Khamis, 20 April 2017
Kudus
Hari kedua di Kudus kami mulakan dengan menjamah sarapan spesial, Sate Kambing & Nasi Gule Pak Tukul. Waduh! Pagi-pagi dah makan berat tapi sedap dia bukan main. Ingatkan hari ni dah boleh mula ride jelajah Pulau Jawa, tapi Ustaz Assiry tahan kami untuk sehari lagi. Katanya banyak benda yang dia nak tunjuk. Oklah, lagipun bukan selalu Ali dapat bertemu kawan-kawan dia di Kudus ni.




Pemerhatian aku, kota Kudus ni ramai orang, tapi taklah sesak macam Semarang atau Jakarta (jauh sekali). Jalannya besar-besar, dan waktu sibuknya sama sahaja macam kota-kota lain di dunia, waktu pulang-pergi kerja. Menariknya, kalau berputaran di sini, sesekali akan tercium bau bunga cengkih yang menusuk hidung tetapi harum. Malam tadi aku dah suspense, makhluk apalah yang mengikut aku ni, bau wangi sangat, sekejap ada, sekejap hilang, lepas tu datang balik. Rupa-rupanya Kudus ni digelar ‘Kota Kretek Indonesia’. Banyak sekali perusahaan kretek di sini, sampai kota ni dah sinonim dengan bau bunga cengkih!


Di Kudus pastinya terkenal dengan nama tokoh besar ini, Sunan Kudus. Kudus bermaksud suci. Salah satu sebab kenapa kota ini dinamakan kota suci adalah kerana nama kota Kudus sebelum kedatangan Islam ialah Tajug. Tajug ni bentuk bumbung rumah yang nampak seakan piramid. Bumbung berbentuk sebegini banyak di Kudus pada zaman pra-Islam, zaman Hindu-Buddha, kerana ia membawa maksud keramat.

Sekarang pun masih kelihatan di mana-mana. Apabila Sunan Kudus menjalankan dakwahnya di sini, nama ‘suci’ itu masih diterjemahkan oleh beliau dalam gelar nama baru, Kudus. Sunan Kudus yang merupakan salah seorang Wali Songo ada membina sebuah masjid di sini dan kini, Masjid Menara Kudus telah menjadi ikon kota Kudus.




Selepas solat Zohor kami menuju ke kaki Gunung Muria untuk ke rumah Pak Purwanto, tetapi sebelum itu kami singgah dulu di rumah Pak Turmudzy Elfaiz. Pak Turmudzy ni memang seorang pakar dalam bidang penulisan khat dan juga pembuatan prop untuk pelbagai tema majlis. Banyak juga projek yang disapu Pak Turmudzy ni. Atas almari di ruang tamu pula penuh dengan piala, anugerah yang beliau menangi sepanjang berkecimpung dalam bidang penulisan khat. Ketika kami sampai di rumah beliau, pekerjanya masih menyiapkan prop untuk kegunaan walikota nanti. Sempat jugalah aku membelek beberapa hasilan khat beliau yang teramat awesome.



Selepas itu kami menuju ke rumah Pak Purwanto. Bapak yang seorang ni memang aku kagum betul. Lukisan khat beliau memang out of this world. Cantik banget! Pak Purwanto ni dah taraf rantau Asean bukan setakat Indonesia lagi dah. Pintu masuk rumahnya diukir indah. Tak pernah aku masuk rumah orang rasa macam masuk muzium.



Orangnya lemah lembut, cakap pun slow… Drive pun slow. Tak akan aku lupa kenangan naik Avanza Pak Purwanto yang dipandu amat perlahan di jalanan yang sesak. Pedulinya tidak hahaha. Ketika Ali dan teman-temannya rancak bersembang, aku ambil kesempatan keliling kawasan rumah Pak Purwanto.


Aku rasa tak ada beza dengan kampung halaman aku. Pokok pisang, pokok sentang, jalan tanah merah batu kerikil, ayam itik merewang. Ironinya, tika aku menghirup kopi segar dalam suasana penuh ukhwah di pinggiran kota Kudus, teman-teman aku di mukabuku sedang bertempur alkisah ‘ada-batu-tak ada-batu-mana batu’, ‘sejarah nusantara ini siapa yang punya’… Hmm…


Dari rumah Pak Purwanto, kami kemudiannya menuju ke Pesantren Seni Rupa & Kaligrafi Al-Quran (PSKQ) Kudus yang terkenal. Ustaz Assiry mengendalikan pesantren kaligrafi ini dan pada malam itu kebetulan adalah malam Jumaat. Jadinya, kami sempat membaca Yaasin bersama anak-anak pesantren ini. Aku ditanya oleh salah seorang pelajar,
“Pak, adakah majlis malam Jumaat di Malaysia serupa aja dengan di Indonesia?”
Belum sempat aku menjawab, sosok di hadapan aku terlebih dahulu menjawab soalan itu.
“Saaama aja.. Kok kamu ini banyak soal ya?” Aku tersenyum lucu. Bapak yang menjawab itu ialah Pak Ustaz Sofyan. Orangnya amat dihormati di Kudus, malah pesantren inipun dibiayainya, rumah anak yatim lagi… fuh. Bukan calang-calang Ustaz Sofyan ini, pernah sekali Jokowi datang ke Kudus dan terus bertanya, “Di mana Pak Sofyan?”.


Aku, Ali dan Zaini bertuah kerana dijemput oleh Ustaz Sofyan ke rumahnya yang tersergam indah, betul-betul di kaki Gunung Muria. Malangnya, gelitanya malam membatas aku daripada memotret keindahan pergunungan ini. Di lereng Gunung Muria ini juga bersemadinya jasad Sunan Muria, salah seorang daripada Wali Sembilan atau Wali Songo.

Kami berbicara hingga awal pagi. Banyak yang kami bincangkan, rasanya tak nak berhenti pula. Patutlah Ustaz Sofyan ini dipandang tinggi oleh masyarakat Kudus, bicara beliau amat berhemah sekali. Aku ada bertanya satu soalan kontroversi berkenaan kedatangan Islam ke tanah Jawa, sama ada dari pak Arab Timur Tengah atau dari pendakwah bermazhab Hanafi dari China.
Ustaz Sofyan tersenyum, berfikir sejenak, lalu berkata, “Islam yang ke sini itu dari mana-mana aja… Dari Arab, dari China, dari Champa. Yang pentingnya itu kita di bawah payung Islam dan semuanya bersaudara.” Tiada lagi soalan daripada aku selepas itu…

Malam sudah masuk ke pagi. Jam menunjukkan pukul 2. Suasana bening di luar seolah-olah menarik aku untuk masuk ke hutan rimba Muria. Tiba waktunya kami pulang dan bersedia untuk esok.
Sesungguhnya banyak pengalaman dan pengajaran yang aku dapat hari ini. Kota Kudus memang hebat dengan kreteknya, sejarahnya dan warga seni rupa dan kaligrafinya. Hebat!