Kembara JatengTim 2017 Hari 01: Tragedi Ditipu Hidup-Hidup

Kembara JatengTim 2017

Catatan Hari Pertama: Tragedi Ditipu Hidup-Hidup

Perjalanan dari KLIA2 ke Semarang agak lancar walaupun semalaman sakit belakang dan pedih tulang cenonot sebab tidur bak gelandangan di luar Balai Pelepasan.

Drama bermula sebaik tiba di Bandara Ahmad Yani, Semarang tepat jam 8.40 pagi waktu tempatan. Orang yang patut menyewakan kami motosikal tak nampak batang hidung, telefon tak berbalas, WA tak bertanda biru, FB sepi bak dilanda garuda.

Tiba di Bandara Ahmad Yani, Semarang

Ah sudah! Mana nak cari motosikal sewa gedebak-gedebuk macam ni… Tak mudah nak mencari sebab sewanya 3 minggu lamanya!

Solution mode! Solution mode! Solution mode!

Habis semua jasa rental motor aku telefon, selagi ada orang aku tanya… Aku cuba sedaya-upaya untuk tidak menyusahkan Ali dan Zaini dalam hal ini. Namun, akhirnya aku mengalah juga. Hakikatnya, hampir pasti aku akan gagal dapatkan motor sewa di Semarang. Kena ubah rancangan nampaknya.

Cuba punya cuba, dapat juga satu kompeni ni sanggup sewakan lama-lama, tapi kami kena ke Surabaya! Ya… Surabaya! Perjalanan dari Stasiun KA Tawang ke Surabaya bakal mengambil masa selama 3 jam. Aku pula dah penat berkejaran sepanjang hari…

Pak Din si pemandu teksi

Setelah berbincang, Ali mencadangkan agar kami ke Kudus saja. Di sana mungkin ada teman yang boleh menyewakan motosikal mereka. Setelah berbincang dengan Ustaz Assiry, temannya si Ali, kami berjaya mendapat solusi.

Ustaz Assiry, seorang pakar kaligrafi yang dihormati di Indonesia menyelamatkan kami hari ini. Terasa beliau bagaikan anugerah tuhan tika kami tersepit perik, walaupun jiwa belum menyerah.

Lokasi kami menunggu Ustaz Assiry

Kami menaiki bas Damri menuju Kudus dari Treboyo. Sempat juga aku menjeling Pekan Demak yang comel dan juga Masjid Agung Demak yang bersejarah itu.

Di Kudus, kami menaiki Angkot menuju ke Universitas Muria Kudus (UMK) dan Ustaz Assiry tiba tidak lama kemudian lalu menyambut kami dengan penuh rasa ukhwah dan kasih pada kami.

Ustaz Assiry berbaju hitam di restorannya

Dijamunya kami dan dibawa kami ke Warung Arjuna yang juga digunakan sebagai tempat warga Pesantren Khat berkumpul dan beramah-mesra.

Aku dapat melihat 2 orang anak muda sedang berlatih menulis khat. Dinding di sekitar warung ini pula dipenuhi hiasan khat yang amat indah. Ustaz Assiry sememangnya seorang yang berbakat besar.

Ali dan Ustaz Assiry berdiskusi sambil dua pemuda sedang mempraktis ‘stroke’ masing-masing

Pada tika aku menulis ini, kami sudah berada di rumah Ustaz Assiry dan dalam perjalanan hendak melabuhkan mata.

Ada tiga benda yang mengujakan terjadi hari ini.

Pertama, sikap ‘when you got problem, focus on the solution‘ yang dititipkan oleh ‘abang’ku di Penang sekali lagi memainkan peranannya. Kepada bapak yang sampai hati menipuku ini, ketahuilah bahawa doa orang yang teraniaya dan orang yang bermusafir itu amat dekat dengan Yang Esa. Wahai bapak, sesungguhnya aku marah dan kecewa. Namun, aku doakan kamu diberi kesihatan yang baik, hidup yang diberkati dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Aku maafkan kamu wahai bapak!

Salah satu hiasan khat di Restoran Arjuna

Kedua, Zaini yang tidak pernah berbackpack kasar seperti ini dalam hidupnya dah mula nampak mengapa ‘kegilaan’ aku dan Ali ini sebenarnya ada unsur-unsur indah yang hanya hadir dari keperitan mengharungi perjalanan. Biarlah yang indah itu rahsia buat dirinya pada tika ini.

Ketiga dan yang terakhir, aku berkawan dengan Ali cukup lama untuk kenal siapa dia. Tak keterlaluan jika aku katakan, Alilah rakan pengembara paling rapat denganku. Melihat wajah Ali yang bersinar-sinar apabila bertemu Ustaz Assiry dan bisa ngomong Bahasa Indonesia sampai berjam-jam yang penuh dengan hilai ketawa, itu suatu kepuasan yang amat sangat buatku. Memang hati Ali amat dekat dengan khat, iluminasi dan teman-temannya yang ini.

Kopi kebanggan Ustaz Assiry… namanya Kopi Arjuno Deso. Benihnya ditanam di Kudus dan kopinya dicampur rempah ratus. Sedapppp…

Kudus, kotanya kecil dan aku agak suka juga dengan kota ini. Ianya tidak ada dalam rencana asalku untuk ke sini hinggalah Ali memujukku sebelum kami meninggalkan Malaysia. Namun, apa yang terjadi hari ini menyebabkan aku ke sini lebih awal daripada perancangan asal dan hasilnya, dapatlah aku mengenal bumi tuhan yang indah ini. Ali pula dapat bertemu rakannya dan pertama kali menjejakkan kakinya ke bumi Kudus dan Pesantren Khat yang menjadi impiannya.

Pengembaraan JatengTim ini sebenarnya aku yang rencanakan, pelan aku, keputusan aku. Perit juga aku nak menukar pelan asal perjalanan panjang ini pada hari pertama!!!

Namun, aku juga tahu, sebaik-baik perencana itu ialah tuhanku yang satu dan mampu membuat orang lain gembira dan bahagia sebenarnya lebih bermakna daripada rencana yang bisa aja diubah-ubah.

Ini baru hari pertama… ada 26 hari lagi! Apalah yang bakalku hadapi dan belajar lagi nanti…

Oh… Ali masih bergelak-ketawa di luar… Aku pula? Selamat malam saudaraku sekalian

Kembara JatengTim 2017: Plan Hari Kesembilan

Kembara JatengTim 2017: Rencana Hari Kesembilan

Dua hari penuh di Malang (hari ke-7 dan ke-8) akan digunakan sepenuhnya untuk menerokai Bandar Malang, mungkin juga ada peluang untuk ke Gunung Bromo, manalah tahu…

Gunung Banyak (gambar ehsan Google)

Destinasi hari ke-9 ialah Kediri. Aku akan bermalam di sini kerana ada saudara Ali yang menetap di sini.

Oro Oro Ombo, Dresel (gambar ehsan Google)
Labirin Coban Rondo (gambar ehsan Google)

Awal pagi lagi aku akan bertolak menuju Oro Oro Ombo di Desa Dresel yang dikhabarkan amat instagenic. Kemudian aku akan ke Batu, pusat wisata keluarga yang terkenal di seluruh Indonesia. Di sini ada Jatim Park I dan II, Museum Angkut, Movie Star Studio, Alun Alun Kota Batu, Air Terjun Coban Rondo, Gunung Banyak, Goa Pinus dan lain-lain lagi.

Jalan menuju Desa Sumber Brantas, Bumiaji (gambar ehsan Google)

Dari Kota Batu aku akan menelusuri laluan lembah di tepian Gunung Arjuna yang gagah hingga ke Bumiaji. Di sana ada beberapa pekebunan dan air terjun yang boleh dilawati tetapi tujuan melakukan detour ini adalah untuk menikmati suasana desa dan pemandangan indah Gunung Arjuna secara dekat.

Coban Rondo Malang (gambar ehsan Google)

Dari Bumiaji aku akan berpatah balik ke Kota Batu dan terus menuju ke Pare. Apa yang menarik di Pare? Ada beberapa candi lama dan petilasan di sini dan yang paling utama ialah Kg. Bahasa Inggeris yang diasaskan oleh Pak Kalend Osen di Desa Pelem.

Kg Bahasa Inggeris, Desa Pelem, Pare (gambar ehsan Google)

Dari Pare aku akan menuju ke Lirboyo, Kediri untuk bermalam di sana. Namun, masih ada beberapa lokasi lagi yang perlu dilawati sebelum melabuhkan tirai perjalanan hari ke-9 seperti Petilasan Sri Aji Joyoboyo, Arca Totok Kerot dan beberapa tempat lagi.

Pondok Pesantren Lirboyo, Kediri (gambar ehsan Google)

Sebelah malamnya mungkin kami akan beramah mesra dengan pelajar-pelajar Pondok Pesantren Lirboyo sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Kembara JatengTim 2017: Plan Hari Keenam

Kembara JatengTim 2017: Rencana Hari Keenam

Dua hari di Trowulan rasanya sudah cukup untuk aku teruskan kembara meneroka Bumi Jawa Timur ini. Dari Trowulan aku akan bergerak menuju ke Candi Jolotundo di kaki Gunung Penanggungan.

Candi Jolotundo (gambar ehsan Google)

Di lereng gunung ini sebenarnya ada beberapa candi lagi seperti Candi Lurah, Candi Wayang dan juga Candi Gajah Mungkur tetapi perlu trekking dan hiking untuk ke tempat-tempat ini. Jadinya, berputih mata sajalah jawabnya.

Gunung Penanggungan (gambar ehsan Google)

Kemudian aku akan bergerak menuju ke Sidoarjo, ibukota Kerajaan Kahuripan dan juga Kerajaan Jenggaluh (Ujung Galuh). Raja Airlangga pernah bertakhta di sini dan Kali Porong, pecahan Sungai Brantas pernah menyaksikan Sidoarjo ini makmur dengan perdagangan antarabangsanya.

Wisata Lumpur Lapindo (gambar ehsan Google)

Ada beberapa candi dan juga beberapa ‘obyek wisata‘ seperti Wisata Lumpur Lapindo dan Museum Mpu Tantular di bandar ini. Dari Sidoarjo, aku akan kembali semula ke kaki Gunung Penanggungan untuk menikmati keindahan gunung ini tika menuju ke Candi Belahan di Cangkringmalang.

Gunung Arjuna (gambar ehsan Google)

Pekan seterusnya yang dituju ialah Kota Lawang, melewati Candi Jawi di Ngadilegi dan Purworedjo. Tidak kelihatan lagi Gunung Penanggungan tetapi kali ini aku akan disajikan dengan pemandangan indah dan megah Gunung Arjuna yang merupakan sumber utama Sungai Brantas.

Kebun Teh Wonosari (gambar ehsan Google)

Harapanku ada masa untuk aku lawati Petilasan Tunggul Ametung. Beliau adalah wakil Kerajaan Kediri yang dibunuh oleh Ken Arok sebelum tertubuhnya Kerajaan Singosari. Di Lawang juga ada Kebun Teh Wonosari dan jika berpeluang mungkin juga aku lajak ke Budug Asu Camp di lereng Gunung Arjuna untuk berswafoto sebarang dua.

Candi Singosari (gambar ehsan Google)

Sebelum melabuhkan tirai hari keenam di Kota Malang, aku akan melewati Candi Sumberawan dan juga Candi Singosari. Terdapat juga Arca Dwarapala berdekatan dengan candi ini.

Hari mungkin dah lewat petang ketika aku tiba di Malang. InshaAllah aku akan berkampung di sini selama dua hari.

Alun Alun Malang dan Masjid Jami’ Malang (gambar ehsan Google)

Di Malang jika ada rezeki mungkin hendak ke Bromo tapi kalau bajetnya menipis mungkin dilupakan saja hajat itu, kerana trip kali ini tidak ada itinerary ke Bromo dan Semeru sebenarnya.

Anak-anak dan tenaga pengajar di Omah Sinau (gambar ehsan Google)

Aku juga ingin melawat sebuah ‘sekolah kecil’ yang dipanggil Omah Sinau kerana aku ada mengikuti perkembangan pembelajaran Bahasa Inggeris anak-anak di desa sekitar Omah Sinau ini. Namun, hajat ini masih belum dibincangkan dengan pemilik Omah Sinau lagi.

Begitulah perancangan hari keenam. Hari ketujuh dan kelapan kemungkinan besar aku masih di Malang kerana banyak tempat menarik yang boleh dilawati di sini.

Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa banyak sangat candi yang aku lawati? Yang pertama, sebab aku minat sejarah. Yang kedua, untuk menyediakan jalur perjalanan atau route yang baik aku perlukan landmark untuk arah tujuan dan hentian.

Melewati jalur yang tak pasti (gambar ehsan Google)

Namun yang sebenarnya, pengembaraan itu bukanlah destinasi-destinasi ini. Candi-candi ini hanyalah asbab untuk perjalanan panjangku. Apa yang aku terokai, alami dan rasai sepanjang perjalanan itu lebih penting lagi.

Bakso… Bakso… (gambar ehsan Google)

Boleh saja aku tetapkan destinasiku semua gerai-gerai bakso di Jawa Tengah dan Jawa Timur!

Bersambung hari kesembilan, menuju ke Blitar.

Tips Sebelum Kembara, Apa Yang Saya Selalu Lakukan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya nak share persiapan yang selalu saya buat sebelum keluar berbackpack… terutama secara solo…

Tak semestinya bro/sis wajib kena buat tapi ambillah mana yang berkenan di hati yea

1) Pastikan pasport sekurang-kurangnya tamat tempoh 6 bulan dari tarikh mengembara. Kalau nak mengembara ke banyak negara selama 2 bulan atau lebih, sekurang-kurangnya pasport tu tamat tempoh 6 bulan + berapa bulan mengembara

2) Saya mengambil insurans perjalanan AXA… Ramai rakan saya gunakan khidmat AIG juga. Boleh beli atas talian sebelum bertolak

3) Buat salinan pasport 3 keping, dokumen insurans 1 set, tiket penerbangan pergi/balik yang telah check in 1 set, lesen memandu 2 salinan, gambar pasport 3 keping, nombor telefon saudara terdekat di Malaysia dan di negara kita lawati tu, kalau tak ada boleh sertakan maklumat kedutaan atau konsulat

4) Kalau mengembara lama di negara orang, solo pulak tu, eloklah email pada kedutaan kita jadual perjalanan kita dan kalau dah keluar dari negara tu, email cakap dah keluar

5) Beli traveler belt yang lilit kat pinggang. Pasport, 60% cash money, credit/debit card... simpan dalam ni

6) Dompet hanya ada tunai sebanyak 20% atau 30% saja dalam tu… credit card yang dah tamat tempoh saya letak dalam tu juga, kad pengenalan pun tak apa letak dalam dompet… Semua ni dummy saja… Sebahagian duit lagi saya letak dalam backpack atau daypack

7) Aktifkan fasiliti luar negara kad ATM anda. Biasanya saya gunakan Maybank. Nak guna kad CIMB pun boleh. Pastikan ada tunai sokongan (back up) sebanyak 40% dari total kos bajet, banyakkan… back up cash ni ikutlah atas kemampuan

8) Untuk perjalanan yang lama saya bawa backpack 60 liter ke atas yang berkualiti agak bagus. Namun, ikutlah kesesuaian berat beg dan anda.

9) bawa daypack kalau rencananya menetap di satu-satu tempat selama beberapa hari. Tak payahlah kandar backpack berat tu sepanjang masa

10) Cari hostel yg ada almari berkunci supaya boleh tinggalkan backpack dalam tu.

11) Hostel atau hotel boleh ditempah melalui booking.com, agoda.com, hostelworld.com dan lain-lain

12) Bawa kamera dan action cam kalau ada. Jangan lupa charger

13) Bawa laptop kecil dan juga external hard disk.

14) Gunakan Dropbox atau web storage. Gambar semua simpan kat dalam laptop, external hard disc dan web storage Banyak tu, tapi mencegah sebelum parah

15) Pastikan bawa adaptor yang betul untuk kegunaan soket

16) Bawa torchlight kecil, face mask dan juga cable tie, banyak kegunaannya

17) Ubat-ubatan amat perlu seperti Actifast, ubat cirit dan ubat batuk. Kalau ada penyakit lelah, bawalah ubat lelah

18) Tongcis (tongkat narcis), kayu swafoto, selfie stick… semua benda sama ni. Bawalah yang berkualiti sikit

19) Dapur burner kalau ada rencana memasak. Gas butane boleh dibeli di negara yang dilawati. Tak boleh bawa naik pesawat pun.

20) Saya bawa sedikit makanan dari Malaysia contohnya mi segera, sambal dalam botol, serunding. Kalau perlu masak, saya beli bahan mentah di negara yang saya lawat.

21) Tentang pakaian, saya selalunya memakai seluar track dan baju quick dry (mudah kering). Biasanya saya basuh malam tu dan boleh pakai balik esok pagi kalau hendak. Sabun basuh dan berus saya beli di negara yang saya lawat tu. Tak perlulah kendong dari rumah. Pakaian ni sebenarnya panjang juga kalau nak cerita tetapi yang penting ianya cukup dan selesa

22) Saya adalah member Big Points Airasia. Jadi saya berbelanja di mana premis yang memberi saya mata ganjaran jika membeli barangan sebelum kembara

23) Kalau ada pasport yang dah expired pun boleh bawa sebagai dummy, tapi kalau ada kesan gunting di buku tu susah juga nak tipu si perompak dan penyamun ni.

24) Saya selalu update fb Page saya Soullo Bacpackerz dan Instagram soullobackpackerz semasa kembara. Bukan sebab saya gila glamer… Ini semua teknik back up gambar selain dalam device yang kita bawa

Kembara JatengTim 2017: Plan Hari Ketiga

Kembara JatengTim 2017

Rencana Hari Ketiga

Perjalanan hari ketiga tidaklah begitu memenatkan, sepatutnya lah, tetapi ianya bergantung juga kepada keadaan jalan sama ada sibuk atau tidak.

Goa Palang Suci, Tuban (gambar ehsan Google)

Mungkin ada tempat-tempat yang tidak sempat dilawati di Tuban hari sebelumnya, maka, terpaksalah habiskan apa yang patut dulu di sini.

Laluan menuju Makam Sunan Drajat (gambar ehsan Google)

Dari Tuban aku akan menuju ke Paciran untuk melawat Makam Sunan Sendang. Tidak jauh dari sini, Banjarwati menunggu kami dengan tarikan utamanya Makam Sunan Drajat dan juga muziumnya.

Gambar ehsan Google

Dari Banjarwati, aku akan terus menuju ke Lamongan, kota yang terkenal dengan sotonya. Destinasi besar seterusnya ialah Trowulan, melalui Mantup, Djatikurung, Kemlagi dan Mojokerto. Di Mojokerto kami akan singgah sebentar di Bendungan (Kunci Air) Rolok Songo yang dibina Belanda dan juga berputaran sebentar di bandarnya.

Candi Bajang Ratu (gambar ehsan Google)

Trowulan merupakan ibukota Majapahit dan ia merupakan antara destinasi utama kembaraku kali ini. Aku akan menghabiskan 2 hari di sini. Banyak candi-candi peninggalan Majapahit yang ada di sini seperti Candi Brahu, Candi Minak Jinggo, Candi Gentong dan lain-lain lagi.

Makam Syeikh Jamadil Al-Kubro, Trowulan (gambar ehsan Google)

Di sini juga ada Makam Raden Wijaya, Muzium Majapahit dan juga perkampungan yang dinamakan Kampung Majapahit. Makam Syed Jumadil Kubro Troloyo juga merupakan highlight kembaraku di Trowulan ini.

Lakaran Kampung Majapahit (gambar ehsan Google)
Kampung Majapahit yang dibangunkan (gambar ehsan Google)

Harapanku, 2 hari di Trowulan dapat memberi sedikit sebanyak maklumat tentang sejarah, demografik dan juga budaya masyarakat di sini.

Bersambung nanti catatan hari kelima dari Trowulan ke Malang.

Sekian

Kembara JatengTim 2017: Plan Hari Kedua

Kembara JatengTim 2017
(19 April 2017 – 9 Mei 2017)

Rencana Hari Kedua

Hari pertama dijangkakan akan berakhir di Banyumanis. Hari kedua pula rencananya tamat di Tuban, sudah di Provinsi Jawa Timur.

Situs Perahu Kuno Punjulharjo (gambar ehsan Google)

Persinggahan utama yang pertama ialah di Bulu, Rembang. Di sinilah Raden Adjeng Kartini disemadikan. Di Rembang juga terdapat beberapa lokasi yang perlu aku lewati seperti Situs Perahu Kuno Punjulharjo, Pantai Karang Jahe dan juga Museum RA Kartini.

Makam Raden Adjeng Kartini (gambar ehsan Google)

Tidak jauh dari Rembang ialah Bandar Lasem. Di sini terdapat beberapa situs bersejarah tinggalan masyarakat Cina yang datang berdagang dan membina komuniti mereka sebelum era Majapahit lagi.

Makam Sunan Bonang (gambar ehsan Google)

Dari Lasem, aku akan terus menuju ke Tuban. Bandar ini amat penting suatu ketika dahulu bukan sahaja sebagai kota pesisir pantai yang penting untuk perdagangan, malah pertahanan perairan juga berpusat di Tuban. Di sini ada Makam Sunan Bonang, salah seorang daripada Wali Songo. Makam Bejagung Lor dan juga Makam Syeikh Siti Jenar yang terkenal juga hanya sepelaung dari Kota Tuban.

Pantai Karang Jahe (gambar ehsan Google)

Tidak hairan mengapa banyak makam-makam penyebar Islam terawal terdapat di bahagian Utara Jawa Timur. Ini kerana Kerajaan Islam Demak banyak membantu usaha wali-wali ini.

Sebahagian daripada laluan hari kedua menggunakan Jalur 1, maka, hendaklah aku lebih berhati-hati di jalanan, InshaAllah

Bersambung rencana hari ketiga nanti, InshaAllah

Kembara JatengTim 2017: Plan Hari Pertama

Kembara JatengTim 2017
(19 April 2017 – 15 Mei 2017)

Rencana Hari Pertama

Tinggal 14 hari lagi sebelum aku berangkat pergi ke Semarang. Kali ini yang pastinya aku tidak keseorangan. Tidak solo lagi… Ada seorang anak muda berjiwa kental sanggup nak bersusah-payah di celah-celah kesibukan Jalur 1 yang merupakan lebuhraya tersibuk di seluruh Indonesia.

Perjalanan hari pertama akan bermula dari Semarang menuju ke Demak dan seterusnya menuju ke Jepara. InshaAllah akan cuba melawat Masjid Demak dan tinggalan Kerajaan Islam Demak, yang merupakan kerajaan Islam pertama di Tanah Jawa.

Masjid Agung Demak yang bersejarah (gambar ehsan Google)

Hajat di hati hendak lajak ke Kudus, tempat bersemadinya Sunan Kudus tetapi mungkin juga hasrat itu terpaksa ditunda ke hari muka, mungkin juga aku ke sana… entahlah… tiba masanya akan kutentukan nanti.

Di Jepara, InshaAllah akan cuba melawat beberapa lokasi bersejarah dan tempat tarikan pelancong yang popular di bandar yang terkenal dengan perabot jatinya dan juga pintu masuk ke Pulau Karimunjawa.

Gunung Muria di Jawa Tengah (gambar ehsan Google)

Apa lagi yang menarik di sini?

Raden Adjeng Kartini… beliau lahir di sini dan adalah pejuang emansipasi wanita yang diangkat oleh Soekarno suatu ketika dahulu. Mungkin aku bisa belajar satu dua perkara di sini.

Dermaga di Pantai Kartini dan Ocean Park (gambar ehsan Google)

Dari Jepara aku akan terus ke Banyumanis melalui perdesaan di Kembang dan Keling yang berlatarbelakangkan Gunung Muria yang indah dan megah. Sawah padi yang terbentang pastinya menambah mistik perdesaan ini.

Gunung Muria adalah tempat bersemadinya Sunan Muria, salah seorang Wali Songo atau Wali Yang Sembilan. Malangnya kedudukan makam Sunan Muria di sebalik pergunungan ini mungkin menidakkan peluang aku untuk menziarahinya.

Benteng Portugis di Banyumanis (gambar ehsan Google)

Aku berkemungkinan besar akan bermalam di Banyumanis. Di Banyumanis terdapatnya Benteng (Kubu) Portugis yang terkenal. Di sini jugalah, bermulanya pantai-pantai bahagian paling Utara di Jawa Tengah dan Timur, bermula dari Banyumanis, Jawa Tengah hinggalah ke Gresik, berdekatan dengan Surabaya.

Pantai-pantai di sebelah Utara Jawa Timur ini memainkan peranan besar di zaman Kerajaan Majapahit. Banyak kapal-kapal dagang yang singgah di sepanjang pantai di sini terutama sekali di zaman eksplorasi dan navigasi lautan Laksamana Cheng Ho, Dinasti Ming.

Tugu Tiga Putri di Jepara (gambar ehsan Google)

Begitulah coretan rencana hari pertama kembara yang aku namakan Kembara JatengTim 2017. Jateng singkatan kepada Jawa Tengah, manakala Jatim adalah singkatan untuk Jawa Timur. Diadu domba (aku reka perkataan ni) keduanya jadilah JatengTim…

InshaAllah aku akan berkongsi rencana hari kedua tidak lama lagi.

InshaAllah….

 

Tour Indochina Part 1 – Suatu Kesimpulan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tanggal 13 Julai 2016 aku berangkat meninggalkan Bumi Malaysia dan menuju ke Lapangan Terbang Don Muang di Bangkok untuk memulakan misi yang aku namakan ‘Tour Indochina Part 1’.

Destinasi kembara sepintas lalu

Antara persinggahan wajib yang telah aku rangka ialah Sukhothai, Chiang Mai dan Chiang Rai di Thailand, Pak Beng dan Luang Prabang di Laos dan Dien Bien Phu, Sa Pa, Ha Giang, Hanoi, Mai Chau, Ninh Binh dan Hoi An di Vietnam.

Namun perjalanan yang kulalui lebih lagi… Akhirnya di bawah adalah perjalananku sepanjang kembara 33 hari ini.

Penang – Bangkok – Phitsanulok – Sukhothai – Si Satchanalai/Sawankhalok – Kamphaeng Phet – Chiang Mai – Doi Suthep-Pui – Mae Rim – Chiang Rai – Mae Sai – Golden Triangle Sob Ruak – Chiang Saen – Huay Xai – Pak Beng – Luang Prabang – Oudomxai – Pang Hoc – Tay Trang – Dien Bien Phu – Lai Chau – Sapa – Lao Cai – Ha Giang – Dong Van – Lung Cu – Meo Vac – Bac Me – Hanoi – Mai Chau – Ninh Binh – Phat Diem – Hue – Lang Co – Da Nang – Hoi An – Nha Trang – Mui Ne – Ho Chi Minh City (Saigon) – KLIA2

Penambahan route dari Hanoi ke Ho Chi Minh City ni disebabkan aku agak kecewa dengan harga tiket pulang dari Hanoi dan Da Nang yang mahal… Jadi aku lajak ke Saigon yang tiket pulangnya separuh daripada harga tiket dari Hanoi. Wang lebihan pula aku gunakan untuk membiayai perjalanan tambahan ini.

Banyak pengalaman suka dan segelintir yang dukanya sepanjang aku berkelana di bumi orang. Antara highlight perjalananku ialah…

1) Menggunakan pelbagai jenis pengangkutan sepanjang perjalanan seperti keretapi, tuk-tuk, bas besar, sedang, mini… Macam-macam jenis bot, perahu dan sampan, motosikal, teksi, basikal elektrik dan lain-lain.

2) Bertemu pelbagai karakter yang menarik seperti Art (Canada) di Chiang Mai, June (China), Carla (Spain) dan Fabrizio (Italy) di Luang Prabang dan ramai lagi di Vietnam. Kepada mereka yang mengikuti perjalananku secara ‘live‘ di Insta dan Page Soullo Backpackerz ni pasti terlihat kelibat mereka yang hadir di sepanjang perjalananku.

3) Pengalaman membeli barangan dapur dengan menggunakan bahasa ayam itik… Lain yang diorder lain yang dapat.

4) Pengalaman dikapak sepanjang perjalanan terutama ketika membeli tiket bas. Penipu-penipu ni biasanya datang menghampiri dengan senyuman. Yang paling ’menarik’ ialah ketika menaiki bas mini dari Mai Chau ke Ninh Binh dengan menahannya ala-ala hitchhike… Harga sepatutnya dalam vnd80,000 ke vnd100,000 tapi dimintanya vnd250,000… Mereka pandai… Dah atas gunung-ganang baru minta tambang bas. Bincang punya bincang akhirnya settle pada harga vnd150,000… Kena kapak juga tapi apa pilihan yang ada.

5) Pengalaman menyaksikan pasangan dari German ditipu agensi yang tidak membayar tambang bas mereka kepada syarikat bas terbabit. Ianya berlaku di antara Lao Cai dan Ha Giang. Hampir-hampir mereka ditinggalkan di tengah hutan tapi settle juga akhirnya.

6) Pengalaman pelik bertembung dengan Cik Rocilla dari Brazil 4 kali sepanjang perjalanan di Vietnam (Tam Son, Meo Vac, Mai Chau dan Hue). Hampir ada jodoh tu… hahaha

7) Perasaan puas dan nikmat yang tak dapat aku gambarkan ketika menunggang motosikal di antara Sukhothai dan Si Satchanalai. Ianya adalah tunggangan yang sederhana jauh… Yang pertama sejak aku terlibat dalam kemalangan jalanraya di Indonesia. Perasaannya.. Fuh.. I’m backCam tu lah

8) Pemandangan indah yang tak terkira banyaknya bermula dengan perjalanan keretapi dari Bangkok ke Phitsanulok hinggalah di Mui Ne, Vietnam. Memang banyak… Tak dapat aku nak mention satu-persatu… Ok lahSpecial mention untuk Sa Pa, Vietnam… Mungkin yang terbaik di antara terbaik…

9) Tinggal selama 3 malam bersama Suku Black Hmong di Sa Pa. Guesthouse mereka memang tradisional habis… Siap kelambu lagi… Pemandangan bangun tidur? Lembah menghijau, air terjun dan padi bukit yang memukau… Anjing-anjing berkeliaran jangan cakaplah… Paling rimas bila hujan.. Anjing basah… Pandai-pandailah mengelak…

10) Pengalaman ride motosikal di Ha Giang Province dengan melengkapi Northern Extreme Loop (termasuk Ma Pi Leng Pass yg terkenal) dan Hai Van Pass di Da Nang (sebahagian Golden Loop). Ha Giang Karst Hill Geopark memang memukau. Mole Hill di Tam Son amat indah sekali dilihat dari aras yang tinggi.

11) Pengalaman ‘menarik’ ride skuter hingga hampir ke puncak Doi Pui dan minum kopi bersama Suku Hmong dan kemudian tersilap ambil jalan pulang dengan menggunakan jalan trail dari atas gunung hingga ke kaki gunung.. Skuter terbalik dan enjin tak boleh hidup… Atas gunung, tengah hutan… Akhirnya main brek sampai ke bawah… Terpaksa ‘negotiate’ dengan jalan yang tak rupa jalan… Pengalaman ngeri sebenarnya… Kalau difikirkan balik… Kerja gila tu… Huh

12) Dikepung anjing di Mai Chau… 3 ekor kesemuanya. Aku lari naik tangga rumah orang kampung White Thai. Boleh pula anjing-anjing ni ikut dan lepak di tangga juga. Aku terpaksa menjerit memanggil orang kampung berdekatan untuk menghalau anjing-anjing puaka ini. Ni bukan anjing biasa-biasa… Hahaha

13) Disaman oleh polis ‘cari makan’ di Mui Ne… Habis vnd200,000… Asalnya diminta sebanyak vnd1,500,000. Dia ingat kita cop duit kot. Alasan? Speeding… Lebih 40km/h… Siap ada ‘picture’ lagi dia claim hahahaerrrk

14) Hari paling sedih dan agak tunggang terbalik plan perjalananku apabila mendapat khabar berita bahawa seorang rakan sedang tenat di Johor dan kelam kabut aku tinggalkan Ha Giang untuk pulang ke Malaysia tetapi malangnya tak sempat juga kerana beliau meninggal dunia ketika aku baru 2 jam tiba di Hanoi. Separuh hari aku habiskan masa di Masjid Hanoi… Kaki pun dah tak mampu nak bergerak… Nasib baik ada Imam Besar Hanoi buat peneman bersembang.

15) Kos aku sepanjang perjalanan tak sampai rm4,000… Aku tak kira kos tepat lagi… Tapi rasa-rasanya dalam rm3,800 maksimum untuk 33 hari perjalanan. Aku boleh jimat lagi tapi kerana aku menyewa motosikal kerap kali serta tak berkira dengan entrance fee tempat-tempat menarik ni…

16) Terpaksa menjadi kreatif untuk mencari tempat bersolat. Ada beberapa perkara yang menjadi cabaran untuk bersolat di tempat orang. Yang pertama ialah air untuk berwuduk. Ianya tidak menjadi masalah besar di Indochina kerana air memang mudah diperolehi. Jadi tak perlu membawa air untuk berwuduk. Cukuplah bawa untuk diminum sahaja.

Cabaran ke-dua ialah menyesuaikan waktu nak bersolat dengan aktiviti aku sepanjang hari. Selalunya aku lakukan jamak takhir untuk zohor dan asar dan jamak taqdim untuk maghrib dan isyak dan kadang-kadang sahaja jamak takhir untuk maghrib dan isyak. Ini kerana aku jarang keluar malam dan selalunya aktiviti akan aku habiskan sekitar jam 5.30ptg waktu tempatan.

Cabaran ke-tiga ialah tempat untuk mendirikan solat. Kalau di bilik sendiri ok lah, itu tak mendatangkan masalah tetapi kalau di dorm, itu yang masalah sikit. Pertama ialah space… kalau space tak cukup besar aku terpaksa bersolat di depan pintu atau di ruang tamu. Biasanya subuh ok… sama saja semua tempat aku pergi, takde backpackers yang bangun lagi hahaha. Yang problem, biasanya maghrib dan isyak… yang ni kena negotiate sikit… biasanya dorm mate ok… siap terenjit-enjit jalan belakang kita tapi yang tak tahan soalan lepas solat agak sama.. “I’d heard Muslim can marry four wives.. how many you have?” hahaha. Hanya sekali saja aku terpaksa solat di jalanan, iaitu di celah perbukitan di Bac Me, Ha Giang Province. Aku lapik dengan tuala kecil sahaja tempat sujud tu dan wuduk di tepian sungai besar berhampiran jalanraya. Nyaman airnya.

Cabaran ke-empat ialah mencari arah kiblat. Yang ni mudah saja solusinya… muat naik aplikasi Find Qibla Pro atau Kiblat Kompas. Banyak lagi aplikasi untuk Android dan IOS. Gunakan Google Maps pun boleh cari arah kiblat.

Cabaran terakhir pula ialah masuk waktu Subuh ketika berada di dalam bas dan tahu bas tidak akan berhenti rehat. Boleh saja solat sambil duduk. Wuduk boleh diambil dalam tandas sleeper bus atau boleh spare botol air dan ambil saja wuduk di tempat duduk anda. Minimalist approach dah ni…

Pengalaman lepas solat paling menarik ialah di Sa Pa. Ruangnya luas cuma apabila habis solat, seorang gadis berbangsa Jewish dari Poland menghampiri dan berkata, “I’m a bit shock.. in many ways we are the same…” sambil tersenyum.. dia berkata lagi jarang bertemu Muslim tetapi dia agak teruja kerana family dinner di guesthouse setiap malam kami berdua tak makan daging dan aku memang masak makanan sendiri cuma join diorang makan jer tiap-tiap malam. Awek Jewish tu tak tahulah pulak dia makan apa. Bila bab makan ni.. nak explain kena berhemah sebab tak mahu host terasa hati.

17) Di Vietnam, lebih kurang 5 orang menyapa aku di jalanan dan ajak berbual dalam Bahasa Inggeris. Golongan muda di Vietnam ini amat agresif mempelajari Bahasa Inggeris. Ini diakui oleh Big Nev semasa aku bertemu lelaki berbadan besar dari Australia ini di Dien Bien Phu.

18) Cita-citaku nak tahu lebih lanjut dan saksikan kesan Perang Dien Bien Phu 1954 akhirnya tercapai. Terima kasih kepada remaja bernama Coffee yang membawaku melihat Kota DBP ini.

19) Pengalaman menaiki slow boat dari Hua Xai ke Luang Prabang memang awesome. Walaupun kadang-kadang tertidur dan lenguh kaki duduk lama-lama dalam bot tu… Tapi ianya pengalaman yang amat berbaloi dan tak dapat dilupakan.

20) Kuangsi Waterfall memang indah dan di situ juga aku bertekak dengan pengurus sebuah restoran kerana caj kopi panas cawan kertas lebih kurang rm35… Nasib baik dapat balik duit tu.

Banyak lagi pengalaman yang boleh dikongsikan tapi mana mungkin di dalam satu posting untuk 33 hari perjalanan yang penuh warna.

Akhir kata, inginku ingatkan, aku menulis bukan kerana nak bagitau semua orang… Yeay!!! aku travel…. Tapi sebab aku nak menyumbang info pada komuniti traveller…. kerana aku sendiri dapat info pun daripada pengembara terdahulu… Kalaulah info yang aku bagi ni dapat selamatkan traveller daripada kena kapak dan bohong…. Apatah lagi dapat mengelak traveller dari mengambil risiko yang tak perlu, aku anggap itu sumbanganku yang secubit nilainya untuk komuniti ini.

Alhamdulillah, sejak posting Day 1 disiarkan di muka buku… Kini aku sedang membantu 3 orang pemuda dan pemudi yang sedang merangka perjalanan solo dan berkumpulan mereka.

Muka puas setelah selesai kembara, jambang tak cukur… muka berlemuih… hmmm

Ok lah… Panjang lebar dah ni…. Enjoy the pics tempat-tempat yang aku pergi… Banyak tu gambarnya… Satu tempat… Satu gambar…

Sekian dan assalam

P/s: Kalau ada yang nak bertanya apa-apa… Boleh contact aku di…

Fb page msg: Soullo Backpackerz
Insta: @soullobackpackerz
Email: reef117@gmail.com

InshaAllah aku bantu apa yang boleh.. 🙂

Pentingnya ‘Travel Insurance’ – Pengalaman Peribadiku Tergolek Di Indonesia

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi malang melibatkan kematian pelancong kita di Flores, Indonesia dan juga di Ho Chi Minh City.

Berikutan itu, banyak posting mengenai kepentingan mengambil travelling insurance terpapar di wall fb kita… Saya juga terpanggil untuk menulis sedikit sebanyak perihal insurans ini tapi lebih kepada pengalaman saya sendiri.

Persoalan yang selalu timbul bila beli insurans ni ialah mahal ke?… senang ke nak claim?.. tak rasa rugi ke?

Oleh itu, ni kisah saya…

Dah jadi amalan saya untuk ambil insurans setiap kali keluar negara sejak setahun yang lalu. Biasanya saya ambil ‘per trip basis‘ tapi sejak awal Disember 2015 saya ambil pakej setahun dengan AXA Affin. Actually banyak lagi insurance providers seperti AIG, ETIQA dan lain-lain… bro/sis boleh buat penilaian di web ni www.gobear.com.my kerana insurans yang kita perlukan berbeza-beza. Ada yang melibatkan negara berisiko tinggi dan ada juga pelancong yang terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi, jadi term and conditionnya berbeza… begitu juga harga…

Alkisahnya, saya terlibat dalam satu kemalangan di Kabupaten Pekalongan, Jawa pada 25 Mac yang lalu. Kerana saya travel solo, good samaritan tepi jalanlah yang menghantar saya ke Rumah Sakit Kraton Pekalongan atau General Hospital Pekalongan.

X-Ray dibuat pada petang itu jugak dan didapati patah tulang bahu kiri dan retak 5 tulang rusuk kiri. Dah jadi amalan saya untuk fotostat dokumen perjalanan seperti pasport, tiket penerbangan, lesen memandu dan juga polisi/sijil insurans dan diletakkan di bahagian senang capai dalam beg. Ini memudahkan registration. Kad ATM, wang dan pasport saya letakkan di dalam traveller belt. Jadi kalau hp dan wallet kena copek pun InshaAllah pasport dan sedikit wang ada lagi.

Kerana hospital ni GH, memang takde dealing dengan AXA so… saya kena bayar cash. Hari kedua di hospital baru ada kekuatan untuk menelefon AXA office di Malaysia (dekat sijil ada nyatakan 24jam Hotline) tapi malangnya 3 kali saya call diangkat oleh receptionist tapi tiada yang menjawab panggilan sambungan pada hari Sabtu 26 Mac tersebut…. Oklah, saya kata.. kenalah bayar cash dulu jawabnya…

Dipendekkan cerita, saya pulang ke Malaysia pada 28 Mac dan dalam minggu itu juga saya call AXA dan berbicara dengan pegawai terlibat. Pegawai tu kata, semua urusan claim boleh buat online dan poskan dokumen bukti ke Claim Dept, AXA di Kuala Lumpur.

Apa dokumen yang perlu?

1) Tiket penerbangan pegi/balik ke Indonesia
2) Medical Report dari RSUD Kraton Pekalongan
3) Resit rasmi dari hospital
4) Apa-apa bukti yang boleh membantu, dalam kes saya X-Ray report
Kesemuanya di scan pdf, attached dan hardcopy saya poskan.
Kesemua aktiviti ini kena selesai dalam masa 14 hari SETELAH pulang ke Malaysia.

Dalam 4 hari kemudian saya dapat email dari wakil AXA dan kami berbalas beberapa email lagi selepas itu, lebih kepada beberapa pertanyaan yang pihak AXA perlu tahu.

Dalam seminggu lepas tu saya dapat email yang tuntutan sudah diluluskan dan pembayaran akan ditransfer ke akaun Maybank dalam masa 3 hari… Mudah saja!!!

Apa tuntutan yang diluluskan?

1) Kos perubatan sepanjang di Indonesia selama 3 hari 2 malam lebih kurang MYR1,600

2) Elaun warded sebanyak MYR350 sehari/semalam (wajib complete 24 jam) bernilai MYR700

3) Flight tiket balik ASAL. Tiket balik yang saya beli lepas injury tu tak cover yea

4) Flight tiket utk trip yang cancel sebab tak boleh diteruskan sebab injury. Ini dinamakan Trip Curtailment Claim. Saya ada 4 flight yang cancel dan fully paid by AXA.

Jadi berapa saya bayar untuk traveller insurance ni pada bulan Disember yang lalu? Hanya sekitar MYR217 (harga berubah-ubah ikut plan bro/sis)

Berbaloi tak? Pada saya YA, amat berbaloi… kalau tak saya kena bayar MYR1,600 kos hospital.. itu baru 3h2m… kalau kena surgery? kematian?

Sebagai tips tambahan:

1) Print satu set policy/sijil dan bagi pada husband/wife atau sesapa saja yang terdekat untuk urusan dengan insurance provider di Malaysia. Jangan lupa terangkan pada mereka cara berurusan. Traveller solo ni kalau dah sakit, patah riuk.. susah dah nak deal dengan admin hospital, insurans staff dan lain-lain… nak bernyawa pun siksa… Kita cuba sedaya upaya kurangkan interaksi… kalau boleh…

2) Sediakan sekurang-kurangnya satu set dokumen perjalanan dan maklumat insurans diletakkan di dalam beg, di bahagian yang mudah capai. Ini memudahkan registration hospital yang boleh memeningkan lebih-lebih lagi kita foreigner.

3) Kalau travel sorang-sorang macam saya selalu buat mungkin susah sikit nak pilih-pilih hospital… Kalau dah tergolek dog… mana ada kederat nak call situ nak call sini dah… tapi kalau travel dalam group adalah disarankan suruh travel buddy call 24jam hotline dan dapatkan maklumat hospital yang leh deal direct dengan insurance provider

4) Tak semestinya ambil AXA, carilah insuran yang bersesuaian dengan akitiviti dan negara yang nak pergi tu. Ramai kawan-kawan traveller saya ambil AIG juga.

5) Yang ni penting… selalu amal tolong orang baik di bumi Malaysia mahupun di bumi orang.. InshaAllah tuhan ketemukan kita dengan insan hebat di bumi orang… Kita tak tau bila kita perlukan bantuan

Diharap posting ini dapat membantu bro/sis… tak susah sebenarnya nak claim ni…

Ku Jejaki Taipei Dan Jiufen: Part 5 Bahagian Akhir (Okt 2015)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sudah berhari-hari aku berkira-kira sama ada nak ke Tainan City atau hanya habiskan masa di Taipei sahaja. Jika hendak ke Tainan City banyak faktor yang perlu diambil kira antaranya masa yang terhad dan juga perbelanjaan yang mungkin agak menjerut jiwa.

Menaiki keretapi ke Riufang
Rumah flat di pinggiran Taipei
Pemandangan pinggir Bandar Taipei

Namun keputusan telah dibuat setelah mengetahui harga tiket keretapi laju dari Taipei ke Tainan City yang agak lumayan… Ahh… Mungkin di lain hari agaknya. Mungkin juga aku akan mendarat di Kaohsiung dan lajak aje ke Tainan City. InshaAllah aku akan datang lagi ke Taiwan kerana aku dah jatuh cinta dengan keindahan negara ini, punya sejarah dan budaya yang hebat, cara hidup suku orang asli yang memukau dan pastinya orang Taipei yang begitu ramah dan santun budinya.

Stesen Keretapi Keelung. Aku tak sepatutnya ke sini… hmmm
Stesen Keretapi Riufang. Aku sepatutnya ke sini… hahaha…
Stesen Keretapi Riufang dari luar

SoTakde Tainan City… Ke Jiufen lah kita… Hari ni aku akan spend the whole day di Jiufen. Apabila aku khabarkan pada Rita (rakan warga Taiwan) yang aku akan ke Jiufen,

“You are a wise man…” katanya…

Pekan Riufang dibanjiri manusia yang mahu ke Jiufen
Lagi gambar Pekan Riufang

Pagi-pagi lagi aku dah terpacak di stesen keretapi dan membeli tiket ke Riufang. Dari Riufang nanti kena ambil bas pula ke Jiufen. Pulang nanti pun sama juga prosesnya. Boleh ambil bas atau teksi ke stesen keretapi Riufang dan terus ke Taipei Main Station.

Macam sardin dalam bas ni…
View dari dalam bas

Perjalanan keretapi memang best. Dapatlah aku melihat-lihat cara hidup masyarakat Taipei dan sekitar pada hari cuti. Keretapi pun taklah sesak sangat.

Antara view pertama aku tika tiba di Jiufen

Sebenarnya kerana terlalu asyik melihat ke luar jendela, aku terlajak ke Keelung hahaha… Aku sepatutnya turun di pertengahan jalan dan bertukar keretapi ke Riufang. Terpaksalah diam-diam naik keretapi patah balik ke Riufang. Aku ni kalau travel takde drama memang tak sah… hmmm

Jiufen Walking Street yang glamer
Lagi view yang memukau

Setiba di Riufang aku bergambar sebentar di sana dan terus berjalan kaki menuju ke hentian bas yang sesak dengan pelancong. Pastinya inilah hentian bas ke Jiufen kerana ianya terletak berdekatan dengan Balai Polis Riufang.

Banyak bas menuju ke Jiufen… Boleh dikatakan setiap 15 ke 30 minit ada saja bas yang tiba. Aku menaiki bus transit ke Keelung dan seperti dijangka memang sesak bas nak ke Jiufen ni. Nasib aku baik kerana dapat tempat duduk dan bolehlah aku melayan perasaan melihat pemandangan indah mendaki perbukitan ke Jiufen.

Kawasan ini mungkin antara yang tersesak sebab di sini penumpang naik dan turun
Baju untuk dijual hehehe

Well… Apa ada di Jiufen? Apa yang spesial sangat dengan Jiufen? Begini ceritanya…

Jiufen pada suatu ketika dahulu merupakan kota pergunungan yang dibuka oleh Orang Jepun untuk melombong emas. Tapi jangan salah sangka… Kota ini asalnya hanyalah sebuah perkampungan biasa yang sudah wujud sejak zaman Dinasti Qing lagi. Apabila emas ditemui di sini, Orang Jepun memajukan kampung ini menjadi sebuah kota yang penuh berselirat dengan laluan laluan kecil menikus di lereng-lereng bukit.

Antara gerai di Walking Street
Meriah..
Ni lah rupanya Jiufen hujung minggu… sesak!

Kini, tiada lagi perlombongan emas dijalankan di sini (sejak 1950an) dan nasib Jiufen agak baik kerana kota ini menghadap Lautan Pasifik yang indah dan terus dihidupkan oleh budaya lama, kedai-kedai kecil yang menarik dan premis-premis retro menjual kopi dan teh dengan pemandangan Lautan Pasifik dan perbukitan yang amat memukau.

Tak berani makan…
Dari celah-celah lorong
Lorong bertangga ini adalah ikon Jiufen
Haa… ni gambar dari bawah

Shuqi Road adalah tarikan terbaik di Jiufen yang terletak di antara Jiufen Elementary School dan Balai Polis Jiufen. Sepanjang Shuqi Road ini pula terdapat tiga jalan yang terpecah iaitu Qingbian Road, Jishan Street dan Qiche Road.

Perdesaan Jiufen di lereng gunung
Lagi gambar perkampungan Jiufen
Terowong terus ke lombong

Sebenarnya banyak lagi laluan tikus di seluruh kota ini. Aku hanya perlu jalan kaki sahaja, tak perlu menaiki apa-apa kenderaan. Anyway… Boleh tengok gambar gambar for details lah yea.

Teater menceritakan sejarah lampau Jiufen
Gambar lama Jiufen
Lagi gambar lama Jiufen
Alatan lama yang dipamer
Selamat tinggal Jiufen. Jom ke Martyr’s Shrine

Selepas aku keluar daripada mini muzium yang terdapat di kota ini, aku pun mengambil teksi untuk kembali ke Riufang Train Station. Masih ada masa untuk aku melawat beberapa tempat sebelum menutup tirai lawatan aku di Taipei.

Bangunan menarik ketika menuju ke Martyr’s Shrine

Lokasi seterusnya ialah Martyr’s Shrine yang agak pening juga nak ke sina dengan bas kerana tak tahu nak berhenti kat mana. Nasib baik abang drebar tu tolong berhenti di tempat sepatutnya.

Pintu gerbang Martyr’s Shrine dari dalam
Guard sedang bertukar shift
Gagah!
Inilah Martyr’s Shrine nya…

Kebetulan semasa aku di Martyr’s Shrine ni tengah ada pertukaran pengawal… Memang gagah pengawal ni berkawad. Dari sini aku ke 228 Memorial Park dan Ketagalan Boulevard sebelum menutup tirai perjalanan ini dengan heavy meal di Yunus Halal Restaurant.

228 Memorial Park berdekatan dengan Ketagalan Boulevard
228 Memorial Museum… tak masuk… tutup dah 🙁
Yunus Halal Restaurant. Heavy meal kali ni… balas dendam

Habis makan aku terus pulang ke hostel yang sempit tu dan berkemas-kemas untuk kembali ke tanahair keesokan harinya.

Perjalanan dari hostel ke airport tiada yang memorable sangat cuma pemandangan indah Taipei di sepanjang perjalanan boleh bikin hati jadi tisu…

Otw ke Taoyuan International Airport. Waktu untuk pulang…
Taipei… sebelum ku pulang
Taipei dari kejauhan

Aku ingatkan Taipei ini serabut… Orangnya kasar-kasar tapi tidak… Aku silap… Malah Orang Taipei adalah yang terbaik setakat yang aku jumpa. Budaya dan sejarahnya pun hebat juga. Kotanya pun amat bersih sekali.

Goodbye Taipei… Semoga kita bertemu lagi…

Banyak lagi tempat menarik di Taiwan yang boleh aku lawati selain Taipei seperti Kaohsiung, Tainan City, Taroko National Park, Kenting, Keelung, Sanxiantai dan banyak lagi.

Semoga kita ketemu lagi… Taiwan…

Sekian