Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 15 – Hari Bertemu Tokoh Hebat

Rabu, 3 Mei 2017

Wonosari – Yogyakarta

Pagi sesudah subuh kami dah bersiap-siap. Ustaz Ashof dah bersedia dengan sarapan pagi, nasi berlauk yang enak sekali. Aku ingatkan Ustaz Ashof nak lepaskan kami meronda sendirian, rupa-rupanya hari ni beliau bermurah hati menjadi tourist guide kami.

Destinasi pertama pagi itu adalah Puncak Becici. Di Jogja memang banyak puncak-puncak bukit yang dijadikan destinasi pelancongan. Memandangkan Daerah Istimewa Yogyakarta ni tumpuan pelancong, maka selagi ada lokasi yang boleh mendatangkan keuntungan, semuanya dijadikan tarikan pelancong.

Pandai Ali ambil gambar

Ustaz Ashof seperti juga Ustaz Assiry di Kudus, memang handal di jaluran. Jenuh kami nak follow belakang beliau. Beberapa kali jugalah Ustaz Ashof terpaksa menunggu kami yang terhegeh-hegeh di belakang. Tersengih sahaja beliau melihat kami terkontang kanting tiba dengan muka stress.

Pemandangan dari Puncak Becici

Kami membelok ke kanan setelah mendaki bukit yang tak terasa tingginya. Sedar tak sedar, kami dah sampai di Puncak Becici. Bukit ini dipenuhi dengan pokok pinus tinggi melangit, terasa sejuk berada di bawah naungannya. Ada beberapa gerai di bahagian luar pintu gerbang menuju ke lokasi sebenar.

Hutan pinus Puncak Becici

Pengunjung terpaksa berjalan kaki mendaki sekitar 150 meter lagi sebelum tiba di sebuah dataran yang menyediakan pemandangan yang menenangkan. Di bawah sana jelas kelihatan indah kabupaten Bantul yang menghijau, saujana mata memandang.

Ada beberapa platform berlatarbelakangkan pemandangan menarik Bantul disediakan untuk pengunjung berswafoto. Ali begitu asyik memotret beberapa gambar buah keras pokok tirus yang bertaburan di atas tanah. Cas jurufoto profesionallah tu. Zaini pula seperti biasa memandang jauh keindahan alam, tenggelam dalam lamunan beliau, entah apa yang difikirkan.p

Zaini memikirkan permasalahan pemanasan global

Setelah selesai di Puncak Becici, kami menuju pula ke Kebun Buah Manggunan yang lebih dikenali daripada Puncak Becici. Malangnya, setiba di sini sakit perut aku datang lagi, siap dengan pakej pening dan loya. Jawabnya, terpaksalah dibatalkan hajat hendak ke Gardu Pandang Manggunan yang terkenal itu, tapi tak mengapalah, tadi sudah puas bergambar di Puncak Becici… aku menipu diri. Ali, Zaini dan Ustaz Ashof menemani aku yang terlantar keletihan dalam sebuah wakaf yang disediakan pengusaha. Sambil mereka rancak bersembang, aku cuba melelapkan mata.

Seronok.nampak…
Posing trademark Ali… tegak!

Matahari sudah tegak di atas kepala, perut pun dah mula berjoget riang. Itu tandanya ia perlu diisi. Ustaz Ashof kata makan tengah hari dah disediakan di rumah ayahnya. Kami bertiga kesipuan mendapat ajakan Ustaz Ashof ke rumah ayahnya. Sebenarnya, Ali memang berhajat sangat nak bertemu dengan ayah Ustaz Ashof kerana beliau bukan calang-calang orangnya.

Ali dan Ustaz Ashof

Siapa ayah Ustaz Ashof? Ini cerita beliau…

Ingat lagi tak buku Iqra’ yang kalian baca semasa kecil? Kalau kalian tak baca Iqra’ tetapi baca Muqaddam, itu tanda kalian dah tua… hahaha.

Kaedah pembacaan Iqra’ ini diilhamkan oleh KH As’ad Humam pada tahun 1988 dan siapakah pula penulis kaligrafinya?

Kenalkan Al Ustaz Chumaidi Ilyas, anak kelahiran Bantul, DI Yogyakarta dan juga ayah kepada Ustaz Ashof.

Ustaz Chumaidi berbaju putih bersama tiga pengembara jalanan

Beliau merupakan jaguh kaligrafi di Nusantara dan pernah beberapa kali menjuarai pertandingan khat di Indonesia. Pada tahun 1994, beliau menjadi juara pertandingan kaligrafi peringkat ASEAN.

Kebolehan luar biasa beliau telah menarik minat KH As’ad Humam untuk berkolaborasi dengan beliau dalam menyiapkan naskah Iqra’ tersebut. Buku Iqra’ ni ada di mana-mana di seluruh Asia Tenggara dan aku pernah melihat naskhah ini (dan juga Qiraati) di sebuah kelas agama di perkarangan Masjid Al-Rafeah, Chong Kneas, Cambodia. Perlu juga aku beritahu yang Ustaz Chumaidi tidak mendapat sebarang royalti daripada usaha beliau ini, tetapi balasan daripada yang Esa tiada tara nilainya, insya-Allah.

Keratan akhbar mengenai Ustaz Chumaidi

Kami berada di rumah Ustaz Chumaidi hingga lepas Asar, terasa singkat dan cepat masa berlalu. Kami mengucapkan selamat jalan kepada Ustaz Ashof dan Ustaz Chumaidi lalu memecut laju menuju ibu kota Yogyakarta.

Seboleh-bolehnya aku tak mahu jalan malam sebab mata aku ni bukannya nampak sangat, tetapi hari ini kami tak sempat tiba di Jogja sebelum matahari terbenam. Nak dijadikan cerita, hotel pula tiada yang ikut bajet kami. Aku mula naik bebal mencari hotel dalam gelap, jalan pula sesak dengan kenderaan kecil besar.

Ali dah nampak yang emosi aku ni makin tak stabil lalu dicadangnya untuk buat carian hotel melalui Agoda atau Booking.com. Aku turutkan sahaja. Akhirnya, kami berjaya mendapatkan hotel yang agak murah dan berbaloi, luar sedikit daripada pusat bandar, tak mengapalah. Hotel Reddorz memang terbaik. Harga hotel bajet tetapi seperti 4 bintang!

Kami akan berada di Jogja selama 2 hari sebelum maju ke Semarang. Masa untuk berehat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *