Kembara Baby Banda Aceh 2018 Personaliti Sejarah

Jejak Aceh: Siapakah Cut Nyak Dhien?

Banyak yang sudah diperkatakan dan ditulis tentang Cut Nyak Dhien (sebutan deen), tetapi ramai juga yang mengenali beliau hanya sekadar nama. Jikalau ditanya siapakah Cut Nyak Dhien? Jawapan klise yang pastinya terngiang ialah; ‘beliau adalah pahlawan nasional Indonesia menentang Belanda’. Penulisan artikel ini fokusnya sekadar memberi sedikit maklumat tentang beliau, cukup untuk mengenali sosok kecil namun berjiwa besar yang menjadi ikon kebanggaan warga Nanggroe Atjeh Darussalam.

Replika Rumah Cut Nyak Dhien di Lampisang, yang asalnya musnah dibakar Belanda
Bersama Kak Asiah, penjaga Rumah Cut Nyak Dhien

Cut Nyak Dhien dilahirkan di Lampadang, sebuah perkampungan di wilayah VI Mukim. Peukan Bada pula adalah ibu kota VI Mukim. Tsunami yang membadai pesisir pantai Aceh pada tahun 2004 sedikit sebanyak meletakkan Peukan Bada dalam peta pelancongan Provinsi Aceh kerana di sinilah letaknya ‘kubah terapung’ yang menjadi salah satu tarikan utama ke Aceh Besar.

Kubah Terapung Peukan Bada
Pemandangan desa di Peukan Bada

Cut bernikah sebanyak dua kali dalam hidupnya, pertama kali dengan Teuku Cik Ibrahim, anak kepada Uleebalang Lamnga pada usia 12 tahun. Suami pertama beliau ini adalah wira Aceh yang berterusan menentang Belanda. Cut pernah ditinggalkan selama beberapa tahun kerana Teuku Cik Ibrahim sentiasa menjadi buruan Belanda. Malangnya, beliau mati dibunuh tentera Belanda dalam pertempuran di Gle Tarum, Aceh Besar pada 28 Jun 1878.

Gambar Teuku Umar dengan gelar Johan Pahlawan ketika bersandiwara bekerjasama dengan Belanda

Setelah kematian suaminya, dendam kesumat Cut terhadap Belanda tak terbendung hinggakan apabila Teuku Umar melamarnya, Cut menyatakan yang dia akan menerima lamaran tersebut jika dibenarkan ikut serta berperang menentang ‘khape’ Belanda. Maka, pada tahun 1880 Teuku Umar dan Cut Nyak Dhien diijabkabulkan.

Teuku Umar yang duduk di tengah

Teuku Umar sebenarnya adalah anak bangsawan yang merupakan sepupu Cut. Beliau amat dihormati oleh rakyat Meulaboh dan dikenali sebagai anak lelaki Teuku Achmad Mahmud, cucu Panglima Nanta Seutia yang paling berwibawa daripada 4 anak lelakinya.

Tentera Belanda yang sedang mara ke perbukitan
Kuta Brandang, kampung Teuku Umar sejurus dikuasai oleh Belanda

Cut kerap mengikut Teuku Umar dalam operasi menyerang hendap kedudukan Belanda. Antara pertempuran yang disertai beliau bersama Teuku Umar adalah serangan terhadap Kutaraja (Banda Aceh) dan Meulaboh.

Pada 11 Februari 1899, Teuku Umar telah terkorban di Meulaboh setelah diserang hendap oleh soldadu Belanda yang dipimpin oleh Van Heutsz. Cut, tanpa membuang masa telah mengambil alih tempat Teuku Umar dan meneruskan kempen perang terhadap Belanda. Penentangan beliau berakhir apabila ditangkap Belanda setelah kedudukan tentera beliau di Beutong Le Sague dibocorkan oleh panglimanya sendiri. Cut ditahan di Banda Aceh untuk beberapa ketika sebelum dibuang daerah ke Sumedang, Jawa Barat.

Ahli keluarga Teuku Umar yang ditawan oleh Belanda
Para pejuang Aceh yang dijadikan buruh paksa. Mereka bekerja sambil tangan diikat

Cut Nyak Dhien menghabiskan sisa hidupnya di Sumedang dan meninggal dunia pada 6 November 1908. Makam beliau masih boleh dilawati di Sukajaya, Sumedang Selatan, Jawa Barat.

Kapal Belanda berlabuh di Aceh Besar menandakan bermulanya Perang Aceh pada tahun 1873

Bagiku, pengajaran yang paling besar adalah kisah kecekalan dan keberanian wanita Aceh. Cut Nyak Dhien ditahan tentera Belanda dengan rencong masih di tangan. Cut Meutia yang ditembak mati juga menghunus rencong di tangan. Tidak hairanlah rencong menjadi simbol keberanian dan keperkasaan bangsa Melayu Aceh.

Sumber dan bacaan lanjut:

1. Cut Nyak Din, Muchtaruddin Ibrahim, 1981

2. Cut Nyak Dien: Kisah Ratu Perang Aceh, Madelon H Székely-Lulofs, 2007

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *