Artikel Umum Sejarah

3 Mac 1924… Berakhirnya Kekhalifahan Uthmaniyah

Artikel ini adalah berkenaan Sultan Abdulmecid II (Abdul Mejid II).

Pada hari ini, 93 tahun yang lalu, Sultan Abdul Mejid II, iaitu sepupu kepada Sultan Uthmaniyah yang terakhir, Sultan Mehmed VI telah dilucutkan gelaran khalifahnya oleh pemerintah Republik Turki yang baru sahaja dibentuk 6 bulan sebelum itu.

Walaupun kuasa sebenar khalifah berakhir pada zaman pemerintahan Sultan Mehmed VI, namun Turkish National Assembly (Dewan Negara Turki) telah menyerahkan jawatan khalifah kepada Sultan Abdul Mejid II hanya sebagai simbol sahaja dan tiada langsung kuasa eksekutif.

Sultan Abdul Mejid II (gambar ehsan Google)

Sebahagian besar awal hidup baginda dihabiskan di istana, iaitu selama 40 tahun. Ayahnya, Sultan Abdul Aziz dan 3 sepupunya memerintah sepanjang 40 tahun itu.

Sultan Abdul Mejid II amat terkenal sebagai seorang pelukis, malah baginda dianggap sebagai antara pelukis ternama Turki di zamannya. Di antara lukisan baginda yang terkenal ialah lukisan isterinya yang sedang membaca buku Goethe yang bertajuk Faust dan juga potret dirinya sendiri.

Lukisan Sehsuvar, isteri kepada Sultan Abdul Mejid II (gambar ehsan Google)

Bagi mereka yang menyanjungi Empayar Uthmaniyah, Sultan Abdul Mejid II adalah satu-satunya asas pegangan kepada sejarah kekhalifahan yang panjang. Ada percubaan untuk menghidupkan kembali kuasa khalifah dan mereka sering menjadikan sultan ini sebagai simbol penentangan kepada sistem pemerintahan sekular yang dibawa oleh Mustafa Kemal Ataturk.

Mustafa Kemal Ataturk (gambar ehsan Google)

Perkembangan ini semestinya tidak disenangi oleh Mustafa Kemal dan akhirnya jawatan khalifah yang hanya tinggal nama ini dihapuskan untuk selama-lamanya dari Bumi Turki setelah 6 bulan Republik Turki diisytiharkan pada 29 Oktober 1923.

Sultan Abdul Mejid II kemudiannya dihalau dan meninggalkan Turki keesokan harinya. Baginda dan keluarganya hanya diberi £2,000 untuk hidup.

Hidup baginda di Kota Paris banyak dibantu oleh Nizam-Ul-Mulk Hyderabad yang memerintah Negeri Hyderabad di India di bawah Dinasti Asaf Jah. Setiap bulan Sultan Nizam ini akan menghantar wang elaun untuk sara hidup Sultan Abdul Mejid II. Malangnya, Dinasti Asaf Jah ini juga di bawah kuasa kolonial Inggeris di India. Elaun ini hanya akan diberi setelah Inggeris memperkenankan penghantarannya. Begitulah nasib dunia kerajaan Islam di zaman kolonialis Barat.

Sultan Abdul Mejid II bergambar bersama Puteri Durruhsevar (anaknya) dan menantunya Putera Nawab Azam Jah (gambar ehsan Google)

Terdapat beberapa percubaan untuk menghidupkan kembali sistem khalifah yang disokong British (asalkan datang dari tanah jajahannya) seperti sidang di Mesir pada tahun 1926, namun, ianya tidak berhasil.

Pada tanggal 23 Ogos 1944, baginda mangkat di kediaman beliau di Boulevard Suchet, Paris, Perancis. Jenazah baginda dikebumikan di Kota Madinah, Arab Saudi atas arahan dan perkenan Sultan As-Saud.

Begitulah pengakhirannya sistem kekhalifahan Islam yang agung. Baginda merupakan khalifah yang ke-101 dari zaman Saidina Abu Bakar RA.

Adakah akan muncul khalifah yang baru? Khalifah akhir zaman mungkin?

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *