Artikel Umum Sejarah

Prasasti Berbahasa Jawa Kuno Tertua

Sabtu lepas berbalas komen dan informasi dengan seorang teman penulis yang kini menetap di Aceh tentang penemuan prasasti baru di Temanggung, Jawa Tengah.

Dalam sedap berdiskusi tu, naiklah nama Prasasti Sukabumi, ‘in passing’ atau sambil lalu.

Dah lama penulis tak dengar atau baca tentang prasasti ni. Ada sesuatu yang unik tentang Prasasti Sukabumi yang penulis nak ceritakan, tentang hebatnya sistem kerajaan Medang dalam pengurusan tanah dan percukaian.

Prasasti Sukabumi juga dikenali dengan nama Prasasti Harinjing. Ia ditemui di Kediri, Jawa Timur, di kaki Gunung Kelud bukan di Sukabumi, Jawa Barat. Kebetulan desa atau kampung ditemui prasasti ini namanya Desa Sukabumi; kes sama nama tapi tak serupa.

Asalnya prasasti ini dinamakan Prasasti Sukabumi tetapi kemudiannya ditukar kepada Prasasti Harinjing kerana isi utama prasasti ini adalah berkenaan dengan sebatang sungai di Harinjing.

Prasasti ini pertama kali dipahat pada tahun saka 726 atau 804 Masihi dengan menggunakan aksara dan bahasa Jawa kuno. Kalau nak tahu, prasasti ini adalah prasasti paling tua yang menggunakan bahasa dan aksara Jawa kuno. Prasasti sebelum tahun 804 Masihi menggunakan bahasa Sanskrit atau Melayu kuno. Namun, penggunaan aksara Jawa kuno dah ada sebelum prasasti ini lagi. Prasasti Hamran lebih awal menggunakan aksara Jawa kuno iaitu pada 750 Masihi.

Prasasti Harinjing. Gambar ihsan hurahura.wordpress.com

Apakah isi Prasasti Harinjing atau Sukabumi ini?

Ada 3 bahagian/piagam yang dinamakan Harinjing A, B dan C. Pada asasnya, prasasti ini mengisahkan pemberian tanah perdikan kepada Bhagawanta Bari kerana membuat tanggul pada sebatang sungai di Harinjing. Tanggul adalah tanah tambak yang menahan air, macam benteng. Air yang dibendung kemudiannya dialirkan untuk kegunaan para petani mengairi sawah dan tanaman lainnya. Untuk mengenang jasa Bhagawanta Bari, beliau dianugerahkan tanah yang bertaraf ‘desa perdikan’. Desa perdikan pada asasnya bebas daripada cukai kerajaan dan tidak boleh diganggu oleh segala patih, rama, wahuma dan orang istana. Buatlah apa nak buat selagi tidak ‘melanggar’ raja.

Jadi, apa yang uniknya tentang Prasasti Harinjing ini?

Haaa…. ini yang uniknya, Prasasti Harinjing A, B dan C dipahat pada tahun yang berbeza. Prasasti Harinjing A dipahat pada tahun 804 Masihi, Harinjing B pada tahun 921 Masihi dan Harinjing C pada tahun 927 Masihi. Maknanya, tempoh pahatan antara Harinjing A dan Harinjing C adalah selama 123 tahun.

Itu uniknya yang pertama. Keunikan yang kedua lebih mengujakan. Harinjing A dipahat untuk mengisahkan tentang usaha menambak benteng sungai dan juga nama watak-watak lain yang terlibat. Disebutkan juga bahawa desa perdikan ini bebas cukai dan tak boleh diganggu gugat oleh sesiapa.

Harinjing B yang bertarikh 19 September 921 Masihi dan Harinjing C yang bertarikh 7 Mac 927 Masihi dikeluarkan untuk memberi peringatan bahawa desa perdikan yang dianugerahkan kepada Bhagawanta Bari 100 tahun yang lalu masih lagi berkuatkuasa dan kini desa perdikan itu dijaga oleh ‘anak’ Bhagawanta. Raja juga memberi peringatan bahawa jangan dilanggar arahan raja yang satu ini.

Inilah uniknya Prasasti Harinjing yang pertama kali dipahat pada zaman pemerintahan Samaragriwa (Rakai Warak Dyah Wanara?) dan kali terakhir dipahat pada zaman pemerintahan Rakai Layang Dyah Tulodong. Walaupun kerajaan Medang menghadapi krisis dalaman pasca pemerintahan Mpu Manuku Rakai Pikatan, hal ehwal melibatkan rakyat jelata masih lagi terjaga dan hukum raja yang terdahulu masih lagi diteruskan.

Begitulah serba ringkas kisah prasasti berbahasa Jawa kuno paling tua di nusantara. Adakah prasasti yang baru ditemui nanti mengambil alih ‘takhta’ Prasasti Sukabumi/Harinjing sebagai prasasti bahasa Jawa kuno tertua? Kita nantikan hasil penelitian pakar nanti.

p/s: Gambar cover – Gunung Kelud, yang sedang meletus. Gambar ihsan Google.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *