Tawarikh Nusantara

Candi Borobudur Dan Polemik Sailendra/Sanjaya – Bahagian III

Daftar Raja Mataram Kuno Berdasarkan Dua Prasasti Dipahat Dyah Balitung

Bahagian II tempoh hari menceritakan tentang pendapat wujudnya hanya satu dinasti Sailendrawamsa atau Sanjayawamsa dalam kerajaan Mataram Kuno.

Sepatutnya penulisan kali ini berkisar tentang pendapat wujudnya dua dinasti yang berbeza seperti mana didokong oleh de Casparis, Cœdes dan lain-lainnya tetapi penulis merasakan ada baiknya penulis menulis tentang daftar nama raja-raja kerajaan Mataram Kuno daripada pelbagai sumber. Kerana apa? Kerana pendapat dua dinasti inilah yang mengkomplikasikan segala-galanya tentang kerajaan Mataram Kuno. Baik dikenal watak raja-rajanya dahulu sebelum membincangkan peranan mereka dalam kerajaan ini.

Dyah Balitung, iaitu raja Mataram Kuno di antara tahun 899 M hingga 911 M ada memahat bukan satu tetapi dua prasasti yang punya nama raja-raja Mataram Kuno. Prasasti yang pertama agak terkenal iaitu Prasasti Kedu atau juga dikenali sebagai Prasasti Mantyasih dan Prasasti Balitung. Ia dipahat pada tahun 907 M. Prasasti kedua pula ialah Prasasti Wanua Tengah III yang dipahat pada tahun 908 M. Kurang terkenal, tetapi penting juga.

Untuk tidak terkeliru, kita bincangkan apa yang ada dalam dua prasasti ini dan apakah perbezaannya.

Prasasti Mantyasih memuatkan 9 nama raja iaitu;

1. Rakai Mataram Sang Ratu Sanjaya
2. Sri Maharaja Rakai Panangkaran
3. Sri Maharaja Rakai Panunggalan
4. Sri Maharaja Rakai Warak
5. Sri Maharaja Rakai Garung
6. Sri Maharaja Rakai Pikatan
7. Sri Maharaja Rakai Kayuwangi
8. Sri Maharaja Rakai Watuhumalang
9. Sri Maharaja Rakai Watukura Dyah Dharmmodaya Mahasambhu

Prasasti Wanua Tengah III pula menyenaraikan lebih ramai daftar nama raja, iaitu 12 orang;

1. Rakai Panangkaran anak Rahyangta i Hara (Sang Ratu Sanjaya)
2. Rakai Panaraban
3. Rakai Warak Dyah Manara
4. Dyah Gula
5. Rakai Garung anak Sang Lumah i Tluk
6. Rakai Pikatan Dyah Saladu
7. Rakai Kayuwangi Dyah Lokapala
8. Dyah Tagwas
9. Rakai Panumwangan Dyah Dewandra
10. Rakai Gurunwangi Dyah Bhadra
11. Rakai Wungkalhumalang Dyah Jbang
12. Sri Maharaja Rakai Watukara Dyah Balitung Sri Iswarakesawotsawattungga Rudramurti

Perbezaan ketara kedua-dua prasasti ini adalah 4 nama raja dalam Prasasti Wanua Tengah III yang tidak terdapat dalam Prasasti Mantyasih, iaitu Dyah Gula, Dyah Tagwas, Dyah Dewandra dan Dyah Bhadra. Menurut Kusen di dalam bukunya ‘Raja-raja Mataram Kuna Dari Sanjaya Sampai Balitung, Sebuah Rekonstruksi Berdasarkan Prasasti Wanua Tengah III’ menyatakan keempat-empat raja ini tidak dimasukkan ke dalam Prasasti Mantyasih kerana mereka tidak berdaulat sepenuhnya.

Tujuan Prasasti Mantyasih dipahat adalah untuk menyatakan kedaulatan Dyah Belitung sebagai seorang raja, sebab itulah hanya nama raja-raja berdaulat sahaja dipahat; sedangkan Prasasti Wanua Tengah III dipahat atas kapasiti penggunaan dan status tanah di Wanua Tengah sejak daripada zaman Rakai Panangkaran sehinggalah zaman Dyah Balitung. Tanah apalah ni agaknya, hingga semua raja ambil berat. Yang bagusnya, Prasasti Wanua Tengah III ini berserta tarikh dan tempoh pemerintahan.

Kebiasaannya, untuk memudahkan pemahaman kita tentang daftar raja-raja Mataram Kuno, Prasasti Mantyasih sering dijadikan panduan apabila membicarakan susunan zaman pemerintahan raja-raja ini. Lupakan sahaja Prasasti Wanua Tengah III melainkan anda melakukan kajian tegar.

Malangnya, daftar nama ini hanya menyebut gelar Rakai dan tempat mereka berkuasa, tiada nama abisheka atau nama asal mereka, kecuali Sang Ratu Sanjaya. Yang penting, sebelum tahun 907 M, kita tahu adanya 8 raja berdaulat yang memerintah Medang Kuno sebelum Dyah Balitung naik takhta.

Antara persoalan yang ditimbulkan oleh Prasasti Mantyasih, mengapa hanya Rakai Mataram mengguna kata gelar Sang Ratu, dan yang lainnya Sri Maharaja? Adakah mereka ini semuanya anak beranak? Konsolidasi kuasa turun temurun? Atau… ada raja lain yang menyelit?

Ini hanyalah daftar nama raja-raja berdasarkan dua prasasti sahaja. Bagaimana pula dengan nama-nama ini? Dharanindra, Balaputradewa, Pramodawardhani, Samaragrawira dan Samaratungga? Apakah peranan mereka dalam kerajaan Medang Kuno?

Bersambung bahagian IV nanti untuk meneliti lebih banyak prasasti dan makanya, lebih banyak nama raja yang akan timbul.

Apa-apa pun, banyak lagi persoalan lain hingga kini tidak terjawab…

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *