Tinta Bicara

Bicara Tinta: ‘Ketam Melayu’ Yang Semakin Tak Trendy

Dari aku kecil sampailah dewasa, perumpamaan Ketam Melayu, Ketam Cina tak pernah padam, tak pernah ditelan dek zaman. Pasti aku akan mendengar atau membacanya dari masa ke semasa.

Aku ni, bolehlah dikatakan agak ‘bermulut puaka’ juga bila membicarakan tentang orang Melayu. Pada aku, tiada istilah Melayu itu mundur pemikirannya, Melayu itu malas, apatah lagi Melayu itu tak boleh buat kerja. Aku dikelilingi oleh Melayu yang istiqomah dalam usahanya, yang fokus, tiada jerih perih yang tidak dapat di atasi olehnya.

Namun, satu benda yang paling aku benci, yang selalu tanpa sedar disampaikan oleh satu Melayu kepada satu Melayu yang lain ialah…

Kau ini Melayu, maka, kau ini tak layak punya mimpi!

Ya, kerana Melayu itu ‘malas, bodoh dan keji’ maka tidak layaklah kau dan aku untuk bermimipi.

Apa yang aku ingin coretkan ini sebenarnya terjadi baru-baru ini.. kisah betapa bisanya ayat yang diucapkan oleh sang perampas mimpi.

Aku kini dalam proses pembikinan sebuah buku bersama beberapa teman penulis yang hampir kesemuanya tidak pernah menulis artikel untuk tujuan cetakan. Jangankan artikel, ada antara mereka, menulis di facebook pun jarang sekali. Namun mereka punya pengalaman yang aku kira perlu diketengahkan.

Bila mempunyai ‘bala tentera’ penulis yang besar ni, pastilah ada peristiwa-peristiwa yang manis, lucu dan…. yang tak berapa nak lucu… tapi kejadian yang terjadi ini benar-benar menguji kesabaranku.

Ada beberapa penulis yang sudah terlepas deadline beberapa kali namun aku masih juga menaruh harapan agar mereka menyiapkan artikel yang diminta. Alasanku mudah,

“Kalau korang tak buat benda ni sekarang, sampai bila pun korang takkan buat… Ni lah mungkin satu-satunya peluang yang terbuka untuk korang menulis… bagi anak cucu baca.”

Dan aku ada juga ingatkan pada sebahagian mereka,

I am not losing hope with you guys, even a single soul… and we will cross that line together.”

Dalam ramai-ramai penulis ni, ada seorang penulis yang agak tenggelam punca, tenggelamnya lebih daripada yang lain, tetapi tiap kali aku bertanya apa bantuan yang perlu, jawapannya sentiasa sama,

“InshaAllah aku OK Afzan.”

Namun, bila aku bertanya untuk kesian kalinya, jawapannya sudah berubah nada,

“Aku rasa aku tak layak bersama-sama penulis hebat yang lain. Aku takde apa-apa yang hebat.”

Aik… apa yang dah jadi? Cer cerita?” Aku bertanya ingin tahu.

Rupa-rupanya beliau telah bertemu dengan seseorang yang aku kenal, yang menyatakan kepadanya bahawa jika hendak menulis, kenalah ada cerita yang mahu dibeli dan dibaca orang. Layakkah kau ni dengan cerita yang kau ada? Orang yang memberi ‘nasihat’ ini pun bukan calang-calang pencapaiannya dalam bidang yang nak ditulis. Ada lagi yang dikatakannya tapi tak perlulah aku nyatakan di sini.

Apakah reaksi engkau jika seorang otai dalam suatu bidang itu menyatakan secara halus yang kau ini tak layak untuk mendaki ke puncak? Ya, seperti juga mereka yang lain, baiklah berhenti daripada mencuba… Mengapa nak susah-susah…

Inilah bisanya ‘Ketam Melayu’… kata-katanya mampu membunuh impian orang lain. Kata-katanya bagai racun yang membunuh senyap, tanpa ada rasa sakit yang ketara. Namun suatu hari, kau sebenarnya sudah brain dead!

Aku hanya berkata ini kepada beliau,

Ko dengar dan ikut nasihat daripada seseorang yang tak complete apa yang dia mulakankan?”

“Ada dua jenis manusia dalam dunia ni… Manusia yg mengangkat manusia lain ke tahap lebih tinggi… dan ada jenis manusia yang nak manusia lain terus tunduk ke bumi…” kataku padanya.

Ko fikirlah sendiri… ko nak pilih aku yang pandang ko insan yang hebat… manusia yang boleh capai apa yang dia impi dan percaya nak capai… atau ko nak ikut orang yang percaya you are worth nothing and a loser.… yang tak layak berdiri bersama gergasi-gergasi dalam projek ni,” tambahku lagi.

“Aku tak loose hope dengan orang, problem dia.. orang loose hope dengan diri dia sendiri…” aku menutup bicara.

Setelah berfikir sejenak, beliau setuju untuk terus bersama denganku. Adakah dia akan istiqomah hingga ke akhir dalam perjuangan kecil ini? Jawapan ada ditangannya… bukan aku.

Apa point sebenarnya artikel aku panjang-panjang ni?

‘Ketam Melayu’ ni akan tetap ada, begitu juga Ketam Cina, Ketam India, Siam, Vietnam, Portugis, Alaska dan lain-lain. Selagi ada manusia bernyawa, ada lah unsur-unsur negatif ni.

Janganlah kita hanya mengangguk tanda setuju, mengiakan kata-kata beracun bisa. Sanggahlah ia, tuturkan kata-kata yang membina. Mengangguk setuju sama saja tarafnya dengan ketam puaka itu.

Marilah sama-sama kita jadikan trend Ketam Melayu ni, trend yang sudah basi, trend yang bukan lagi stereotaip orang Melayu zaman ini. Kelilingilah diri kita dengan gergasi-gergasi Melayu, bukan ketam picisan pencuri impian.

Aku menutup bicaraku dengan teman sang penulis tadi,

Walk with giants… please!”

Sekian

2 thoughts on “Bicara Tinta: ‘Ketam Melayu’ Yang Semakin Tak Trendy”

  1. Alhamdulilah.. banyak pengajaran di sebalik kisah ni boleh diambil.
    Good lucks all you…semoga impian awak2 semua tercapai. Capai lah dgn bangga kerana anda boleh buat.

Leave a Reply to afzan yusuf Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *