Artikel Umum

Majapahit: Kerajaan Islam Atau Hindu-Buddha? Gajah Mada atau Gaj Ahmada?

Isu Mahapatih Amangkubhumi yang satu ini bukan perkara baru sebenarnya. Dari masa ke semasa ada sahaja yang menimbulkan pernyataan bahawa Mahapatih ini beragama Islam dan Kerajaan Majapahit itu sendiri adalah sebuah kerajaan Islam.

Cuma kali ini, heboh kembali tentang buku yang bertajuk ‘Kesultanan Majapahit: Fakta Sejarah Yang Tersembunyi’ karya Herman Sinung Janutama (2010) setelah ada beberapa pihak yang membuat klaim serupa.

Antara klaim yang besar ialah nama Gajah Mada disebut sebagai Gaj Ahmada serta beragama Islam, penemuan syiling bertanda ‘Laa Ila Ha Illallah’ dan makam bernisan ‘Laa Ila Ha Illallah’ di Troloyo membuktikan bahawa Majapahit itu sebuah kerajaan Islam.

Candi Brahu di Trowulan

Ini adalah ‘bukti’ yang besar, masih ada ‘bukti’ yang lain seperti penempatan masyarakat Islam di Trowulan dan penemuan Surya Majapahit versi Islam. Itu antara senarai klaimnya.

Apa yang ingin saya catatkan adalah daripada pengalaman saya membuat ziarah di lapangan, berdiskusi dengan warga Trowulan yang menyintai sejarah Majapahit, melalui pembacaan Kakawin Nagara Kertagama yang dinukil oleh Mpu Prapanca pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk, jurnal dan juga sumber-sumber lain seperti penulisan Prof. Slamet Muljana dan sejarawan yang lainnya.

Gapura Wringin Lawang di Trowulan

Ayuh kita mulakan…

Klaim pertama, penemuan syiling bertanda ‘Laa Ila Ha Illallah’ menandakan wujudnya kesultanan Islam.

Adakah penemuan syiling ini boleh dianggap sebagai bukti absolute kesultanan Islam di Trowulan?

Contoh syiling (gambar ehsan Google)

Ceritanya begini, sebelum era Majapahit, bumi Jawa Timur sebenarnya sudah menyaksikan kedatangan pedagang asing dari Parsi, Arab (Ta Shi), China dan lain-lain lagi. Pada zaman akhir Kerajaan Kahuripan, sekitar 1045 M, Airlangga telah membelah kerajaan ini kepada dua, yang pertama Kediri dan kedua ialah Jenggala.

Kerajaan Jenggala yang terletak di Kahuripan (Sidoarjo moden) lebih makmur daripada Kediri kerana kedudukannya yang strategik, iaitu di tebing Kali Porong (cabang Sungai Brantas) yang merupakan pintu masuk utama pedagang asing dari lautan.

Pedagang Arab yang beragama Islam sudah masuk berdagang di daerah ini sejak sekian lama, sebelum adanya Kerajaan Kediri (yang bersatu dengan Jenggala), Singosari dan Majapahit. Jadi tidak hairanlah jika wang syiling (yang bersifat mudah dibawa) ini telah dijumpai di sekitar Jawa Timur, seperti di Trowulan.

Pada tahun 2016 telah ditemui wang syiling Cina di Lamongan, Jawa Timur seberat 30kg yang dikatakan dikeluarkan oleh Dinasti Ming.

Piring buatan Sawankhalok dari era Sukhothai

Yang sebenarnya, bukan setakat wang syiling Arab dan Cina yang ditemui, kalau ke Museum Majapahit, akan ketemu juga wang syiling dari Jepun, tembikar dari Sawankhalok, Khmer, Vietnam dan lain-lain lagi.

Klaim kedua, makam yang bernisan ‘Laa Ila Ha Illallah’ menandakan kesultanan Islam wujud di Trowulan.

Makam-makam ini sebenarnya merujuk kepada beberapa makam di Kompleks Pemakaman Troloyo, lebih-lebih lagi Makam Pitu (Tujuh) dan juga makam pendakwah termasyhur, Sheikh Jamadil Kubro yang bertarikh 1376 Masihi.

Sebahagian daripada Makam Pitu

Fakta yang nyata, ketujuh-tujuh makam ini mencatat tarikh seperti 1407 M, 1427 M, 1467 M dan 1475 M. Zaman ini sememangnya pada era Majapahit, begitu juga halnya dengan makam Sheikh Jamadil Kubro.

Bersama warga Trowulan yang juga aktivis sejarah Majapahit meneliti Makam Pitu

Namun, Makam Pitu ini tidaklah diketahui siapa empunyanya yang sebenar walaupun ada pihak yang memberi daftar nama makam-makam ini seperti nama Sabda Palon, Patih Noto Kusumo, Pangeran Noto Suryo dan lain-lain lagi.

Batu nisan bertanda La Ila Ha Illallah

Menurut masyarakat setempat Trowulan yang saya temui, makam-makam ini dikatakan milik pedagang asing yang membuka penempatan Islam di sini, atas kebenaran penguasa Majapahit. Pada ketika itu, wujudnya kebebasan beragama dan pastilah komuniti ini mempunyai struktur masyarakatnya yang tersendiri.

Perkampungan Majapahit yang dibiayai kerajaan

Tidak hairanlah jika masyarakat Islam Trowulan mempunyai Tok Imam dan Tok Kadi, seperti yang tercatat pada nisan Sunan Gresik yang mangkat pada tahun 1419 M (klaim ketiga yang menyatakan kerana ada kadi, maka wujudlah kesultanan Islam).

Komuniti minoriti Islam ini kemungkinan besar datangnya daripada dua kumpulan yang berbeza, yang pertama adalah pedagang-pedagang Arab (dan mungkin ada warga Islam dari India dan Parsi juga) yang bermastautin di sini. Yang keduanya, adalah pedagang Cina yang berasal dari Yunnan dan Selatan China.

Di Museum Majapahit, figura ini dikatakan mirip orang Islam

Saya dikhabarkan bahawa Trowulan terpecah kepada tiga penempatan berbeza untuk penganut Buddha, Hindu dan Islam dan Troloyo merupakan penempatan penganut Islam.

Perlu diingat juga, interaksi antara Tanah Besar China dan kerajaan kuno di Jawa Timur bukanlah perkara asing. Kita semua sedia maklum tentang ekspedisi ketenteraan terakhir Kublai Khan ke atas Singosari yang berakhir dengan tragedi pada tahun 1292 M.

Miniatur candi ini dinamakan Samuderamanthana. ada relief Hindu yang menceritakan tentang Amerta atau pencarian ‘air kehidupan’
Relief pada Samuderamanthana

Malah, dikatakan terdapat penasihat dan wakil Dinasti Ming yang kebanyakannya beragama Islam di keraton Majapahit pada zaman raja-rajanya yang terakhir seperti Bhre Kertabhumi dan Girindrawardhana.

Sebelum pergi lebih jauh lagi, izinkan saya menceritakan secara ringkas sejarah kedatangan orang Islam Cina ke Tanah Jawa.

Sebenarnya, sudah ada orang Islam yang menetap di pesisir pantai Jawa Timur sejak zaman Dinasti Song lagi. Ianya dibuktikan dengan penemuan nisan bertanda Fatimah Binti Maimun yang bertarikh 1082 Masihi di Gresik. Adakah ianya bukti sudah ada sebuah kerajaan Islam di Pulau Jawa? Pada pendapat saya, ianya hanya tanda ada komuniti Islam di sana, tidak lebih daripada itu.

Antara koleksi relief yang ada di Museum Trowulan
Kala yang selalu menghiasi pintu masuk candi. Ianya merupakan binatang yang menakutkan, sebagai tanda amaran.

Setelah Maharaja Hongwu mengasaskan Dinasti Ming dan mengambil takhta pemerintahan Tanah Besar China daripada Dinasti Yuan (Mongol), urusan rasmi Dinasti Ming dengan mandala dan kerajaan asing di sebelah Selatan China (atau Nanyang) banyak dilakukan oleh pegawai kerajaan yang beragama Islam seperti Laksamana Cheng Ho (juga dikenali sebagai Zheng He, Ma Sanbao dan Ma He).

Ini bukanlah suatu perkara yang pelik. Pada zaman Khublai Khan (Dinasti Yuan) sendiri, begitu ramai pegawai dan gabenor provinsi yang beragama Islam telah dilantik dan kebanyakan daripada mereka ini adalah pegawai yang berkaliber dan berkebolehan. Istilah untuk mereka pada masa itu ialah Semuren dan di antara Semuren yang terkenal ialah Gabenor Yunnan iaitu Nasr Ad-Din.

Pada zaman Dinasti Ming sudah begitu banyak komuniti Islam pesisir pantai Jawa Timur dan Jawa Tengah seperti di Gresik, Tuban, Semarang, Pekalongan, Jepara dan lain-lain.

Tuban yang merupakan kota pelabuhan dan perdagangan yang maju di bawah pentadbiran awal Ronggo Lawe setelah Majapahit diasaskan juga menerima kedatangan pedagang Islam berbangsa Cina ini.

Begitu juga halnya dengan kota-kota lain yang menyaksikan kebanjiran masyarakat pedagang Cina sehingga ada yang menjawat jawatan penting Kerajaan Majapahit.

Keturunan Bong dan Ma (bermazhab Hanafi) ramai yang berhijrah ke Pulau Jawa dan penyebaran Islam bukan sahaja dilakukan oleh warga Arab dan Parsi dari arah Barat (Melaka dan lain-lain), malah warga Islam dari Selatan China juga.

Menyentuh tentang penyebaran Islam di Kota Trowulan, tidak boleh kita lupakan kisah kembara Sheikh Jamadil Kubro dari Tanah Champa hingga wafatnya beliau di Trowulan, jantung kerajaan Majapahit pada tahun 1376 Masihi.

Atas kebenaran Sri Tribuana Tunggadewi, komuniti Islam yang didirikan oleh Sheikh Jamadil ini menandakan bermulanya gelombang pertama penyebaran syiar Islam di Tanah Jawa.

Tetapi benarkah ianya bermula di Trowulan? Jawapannya tidak, kerana di Semarang sudah ada komuntiti Islam yang kecil. Malah, Sheikh Jamadil bergerak ke Trowulan dari kota ini.

Makam Sheikh Jamadil Kubro di Troloyo, Trowulan

Pendapat peribadi saya, Sheikh Jamadil ini seorang yang berpandangan jauh. Boleh saja beliau tinggal dan berdakwah di Semarang atau kota pesisir pantai yang lain, namun, beliau tahu, jika mahu Islam itu disebarkan dengan lebih mantap dan berkesan, di ibu kota Trowulanlah tempatnya.

Pada ketika itu, bumi Trowulan dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama, seperti juga kota-kota penting dan besar yang lain dalam sejarah seperti Melaka, Patani dan lain-lain lagi. Asimilasi disebabkan oleh perdagangan itu tidak dapat dielakkan.

Di Trowulan, majoriti masyarakatnya menganut ajaran Hindu-Buddha malah ada masyarakatnya yang menganut aliran Kapitayan juga. Kesemua golongan ini mempunyai kawasan komuniti mereka tersendiri namun masih di bawah kuasa Kerajaan Majapahit yang berteraskan Hindu-Buddha.

Kerana itulah di Trowulan terlalu banyak peninggalan Hindu-Buddha yang boleh dilihat, bukan sahaja candi-candinya dan Pendopo Agungnya, malah, di Museum Majapahit dapat dilihat ratusan arca, relik dan tinggalan Hindu-Buddha ini.

Perlu juga saya tekankan bahawa Islam bukanlah agama yang mendorong umatnya membina candi-candi keagamaan, patung dan berhala untuk tujuan pemujaan. Agak tidak adil juga kalau mentafsir sejarah hanya berasaskan tinggalan candi dan relik keagamaan sahaja.

Namun, jika anda ke Trowulan, tiada tinggalan besar yang mengatakan Majapahit itu berteraskan kesultanan Islam.

Masjid Agung Demak peninggalan Kesultanan Demak. Kelihatan makam penguasanya juga

Di Bintoro, Demak, masih boleh dilihat tinggalan Kesultanan Demak begitu juga kalau kita ke Kota Gede untuk melihat tinggalan Kerajaan Islam Mataram dan ke Cirebon untuk menyaksikan tinggalan Kesultanan Cirebon… tetapi tidak di Trowulan.

Klaim keempat, ‘Surya Majapahit’ itu sebenarnya adalah 8 cabang iaitu sifat, asma, ma’rifat, Adam, Muhammad, Allah, Tauhid dan Zat. Ini menandakan ianya sebuah kerajaan Islam.

Surya Majapahit versi Islam (gambar ehsan Google)

Saya mempunyai satu fakta menyangkal dakwaan ini dan satu pendapat yang mempersoalkan bahawa Surya Majapahit versi Islam ini adalah asli.

Surya Majapahit versi Hindu (gambar ehsan Google)

Fakta pertama ialah, Surya Majapahit sebenarnya adalah lambang matahari yang mempunyai 8 sudut nama dewa-dewa Hindu iaitu Vishnu, Sambhu, Isvara, Mahesora, Brahma, Rudra, Mahadeva dan Sangkara manakala Shiva berada di tengah-tengah.

Surya Majapahit yang banyak kelihatan di Kg. Majapahit Trowulan

Ianya berteraskan konsep Hindu Dharma. 9 penguasa ini adalah Dewata Nawa Sangha atau Dewa 9.

Surya Majapahit yang sering ditemui bersama tinggalan lama ini boleh dilihat di mana-mana dan ramai sejarawan yang berpendapat ianya adalah jata atau lambang kerajaan Majapahit. Kerana itu juga saya berpendapat, orang Islam yang bernaung di bawah Majapahit telah mengadaptasi jata ini dengan menukar nama-nama dewa kepada sesuatu yang tidak melanggar akidah. Ianya hanyalah hipotesis saya berdasarkan cara atau pendekatan Islam disebarkan selama ratusan tahun di Pulau Jawa.

Kelihatan Surya Majapahit pada nisan Makam Pitu

Pendekatan penyebaran Islam di Pulau Jawa bukanlah berdasarkan kepada kekerasan tetapi ianya lebih kepada konsep asimilasi dan penyebaran secara hikmah.

Sebagai contoh, Sunan Ampel tidak membenarkan sebarang binaan agama lain dimusnahkan atas alasan ‘mereka’ diberi kebenaran oleh penguasa yang beragama Hindu-Buddha untuk mengamalkan ajaran Islam di Pulau Jawa.

Sunan Bonang pula terkenal dengan fleksibel beliau dalam berdakwah. Pada ketika penganut Buddha Tantrayana mengamalkan Upacara Molimo yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, Sunan Bonang memperkenalkan upacara zikir berkumpulan bagi menandingi dan mengganti Upacara Molimo tadi.

Asimilasi dan dakwah secara hikmah seperti inilah yang boleh dilihat dalam lipatan sejarah penyebaran Islam di Pulau Jawa.

Makam Sunan Bonang antara makam sunan yang paling ramai dilawati

Isu seterusnya, benarkah Patih Gajah Mada itu beragama Islam dan bernama Gaj Ahmada?

Saya amat tidak bersetuju dengan pendapat ini atas beberapa sebab. Yang pertama, nama Mahapatih Amangkubhumi Gajah Mada ada disebut di dalam beberapa kitab seperti Kakawin Nagara Kertagama, Serat Pararaton, Kidung Sunda dan lain-lain lagi.

Dalam Serat Pararaton, jelas disebut namanya Gajah Mada;

‘Sira Gajah Mada pepatih amungkubhumi tan ayun amukti palapa, sira Gajah Mada: Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seram, Tañjungpura, ring Haru, ring Pahang, Dompu, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana ingsun amukti palapa’

Yang bermaksud;

Ia, Gajah Mada sebagai patih Amangkubhumi tidak ingin melepaskan puasa, Gajah Mada berkata bahawa bila telah mengalahkan (menguasai) Nusantara, saya (baru akan) melepaskan puasa, bila telah mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan puasa

Ini adalah Sumpah Palapa Mahapatih yang amat terkenal.

Prasasti Singhasari 1351 (gambar ehsan Google)

Bukan sahaja namanya disebut di dalam pelbagai kitab, malah ada sebuah prasasti yang diberi nama Prasasti Gajah Mada yang ditemui di Singosari, Kabupaten Malang. Nama rasminya ialah Prasasti Singosari 1351 tetapi dipanggil Prasasti Gajah Mada kerana prasasti ini menceritakan tentang jasa beliau membina caitya atau candi pemakaman.

Tertera nama beliau pada prasasti tersebut seperti berikut;

kâran.a wrs.abharaçi ; ‘irika diwaça sang mahâmantri mûlya ; ra-

kryan mapatih mpu mada ; sâks.at. pran.ala kta râsika de bhat.â-

Maksudnya;

Kistugna, pada rasi Taurus. Ketika sang mahamantri yang mulia. Sang

Rakryan Mapatih Mpu (Gajah) Mada yang dia seolah-olah menjadi perantara

Candi Bajang Ratu di Trowulan

Wakil dari Nahdatul Ulama Indonesia juga ada mempertikaikan nama Gaj Ahmada ini. Saya tidak mahu menyentuh perkara ini secara panjang lebar. Saya sarankan anda membuat carian atas talian untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Adakah Gajah Mada beragama Islam?

Menurut Kakawin Nagara Kertagama Pupuh 19:2, Mahapatih Amangkubhumi Gajah Mada ada menerima hadiah berupa tanah daripada Raja Majapahit.

Ianya seperti berikut;

wwanten dharmma kasogatan prakasite madakaripura kastaweng langö,
simanugraha bhûpati sang apatih gajamada racananyan ûttama,
yekanung dinunung nareswara pasanggrahanira pinened rinûpaka
andondok mahawan rikang trasungay andyus i capahan atirthasewana

Yang bermaksud;

Tersebut dukuh kebuddhaan bernama Madakaripura,
keelokannya terkenal, berupa Anugerah sri Baginda kepada patihnya, Gajah Mada,
teratur dengan sangat baik.
Di situlah sang raja menempati pesanggrahan yang terhias dengan indah, berjalan melalui
Trasungay, ia melakukan pujabhakti di petirtaan suci di Capahan

Jelas dinyatakan di dalam teks di atas letaknya ‘dukuh kebuddhaan bernama Madakaripura’ dan tertera nama Gajah Mada di situ.

Kesimpulannya, amat sukar untuk saya menyetujui hipotesis yang mengatakan Kerajaan Majapahit itu adalah sebuah kesultanan Islam dan Gajah Mada itu bernama Gaj Ahmada dan beragama Islam.

Segala bukti dan tinggalan lama menyatakan Kerajaan Majapahit itu Hindu-Buddha dan Gajah Mada tidak beragama Islam.

Kalau di Indonesia, istilah cocoklogi sudah dikenakan ke atas teori lemah seperti ini.

Sejarah jangan dikaburkan, bak kata teman saya di Trowulan yang juga aktivis sejarah Majapahit,

“Yang dipakai ilmu gotak gatuk (tangkap muat, asal boleh). Kerjain ngawur (tak serius) aja.”

Akhir kata, berlainan pendapat itu perkara biasa, yang penting kenalah kita saling hormat-menghormati dalam berbicara tentang ilmu. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan saya ini, ketahuilah bahawa saya menghormati pandangan anda.

Sekian

Rujukan:

Studi Tentang Peran Syaikh Jumadil Kubro Dalam Penyebaran Agama Islam Di Ibu Kota Kerajaan Majapahit Pada Abad Ke-14 Masihi, Fitriyatul Ulum, 2017, Universitas Nusantara PGRI Kediri

Atlas Wali Songo, Agus Sunyoto, 2016, Pustaka Iiman

Pendidikan Islam Masa Majapahit Dan Dakwah Shekh Jumadil Kubro, Isno, 2015, Jurnal Pendidikan Agama Islam, Volume 03, Nomor 01

Runtuhnya Kerajaan Hindu-Jawa Dan Timbulnya Negara-Negara Islam Di Nusantara, Prof. Dr. Slamet Muljana, 2005, LKiS

Tafsir Sejarah Nagara Kertagama, Prof. Dr. Slamet Muljana, 2006, Pelangi Aksara

Serat Pararaton, Mangkudimedja, RM. dan Hardjana HP., 1979, Proyek Penerbitan Buku Sastra Indonesia Dan Daerah

Nagara Krtagama: Masa Keemasan Majapahit, Prof. Dr. Drs. I Ketut Riana, 2009, Penerbit Buku Kompas

Tanda Visual Surya Majapahit Dalam Relief Masjid Sebagai Konsep Komunikasi Visual, Agus Setiawan, Puri Sulistiyawati dan Henry Bastian, 2016, Universitas Dian Nuswantoro Semarang

Ragam Seni Hias Majapahit: Penciri Hasil Budaya Majapahit, Rochtri Agung Bawono dan Zuraidah, 2016

https://www.indonesiakaya.com/jelajah-indonesia/detail/ziarah-makam-sunan-bonang-maestro-budaya-pencipta-tembang-tombo-ati

https://id.m.wikipedia.org/wiki/Prasasti_Singhasari_1351

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *