Lagenda Thailand Yang Hilang Di Malaysia

Bukan mudah untuk seorang warga asing memberi impak yang besar kepada sosio ekonomi negara Thailand, tetapi tidak Jim Thompson.

Kisah beliau yang penuh warna bolehlah diibaratkan seperti James Bond yang bersara dan kemudiannya menjadi seorang saudagar yang terkemuka. Namun, pada suatu hari, hilang entah ke mana. Puuf…. hilang, lesap… tiada siapa yang tahu.

Jim Thompson kelihatan seperti James Bond dunia sebenar yang bergaya (gambar ehsan Google)

Siapakah Jim Thompson?

Beliau sebenarnya adalah seorang warga Amerika Syarikat yang menyertai Agensi Perisikan Sentral atau lebih dikenali dengan CIA sebagai seorang perisik sebelum meletusnya Perang Dunia Ke-2. Beliau bertugas di Afrika Utara dan di Eropah ketika perang dunia dan kemudiannya berpindah ke Ceylon atau Sri Lanka untuk membantu Gerakan Seri Thai yang beroperasi secara diam di Thailand dalam usaha untuk membebaskan negara itu daripada rejim Plaek Pibulsonggram yang berpihak kepada Jepun.

Setelah perang tamat beliau mendarat di Bangkok dan membuka pejabat CIA di sana. Setelah meletak jawatan dalam perkhidmatan CIA, beliau kembali ke Bangkok dan bersama-sama beberapa orang teman, beliau membeli The Oriental Hotel dan juga membuka Thai Silk Company Limited.

Jim Thompson sedang berurusan dengan salah seorang pekerja-dari-rumah industri tekstilnya (gambar ehsan Google)

Tahukah anda bahawa tema warna sutera Thai yang bergemerlapan pada hari ini sebenarnya bermula daripada hasil usaha beliau suatu ketika dahulu. Ribuan rakyat Thailand yang dihimpit kemiskinan telah diberi peluang bekerja dari rumah dan ini banyak membantu menaikkan industri tenunan sutera dan ekonomi masyarakat setempat. Sutera beliau dieksport ke serata dunia dan secara tak langsung menaikkan kembali industri yang hampir lenyap di bumi Thailand ini.

Jim Thompson sedang meneliti kualiti kain sutera (gambar ehsan Google)

Namun, Jim Thompson lebih dikenali sebagai seorang pengumpul hasil seni yang terkemuka bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Asia Tenggara. Beliau membina beberapa buah rumah tradisional di Bangkok yang berhampiran dengan sebuah terusan dan perkampungan Islam. Rumah-rumah ini adalah untuk diduduki oleh beliau dan juga para tetamu bangsawan. Ianya diperbuat dengan menggunakan bahan binaan yang dibawa khas dari Ayutthaya dan Bangkrua. Setelah siap, ianya dihiasi dan dipenuhi oleh artifak dan hasil seni dari Dinasti Ming China, Eropah, Burma, Cambodia dan banyak lagi.

Pada tika dan waktu itu, Jim Thompson amat dikenali di kalangan aristokrat dan juga masyarakat marhaen Thailand. Inilah zaman kemuncaknya!

Apakah yang terjadi kepada Jim Thompson?

Pada 24 Mac 1967, beliau telah pergi ke Cameron Highlands bersama-sama dengan pembantu setianya iaitu Constance Mangskau. Ahad, 26 Mac, jam 1.30 petang, beliau meninggalkan penginapannya dan berjalan seorang diri di perkarangan Jalan Kamunting. Beberapa saksi terlihat kelibat beliau ketika itu, namun, beliau tidak pulang semula walaupun siang sudah berganti malam.

Jim Thompson Cottage di Cameron Highland. Ini adalah tempat istirehat beliau yang terakhir (gambar ehsan Google)

Misi mencari dan menyelamat oleh pelbagai pihak seperti orang asli, penduduk, polis, askar gurka, pelajar dan lain-lain dijalankan selama 11 hari namun sia-sia.

Berita kehilangan beliau merebak ke seluruh dunia dengan pantas. Sejarah hidupnya yang penuh warna pasti menimbulkan pelbagai spekulasi kehilangan beliau.

Antara spekulasi kehilangan beliau ialah:

1) Beliau diserang dan dimakan binatang buas.

2) Beliau diculik oleh mereka yang berdendam dengan beliau.

3) Beliau pergi ke Vietnam dalam misi menentang komunis Vietnam.

Pada tahun 1974, mahkamah Thailand mengisytiharkan kematian rasmi Jim Thompson sebagai ‘dead in absentia’.

Hingga kini masih ada lagi pihak yang menjalankan siasatan di atas kehilangan misteri beliau.

Aku berpeluang melawat rumah peninggalan beliau yang kini dijadikan muzium di Jalan Rama I, Bangkok. Malangnya, para petugas tidak membenarkan aku mengambil gambar di dalam rumah yang dibuat daripada kayu itu.

Untuk ke sini, cara yang paling mudah ialah dengan menaiki Bangkok SkyTrain (BTS) dan berhenti di Stesen BTS National Stadium. Rumah Jim Thompson ini berdekatan dengan Holiday Inn Express Bangkok Siam.

Sesungguhnya hidup beliau sememangnya penuh warna dan misteri.