Tour RJSSBL

Jelajah RJSSBL – Jambi (Bahagian 2)

Penulisan Jelajah RJSSBL (Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung) Mei 2016 seperti di dalam Majalah Backpackerz Vol. 10

Lokasi: Jambi

Pengembaraanku diteruskan ke Kota Jambi dengan menaiki bas sederhana besar yang dinamakan Angkotan Antara Provinsi (AKAP) dan tiba di sana sekitar jam 5 pagi. Seusai solat Subuh, aku bersetuju untuk menggunakan khidmat ojek Pak Zainal yang dari tadi bersungguh-sungguh mahu aku menerima lamarannya. Baiklah Pak Zainal, asalkan upahnya munasabah bilangku padanya.

Angkotan Antara Provinsi ke Jambi

Aku agak keletihan sebenarnya kerana perjalanan malam tadi mengambil masa hampir 12 jam namun aku tidak punya banyak waktu dan di Jambi ini aku hanya ingin melihat tinggalan Kerajaan Sriwijaya di Kompleks Candi Muaro Jambi dan juga berjalan kaki di atas Jembatan Pedestrian yang merentasi Sungai Batanghari menuju ke Menara Gentala Arasy di seberang sana.

Jambi dari Jembatan Pedestrian seusai Subuh

Jambi hebat sebenarnya! Di sini wujud 3 zaman pemerintahan besar kerajaan Melayu yang dikenali sebagai Kerajaan Melayu Tua, kemudian muncul Kerajaan Dharmasraya dan yang terakhir ialah Kesultanan Melayu Jambi. Penulisan lanjut mengenai zaman-zaman ini akanku coretkan di FB PageSoullo Backpackerz‘ nanti.

Tidak terasa asing di Jambi. Sama sahaja dengan tempat asalku

Sempat juga aku menyaksikan matahari terbit daripada atas Jembatan Pedestrian ini. Ianya detik yang indah dan mengkagumkan. Gentala Arasy, atau Genah Tanah Lahir Abdurrahman Sayuti bersinar indah ditambah pula dengan deruan enjin bot meninggalkan tambatan, perlahan-lahan pudar daripada pandangan.

Candi Kedaton
Kawasan Candi Kedaton yang luas

Setelah puas aku berada di jambatan ini, perjalanan diteruskan ke Kompleks Percandian Muaro Jambi di Kecamatan (Mukim) Muaro Sebo yang berjarak sekitar 17 kilometer dari kota. Situs ini merupakan percandian Hindu-Buddha yang terluas di Indonesia. Ianya pertama kali ditemui pada tahun 1824 oleh seorang warga Inggeris dan hanya dipugar sekitar tahun 1975 oleh Kerajaan Indonesia.

Candi Kembar Batu
Candi Tinggi I
Terusan lama yang dahulunya merupakan laluan utama di kawasan Percandian Gumpung ini

Candi yang paling terkenal di sini ialah Candi Kedaton yang terbesar dan dibina menggunakan bahan yang berlainan dari candi-candi yang lain. Candi Gumpung juga tidak kurang hebatnya. Terdapat beberapa candi lain serta terusan lama yang menandakan kawasan ini memang dibangunkan secara sistematik.

Candi Gumpung dari hadapan
Sisi tepi Candi Gumpung

Langkah kanan sebenarnya kedatangan aku ke Muaro Jambi ini. Kebetulan hari ini ada sambutan ‘Wonderful Indonesia Festival’. Dapatlah aku melihat paluan kompang tradisional masyarakat Jambi, tarian Melayu dan juga pakaian tradisional yang indah-indah.

Khemah Sekretariat Wonderful Indonesia

Apa kesimpulan yang aku boleh katakan mengenai adat dan resam masyarakat Melayu Jambi? Tak banyak beza dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Benarlah kata orang, kita ini serumpun, sedarah dan bersaudara.

Gadis rupawan Melayu Jambi
Berbaju Melayu kemas berarak menuju astaka

Selesai di Kompleks Percandian Muaro Jambi, aku menuju ke Masjid Agung Al-Falah yang terkenal dengan nama ‘Masjid 1,000 Tiang’ walaupun masjid ini hanya mempunyai 256 batang tiang sahaja.

Masjid Seribu Tiang
Tiang-tiang di Masjid Al-Falah

Selepas bersolat Zohor dan makan tengah hari aku terus menuju ke pejabat jualan tiket AKAP Safa Marwa yang akan membawa aku ke Kerinci malam nanti. Waktu yang terluang sementara menunggu van AKAP ini aku gunakan untuk berehat dan melelapkan mata di sebuah rumah tumpangan murah.

Perjalanan malam ini pasti lebih mencabar kerana ianya bukan sahaja mengambil masa selama 10 jam tetapi akan melalui kawasan hitam yang terkenal dengan rompakan bersenjata secara berkumpulan. AKAP ini hanya akan bertolak secara konvoi sebanyak 4 atau 5 buah van untuk mengelak daripada terjadinya rompakan di kawasan pergunungan Kerinci Seblat ini.

AKAP Safa Marwa yang membawaku ke Kerinci

Tidak banyak yang dapat aku perkatakan tentang perjalanan AKAP ini ke Kerinci, melainkan keadaan yang tidak selesa dek kerana pemanduan yang amat rakus dan permukaan jalan yang tidak begitu baik. Sepanjang perjalanan pak supir memainkan lagu-lagu Minang, Melayu Semenanjung dan techno dengan nyaring sekali, seolah-olah kami, para penumpang ini tidak wujud. Namun, lama-kelamaan aku terbiasa juga dengan situasi bingit ini dan dapat menenangkan diri.

Tiba tiba… van bergerak perlahan, suasana sepi seperti dilanggar garuda… mungkin kerana semua sudah ketiduran. Cahaya rembulan menyinar kesamaran, angin luar sejuk sampai ke tulang dinginnya dan corong speaker mengalunkan bait-bait indah ini…

Tu Hi Yeh Mujhko Bata De… Chahoon Main Ya Naa

Tugu Monas Jambi

Ah… Merdu sekali lagu Hindustan daripada Filem Aasyiqui 2 ini. Teringat aku pada si isteri yang setia menanti aku kembali. Waktu-waktu sebegini, tiada harga galang ganti. Refleksi demi refleksi bermain dalam kotak minda. Inilah momen yang amat bererti buat sang pengembara. Ianya detik yang tidak boleh dipaksa dan tiba pabila sampai tikanya.

Aku sudahi dahulu bahagian 2 ini dengan lelapnya mata sang pengembara, ketiduran tanpa suatu keselesaan. Esok masih panjang ceritanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *