Tawarikh Nusantara

Candi Borobudur Dan Polemik Sailendra/Sanjaya – Bahagian IV

Ratu Sanjaya Pengasas Mataram Kuno

Dalam Bahagian III penulis membicarakan tentang daftar raja-raja Mataram Kuno berdasarkan Prasasti Mantyasih atau lebih dikenali sebagai Prasasti Kedu. Prasasti ini dipahat oleh Dyah Balitung, raja kesembilan Mataram Kuno.

Penulisan kali ini bakal mengisahkan senarai daftar raja-raja bermula dengan Ratu Snajaya berdasarkan interpretasi sejarawan pada prasasti-prasasti lainnya seperti Canggal, Kelurak, Kalasan, Karangtengah, Ligor dan banyak lagi. Carita Parahyangan juga dirujuk untuk melengkapkan naratif awal pengkisahan kerajaan ini.

Selain daripada daftar raja berdasarkan Prasasti Mantyasih (rujuk Bahagian III siri ini), di bawah adalah senarai raja yang sebahagiannya menggunakan nama atau gelaran yang tidak disebut pada Prasasti Mantyasih.

1. Ratu Sanjaya
2. Rakai Panangkaran Dyah Pancapana
3. Rakai Panunggalan Dyah Dharanendra
4. Samaragriwa
5. Samaratungga
6. Rakai Pikatan Mpu Manuku
7. Dyah Lokapala

Kenapa ada kontradiksi daftar nama-nama raja antara Prasasti Mantyasih dengan senarai di atas? Ini disebabkan senarai di atas diatur berdasarkan pelbagai prasasti seperti yang telah disebutkan awal tadi.

Berdasarkan Prasasti Canggal yang bertarikh 732 M, Ratu Sanjaya mendapat kuasa pemerintahan daripada Sanna. Prasasti Canggal juga menyatakan bahawa Sanjaya bukanlah anak kepada Sanna tetapi anak kepada Sannaha, saudara Sanna.

Lain pula kisah dalam Carita Parahyangan yang menyatakan Sanjaya itu anak kepada Sanna. Ini sebahagian polemik Sanjaya/Sailendra.

Bagaimana Sanjaya boleh menguasai Mataram Kuno dan membina dinasti Sanjaya? Sebenarnya, tiada jawapan yang pasti melainkan apa yang ada pada Prasasti Canggal yang hanya menyatakan pertukaran kuasa dari Sanna kepada Sanjaya. Namun, Carita Parahyangan ada mengisahkan perjalanan Sanjaya membina kuasa di Mataram.

Menurut Carita Parahyangan, Sanjaya merupakan raja Galuh selepas Sanna menyerahkan takhtanya. Kerana Sanjaya kemudiannya bernikah dengan cucu Tarusbawa (raja Sunda) bernama Teja Kusuma, maka, Sanjaya juga menguasai kerajaan Sunda. Alhasilnya, kerajaan Sunda-Galuh bersatu di bawah kekuasaan Sanjaya.

Selepas menyatukan Sunda-Galuh, Sanjaya menakluk Kalingga Selatan di bawah Dewa Singha (cucu Ratu Jay Shima, raja Kalingga yang terkenal). Akhirnya, Kalingga Utara dan Selatan bersatu di bawah satu payung kuasa dan menjadi asas pembentukan kerajaan Mataram Kuno. Sanjaya kemudiannya mendirikan ibu kota kerajaan baru ini di Mataram (Medang I Bhumi Mataram). Malangnya, lokasi tepat pusat pemerintahannya di Mataram tidaklah diketahui.

Ada sesuatu yang menarik terjadi sebelum Sanjaya melakukan serangan terhadap Kalingga Selatan. Dikatakan bahawa Sanjaya menyerahkan kuasa memerintah Sunda-Galuh kepada Rakryan Panaraban (Tamperan) sebelum serangan tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum (rujuk Bahagian III siri ini), Panaraban adalah nama raja kedua yang dipahat pada Prasasti Wanua Tengah III sebagai raja Mataram Kuno. Adakah Panaraban ini sama orangnya dengan Rakai Panangkaran, raja kedua yang dipahat pada Prasasti Mantyasih pula?

Carita Parahyangan menyatakan Rakai Panangkaran adalah anak Ratu Sanjaya yang bernikah dengan Dewi Sudiwara sesudah kerajaan Mataram Kuno ditubuhkan dan Sanjaya menjadi rajanya (732 – 754 M). Ini bermakna Rakryan Panaraban bukanlah orang yang sama dengan Rakai Panangkaran jika mengikut Carita Parahyangan.

Siapa Panaraban dan Panangkaran dalam Carita Parahyangan ini pun polemik juga.

Setelah menguasai Mataram, Sanjaya lebih menumpukan kepada pembangunan wilayahnya dan tidak mementingkan sangat aspek keselamatan.

Menurut Slamet Muljana, akibat daripada kelalaian itu, Ratu Sanjaya telah digulingkan oleh Dyah Pancapana yang pada ketika itu merupakan Rakai daerah Panangkaran dan beragama Buddha. Motivasi Rakai Panangkaran pada ketika itu hanyalah untuk meluaskan pengaruh Sailendra dan agama Buddha.

Satu persoalan timbul daripada penulisan di atas.

Carita Parahyangan menyatakan Rakai Panangkaran adalah anak Ratu Sanjaya yang beragama Hindu sedangkan Slamet Muljana pula menyatakan Rakai Panangkaran adalah Dyah Pancapana yang beragama Buddha. Ini didasarkan kepada Prasasti Kalasan (778 M) yang ada menyebut Tejapurnapana Panangkaran yang merupakan Sailendravamçatilaka atau ‘permata bangsa Sailendra’. Penulis lebih akur kepada teori Slamet Muljana.

Tak banyak cerita kerajaan Medang pada zaman Sanjaya melainkan Prasasti Canggal dan juga kitab Sunda Carita Parahyangan yang ada kontradiksi dengan Prasasti Kalasan. Namun naratif Carita Parahyanagngan tentang siapa Sanjaya dan kaitan beliau dengan kerajaan Kalingga dan Ratu Jay Shima amat mengujakan.

Penulis tinggalkan dahulu persoalan ini dan bersambung nanti pada Bahagian V, dan siapa itu Dyah Pancapana @ Rakai Panangkaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *