Tour RJSSBL

Jelajah RJSSBL – Kerinci (Bahagian 3)

Penulisan Jelajah RJSSBL (Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung) Mei 2016 seperti di dalam Majalah Backpackerz Vol. 10

Lokasi: Kerinci Alam Nan Sakti

Sedar tak sedar aku sudah pun tiba di Sungai Penuh, Kerinci. Masih awal pagi lagi dan aku pun berputaran sekitar Pekan Sungai Penuh mencari rumah tumpangan dan motor sewa. Seperti di Riau dan di Jambi, tiada siapa yang mahu menyewakan motosikal mereka. Alasan masih sama, “Rawan begal Pak Afzan…”

Pekan Sungai Penuh, Kerinci pagi-pagi buta
Warga Kerinci dengan aktiviti harian mereka

Aku pun berurusan dengan seorang pengawal keselamatan bernama Pak Soni yang baru sahaja tamat syifnya dan beliau sanggup untuk membawa aku berputaran di Kerinci selama dua hari.

Kuda dijadikan pengangkutan awam di Siulak

Selepas membersihkan diri, kami pun menuju ke Perkebunan Teh Kayu Aro dan Gunung Kerinci. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam. Setelah sampai di Pekan Kayu Aro, aku dan Pak Soni bersarapan pagi sate padang. Kayu Aro ini adalah pekebunan teh yang diusahakan oleh Orang Jawa.

Pokok kayu manis ini banyak kelihatan tika menuju ke Kayu Aro

Mereka dibawa ke sini oleh Belanda suatu ketika dahulu dan terus menetap di sini hingga ke hari ini, sudah beberapa generasi lamanya, namun cara hidup Jawa itu masih menebal dan diteruskan.

Aku di ladang teh Kayu Aro berlatarbelakangkan Gunung Kerinci yang dilitupi kabus tebal

Sebelum tiba di Kayu Aro, aku terlihat amat banyak sekali pohon-pohon kayu manis yang ditanam secara komersil di lereng-lereng bukit. Kalau nak tahu, Kerinci merupakan kawasan penanaman pokok kayu manis yang terbesar di dunia! Hebat!

Ubi kentang yang ditanam di kaki Gunung Kerinci

Kerinci ada nama panggilan istimewanya iaitu Kota Kerinci Alam Nan Sakti. Banyak kisah mitos dan kesaktian yang diceritakan kepadaku sepanjang keberadaan aku di sini. Antara kisah yang paling menarik perhatianku ialah Kisah Si Uhang Pandak (Orang Pendek) yang menghuni Gunung Kerinci.

Tugu Macan berdekatan Gunung Kerinci. Wajib berfoto di sini
Gunung Tujuh. Ada danau di atas gunung ini

Ada yang mengatakan Uhang Pandak ini duduknya di Gunung Raya bersebelahan dengan Danau Kerinci. Uhang Pandak ini berjalan dengan tumit ke depan, seolah-olah kakinya terbalik 180 darjah. Namun, hingga kini tiada siapa yang dapat memberi bukti nyata akan kewujudan makhluk ini.

Air Terjun Telun Berasap yang garang dan ganas

Berdekatan dengan Gunung Kerinci, terdapat Air Terjun Telun Berasap yang memang deras alirannya. Dari air terjun ini, kelihatan Gunung Tujuh yang berlekuk di tengah. Kalau didaki gunung ini bolehlah aku bersampan ke tengah Danau Gunung Tujuh yang punya pelbagai kisah mistik juga.

Pemandian Air Panas Semerup

Dalam perjalanan ke Danau Kerinci yang berdekatan dengan Pekan Sungai Penuh, aku singgah sebentar di Permandian Air Panas Semerup. Bilaku tanya kenapa terdapat pagar yang menutupi kolam utama di sini, aku diberitahu bahawa ada kejadian membunuh diri oleh masyarakat setempat sehingga pemerintah terpaksa memagar kolam yang amat panas ini. Sedih aku mendengar kisah-kisah yang terjadi di kolam ini.

Rumah yang dibina hasil titik peluh TKI di Malaysia

Ketika menghampiri Danau Kerinci, terdapat satu perkampungan besar di mana hampir semua rumah di sini mempunyai parabola. Pak Soni bilang padaku perkampungan ini adalah hasil dari wang pencarian TKI (Tenaga Kerja Indonesia) di Malaysia. Mereka membeli tanah dan membuat rumah di sini.

Danau Kerinci berlatarbelakangkan Gunung Raya

Melihat perkampungan besar ini, tidaklah dapat aku bayangkan banyak mana aliran wang yang telah keluar dari Malaysia ke Indonesia ini. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Lagi foto Danau Kerinci
Sawah padi di tepian Danau Kerinci. Menenangkan!

Akhirnya, tiba juga aku di Danau Kerinci. Danau ini indah sekali di sebelah petang, lebih-lebih lagi jika bersantapan ikan bakar sambil menikmati angin petang. Kelihatan Gunung Raya yang dilitupi awan tebal. Setelah selesai urusanku di Danau Kerinci, aku pulang ke hotel dan berehat untuk mengharungi hari esoknya.

Pemandangan normal di Kerinci. Kulit kayu manis yang dijemur

Hari kedua di Kerinci aku rencanakan untuk ke Danau Lingkat yang terletak di Lempur. Di sepanjang perjalanan terdapat banyak perkampungan yang boleh di singgahi. Satu perkara unik mengenai Kerinci adalah bahasa pertuturan masyarakat di sini yang berlainan di antara satu desa dengan desa yang lain, walaupun desa itu hanya berjarak sejauh 1 kilometer.

Dikatakan terdapat lebih 130 jenis dialek di Kabupaten Kerinci ini! Agak lucu apabila Pak Soni, warga Kerinci yang jarang sekali meninggalkan wilayah ini sepanjang hayat beliau, tidak memahami sepatah kata pun apabila warga Lempur berbicara.

Masjid Keramat Koto Tua yang berusia ratusan tahun
Beduk di Masjid Keramat Koto Tuo

Di sebuah perkampungan, aku singgah sebentar untuk melawat sebuah masjid lama iaitu Masjid Keramat Koto Tuo yang berusia ratusan tahun. Di Pekan Kerinci terdapat sebuah lagi masjid tua yang dinamakan Masjid Agung Pondok Tinggi. Binaan masjid-masjid lama ini sekali imbas reka bentuknya hampir sama.

Masjid Agung Pondok Tinggi di Sungai Penuh
Ukiran Masjid Agung Pondok Tinggi

Di pertengahan perjalanan, kami singgah di Makam Depati Parbo. Beliau merupakan pahlawan Kerinci yang berkuasa sakti dan aktif menentang Belanda pada abad ke-19. Beliau hanya ditangkap setelah ditipu oleh Belanda yang kononnya mahu berunding. Makam beliau boleh diziarahi di Desa Lolo, Lempur.

Makam pejuang hebat, Depati Parbo di Desa Lolo

Di sepanjang perjalanan juga boleh dilihat kayu manis dijemur di hadapan rumah dan juga di tepi jalan. Aku beruntung dapat melihat proses membuat kayu manis ini bermula dari proses menebang pokok hinggalah menjemur kulitnya.

Salah satu masjid di Lempur
Pohon kayu manis yang sudah ditelanjangi

Danau Lingkat tidak jauh dari Desa Lolo dan airnya hijau sekali. Terus terang aku katakan, Danau Lingkat ini bukanlah destinasi pelancongan yang utama cuma pengalaman sepanjang perjalanan ke sini adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Tiada suara, tiada apa… Danau Lingkat mengasyikkan

Sebelum pulang ke hotel, sempatlah aku ke Bukit Khayangan untuk melihat Kabupaten Kerinci dari perbukitan. Di sini aku bertemu dengan pasangan dari Australia yang sedang dalam rangka kerja rasmi di Jambi.

Lagi gambar Danau Lingkat

Esok pagi aku akan ke Bengkulu dengan AKAP Safa Marwa juga. Mungkin ianya perjalanan yang paling mencabar sepanjang pengembaraanku di Sumatera ini.

Pemandangan sebahagian daripada Kerinci dari Bukit Khayangan

Sesungguhnya Kerinci adalah desa sakti yang unik dan mengujakan. Banyak kisah rakyat yang boleh aku ceritakan sepanjang aku berkelana di bumi ini. Penduduknya ramah dan mereka amat berbangga dengan nama Kampung Kerinci di Kuala Lumpur…

Keindahan Kerinci terserlah dari atas Bukit Khayangan

Pak Soni ada bertanya soalan ini kepadaku,

“Kerinci Malaysia itu… Sakti juga ya Pak Afzan?”

Aku tersenyum sambil berkata,

“Ya Pak Soni, ada saktinya… Tapi Pak Soni lebih sakti lagi…”

Selamat tinggal Kerinci! Ayo ke Bengkulu!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *