Jika anda ke Yogyakarta, Candi Prambanan adalah destinasi yang pasti anda akan lawati. Seperti juga Candi Borobudur dan Gunung Merapi, Candi Prambanan ini adalah ikon pelancongan Yogyakarta dan bukti kegemilangan sejarah lampaunya.
Candi Prambanan atau nama lainnya Candi Roro Jonggrang terletak di Kecamatan Prambanan, Sleman dan Klaten, betul-betul di sempadan Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta dan Provinsi Jawa Tengah.
Ianya dibina oleh Rakai Pikatan daripada Dinasti Medang atau nama lainnya Mataram Kuno. Dikatakan candi Hindu ini dibina untuk menandingi kehebatan Candi Borobudur yang dibina oleh Dinasti Sailendra yang beragama Buddha.
Nama lainnya iaitu Roro Jonggrang berkemungkinan besar terhasil daripada cerita mitos yang dimulai pada zaman Kesultanan Mataram. Ianya mengisahkan dua kerajaan besar yang berperang iaitu Kerajaan Pengging yang kaya dan Kerajaan Boko yang dihuni oleh raksasa pemakan manusia. Dipendekkan cerita, putera raja Pengging yang bernama Raden Bandung Bondowoso berjaya membunuh Raja Boko iaitu Prabu Boko.
Namun begitu, beliau telah jatuh cinta dengan puteri sang raksasa yang telah mangkat tadi. Puteri Roro Jonggrang tidak mahu bernikah dengan pembunuh ayahnya. Oleh itu diberinya dua syarat untuk dipenuhi jikalau sang putera mahu menyunting dirinya.
Yang pertama, sang putera mestilah membuat sumur Jalatunda. Putera Bondowoso menggunakan kesaktiannya untuk menghasilkan sumur ini. Maka, selesailah syarat yang pertama.
Syarat yang kedua ialah sang putera mestilah membina 1,000 candi dalam satu malam! Dengan menggunakan buruh kasar yang terdiri daripada jin, syaitan dan makhluk halus, sang putera telah berjaya membina 999 buah candi tetapi candi yang ke-seribu gagal dibina dek kerana tipu helah Puteri Roro Jonggrang yang membakar padi lalu menerangi bumi seolah-olah hari hampir siang. Ini menakutkan buruh kasar terbabit lalu meninggalkan tapak binaan candi yang ke-seribu.
Putera Bondowoso berang setelah mengetahui tipu muslihat sang puteri lalu disumpahnya menjadi batu. Hasilnya, sang puterilah candi batu yang keseribu itu!
Istana Ratu Boko yang berdekatan dengan Candi Prambanan ini dikatakan istananya Prabu Boko, sang gergasi pemakan manusia. Istana atau Keraton Ratu Boko kini merupakan destinasi pelancongan utama menyaksikan matahari terbenam di Yogyakarta.
Begitulah cerita mitos yang menarik ini…
Pada period kedua Empayar Sriwijaya yang berpusat di Tanah Jawa, Dinasti Sailendra dan Sanjaya masing-masing cuba mengukuhkan kedudukan mereka di Jawa Tengah dan dikatakan Rakai Pikatan membina candi Hindu ini sebagai tanda keagungan Dinasti Sanjaya.
Kedudukan Rakai Pikatan sebagai salah seorang raja Kerajaan Medang ini tidaklah dapat disangkal kerana gelaran Pikatan yang digunakan raja ini disebut di dalam Prasasti Kedu sebagai Sri Maharaja Rakai Pikatan. Prasasti Mantyasih juga ada menyebut nama Mpu Manuku iaitu nama lainnya Rakai Pikatan.
Pada zaman pemerintahan Rakai Pikatan ini jugalah terjadi asimilasi agama yang jelas di antara Dinasti Sailendra yang beragama Buddha Mahayana dan juga Dinasti Sanjaya yang beragama Hindu Siva/Siwa melalui perkahwinan beliau dengan Pramodawardhani yang berasal dari Dinasti Sailendra.
Bagi mereka yang mengkaji Kerajaan Sriwijaya pasti tahu akan pergeseran antara Balaputradewa dan Rakai Pikatan yang menggunakan gelar Jatiningrat. Ianya tercatat pada Prasasti Balaputra-Jatiningrat.
Ada pendapat yang mengatakan kekalahan Balaputradewa dari Kerajaan Sailendra kepada Rakai Pikatan menyebabkan beliau menyingkir ke Sumatera dan menjadi raja Suwarnadwipa, seperti tercatat pada Prasasti Nalanda yang terkenal.
Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang Candi Prambanan dan pembinanya, Rakai Pikatan. Ianya bukanlah suatu perkongsian yang mudah apabila berbicara tentang Sriwijaya dan juga Kerajaan Sailendra/Sanjaya ini.
Terlalu banyak lompang di dalam lipatan sejarahnya. Lompang-lompang ini menyebabkan para sejarawan mempunyai pendapat yang berlainan dan sebaiknya kita meraikan perbezaan pendapat dan pentafsiran ini, sehinggalah penemuan-penemuan baru dibuat pada masa akan datang.