Hikayat ini, seperti kebiasaan ceritera hikayat zaman peralihan Hindu-Buddha mengisahkan pengembaraan seorang putera raja mencari sesuatu. Ada kisah cinta, perang, perebutan kuasa dan pelbagai kerenah lagi sepanjang perjalanan anak raja itu dalam suatu pencarian yang berliku.
Bukan kisah hikayat ini yang hendak aku ceritakan, jika hendak tahu lebih lanjut, bacalah bukunya tetapi apa yang aku hendak ceritakan ialah bagaimana hikayat yang dianggap antara paling popular ini mampu bertahan sejak berzaman.
Hikayat Syah Mardan juga dikenali sebagai Hikayat Indera Jaya atau Hikayat Bikrama Datya Jaya.
Siapa penulis asal dan di mana ianya ditulis tidaklah diketahui dengan tepat namun, menurut Vladimir Braginsky hikayat ini mungkin ditulis di antara akhir abad ke-16 hingga tahun 1736 (Braginsky, 1988/89: 109).
Hikayat Syah Mardan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini adalah kepunyaan T.J. Chamberlaine yang salinannya bertarikh 30 Ogos 1871. Penyalinnya ialah Encik Muhammad Ariffin bin Tuan Haji Abdul Razik.
Naskhah Hikayat Syah Mardan boleh didapati di beberapa perpustakaan seperti di Leiden, London dan Jakarta. Naskhah di Leiden (Cod. Or. 1919) mencatatkan pengarang hikayat ini adalah Syeikh Mohammad Asyiq Abd. Al-Faqr. Secara keseluruhannya, terdapat tujuh naskhah di Belanda, di United Kingdom ada sebelas naskhah (versi Melayu dan Bugis) dan di Jakarta ada tujuh naskhah.
Hebatnya, hikayat ini diterjemah ke dalam bahasa Makasar, Jawa, Bugis dan Sasak. Versi Jawa berjudul ‘Angling Darma’ dan yang membezakan versi Melayu dan Jawa ini adalah ketiadaan unsur-unsur Islam di dalam penulisan versi Jawa tersebut. Oleh sebab itu jugalah Hikayat Syah Mardan ini mempunyai beberapa versi.
Cintailah hikayat lama, warisan leluhur kita.
Rujukan:
Hikayat Syah Mardan, Zabedah Abdullah (penyelenggara), DBP, 2000