kejayaan Bartholomew Dias bertapak di Afrika, Raja Portugal menaja Vasco da Gama pula, yang akhirnya tiba di Calicut, India. Maka, bermulalah siri penjajahan Portugis di India dan Nusantara.

Belanda di Nusantara (gambar ehsan Google)

Bagaimana perdagangan rempah dijalankan?

Seperti yang telah kita sedia maklum, Kepulauan Maluku dan Sumatera memang terkenal dengan penanaman rempah-ratus seperti lada hitam, pala dan cengkih. Lebih 100 tahun Portugis berjual-beli dengan penduduk tempatan, kemudian Belanda pula datang dengan polisi ‘Hongi Tochten’ (sila rujuk artikel sebelum ini mengenai Hongi Tochten) yang kejam dan berat sebelah.

Armada VOC (gambar ehsan Google)

Kesemua rempah-ratus dan barangan berharga lain dihantar ke India dan seterusnya ke Eropah.

Begitulah secara ringkasnya kepentingan perdagangan rempah-ratus di Eropah.

Kesimpulannya, Ya, ‘mereka’ memang datang bertandang ke bumi Nusantara untuk lada hitam, pala, bunga cengkih dan lain-lain. Namun, mereka juga merampas pelbagai macam kekayaan lain di bumi bertuah ini.

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *