Penulisan Jelajah RJSSBL (Provinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung) Mei 2016 seperti di dalam Majalah Backpackerz Vol. 9
Lokasi: Pekanbaru, Siak Sri Indrapura dan Pelalawan
Julai 2015 aku berpeluang mengembara ke Yogyakarta yang merupakan kota budaya, nukleus bermulanya penentangan mempertahankan deklarasi kemerdekaan Indonesia dan juga kota wisata serta sejarah yang amat terkenal. Ianya pengalaman yang tidak dapat aku lupakan dan sememangnya telah menjadi objektif utamaku untuk mengembara di Asia Tenggara sebanyak mungkin sebelum aku melangkah lebih jauh lagi, menimba ilmu dan pengalaman di serata pelusuk dunia. Kota Jogja telah membuka mataku dan tidaklah keterlaluan jika aku katakan bahawa hati ini sudah terpaut pada bumi Sang Garuda.

Aku kepingin sekali hendak melihat Bumi Sumatera dengan lebih intim lagi. Hasilnya, aku telah mengembara ke Bahagian Selatan Sumatera selama 14 hari bermula dari Pekanbaru hingga ke Bengkulu dan Bandar Lampung sebelum berakhir di Palembang.

5 Provinsi telah aku jelajahi iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Bengkulu dan Lampung (RJSSBL). Tidak seperti Banda Aceh, Bukittingi dan Medan yang mesra pelancong, RJSSBL ini tidaklah begitu mesra backpackers yang bergerak mengikut hati naluri berbanding dengan pelancong yang menggunakan khidmat agensi pelancongan. Sebagai permulaan, amat sukar sekali untuk menginap di hostel, malah aku tidak ketemu satu pun hostel di RJSSBL. Yang ada kebanyakannya hotel pelbagai bintang dan homestay/guesthouse atau rumah tumpangan.


Cabaran yang kedua ialah kesukaran mendapatkan kenderaan sewa pandu sendiri. Masyarakat setempat amat berprasangka disebabkan banyaknya kejadian ‘rawan begal’ atau ‘rompakan/samun yang berleluasa’. Cabaran yang ketiga, tidak banyak maklumat boleh didapati di laman sesawang dan terus terang aku nyatakan di sini, walaupun aku ada membuat perancangan rapi namun segala-galanya ditentukan oleh keadaan semasa dan kreativiti aku mendapatkan maklumat daripada masyarakat setempat, bernegosiasi dan berjual beli.

Apa objektif utama Jelajah RJSSBL ini?
Di Pekanbaru yang lebih terkenal sebagai bandar industri, tidaklah banyak yang hendak aku lakukan melainkan lajak ke Siak dan Pelalawan untuk menyaksikan sendiri tinggalan sejarah kerajaan Melayu dahulu kala. Di Jambi, yang terpenting sekali ialah menyelusuri candi-candi tinggalan Kerajaan Sriwijaya yang misteri. Kota Sakti Alam Kerinci pula terkenal dengan wisata alam yang indah dan juga budaya, sejarah dan kisah lagenda yang tidak kurang hebatnya.

Bengkulu merupakan pusat pemerintahan British sebelum Indonesia bertukar empunya dengan Belanda. Lampung terkenal dengan Gunung Anak Krakataunya dan Palembang pastinya terkenal sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Sriwijaya dan pintu masuk utama laluan laut ke Pulau Bangka dan Belitung.

Perjalanan dari KLIA2 ke Riau hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja. Belum pun sempat aku nak acah-acah letih, pesawat sudah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II. Kelihatan segerombolan pelajar Malaysia daripada sebuah institusi pengajian tinggi. Ceria sekali wajah mereka dan ada ketika terpinga-pinga bagaikan rusa masuk kampung.


Aku pun apa kurangnya, memang tidak ada destinasi pasti yang hendak dituju sebaik melangkah keluar dari balai ketibaan bandara ini. Di luar, teksi sudah beratur menunggu pelanggan tetapi tidak pula aku nampak bas atau ojek (teksi motor). Aku pun melangkah keluar ke jalan besar dan di situ rupanya pak ojek sedia menanti. Aku berurusan dengan Pak Rudy dan membonceng motosikal beliau menuju ke rumah tumpangan.
Setelah mendapatkan simkad lokal dan selesai urusan tempat penginapan kami berputaran di Bandar Pekanbaru yang tidak begitu sesak kerana hari ini adalah hari Jumaat. Pak Rudy bilang, selepas solat Jumaat jalan raya akan lebih sesak nanti.

Pekanbaru adalah kota ketiga terbesar di Sumatera dan terletak di tebing Sungai Siak. Di zaman penjajahan Belanda, kota ini merupakan pusat pengumpulan batubara (arang batu) dan juga kopi sebelum dihantar sama ada ke Melaka atau ke Singapura.

Penduduk setempat Pekanbaru majoritinya terdiri daripada orang Minang dan Melayu Riau. Namun, ada juga orang Jawa, Batak dan lain-lain lagi. Bahasa yang sering aku dengar di sini ialah Bahasa Melayu Riau dan Bahasa Minang yang sebenarnya pecahan daripada rumpun Bahasa Melayu juga.
Antara tarikan pelancong yang ada di Pekanbaru ialah Tugu Selais, Perpustakaan H.S. Soeman, Muzium Sang Nila Utama, Anjungan Seni Idrus Tintin, Balai Adat Melayu Riau, Gedung Juang 45 Riau dan beberapa tempat lagi.
Selesai bersolat jumaat di Masjid Agung An-Nur yang merupakan masjid terbesar di Riau, kami pergi ke Danau Buatan Lembah Sari di pinggir kota. Sepanjang perjalanan kelihatan banyak gerai-gerai menjual perabot dan barangan berasaskan rotan. Tidak pula aku berhenti bertanya berapa harganya.
Setiba di Lembah Sari, kami melepaskan lelah di restoran terapung berdekatan dan sempat jugalah aku berborak dengan penduduk setempat. Hidup di Kota Pekanbaru ini bukanlah mudah. Seperti kota-kota besar yang lain, peluang pekerjaan itu banyak tetapi untuk mendapatkannya juga amat sukar sekali dek persaingan.
Dari Lembah Sari, kami bergerak pulang ke rumah tumpangan untuk berehat kerana esok perjalanan amat panjang dan memenatkan.

Hari kedua aku di Riau diteruskan lagi dengan melawat Kota Siak Sri Indrapura yang terletak di tebing Sungai Siak. Perjalanan dengan kereta sepatutnya mengambil masa dalam 2 jam 15 minit sahaja tetapi kerana aku membonceng motosikal kapcai, perjalanan mengambil masa hampir 3 jam. Kasihan juga aku pada Pak Rudy kerana beliau beria-ia hendak membawa aku ke sini sedangkan menggunakan kereta lebih pantas dan tidak memenatkan.



Pemandangan di antara Pekanbaru dan Siak agak membosankan kerana di kiri kanan jalan raya hanya ada ladang kelapa sawit. Malah, perjalananku di Sumatera ini sebahagian besarnya disajikan dengan pemandangan yang sama iaitu ladang kelapa sawit yang seperti tiada penghujungnya.
Kerajaan Siak Sri Indrapura adalah sebuah kerajaan Melayu lama yang beribu kota di Buantan, Kabupaten (Daerah) Siak. Diasaskan pada tahun 1723 oleh Raja Kecil yang berasal dari Pagarruyung, kerajaan ini dibubarkan oleh Sultan Syarif Kasim II pada tahun 1946 setelah baginda bersetuju dengan saranan Soekarno untuk bergabung dengan Republik Indonesia.

Di Siak, hanya satu matlamatku iaitu melawat Istana Siak Sri Indrapura yang kini telah menjadi sebuah muzium. Ramai sekali orang Malaysia yang aku jumpa di sini termasuklah gerombolan pelajar yang aku temui di lapangan terbang tempoh hari.
Gigih sekali aku melihat pemandu pelancong menerangkan satu-persatu tinggalan yang ada di muzium ini dan pensyarah mereka pula kerap mengingatkan apa ‘kerja rumah’ yang perlu disiapkan nanti. Lucu juga rasanya sebab aku pula yang beria-ia nak memahamkan maksud permintaan pensyarah tersebut.

Di Siak juga aku melawat beberapa buah masjid, Makam Pahlawan Nasional dan Taman Mahratu, melihat masyarakat setempat beristirehat di hujung minggu.


Selesai urusan aku di Siak, perjalanan diteruskan ke Kota Pelalawan. Kota ini terletak hampir 95 kilometer dari Siak Sri Indrapura. Malang sungguh nasibku sebab terpaksa bermandi hujan ketika menghampiri kota ini. Kami tersesat beberapa kali kerana situs bersejarah kota lama ini terletak jauh dari kawasan kota, di tebing Sungai Kampar.

Deruan angin yang kuat mengiringi ketibaanku di desa yang tenang ini. Sungai Kampar begitu gah mengalir, bolehlah aku bayangkan bagaimana kapal kapal perang dan pedagang zaman dahulu kala mudik ke hulu dan berlabuh di sepanjang tebing sungai ini.

Kerajaan Melayu Pelalawan ini sebenarnya berada di bawah naungan Kerajaan Melayu Johor pada suatu ketika dahulu dan pernah berperang dengan Kerajaan Melayu Siak Sri Indrapura juga. Kerajaan ini, seperti Kerajaan Melayu Siak, telah dibubarkan setelah Soekarno mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1945.
Antara tinggalan sejarah yang boleh dilihat ialah Masjid Hibbah dan Pemakaman Di Raja, meriam perang lama dan kompleks istana di tebing Sungai Kampar. Kerja-kerja membaikpulih masih diteruskan ketika aku berada di sekitar kompleks istana.
Sesungguhnya perjalananku hari ini amat memuaskan hati kerana hajatku hendak mendalami sejarah kerajaan Melayu lama dan melihat sendiri tinggalannya telah berhasil.

Aku tidak pulang ke Pekanbaru sebaliknya Pak Rudy meninggalkan aku di tepi jalan besar untuk menahan bas yang sedang menuju ke Jambi. Setelah menunggu sekitar 20 minit, bas yang ditunggu-tunggu tiba dan terus saja aku meninggalkan bumi Riau.
Menaiki bas di Sumatera memerlukan kekentalan jiwa yang amat tinggi. Pemanduan boleh dikatakan amat kasar dan merbahaya. Menjerit-jerit kakak di hadapanku tatkala berhadapan situasi yang mengerikan. Nak tidur memang susah lah.
Di salah satu hentian rehat, aku berkenalan dengan Pak Hendra yang berasal dari Palembang dan beliau bercerita tentang beberapa pengalaman beliau. Kami bertukar nombor telefon dan aku menerima pelawaan beliau untuk bertemu beliau di Palembang nanti.

Malam semakin sayup, dan bas pun sudah semakin senyap. Kakak yang menjerit tadi pun mungkin sudah tertidur.
Selamat tinggal Riau. Semoga kita ketemu lagi.