Tawarikh Nusantara

Candi Borobudur Dan Polemik Sailendra/Sanjaya – Bahagian II

Carita Parahyangan Dan Hujah Pendokong Teori Boechari

Bahagian I yang lalu penulis membicarakan tentang polemik besar Sailendra/Sanjaya iaitu sama ada memang terdapat dua dinasti yang saling bertukar kuasa atau hanya ada satu kuasa sahaja.

Bahagian II kali ini pula penulis ingin menulis dengan lebih lanjut tentang pendapat kedua yang mengatakan daripada Raja Sanjaya hinggalah ke Dyah Balitung yang ada hanya satu penguasa mutlak, iaitu wamsa Sanjaya. Penulis ingin mengupas intipati pendapat ini, apa sandaran pada teori ini dan pelbagai isu lagi.

Sedikit imbauan daripada Bahagian I, aliran Boechari berdasarkan interpretasi beliau terhadap Prasasti Sankhara menyatakan bahawa Rakai Panangkaran Dyah Sankhara Sri Sangramadhananjaya di dalam prasasti itu sama orangnya dengan Rakai Panangkaran di dalam Prasasti Kedu (Mantyasih) yang dipahat oleh Dyah Belitung. Maka, semua raja Mataram Kuno adalah daripada dinasti Sanjaya. Boechari juga menyatakan bahawa Rakai Panangkaran menukar agamanya daripada Hindu Siwa kepada Buddha Mahayana.

Sebuah artikel yang ditulis oleh Hariani Santiko berjudul Dua Dinasti Di Kerajaan Mataram Kuna: Tinjauan Prasasti Kalasan menyatakan sokongan beliau terhadap pendapat Boechari, tetapi ada sedikit caveat, sedikit perbezaan. Puan Hariani berpendapat Rakai Panangkaran tidak menukar agamanya. Ada kelainan yang lebih menarik dalam penulisan beliau.

Menurut beliau, Prasasti Kalasan adalah bukti bahawa Sanjaya merupakan penguasa mutlak di Mataram Kuno. Ya, Prasasti Kalasan yang sering dijadikan sandaran pendokong teori Cœdes dan F.D.K Bosch tentang wujudnya dinasti Sriwijaya Sailendra di pulau Jawa kini diguna pakai pula oleh pendokong teori Boechari, cuma diberi sedikit nafas baru oleh Puan Hariani.

Menurut beliau, memang ada dua dinasti di dalam kerajaan Mataram Kuno. Bezanya, Sailendrawamsa itu adalah raja bawahan Sanjayawamsa. Hujah beliau mudah, seperti yang tercatat pada Prasasti Kalasan, untuk membina Tārābhavanam (sebuah vihara) di negeri raja Sailendra sendiri pun perlu meminta izin kepada Sri Maharaja Panamkarana (Rakai Panangkaran) dari dinasti Sanjaya. Panamkarana memakai gelar Sri Maharaja, maka tiada raja lebih besar daripada Rakai Panangkaran. Puan Hariani seterusnya menyatakan Balaputradewa yang mendirikan vihara di Nalanda itu juga adalah raja Jawa yang berkuasa di Sumatera. Ini adalah pendapat Puan Hariani apabila berbicara tentang Prasasti Kalasan dan kesan riaknya.

Satu lagi kisah yang mendokong teori Boechari datangnya daripada kitab Sunda iaitu Carita Parahyangan. Kitab ini ditulis pada abad ke-16, ratusan tahun dari zaman Mataram Kuno. Menurut Carita Parahyangan, Raja Sanjaya adalah anak kepada Raja Sena (Sanna) di Galuh. Beliau juga merupakan cucu kepada Parwati, iaitu anak Ratu Shima, penguasa kerajaan Kalingga yang terkenal.

Prasasti Canggal (bahasa Sanskreta, aksara Pallava) yang ditemui di Gunung Wukir ada menyebut kata gelar Raja Sanna dan Sanjaya sebagai anaknya. Oleh kerana Raja Sanjaya dan Panangkaran itu datangnya dari dinasti Sanjaya, maka seluruh raja Mataram Kuno berluluhur Sanjayawamsa, seperti yang terpahat pada Prasasti Mantyasih (Balitung atau Kedu).

Prasasti Mantyasih (bahasa dan aksara Jawa Kuno), dipahat oleh Dyah Balitung pada tahun 907 Masihi. Ia menyenaraikan daftar nama 9 raja kerajaan Mataram Kuno, bermula dari Rakai Mataram Sang Ratu Sanjaya hinggalah yang ke-9, Sri Maharaja Rakai Watukura Dyah Dharmmodaya Mahasambhu, iaitu Dyah Balitung sendiri.

Poerbatjaraka juga menjadi pelopor teori wujudnya satu dinasti berdasarkan Carita Parahyangan, tetapi dinasti itu bukan Sanjayawamsa, sebaliknya adalah Sailendrawamsa. Menurut beliau, Sanjaya dan keturunannya adalah Wamsa Sailendra yang menganut Hindu Siwa, sehinggalah Rakai Panangkaran bertukar agama kepada Buddha Mahayana. Menurut Poerbatjaraka lagi, Rakai Panangkaran adalah sosok yang sama dengan Rakai Panaraban di dalam Carita Parahyangan. Namun, jika diteliti pada Prasasti Sankhara, ternyata pernyataan Poerbatjaraka ini tertolak.

Prasasti Sankhara (Sumber: Sejarah Nasional Indonesia Jilid II)

Begitulah ceritanya pelbagai pendapat daripada penulisan yang sama. Pendapat peribadi penulis, menggunakan hujah Carita Parahyangan ini bukanlah suatu sandaran yang kukuh tetapi intipati daripada kitab ini boleh dijadikan sumber kajian yang lebih mendalam.

Tak banyak hujah yang mendokong teori satu dinasti (Sanjayawamsa) tetapi kepada mereka yang mengikut aliran Boechari ini, pendapat di atas sudah cukup untuk menidakkan keberadaan atau kekuasaan Sailendra di Mataram Kuno.

Berhenti seketika, Insya-Allah bersambung pada Bahagian III.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *