Kembara JatengTim 2017 Personaliti Sejarah

Sri Tribhuana Wijayatunggadewi, Penguasa Majapahit Ketiga

Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017

Tribhuana Wijayatunggadewi juga dikenali dengan nama Dyah Gitarja. Setelah kematian Jayanegara, beliau naik takhta Kerajaan Majapahit pada tahun 1329 dan bermulalah zaman kegemilangan kerajaan ini.

Arca Sri Tribuana Tunggadewi yang didharmakan sebagai Parwati. Gambar ehsan https://wilwatiktamuseum.wordpress.com

Sebelum menjadi ratu, beliau adalah Bhre Kahuripan (‘Gabenor’ Wilayah Kahuripan), salah sebuah jajahan yang terpenting dalam Kerajaan Majapahit.

Sri Tribhuana merupakan cucu kepada Raja Singosari terakhir iaitu Kertanegara. Ibunya ialah Gayatri yang merupakan isteri kepada pengasas Kerajaan Majapahit iaitu Raden Wijaya. Suami beliau ialah Kertawardhana atau Bhre Tumapel, penguasa bekas ibu kota Kerajaan Singosari.

Petilasan Tribhuana Tunggadewi dari kejauhan

Patih Gajah Mada yang terkenal diangkat menjadi rakryan patih atau perdana menterinya dan pada zaman inilah bermulanya dasar perluasan kuasa Kerajaan Majapahit.

Pandangan dari dalam Petilasan Tribhuana Tunggadewi

Sumpah Palapa diucapkan oleh Patih Gajah Mada di hadapan Tribhuana dan perluasan kuasa ini menyaksikan Kerajaan Majapahit menakluk Bali dan juga sebahagian Sumatera di bawah pimpinan Adityawarman, sepupu Tribhuana sendiri.

Penulis dan Zaini di hadapan Petilasan Tribhuana Tunggadewi

Seperti yang kita ketahui, Adityawarman kemudiannya mengasaskan Kerajaan Malayupura setelah kematian Tribhuana.

Menurut Negarakretagama, Tribhuana menyerahkan takhta pemerintahan Kerajaan Majapahit kepada anaknya Hayam Wuruk setelah kematian ibunya Gayatri pada tahun 1350 Masihi. Namun, menurut Prasasti Singosari, Tribhuana masih lagi memerintah pada tahun 1351 Masihi.

Ruang terbuka di Petilasan Tribhuana Tunggadewi

Perbezaan tahun antara teks dan catatan sudah menjadi perkara lumrah jika mengkaji kerajaan kuno di Jawa.

Setelah turun takhta, Tribhuana kembali menjadi Bhre Kahuripan dan anggota penting Sidang Saptaprabhu yang menjadi penasihat utama kepada Hayam Wuruk.

Tidaklah diketahui bila sebenarnya Tribhuana meninggal dunia tetapi ianya terjadi setelah beliau turut serta dalam majlis Sidang Saptaprabhu yang mengangkat Gajah Enggon menjadi patih yang baru menggantikan Gajah Mada.

Pemandangan luar Petilasan yang menenangkan

Antara ‘tinggalan’ yang boleh dikaitkan dengan Ratu Majapahit ini Petilasan Tribuana Tunggadewi yang boleh dilawati di Desa Klinterejo, Sooko, Mojokerto.

Petilasan adalah perkataan Bahasa Jawa yang membawa maksud tempat singgah, bertapa, ataupun membawa maksud tempat seseorang itu pernah tinggal/bermastautin.

Dalam agama Hindu,  ada istilah Moksa atau secara kasarnya membawa maksud ‘terlepasnya daripada urusan duniawi atau kehidupan semula’. Petilasan juga dianggap tempat berlakunya moksa ini.

Candi Tikus di Trowulan

Begitulah secara ringkas kisah hidup Raja Majapahit yang ketiga, Sri Tribuana Tunggadewi Maharajasa Jayawisnuwardhani.

Rujukan:

Menuju Puncak Kemegahan, Slamet Muljana, 2005, LKiS

Negarakretagama, Slamet Muljana, 1975, Bhratara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *