Tour RJSSBL

Jelajah RJSSBL – Tanjung Karang, Palembang dan Pulau Bangka (Bahagian 5, Akhir)

Penulisan Jelajah RJSSBL (Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung) Mei 2016 seperti di dalam Majalah Backpackerz Vol. 12

Lokasi: Tanjung Karang, Palembang dan Pulau Bangka

Provinsi Lampung sememangnya luas dan pastinya banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Namun, aku hanya transit sahaja di Tanjung Karang, Bandar Lampung memandangkan perjalanan ke Selatan provinsi untuk melihat Menara Siger mengambil masa beberapa jam lagi dan sesungguhnya masa itu amat mencemburui aku. Siger adalah topi adat yang dipakai oleh pengantin wanita dan menjadi ikon paling dikenali di provinsi ini.

Tanjung Karang, Lampung dan tugunya yang terkenal
Stasiun Kereta Api Tanjung Karang, Lampung

Setiba di Bandar Lampung, aku menggunakan khidmat ojek menuju ke Stasiun Kereta Api Tanjung Karang untuk membeli tiket ke Palembang keesokan harinya dan setelah berehat di hotel bajet yang berhampiran dengan Monumen Perjuangan, aku mula mengorak langkah meninjau persekitaran Tanjung Karang ini.

Gedung Juang 45
Pasar Besar Bambu Kuning

Bandar Lampung sebenarnya adalah gabungan daripada dua kawasan iaitu Tanjung Karang dan Teluk Betong. Ia merupakan kota tertua di Provinsi Lampung dengan tarikh pembukaannya pada 17 Jun 1682. Di kawasan Tanjung Karang ini terletaknya Pasar Besar Bambu Kuning, Gedung Juang 45, Monumen Perjuangan dan juga beberapa lagi ikon Bandar Lampung.

Jambatan Ampera di waktu malam
Monpera Kota Palembang

Jika ada lebihan masa, bolehlah melawat tempat-tempat yang lebih menarik seperti Taman Nasional Way Kambas, Teluk Kiluan, Air Terjun Putri Malu, Gunung Krakatoa dan banyak lagi.

Keesokan harinya aku menaiki Keretapi Limex Sriwijaya menuju ke Palembang. Pak Hendra yang kutemui tempoh hari ketika menuju ke Jambi dari Pekanbaru sudah setia menanti. Bersemangat beliau bercerita tentang Kota Palembang sedang aku membonceng motosikal menuju ke rumahnya.

Laluan menuju ke puncak Bukit Siguntang
Makam Raja Sigentar Alam di puncak Bukit Siguntang

Setiba di rumah Pak Hendra aku disambut oleh mertuanya yang bersungguh-sungguh mengatakan aku orang Medan dan bukannya dari Malaysia. Setelah membersihkan diri, aku dan Pak Hendra menuju ke Dataran Sungai Musi yang berhampiran dengan Benteng Kuto Besak. Kota ini mula dibina oleh Sultan Mahmud Badaruddin I pada tahun 1780 Masihi.

Aku dan Bukit Siguntang

Dari dataran ini boleh dilihat ikon Kota Palembang iaitu Jembatan Ampera. Monpera atau Monumen Perjuangan Rakyat juga berdekatan dengan Dataran Sungai Musi ini. Masaku di Palembang hari itu dihabiskan dengan berbual dan bermesra dengan Pak Hendra sambil menikmati pemandangan Jembatan Ampera, Sungai Musi dan Kampung Kapitan di seberang sana sungai.

Museum Sultan Mahmud Badaruddin II
Replika Prasasti Talang Tuo

Hari keduaku di Palembang dimulakan dengan melawat Muzium Sultan Mahmud Badruddin II dan menikmati kuliner istimewa Palembang iaitu Murtabak Har. Kemudian perjalananku diteruskan ke Bukit Siguntang yang terkenal dengan lagenda Sang Nila Utama dan keturunan raja Sriwijaya yang dikatakan muncul di bukit ini.

Replika Prasasti Kedukan Bukit di Taman Purbakala Kerajaan Sriwijaya di atas tapak Situs Karanganyar
Replika prasasti di Taman Purbakala

Di sini terdapat tujuh makam di antaranya ialah Makam Raja Sigentar Alam dan Makam Putri Rambut Selako. Telah juga ditemukan beberapa tinggalan lama seperti arca Buddha yang kini berada di Muzium Sultan Badruddin II.

Tidak jauh daripada Bukit Siguntang, di Taman Purbakala Sriwijaya terdapat replika Batu Bersurat Kedukan Bukit yang menceritakan tentang Dapunta Hyang dan bala tentera Sriwijaya. Banyak lagi Batu Bersurat yang dipamirkan di sini.

Masjid Agung Palembang
Masjid Cheng Ho
Al-Quran Al-Akbar yang menakjubkan

Matahari sudah meninggi tetapi aku dan Pak Hendra tidak bercadang untuk berhenti rehat lagi. Beliau membawaku ke tempat yang agak istimewa yang dinamakan Al-Quran Al-Akbar. Terdapat 30 juzuk Al Quran yang diukir dan dipamirkan di dalam bangunan setinggi 5 tingkat di Pesantren Al-Ihsaniyah Gandus ini. Letaknya tidaklah begitu jauh dari ibu kota Palembang.

Pak Hendra mencari pempek
Pempek

Setelah solat di Masjid Agung Palembang, kami menuju ke Muzium Bala Putradewa. Di sana boleh dilihat rumah tradisi Palembang yang dinamakan Rumah Limas. Hari kedua ditamatkan dengan melawat Masjid Cheng Ho dan menikmati satu lagi kuliner asli tempatan yang dinamakan Pempek. Pempek ini mengingatkan aku pada keropok losong.

Pulau Kemaro di tengah Sungai Musi dan pagoda terkenalnya
Indahnya suasana pagi

Hari ketiga dan keempat aku di Palembang digunakan untuk melawat Pulau Bangka. Hajat di hati hendak ke Pulau Belitung yang terkenal sebagai lokasi filem Laskar Pelangi adaptasi daripada karya agung Andrea Hirata, tetapi perjalanan menaiki bot jetfoil mengambil masa yang amat panjang.

Rumah api di Mentok, Pulau Bangka
Pantai Matras

Perjalanan ke Mentok, Pulau Bangka sahaja mengambil masa selama 3 jam dengan menyusuri Sungai Musi hinggalah ke lautan. Di tengah-tengah Sungai Musi, anda boleh melihat Pulau Kemaro yang terkenal dengan binaan kuil Cina yang indah.

Pantai Rebo

Setiba di Pelabuhan Tanjung Kalian, Mentok, aku dan Pak Hendra menaiki van menuju ke ibu kota Pulau Bangka iaitu Pangkal Pinang. Setelah selesai urusan mendapatkan penginapan hotel bajet dan skuter, kami terus menuju ke Pantai Pasir Padi dan Tanjung Bungah. Tidak ramai pengunjung ketika kami ke sini, mungkin disebabkan ianya hari bekerja.

Pantai Penyusuk

Hari kedua di Pulau Bangka, kami melawat lebih banyak kawasan pantai di sepanjang bahagian Timur dan Utara Pulau Bangka ini seperti Pantai Rebo, Pantai Rambak dan Pantai Matras. Namun, Pantai Penyusuk di Belinyu adalah yang terbaik. Dari Pantai Penyusuk, anda boleh mengambil bot untuk ke Pulau Lampu dan juga Pulau Putri yang berdekatan.

Pantai Batu Dinding

Dari Pulau Bangka aku kembali ke Kota Palembang dan berakhirlah siri kembara aku ke Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkul dan Lampung ini. Masih banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh di lawati seperti Pulau Belitung, Pagar Alam dan Gunung Dempo serta lokasi bersejarah seperti Muara Takus dan Bangkinang.

Saat untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Palembang tidaklah begitu lama tetapi fikiranku melayang teringatkan manusia-manusia hebat yang mendampingi aku selama perjalanan menelusuri bumi bertuah ini. Semoga kita ketemu lagi Sumatera. Kau kan ku ingat sampai bila-bila.

-TAMAT-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *