‘Two Sessions’ – Kenali ‘Demokrasi’ Ala China

Saban tahun pemerintah Republik Rakyat China akan mengadakan sidang yang dinamakan ‘Lianghui’ atau lebih dikenali sebagai ‘Two Sessions’ oleh masyarakat dunia. Ianya persidangan rasmi di antara wakil seluruh provinsi di China termasuklah Hong Kong dan Macau dengan pemerintah Parti Komunis China (CCP).

Siapakah yang menjadi perwakilan ‘Two Sessions’?

Perhimpunan yang pertama adalah sidang perwakilan yang datang dari seluruh provinsi di China, yang dikenali sebagai Chinese People’s Political Consultative Conference (CPPCC). Mereka berhimpun di Great Hall of the People di Kota Beijing dan ribuan perwakilan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, antaranya ahli perniagaan, pelakon, ahli sukan dan juga tokoh masyarakat.

Great Hall of the People di Beijing dikawal rapi (gambar ehsan Google)

Secara kasarnya persidangan ini membincangkan tentang reformasi politik yang sederhana, keadaan sosioekonomi, geopolitik dan juga sasaran kerajaan pada tahun ini. Tugas utama CPPCC hanyalah sebagai penasihat kepada pemerintah sahaja namun, isi persidangan ini harus diambil serius kerana ianya dianggap perhimpunan mewakili rakyat China yang terbesar.

Pada tahun ini ‘Two Sessions’ peringkat pertama diadakan pada Jumaat, 3 Mac 2017 dan di antara topik hangat yang dibincangkan Jumaat lepas ialah kesejahteraan politik di sekitar Laut China Selatan. Menurut salah seorang panel, Wang Guoqing, China amat menghargai keselamatan dan kemakmuran navigasi di wilayah ini, lebih daripada mana-mana negara di dunia. Menurutnya lagi, kegelisahan negara-negara sekitar akan agresi China di perairan ini dianggap sebagai ‘pseudo proposition’ atau pendapat yang tidak berasas sama sekali.

Yao Ming, Jackie Chan dan Mo Yan di sidang CPPCC (gambar ehsan Google)

Wang juga menyatakan bahawa projek infrastruktur berskala mega yang dinamakan ‘Belt and Road Initiative’ (B&R) yang akan menghubungkan China dengan negara-negara Eropah dan Afrika menggunakan laluan sutera berjalan lancar dan mengikut jadual.

Sebagai badan penasihat kepada Parti Komunis China paling utama, sedikit- sebanyak intipati perbahasan oleh ahli-ahli panel di CPPCC ini akan diambil kira oleh pemerintah China. Antara tokoh-tokoh terkenal yang hadir pada tahun ini ialah pelakon terkenal Jackie Chan dan Liza Wang, direktor filem terkemuka Chen Kaige dan Feng Xiaogang, penyanyi terkenal seperti Han Hong dan Song Zuying dan pemain bola keranjang terkenal China, Yao Ming dan juga novelis terkenal Mo Yan.

Sidang CPPCC Jumaat lalu (gambar ehsan Google)

Sidang yang kedua pula dikenali sebagai Kongres Nasional Rakyat (National Peoples’ Congress atau NPC) yang merupakan badan penggubal undang-undang paling utama di China, atau panggilan mudahnya Parlimen China. Tahun ini, sidang NPC diadakan pada hari Ahad, 5 Mac 2017 juga di The Great Hall of the People.

Seramai 3,000 penggubal undang-undang yang dipilih ini datang dari semua provinsi di China dan mereka mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan berfungsi sebagai badan penasihat kepada pemerintah Parti Komunis China. Bajet kerajaan dan juga laporan kerjanya disemak oleh sidang ini.

NPC juga berkuasa penuh untuk melantik Presiden, Naib Presiden, para menteri dan juga jawatan rasmi penting Kerajaan Republik Rakyat China.

Apakah signifikasi ‘Two Sessions’ kepada dunia luar seperti Malaysia?

‘Two Sessions’ memberi sedikit sebanyak maklumat tentang hala tuju politik dan ekonomi China untuk jangkamasa pendek. Pembentangan laporan prestasi negara pada tahun 2016 dan hala tuju tahun 2017, terutamanya bajet pertahanan dan sasaran kadar pertumbuhan ekonomi negara oleh Presiden China pada hari pembukaannya sudah pasti dinantikan bukan sahaja oleh rakyat China tetapi juga penganalisis politik antarabangsa.

Lebih 3,000 jurnalis berkampung di Beijing (gambar ehsan Google)

Kebiasaannya, seusai sidang, Menteri Luar China akan mengadakan sidang media, manakala menteri-menteri utama akan mengadakan sesi soal jawab.

Apa yang menarik pada sidang ‘Two Sessions’ tahun ini?

Tahun lalu, pelan 5 tahun yang ke-13 telah diluluskan. Ianya menyenaraikan pelan pembangunan bagi tempoh 2016 – 2020 dan sidang tahun ini akan lebih fokus kepada pelan reformasi dan isu yang menyentuh tentang hal-hal berkaitan ekonomi. Ini kerana pada tahun 2018, ahli NPC yang baru akan dilantik dan mereka akan lebih tertumpu kepada gerak kerja yang dipersetujui dalam pelan ke-13 ini. Sudah pasti apa sahaja keputusan yang dibuat oleh China nanti bakal memberi impak kepada dunia.

Polis berkawal di Tian’anmen Square (gambar ehsan Google)

Brexit, Donald Trump, terrorisme dan pelbagai lagi isu dunia pasti membentuk pandangan dan keputusan yang diambil oleh sidang penguasa Negara China ini. ‘Two Sessions’ tahun ini pasti lebih menarik dari tahun-tahun sebelumnya.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai ‘demokrasi’ ala China ini.