Candi Gedong Songo bermaksud Candi Sembilan Bangunan. Ianya terletak di lereng Gunung Ungaran, di Desa Darum, Kelurahan Candi, Kecamatan Bandungan, Kabupaten Semarang, Jawa Tengah dan ianya terletak pada ketinggian 1,200 mdpl.
Pendapat popular mengatakan Sir Stamford Rafles menemui candi-candi ini pada tahun 1804 tetapi ada yang berpendapat ianya terlebih dahulu ditemui oleh Joan Gideon Loten sekitar tahun 1740.
Namun, Stamford Rafleslah yang memberi nama asalnya Gedong Pitu (Tujuh) kerana beliau hanya menemui tujuh candi sahaja. Ianya ditukar kepada Songo (Sembilan) setelah ditemui dua lagi candi di sini oleh penyelidik Belanda yang bernama Van Stein Callenfels.
Seperti candi-candi di Dataran Dieng yang dibina di tanah tinggi, ianya dibina pada zaman pemerintahan Dinasti Sanjaya/Syailendra daripada Kerajaan Medang atau nama lainnya Mataram Kuno yang berkuasa di Jawa Tengah sekitar abad ke-8, 9 dan 10 Masihi.
Dinasti Syailendra lebih sinonim kepada agama Buddha, oleh itu candi-candi di Gunung Ungaran berkemungkinan besar dibina oleh pewaris Dinasti Sanjaya yang beragama Hindu.
Pembinaannya di lereng gunung juga bertepatan dengan konsep ‘Sacred Mountain‘ agama Hindu seperti Gunung Meru yang menjadi ‘syurga Brahma’ dan juga Gunung Kailash yang menjadi tempat bersemayamnya Shiva.
Antara arca-arca yang masih dapat dilihat di sini ialah Durga, Ganeisha, Agastya, Mahakal dan Nandiswara.
Untuk ke sini, bandar yang terdekat dan paling mudah adalah melalui Kota Semarang. Anda juga boleh ke sini dari Surakarta atau Yogyakarta tetapi agak jauh sedikit perjalanannya.