Tawarikh Nusantara

Candi Borobudur Dan Polemik Sailendra/Sanjaya – Bahagian I

Mataram Kuno: Dua Dinasti Atau Satu Dinasti

Hari ni aku menulis benda yang paling aku tak mahu tulis… Sriwijaya dan ceritera Sailendrawamsa.

Apabila menelaah tentang sejarah kerajaan Sriwijaya, ada pengkaji yang membelah kerajaan ini dalam 3 fasa, fasa shih-li-fo-shih, fasa sailendrawamsa dan juga fasa san-fo-ts’i.

Di antara 3 fasa ini, fasa Sailendralah yang paling polemik kerana ia wujud di pulau Jawa, jauh dari pantai hingga ke pedalaman Jawa Tengah. Kerajaan Sriwijaya yang kita ‘kenal’ beribu kota berdekatan pantai atau di pedalaman namun mudah diakses melalui jaringan sungai yang besar, sesuailah dengan gelarannya sebagai ‘a great kingdom of thalassocracy’, kerajaan maritim yang agung.

Penulisan aku kali ini hanyalah berkenaan pendapat aku tentang fasa Sailendra, polemik kewujudan perkongsian kuasa (power sharing) antara Sailendrawamsa dan Sanjayawamsa… atau hanya wujud satu sahaja kuasa pemerintahan di sana.

Pertamanya, ini bukan penulisan membicarakan secara teliti pelbagai prasasti yang wujud seperti Kalasan, Canggal, Kelurak, Kayumwungan, Kedu, Karang Tengah, Sojomerto, Sankhara dan pelbagai lagi prasasti yang wujud. Penulisan aku adalah hasil pemahaman aku daripada perbincangan yang melibatkan prasasti-prasasti ini dan kejadian-kejadian yang berlaku dalam fasa ini.

Keduanya, aku tidak membuat sebarang konklusi peribadi tentang kerajaan ini, tujuan aku hanya untuk melontar persoalan tentang situasi Sailendrawamsa dengan latar belakang dan pendapat ilmuwan yang lebih jelas.

Persoalan pertama yang aku hendak lontarkan ialah; siapakah Sailendrawamsa ini? Adakah Sailendrawamsa ‘orang luar’ yang datang dan kemudiannya menjadi penguasa kerajaan Mataram Kuno? Adakah Sailendra itu sebahagian daripada Sanjayawamsa atau kedua-duanya wamsa yang berlainan?

Untuk menjawab persoalan ini kita perlu ketahui tentang wujudnya dua pendapat yang berlawanan iaitu, Sailendrawamsa adalah bangsa asing dan yang keduanya Sailendra itu leluhurnya daripada Sanjayawamsa.

Pendapat pertama dan popular mengatakan Sailendrawamsa itu bangsa Melayu yang mendarat di Pekalongan dan kemudiannya berkuasa di bumi Jawa Tengah hinggalah ke Magelang di Selatan. Pendapat ini selalu didasarkan kepada Prasasti Sojomerto yang berbahasa Melayu kuno, menggunakan aksara Kawi. Isi prasasti ada menyebut gelar ‘dapunta’ sama seperti gelarnya Dapunta Hyang Sri Jayanasa dalam prasasti Kedukan Bukit. Keduanya, ada gelar ‘sailendra’ yang disebut dua kali. Kata gelar ‘sailendra’ ini sama dengan yang terdapat dalam prasasti Ligor B (bahasa Sanskrit, aksara Kawi). Yang menariknya prasasti Ligor B juga menyebut tentang gelar ‘çri mahârâja’, kata gelar untuk raja Sriwijaya. Kata gelar ini ada implikasinya dalam penulisan aku ini nanti.

Membaca teks lengkap prasasti Sojomerto (prasasti ini tidak lengkap kerana ada bahagian yang rosak dan tidak boleh dibaca) aku berpendapat ianya bukanlah suatu bukti kukuh Sailendra itu leluhurnya Sriwijaya yang mendarat di Pekalongan, tetapi prasasti Sojomerto ini merupakan ‘moderator’ yang kuat kepada isi prasasti Ligor B yang juga ada menyebut kata gelar ‘sailendra’ yang ditafsir oleh George Cœdes.

Mengapa aku mengatakan begitu? Kerana daripada prasasti Ligor B-lah George Cœdes mengatakan ‘raja kedua’ dalam prasasti ini berkahwin dengan puteri Funan dari dinasti Somawangsa lalu menjadi raja pertama kerajaan Mataram dan menurunkan raja-raja Mataram.

Apabila dirujuk silang dengan prasasti Sojomerto bukankah sudah cantik dan ngam… Raja Sailendra berketurunan daripada raja-raja Sriwijaya dari semenanjung, sepertinya catatan Ligor B, mendarat di Pekalongan dan mengisytiharkan leluhurnya, yakni bapanya dan ibunya (Sojomerto) dengan megah dan dipahat pada sebuah batu, tidak seperti prasasti kutukan, ia lebih kepada prasasti kebesaran.

Untuk yang tidak tahu, Prasasti Ligor B dijumpai di Nakhon Si Thammarat, Thailand, manakala Prasasti Sojomerto ditemui di Batang, Jawa Tengah, sedikit ke Selatan Pekalongan.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang berpendapat bahawa Sailendra itu leluhurnya daripada Sanjayawamsa? Pasti tak setuju, betul tak?

Mereka yang berpendapat hanya ada satu dinasti sahaja yang menguasai Mataram Kuno, iaitu Sanjayawamsa, sebenarnya adalah mereka yang ‘beraliran’ dengan pendapat dan kajian yang diutarakan oleh Pak Boechari. Pendapat beliau mengatakan Rakai Panangkaran itu bernama penuh, Rakai Panangkaran Dyah Śankhara Śri Sangramadhananjaya. Beliau adalah anak Sanjaya yang menukar agama dari Hindu kepada Buddha.

Menurut Pak Boechari, semua ini terpahat dalam sebuah prasasti yang beliau namakan sebagai Prasasti Sankhara. Secara ringkasnya, Sankhara marah dan takut kepada kebatilan lalu menukar agamanya. Ini kerana ayahnya meninggal dunia setelah 8 hari jatuh sakit dan dewa-dewa Siwa gagal menyelamatkan beliau. Sankhara menurut Boechari adalah Rakai Panangkaran, manakala bapanya ialah Rakai Mataram Sang Ratu Sanjaya yang terpahat pada Prasasti Kedu (atau dikenali sebagai Prasasti Mantyasih atau Prasasti Balitung).

Apa pendapat besar Boechari? Beliau mengatakan Panangkaran itu adalah Śailendrawanśatilaka’, yakni nama lain beliau dan bukannya nama sebuah dinasti yang berleluhur kepada Sriwijaya. Membicarakan hal ini sahaja memerlukan penulisan khusus.

Bagaimana pula Prasasti Sojomerto? Apa kaitannya dengan Sanjaya. Ada pendapat daripada kalangan aliran Boechari yang menyatakan prasasti ini dipahat dalam bahasa Melayu kuno bertujuan untuk mengkhabarkan bahawa pemerintah itu beragama Hindu Siwa dan sedikit biodata diri beliau kepada mereka yang berdagang di sepanjang garis pantai dan penduduknya yang berbilang bangsa. Pada waktu itu bahasa Melayu adalah lingua-franca Nusantara, maka wajarlah batu itu dipahat dengan bahasa Melayu kuno. Begitulah penjelasannya.

Apa masalahnya dengan dua pendapat (school of thought) ini?

Pentafsiran Cœdes sebenarnya disangkal oleh beberapa pengkaji prasasti Ligor yang mengatakan beliau telah melakukan beberapa kesalahan tatabahasa dalam penterjemahannya. Oleh itu, teori Cœdes tentang raja yang ke Jawa itu boleh dipersoalkan.

Pendapat Boechari pula perlu dirujuk silang dengan tinggalan prasasti yang lainnya. Persoalan yang besar, bagaimana menghubungkan teori Boechari dengan Prasasti Ligor B dan A, dan kemudiannya menyangkut pula kepada prasasti-prasasti lain di Sumatera?

Aku tinggalkan dahulu penulisan bahagian I mengenai polemik Sanjaya dan Sailendra. Yang pentingnya kalian tahu apa perbezaan besar tentang polemik utama, iaitu sama ada kerajaan Mataram Kuno mempunyai 2 dinasti atau hanya 1 dinasti.

Apa yang kalian nak terima, itu atas kalian.

Nota: Gambar ialah Candi Kalasan di Jogja

#sailendrasanjaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *