Dien Bien Phu… Berakhirnya Keangkuhan Perancis Di Indochina

“Aku akan memakai topi berwarna merah dan akan berdiri di atas bukit ini… supaya engkau dapat melihatku dari kejauhan dan langsung menembakku… Seranglah…. Seranglah segera” – Begitulah mesej Kol. de Castries kepada Viet Minh…

Pada mereka yang mengetahui tentang sejarah kolonialisme Perancis di Indochina tentu tahu tentang Peperangan Dien Bien Phu (DBP) yang berlaku di antara 13 Mac 1954 hingga 7 Mei 1954. Signifikasinya amat besar dan dianggap sebagai permulaan kepada suatu pengakhiran buat Perancis di Indochina.

Ho Chi Minh dan panglima perangnya berbincang tentang serangan ke atas DBP (gambar ehsan Google)

Indochina-Perancis adalah gabungan tiga negara jajahan Perancis iaitu Vietnam, Cambodia dan kemudiannya Laos. Di Vietnam, penentangan terhadap kolonial Perancis ditunjangi oleh Liga Kemerdekaan Vietnam atau lebih dikenali di serata dunia sebagai Viet Minh. Ho Chi Minh, tokoh kemerdekaan Vietnam yang tidak perlu diperkenalkan lagi telah berjaya membawa ideologi komunis melalui Parti Komunis Indochina ke dalam organisasi Viet Minh ini. Begitulah serba ringkas tentang Indochina dan Viet Minh.

Jeneral Vo Nguyen Giap (gambar ehsan Google)

Banyak juga kisah yang kutahu mengenai penentangan Orang Viet terhadap Perancis, namun bagiku tiada kisah yang lebih menonjol daripada Perang DBP. Alhamdulillah, setelah bertahun-tahun, akhirnya aku berpeluang untuk menjejakkan kaki di bumi bertuah ini. Hasilnya, penulisan kali ini bukan sahaja penceritaan ringkas daripada lipatan sejarah tetapi juga cerita lisan yang kukutip sepanjang berkelana di kota yang hampir tiada pelancong asing ini.

Bersungguh-sungguh Cau Be bercerita

Cau Be, seorang pemuda Vietnam berusia 17 tahun yang menegurku ketika aku sedang duduk mengenang nasib sambil mengunyah biskut Danone, dengan sukarelanya menawarkan dirinya sebagai pemandu pelancong amatur. Bersemangat sungguh budak yang bercita-cita suatu hari nanti punyai perniagaan berasaskan pelancongan ini.

Sebahagian DBP dari A1 Hill

Bandar DBP terletak di sebelah Barat Hanoi dan adalah bandar terakhir sebelum anda memasuki Laos melalui Sempadan Tay Trang-Pang Hoc. Bentuk mukabuminya seperti Bandar Alor Setar, yang landai, dikelilingi oleh sawah bendang dan kemudian bukit-bukau dan gunung-ganang melingkari sawah bendang dan bandar ini. Kalau di pandang dari atas, kelihatan seperti mangkuk sup dengan kota DBP di tengah-tengah mangkuk, kawasan yang paling rendah.

Kolonel de Castries, pemerintah tertinggi Perancis di DBP (gambar ehsan Google)

Ditengah-tengah bandar DBP pula terdapat dua buah bukit yang dinamakan Bukit D1 dan Bukit A1. Monumen Kejayaan terletak di Bukit D1 manakala tinggalan sejarah kubu terakhir Tentera Perancis terletak di Bukit A1.

Tujuan utama Perancis membina kubu di bandar ini adalah kerana ingin menghalang tentera Viet Minh memasuki Laos dan juga menggoda mereka menyerang DBP melalui kawasan landai di sekelilingnya. Maka mudahlah untuk pasukan artileri Perancis menggempur tentera Viet Minh yang terdedah. Ianya bukanlah suatu keputusan taktikal yang bodoh, kerana Perancis telah mengalahkan Viet Minh yang dipimpin oleh Jen. Vo Nguyen Giap di Na San dengan cara yang sama.

Peta kubu pertahanan Perancis (gambar ehsan Google)

Jen. Henri Navarre, iaitu pemerintah tertinggi Perancis di Indochina telah memberi mandat kepada Kolonel Christian de Castries untuk mengetuai ketumbukan tentera Perancis di sini dan menghancurkan kekuatan Viet Minh secara total.

Sememangnya peperangan di DBP tidak dapat dielakkan dan ianya bakal menjadi ibu kepada segala peperangan di Indochina.

Beberapa kubu pertahanan didirikan oleh tentera Perancis dan antara nama-nama kubu yang terkenal ialah Beatrice, Eliane dan Gabrielle. Sememangnya tentera Peranchis begitu berkeyakinan tinggi untuk menumpaskan Viet Minh.

POW Perancis (gambar ehsan Google)

Ketika Jen. Navarre membuat tinjauan di DBP, beliau bertanya kepada Komander Artileri, Lef. Kol. Charles Piroth, adakah beliau memerlukan tambahan artileri dari Perancis.

Ini jawapan Lef. Kol. Piroth,

“Aku tidak perlukan tambahan artileri berat kerana aku mampu menumpaskan artileri Viet Minh dalam masa dua jam dan melenyapkan seluruh tentera Viet Minh dalam masa dua hari”

Sesungguhnya keangkuhan de Castries juga amat terserlah. Aku diberitahu bahawa beliau menulis sepucuk surat kepada Viet Minh supaya menyerang Dien Bien Phu dengan kadar segera. Bahawa dia amat menantikan pertembungan muktamad ini.

Viet Minh membawa naik artileri berat ke kawasan pergunungan

Tanpa disedari oleh tentera Perancis, Viet Minh telah mengerah tenteranya mengambil kedudukan di pergunungan sekitar DBP. Artileri berat yang dibekalkan oleh Soviet Union dan Jerman Timur diangkut naik menggunakan tali dan kederat tentera-tentera Viet Minh. Semua ini dilakukan dalam suasana senyap dan berhati-hati.

Cau Be menceritakan kepadaku bagaimana ketika askar Viet Minh menarik senjata artileri berat ini di lereng gunung, tiba-tiba tali yang menariknya terputus lalu senjata artileri itu menggelongsor ke bawah. Seorang tentera Viet Minh melompat ke hadapan untuk menghalang roda dari terus berputar dengan menggunakan badannya. Tindakannya berjaya menghalang daripada senjata artileri itu jatuh ke kaki gunung. Apabila ditanya oleh komradnya adakah dia tercedera?

Jawabnya, “Lupakan aku, pastikan senjata ini selamat diikat”. Beliau akhirnya mati kerana tindakannya itu. Cau Be dengan bangganya berkata kepadaku,

“Semangat sebegini, Peranchis sememangnya tak punya peluang…”

Bunker de Castries

Serangan senjata artileri Viet Minh ke atas Kubu Beatrice dari pergunungan di sekitar DBP bermula pada 13 Mac 1954 dan membunuh Komander Legionnaire Major Paul Pegot. Dua hari kemudian Lef. Kol. Charles Piroth membunuh diri dengan meletupkan dirinya dengan grenad. Dikatakan beliau dipaksa membunuh diri oleh Kol. de Castries. Diceritakan juga bahawa Lef. Kol. Charles Piroth amat terkejut apabila mendengar dentuman meriam Viet Minh pertama yang ditujukan ke arah kubu Beatrice sehingga beliau hilang arah dan tahu bencana yang akan melanda.

Satu persatu kubu Perancis yang dinamakan sempena nama wanita ini jatuh ke tangan Viet Minh. Pertempuran yang paling lama dan berdarah akhirnya terjadi selama lebih daripada 30 hari untuk menawan kubu Eliane atau Bukit A1 yang kini menjadi muzium terbuka. Tentera Viet Minh yang menghampiri bukit ini dari bendang-bendang berhampiran tumpas satu persatu. Ditambah pula terdapat kereta kebal di atas bukit ini.

Bilik kegunaan de Castries di dalam bunker

Akhirnya, tentera Viet Minh mengorek terowong dan meletupkan bukit ini dari dalam bumi. Bayangkanlah kecekalan Viet Minh dalam peperangan ini.

Dengan jatuhnya Bukit A1 atau Eliane ini, maka berakhirlah Peperangan Dien Bien Phu. Kol. de Castries ditahan sedang beliau dan saki-baki tenteranya bersembunyi di dalam bunker.
Cau Be menceritakan kepadaku, bahawa Kol. de Castries membuat panggilan terakhir kepada Jen. Rene Cogny dan beliau diarahkan untuk membunuh diri. Dikhabarkan Kol. de Castries sudah bersedia untuk membunuh diri tetapi beliau mendapat panggilan telefon daripada isterinya sejurus selepas menelefon Jeneral Cogny.

Isterinya berkata,“Biar apa pun yang engkau mahu lakukan, ingatlah aku dan pulanglah”.

Kawah yang dikatakan hasil letupan bawah tanah di A1 Hill

Akhirnya beliau tidak jadi membunuh diri dan hanya menanti Viet Minh memasuki bunkernya.

Ketika tentera Viet Minh memasuki bunker, semua askar Perancis duduk menyerah sedangkan Kol. de Castries masih tegak berdiri.

Askar Viet Minh, sambil menghalakan muncung senapangnya ke arah Kol. de Castries berkata, “Kebanggaan apakah lagi yang tinggal untuk kamu? Kamu ini hanyalah seorang tawanan perang tak ubah seperti mereka yang lain…” Lalu Kol. de Castries duduk bersama askarnya.

Lagi gambar menarik artileri berat (gambar ehsan Google)

Rentetan daripada kekalahan Perancis di Dien Bien Phu, Perjanjian Geneva 1954 ditandatangai dan kesemua tentera Perancis meninggalkan Indochina-Perancis buat selama-lamanya. Sempadan di antara Vietnam Utara di bawah Parti Komunis Indochina dan Vietnam Selatan di bawah Maharaja Bao Dai juga ditetapkan dan dipersetujui.

Kekalahan Perancis adalah disebabkan kebebalan mereka menganggap Viet Minh akan melakukan kesilapan yang sama seperti di Na San.

Bagi Viet Minh pula, bukan sahaja mereka mendapat bantuan senjata api daripada Soviet Union dan Jerman Timur, mereka juga mendapat khidmat nasihat daripada penasihat tentera Republik China.

Arca Jeneral Vo Nguyen Giap di muzium

Banyak elemen kejutan yang dilakukan oleh Viet Minh selain daripada berjaya mengangkut artileri berat ke kawasan pergunungan, antaranya mereka berjaya mencuci laluan yang penuh dengan bom yang digugurkan oleh kapal terbang Perancis dalam masa 24 jam. Ini dilakukan dengan bantuan orang tempatan seperti Thai, Dao dan Hmong.

Begitulah secara ringkasnya cerita tentang Peperangan Dien Bien Phu ini. Masih banyak lagi cerita sampingan mengenai peperangan ini seperti peranan Unit Trailleurs Perancis iaitu tentera beragama Islam dari Algeria yang menghuni kubu Gabrielle, kisah kebuluran yang dihadapi oleh tentera Perancis dan juga kisah-kisah keperwiraan orang setempat dan tentera Viet Minh.

Semoga ada iktibar untuk kita juga.

Sekian

 

Candi Prambanan Dan Rakai Pikatan

Jika anda ke Yogyakarta, Candi Prambanan adalah destinasi yang pasti anda akan lawati. Seperti juga Candi Borobudur dan Gunung Merapi, Candi Prambanan ini adalah ikon pelancongan Yogyakarta dan bukti kegemilangan sejarah lampaunya.

Candi Prambanan atau nama lainnya Candi Roro Jonggrang terletak di Kecamatan Prambanan, Sleman dan Klaten, betul-betul di sempadan Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta dan Provinsi Jawa Tengah.

Candi Prambanan

Ianya dibina oleh Rakai Pikatan daripada Dinasti Medang atau nama lainnya Mataram Kuno. Dikatakan candi Hindu ini dibina untuk menandingi kehebatan Candi Borobudur yang dibina oleh Dinasti Sailendra yang beragama Buddha.

Nama lainnya iaitu Roro Jonggrang berkemungkinan besar terhasil daripada cerita mitos yang dimulai pada zaman Kesultanan Mataram. Ianya mengisahkan dua kerajaan besar yang berperang iaitu Kerajaan Pengging yang kaya dan Kerajaan Boko yang dihuni oleh raksasa pemakan manusia. Dipendekkan cerita, putera raja Pengging yang bernama Raden Bandung Bondowoso berjaya membunuh Raja Boko iaitu Prabu Boko.

Namun begitu, beliau telah jatuh cinta dengan puteri sang raksasa yang telah mangkat tadi. Puteri Roro Jonggrang tidak mahu bernikah dengan pembunuh ayahnya. Oleh itu diberinya dua syarat untuk dipenuhi jikalau sang putera mahu menyunting dirinya.

Pandangan dari atas sebuah menara candi. Kelihatan ukiran yang teliti pada candi di sebelahnya

Yang pertama, sang putera mestilah membuat sumur Jalatunda. Putera Bondowoso menggunakan kesaktiannya untuk menghasilkan sumur ini. Maka, selesailah syarat yang pertama.

Syarat yang kedua ialah sang putera mestilah membina 1,000 candi dalam satu malam! Dengan menggunakan buruh kasar yang terdiri daripada jin, syaitan dan makhluk halus, sang putera telah berjaya membina 999 buah candi tetapi candi yang ke-seribu gagal dibina dek kerana tipu helah Puteri Roro Jonggrang yang membakar padi lalu menerangi bumi seolah-olah hari hampir siang. Ini menakutkan buruh kasar terbabit lalu meninggalkan tapak binaan candi yang ke-seribu.

Lagi foto Candi Prambanan. Kelihatan runtuhan akibat gempa bumi

Putera Bondowoso berang setelah mengetahui tipu muslihat sang puteri lalu disumpahnya menjadi batu. Hasilnya, sang puterilah candi batu yang keseribu itu!

Istana Ratu Boko yang berdekatan dengan Candi Prambanan ini dikatakan istananya Prabu Boko, sang gergasi pemakan manusia. Istana atau Keraton Ratu Boko kini merupakan destinasi pelancongan utama menyaksikan matahari terbenam di Yogyakarta.

Begitulah cerita mitos yang menarik ini…

Pada period kedua Empayar Sriwijaya yang berpusat di Tanah Jawa, Dinasti Sailendra dan Sanjaya masing-masing cuba mengukuhkan kedudukan mereka di Jawa Tengah dan dikatakan Rakai Pikatan membina candi Hindu ini sebagai tanda keagungan Dinasti Sanjaya.

Kedudukan Rakai Pikatan sebagai salah seorang raja Kerajaan Medang ini tidaklah dapat disangkal kerana gelaran Pikatan yang digunakan raja ini disebut di dalam Prasasti Kedu sebagai Sri Maharaja Rakai Pikatan. Prasasti Mantyasih juga ada menyebut nama Mpu Manuku iaitu nama lainnya Rakai Pikatan.

Pada zaman pemerintahan Rakai Pikatan ini jugalah terjadi asimilasi agama yang jelas di antara Dinasti Sailendra yang beragama Buddha Mahayana dan juga Dinasti Sanjaya yang beragama Hindu Siva/Siwa melalui perkahwinan beliau dengan Pramodawardhani yang berasal dari Dinasti Sailendra.

Lakaran Puteri Roro Jonggrang (gambar ehsan Google)

Bagi mereka yang mengkaji Kerajaan Sriwijaya pasti tahu akan pergeseran antara Balaputradewa dan Rakai Pikatan yang menggunakan gelar Jatiningrat. Ianya tercatat pada Prasasti Balaputra-Jatiningrat.

Ada pendapat yang mengatakan kekalahan Balaputradewa dari Kerajaan Sailendra kepada Rakai Pikatan menyebabkan beliau menyingkir ke Sumatera dan menjadi raja Suwarnadwipa, seperti tercatat pada Prasasti Nalanda yang terkenal.

Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang Candi Prambanan dan pembinanya, Rakai Pikatan. Ianya bukanlah suatu perkongsian yang mudah apabila berbicara tentang Sriwijaya dan juga Kerajaan Sailendra/Sanjaya ini.

Terlalu banyak lompang di dalam lipatan sejarahnya. Lompang-lompang ini menyebabkan para sejarawan mempunyai pendapat yang berlainan dan sebaiknya kita meraikan perbezaan pendapat dan pentafsiran ini, sehinggalah penemuan-penemuan baru dibuat pada masa akan datang.