Penulisan Jelajah RJSSBL (Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung) Mei 2016 seperti di dalam Majalah Backpackerz Vol. 11
Lokasi: Bengkulu dan Curup
Setelah dua hari aku berada di Kerinci, kini tiba masanya untuk aku meninggalkan Pekan Sungai Penuh dan bertolak ke Kota Bengkulu, Provinsi Bengkulu dengan menaiki Angkotan Antara Provinsi (AKAP) Safa Marwa. Pukul 9 pagi van yang ditunggu-tunggu tiba di muka hotel dan ia sudah penuh dengan penumpang.
Perjalanan hari ini pasti memenatkan kerana jam pertama perjalanan akan melalui pergunungan Bukit Barisan, sebahagian daripada Taman Nasional Kerinci Seblat. Pemandangan pergunungan ini amat memukau namun aku tidak dapat mengambil sebarang gambar dek kerana van terloncat-loncat dan terhoyong-hayang sepanjang kami merentasi banjaran menuju ke Tapan di Provinsi Sumatera Barat.
Sedang aku gigih menguasai diri menghadapi dugaan ‘roller coaster’ ini, bahu aku ditepuk penumpang belakang yang bersuara dengan cemas,
“ Asoi pak! Asoi…”
Rupa rupanya dia meminta plastik kosong kerana tidak dapat lagi menahan rasa mual dan hendak muntah. Mujur aku duduk di tepi tingkap.
Setelah menuruni Banjaran Bukit Barisan, AKAP berhenti rehat di tebing sungai yang tidaklah aku pasti apa namanya, namun pengalaman menunaikan solat di atas batuan sungai berserta kicauan burung dan deruan air pastinya suatu pengalaman yang indah. Terasa seperti pendekar Melayu rehat sebentar daripada berburu pelanduk.
Hentian rehat yang terakhir ialah di Lais, yang diingati sebagai pusat gempa yang melanda Sumatera pada tahun 2010.
Amat bosan sekali pemandangan di sepanjang perjalanan antara Tapan dan Bengkulu. Apa yang aku boleh lihat hanyalah pepohon kelapa sawit yang ditanam dari kawasan perbukitan sehinggalah ke tepian pantai! Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, Pulau Sumatera memang telah dikomersilkan dengan hebat sekali. Patutlah setiap kali pembakaran terbuka dilakukan untuk membuka tanah tanah baru, Semenanjung Malaysia dilanda jerebu yang amat menyiksakan.
Aku hanya tiba di Bengkulu lebih kurang jam 9 malam dan disambut oleh Pak Ariffin dan Pak Wendra di Grand Jitra Guesthouse. Sempat lagi aku melayan rancangan realiti tv bergenre dangdut, sebelum melabuh mata malam itu.
Hari berikutnya, seusai sarapan pagi, aku berjalan kaki menuju ke Kompleks Makam Inggeris yang berdekatan dengan hotel aku menginap. Dikatakan makam ini adalah makam Inggeris yang terbesar di Asia Tenggara. Dahulunya terdapat lebih kurang 1,000 nisan namun kini hanya berbaki sekitar 53 buah kuburan sahaja setelah pembangunan di kawasan sekitar memerlukan tanah itu ditebus guna.
Dari makam ini aku berjalan kaki lagi hingga sampai ke Benteng Marlborough, tujuan utama kenapa aku ke Bengkulu ini. Di zaman penjajahan Inggeris, Bengkulu dikenali sebagai Bencoolen dan kubu ini dibina untuk melindungi kepentingan Inggeris di dalam perdagangan rempah-ratus di Nusantara.
Pada tahun 1824, setelah termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda di London, kota ini diserahkan kepada Belanda. Kini Fort Marlborough lebih kepada sebuah muzium mempertontonkan kisah silamnya.
Antara dua buah pantai yang terkenal di Bengkulu ialah Pantai Tapak Padri dan juga Pantai Panjang. Kelihatan banyak bot nelayan teroleng-oleng dilambung ombak di kala air pasang dan berombak tinggi.
Hari kedua di Bengkulu aku lengkapi dengan melawat Rumah Pengasingan Bung Karno. Di sini Presiden Indonesia pernah dikenakan tahanan dalam rumah, setelah 4 tahun beliau ditahan di Ende, Flores.
Di rumah ini jugalah beliau bertentang mata buat pertama kalinya dengan Ibu Fatmawati yang kemudiannya menjadi isterinya yang ketiga. Sungguh ramai orang yang melawat tempat ini dan aku tidak lekang disapa oleh penduduk setempat yang bertanyakan aku ini dari mana asalnya.
Hari ke-8 dalam rangka lawatan ini aku gunakan untuk ke Curup, iaitu sebuah pekan di pergunungan Bukit Barisan. Di dalam bas, tempat duduk aku paling hadapan, dapatlah aku nikmati pemandangan indah Bukit Barisan dan perdesaan di sepanjang perjalanan Bengkulu – Kepahiang – Curup ini. Kota Curup terkenal dengan penghasilan biji kopi yang banyak dihantar ke serata Indonesia.
Setiba aku di Curup, aku disambut oleh Bang Udin yang membuka ‘kantor kecil’sebagai wakil syarikat bas ekspres ini. Aku tiada teman atau apa-apa rancangan di Curup. Kali ini aku betul-betul mengambil pendekatan redah selagi boleh. Bang Udin agak teruja melihat aku seorang warga asing berani berputaran di Curup seorang diri. Beria-ia beliau memberi aku pelbagai nasihat demi ‘kelangsungan’ hidup aku di kota ini.
Kabupaten Rejang Lebong ini menyimpan pelbagai kisah tragis yang membabitkan unsur-unsur keselamatan setempat. Malah sepanjang aku berada di sini, dua tiga kali aku diberi peringatan untuk menjauhi beberapa kawasan yang agak ‘panas’.
Aku mendapatkan khidmat ojek seorang pemuda Curup dan aku bilang padanya untuk membawa aku masuk ke desa-desa di sepanjang perjalanan ke Danau Mas Harun Bistari dan Pemandian Air Panas Suban. Memang sudah menjadi tabiat aku untuk melihat dan berinteraksi dengan penduduk setempat.
Pada sebelah malam, Bang Udin membawa aku berjalan-jalan sekitar Kota Curup dan kebetulan pula ada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-136 kota indah ini. Habis diperkenalnya aku kepada rakan-rakan beliau dan terasa jugalah aku ini bagaikan menantu kesayangan yag baru pulang dari perantauan.
Kami berpisah di luar hotel di mana aku menginap dan keesokan harinya aku terus ke kantor kecil Bang Udin untuk meneruskan perjalanan ke Lampung. Sebelum itu sempat juga beliau bercerita tentang perjalanan yang akan aku lalui kelak.
Perjalanan menuju ke Bandar Lampung memang agak mencabar. Bukan sahaja perjalanannya memakan masa yang amat panjang tetapi jalannya juga kecil dan berlubang-lubang. Banyak kali juga bas melalui perkampungan yang mempunyai ‘pondok tol’ mereka sendiri. Satu kejadian yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila bas disekat dengan penghadang jalan haram yang diletakkan oleh pemuda-pemuda desa.
Penghadang ini sebenarnya adalah kerusi kayu yang disusun merentangi jalan, Mereka tidak mahu memberi keizinan untuk bas meneruskan perjalanan kerana tidak berpuas hati dengan wang tol yang diberi. Suasana hiruk-pikuk dengan jeritan pemuda-pemuda ini, pada ketika manusia sedang lena diulit mimpi jam 2 pagi. Pemandu bas dengan dibantu oleh 3 lagi petugas yang menaiki bas ini tidak mengendahkan permintaan mereka dan akhirnya pemuda-pemuda tersebut mengangkat sekatan jalan raya tadi.
Aku kira ada lebih daripada 15 sekatan jalan raya dilakukan sepanjang perjalanan ke Bandar Lampung. Pemandu bas ada menyediakan kotak yang menempatkan wang kecil atau wang ricihan untuk diberi kepada mereka yang melakukan sekatan jalan raya. Memandangkan aku duduk di kerusi paling hadapan, semua kejadian ini dapat aku lihat dan alami sendiri.
Akhirnya bas tiba di Bandar Lampung jam 9.30 pagi setelah mengharungi perjalanan selama 18 jam. Ianya perjalanan yang memenatkan namun tidak sunyi daripada kejadian yang berkemungkinan besar tidak akan aku temui di Malaysia.
Sepanjang aku berada di Bengkulu dan di Curup, aku ditemukan dengan insan-insan hebat yang banyak membantu seperti Pak Ariffin, Pak Wendra dan Bang Udin, lebih-lebih lagi Bang Udin yang amat banyak membantu. Mungkin kerana beliau juga adalah seorang pengembara yang pernah merantau di Kepulauan Jawa dan Sumatera mencari rezeki. Asal beliau dari Sumatera Barat, Ranah Minang kata orang tempatan.
Benarlah kata orang, jauh perjalanan, luas pandangan. Aku sudahi dahulu Bahagian 4 Jelajah RJSSBL dan bersambung di bahagian akhir nanti.