Sejarah Warisan

Candi Ijo, ‘Menara Tinjau’ Kota Jogja

Yogyakarta sememangnya terkenal dengan dua candi yang hebat binaannya iaitu Candi Borobudur dan juga Candi Prambanan. Di tangga ketiga dan keempat semestinya Kedaton Ratu Boko dan Candi Plaosan Lor.

Namun, ada sebuah lagi candi yang tak kurang hebatnya iaitu Candi Ijo. Candi yang dibina pada abad ke-9 ini tidaklah sebesar candi-candi yang disebutkan di atas tetapi kedudukan candi ini pada ketinggian 410 mdpl, di lereng Bukit Hijau, sebahagian daripada perbukitan Batur Agung menyediakan pemandangan indah Kabupaten Sleman dan sekitarnya.

Candi Ijo (induk)

Secara tepatnya, Candi Ijo terletak di Dukuh Groyokan, Desa Sambirejo, Kecamatan Prambanan, Kabupaten Sleman, Daerah Istimewa Yogyakarta.

Berdekatan dengan Candi Ijo ini terdapat gugusan candi seperti Prambanan, Istana Ratu Boko, Candi Banyunibo, Candi Sojiwan dan lain-lain lagi.

Candi perwara (Trimurti)

Candi Ijo terdiri daripada sebuah candi induk dan berhadapan dengannya terdapat tiga candi kecil yang dibina untuk memuja Trimurti (Brahma, Vishnu dan Shiva). Terdapat arca lembu Nandini, iaitu kenderaan Dewa Shiva di dalam salah sebuah candi kecil ini.

Arca Nandini di dalam salah sebuah candi perwara

Menariknya, Candi Ijo ini menunjukkan adanya asimilasi (Bahasa Indonesianya ‘sinkretisme’) di antara Hindu-Buddha. Boleh dilihat ‘kala makara‘ bermotifkan ‘kepala ganda‘ yang lebih sinonim dengan ajaran Buddha.

Relief Kala Makara di pintu masuk candi

Seperti yang kita ketahui, Buddha (Syailendra) dan Hindu (Sanjaya) hidup berdampingan pada zaman ini dan pasti adanya asimilasi budaya dan agama, setidak-tidaknya melalui perkahwinan, contohnya perkahwinan antara Pramodhawardhani (wangsa Syailendra menganut Buddha Mahayana) dengan Rakai Pikatan (wangsa Sanjaya menganut Hindu Siwa).

Sesuatu yang lebih menarik mengenai candi ini adalah penemuan dua buah prasasti di mana salah satu daripadanya merupakan prasasti kutukan yang tertulis mantra yang diulang sebanyak 16 kali. Apa yang boleh dibaca ialah ‘Om Sarwwawinasa, Sarwwawinasa’. Peristiwa apakah yang terjadi hingga dikeluarkan prasasti kutukan ini masih menjadi persoalan sehingga kini.

Memang agak menyegarkan tika duduk di sekitar candi ini berdepankan pemandangan bumi Jogja yang indah dan menghijau. Tebing Breksi yang kini menjadi lokasi anak-anak muda hipster juga hanya sepelaung dari Candi Ijo yang gah bak ‘menara tinjau‘ Yogyakarta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *