Artikel Umum Sejarah

Evolusi Pembuatan Kertas Dari China Ke Eropah Melalui Dunia Islam

Kisah Pertempuran Talas (751 M) yang aku coretkan tidak lama dulu dikatakan bermulanya teknologi pembuatan kertas secara manual masuk ke dunia Islam dari China.

Lukisan Pertempuran Talas (gambar ehsan Google)

Tahanan tentera Dinasti Tang ini ada yang mempunyai kepakaran membuat kertas, lalu skil ini digunakan sebaik-sebaiknya oleh pemerintah Kota Samarkand dengan membuka pusat pembuatan kertas yang dihasilkan daripada serat pokok mulberi dan lain-lain. Sogdia di Samarkand adalah tempat di mana pusat penghasilan kertas ini diwujudkan.

Kertas Samarkand yang berkualiti tinggi ini tersebar ke seluruh tanah jajahan kerajaan Islam. Perkembangan ini telah menyebabkan penggunaan kulit dan ‘kertas’ papyrus Mesir semakin pupus.

Pembuatan kertas di Samarkand (gambar ehsan Google)

Kilang membuat kertas yang lebih besar di Baghdad dan Damsyik hanya wujud hampir separuh abad setelah pembuatan kertas Samarkand bermula, iaitu pada tahun 794 Masihi. Pada awal abad ke-10, Kaherah juga sudah mula membuat kertas dan kemudian diikuti oleh Tunisia dan Maghribi.

Pembuatan dan penggunaan kertas juga telah menyuburkan lagi aktiviti penyelidikan, penulisan dan penyebaran pelbagai bidang ilmu di zaman pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid (786-806 M) dan anaknya, Khalifah Al-Ma’mun (813-833 M). Baitul Hikmah telah menjadi pusat keilmuan yang masyhur.

Ilustrasi suasana pembelajaran di Bsitul Hikmah (gambar ehsan Google)

Fez, Maghribi yang merupakan pusat intelektual Islam di Afrika Utara kemudiannya menjadi pusat penghasilan kertas terkemuka. Tahukah anda bahawa universiti yang tertua di dunia dan masih beroperasi adalah Universiti Al-Karaouine di Fez? Universiti yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia ini ditubuhkan pada tahun 859 Masihi.

Universiti tertua di dunia. Universiti Al-Karaouine di Fez, Maghribi (gambar ehsan Google)

Teknologi pembuatan kertas akhirnya tiba di Eropah, yakni di Andalusia dan kilang pembuatan kertas yang besar dan berteknologi lebih maju dibangunkan di Xativa pada tahun 1151 Masihi.

Pada ketika itu, Eropah masih lagi menggunakan medium (parchment) daripada kulit binatang dan lain-lain. ‘Pergamon Parchment’ pada masa itu digunakan berleluasa di Eropah dan kertas adalah medium yang amat asing.

Gambar ehsan Google

Penggunaan kertas pada asalnya diharamkan di Eropah oleh Raja Frederick II pada abad ke-13 kerana ianya dianggap sebagai teknologi Islam. Satu dekri telah dikeluarkan mengharamkan penggunaannya untuk urusan rasmi kerajaan.

Sebenarnya, teknologi pembuatan kertas sampai kepada kerajaan Kristian Eropah melalui Itali. Ia masuk menerusi Pulau Sicily yang dikuasai oleh kerajaan Islam dan tidak melalui Tanah Besar Andalusia seperti yang disangka oleh banyak pihak.
Kilang membuat kertas kemudiannya dibina di Fabriano dan Treviso.

Teknologi pembuatan kertas di Eropah (gambar ehsan Google)

Negara-negara Eropah lain juga membina kilang membuat kertas seperti di Mainz, Jerman (1320 M) dan di Troyes, Perancis (1348 M).

Begitulah secara ringkasnya bagaimana teknologi pembuatan kertas yang berasal dari China masuk ke dunia Islam melalui Samarkand, dimajukan oleh Orang Islam dan kemudiannya masuk ke Eropah melalui Andalusia dan Pulau Sicily.

Artikel seterusnya nanti akan menceritakan tentang perkembangan teknologi pembuatan kertas dan teknologi percetakan di Eropah dan dunia Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *