Sabtu, 22 April 2017: Jepara – Banyumanis – Margoyoso – Rembang – Lasem
Sebenarnya kami dah terlewat daripada perancangan asal kerana berada di Kudus agak lama. Oleh itu, kami terpaksa memendekkan jelajah kami di Jepara. Hajat di hati nak melawat Muzium RA Kartini tetapi pastinya tak buka lagi pagi-pagi buta ni. Lagipun di Rembang masih ada sebuah lagi Muzium RA Kartini. Lupakan muzium, terus saja kami ke Fort Jepara XVI di atas sebuah bukit yang menghadap bandar.


Fort Jepara XVI atau nama lainnya Benteng VOC Jepara dibina oleh Belanda pada abad ke-17 Masihi. 17 dalam angka Roman ialah XVII, tetapi benteng ini dinamakan Fort Jepara XVI, pelik bin ajaib. Di dalam kubu ini ada beberapa makam lama dan pemandangan kota Jepara serta Teluk Jepara dapat dilihat dengan jelas dari atas bukit ini. Kami tak boleh berlama di sini kerana perjalanan masih jauh.

Namun, sebelum meninggalkan Jepara, kami sempat pusing kota dulu. Seperti dijangka, muzium belum dibuka lagi. Melepas… dan terkilan juga, tapi mungkin ini petanda yang aku perlu ke kota Jepara lagi pada masa hadapan, mungkin singgah sebentar sebelum ke Pulau Karimunjawa, mungkin. Sempat jugalah snap gambar Tugu Pancasila yang terletak berdekatan dengan Alun Alun Jepara. Hajat di hati nak snap gambar alun-alun ni, tetapi banyak sangat khemah yang dipasang sempena Hari Kartini, lupakanlah.
Dah langkah kanan kami ni sebenarnya, kami berada di Jepara, kota yang berbangga dengan Raden Adjeng Kartini, pada hari sambutan besar-besaran Hari Kartini, dan pada masa yang sama ada tayangan filem Kartini lakonan Dian Sastrowardoyo, Reza Rahadian dan Christine Hakim. Satu pun hajat nak menghirup suasana dan aura Kartini tak kesampaian! Apakan daya, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan… sedih yang amat!


Destinasi seterusnya? Ke Banyumanis kami tuju. Destinasi pertama kami di Banyumanis ialah Gua Manik yang berjarak lebih kurang 45 kilometer dari Alun Alun Jepara. Kami berhenti sarapan di Kecamatan Kembang, di sebuah gerai tepi jalan. Sedap juga pekena nasi yang kami tak tahu apa namanya, dicampur pula dengan ikan bilis goreng yang dibawa oleh Ali sebalang, bijak… bijak.

Gua Manik hanyalah sebuah destinasi dalam rangka menyusuri garisan pantai Utara Jawa Tengah, dari Jepara hinggalah ke Tuban. Kena ada checkpoint, baru seronok mengembara. Nama saja Gua Manik, tapi guanya tak jumpa, yang ada hanya pantai yang biasa-biasa sahaja.


Tetapi, ada yang menarik sedang berlangsung di tepian Pantai Gua Manik. Kelihatan bocah (anak kecil) yang berpakaian indah, pakaian tradisional dan rasmi Indonesia. Aku merapati anak-anak ini, rupa-rupanya majlis memperingati Hari Kartini dan memperkasakan budaya ilmu sedang berlangsung. Adik comel bergincu merah gemuruh memberi ucapan pembukaan. Teman-temannya tersenyum, bertolak-tolakan melihat teman yang berpeluh seram itu. Guru-gurunya pula bersanggul manis, senyum tak henti-henti.

Kami terus menuju ke Benteng Portugis yang terletak tidak jauh dari Pantai Gua Manik. Benteng Portugis dibina atas arahan Sultan Mataram yang bersekongkol dengan orang Portugis untuk mengekang serangan Belanda yang pada masa itu telah membina kubu di Sunda Kelapa (Batavia). Pintu gerbang benteng ini bukanlah binaan yang asli, ironinya, pintu gerbang ini lebih popular daripada benteng Portugis di dalam. Aku tak masuk ke dalam kerana kesuntukan masa. Ada penyesalan juga di situ sebenarnya. Sepatutnya aku masuk…
Ali dan Zaini steady saja di atas motor. Kami tak boleh nak ride laju-laju kerana jalannya kecil, banyak lori dan kereta, motosikal jangan cakaplah. Ali ajak aku bertemu dengan temannya di Margoyoso. Kebetulan ada lomba (pertandingan) menulis khat peringkat kabupaten. Aku kata OK, sebab dalam satu laluan. On the way, sempat lalu tepi Watu Putih yang merupakan bukit batu kapur yang berwarna putih. Keliling bukit ni sawah bendang yang memukau. Masalahnya matahari terpacak atas kepala dan jalan dalam fasa naik taraf, berdebu jangan cakap. Hilang rasa teruja dengan Watu Putih tu.

Kami berhenti rehat sebentar di sebuah makam wali yang bernama Mbah Syekh Ahmad Mutamakkin di Desa Kajen, Margoyoso. Kena disclaimer dulu, aku bukanlah penjejak makam tetapi aku masih menganggap makam juga adalah sebuah tinggalan sejarah lampau, kisah seseorang yang diabadikan bersama tuannya di sana. Di Indonesia (juga di Malaysia) bertawassul itu bukanlah suatu perkara yang aneh malah ia sudah menjadi suatu bentuk perniagaan yang amat menguntungkan sesetengah pihak di sini.

Syekh Ahmad Mutamakkin… Pengkisahan hidupnya penuh dengan cerita mistis yang sukar hendak diterima akal seperti cerita yang aku nak khabarkan ni. Pada suatu hari, seorang anak muridnya (bukan manusia) mengajak beliau naik haji di Mekah. Beliau dibawa terbang ke sana, tetapi ketika merentasi lautan beliau terjatuh dan terapung-apung dibawa arus. Beliau diselamatkan oleh seekor ikan jenis lemadang yang mendaratkan beliau di Desa Cebolek. Ini baru satu cerita, banyak lagi cerita Mbah Mutamakkin kalau nak tahu.


Dari Desa Kajen, dengan bantuan Google Maps kami tiba di sebuah sekolah yang sedang menganjurkan pertandingan seni khat pelbagai peringkat usia. Konsepnya mudah, mereka diberi masa beberapa jam untuk menghabiskan karya mereka di dalam bilik yang disediakan. Mereka tidak dibenarkan membawa sebarang karya luar mahupun berinteraksi dengan penonton. Ali begitu berbesar hati diraikan oleh rakan-rakannya dan aku pula amat gembira dapat berehat. Zaini dah terjelepuk di hujung musolla, tidur melepas lelah.

Dari Margoyoso kami menuju ke Rembang yang berjarak sekitar 40 kilometer, taklah jauh mana tetapi jalan kampung, memang tak boleh nak pecut. Jalan kampung ni pula dibuat daripada simen, luas sedikit daripada kebiasaannya. Namun, banyak kenderaan yang lalu-lalang menyebabkan kami perlahan-lahan sahaja menunggang. Penat terloncat-loncat atas motor, kami singgah di sebuah gerai menjual air tebu yang amat segar… dan lebih menggembirakan, segelas besar hanya berharga 50 sen… murahnya! Rahmat Tuhan, tak lama kami menunggang, terus masuk ke Jalur 1 yang kami lalui tempoh hari, dari Semarang menuju Kudus. Jalannya besar dan lebih mengejutkan, tiada kesesakan langsung!

Setiba di Rembang aku melunaskan hutangku yang tertunggak di Jepara, iaitu melawat Museum RA Kartini. Rembang dan Jepara berkongsi ikon yang sama. Raden Adjeng Kartini dilahirkan di Rembang dan makamnya ada di Kecamatan Bulu, Rembang. Aku agak terkejut dengan koleksi yang ada di muzium Rembang.


Aku ingatkan semua koleksi RA Kartini dibawa ke muzium di Jepara tetapi aku salah sangka, bangunan muzium di Rembang agak besar, koleksinya pelbagai dan stafnya juga begitu mesra. Di samping potret Kartini dan keluarganya, ada juga katil kayu beliau, meja belajar dan pelbagai barangan lagi seperti bothekan. Yang paling menarik, ada naskhah asli Habis Gelap Terbitlah Terang.







Meninggalkan Rembang, setelah bergambar sakan di Alun Alun Rembang, kami langsung aja menuju Lasem, tetapi sebelum itu, kami ada satu lagi lokasi bersejarah yang perlu dilawati di luar kota Rembang iaitu Situs Perahu Kuno Punjulharjo. Di sini, ada sebuah kapal kuno, yang mungkin digunakan oleh pedagang dari Kalimantan atau Sumatera untuk berdagang di pulau Jawa pada abad ke-7/8 Masihi. Ianya ditemui pada tahun 2008 secara tidak sengaja oleh pengusaha tambak garam di tepian pantai Rembang.


Untuk mengelakkan kayu-kayu ini daripada mereput, kapal ini direndam di dalam larutan polyethylene glycol (PEG). Tak banyak kapal kuno yang boleh dilawati di sekitar Asia Tenggara. Aku pernah melawat kapal kuno di Bangkok, menakjubkan, tetapi kapal Punjulharjo ini ratusan tahun lebih tua daripada kapal di Bangkok tu. Alhamdulillah, dah boleh struck out satu lagi list dalam bakul.


Menuju Lasem kami dihidangkan dengan pemandangan tambak-tambak garam di sebelah kiri jalan, banyak sekali tambak garam ni. Perjalanan pula agak mudah, jalan dua lorong, masih lagi di Jalur 1, jadinya santai-santai aja kami menunggang. Setiba di Lasem, kami terus ke Pesarean Sunan Bonang yang terletak tidak jauh daripada Masjid Sunan Bonang sebelum menanti azan Maghrib berkumandang. Pesarean ni dikatakan tempatnya Sunan Bonang mengajar. Ada beberapa kubur lama di sini.


Masjid Sunan Bonang pula agak unik, ia terletak di atas bukit. Nak naik ke masjid, lorongnya curam ya amat. Berderau juga darah sebab tak pernah nak daki tinggi-tinggi macam ni nak pergi masjid. Apa-apa pun, merasa juga kami bersolat di masjid yang mendapat sentuhan reka bentuk Cina ini, terasa kelainannya.

Seusai solat, kami berlegar dalam kegelapan malam mencari hotel murah. Badan amat lesu, tetapi hidup perlu diteruskan. Lokasi hotel yang aku tanda di Google Maps membawa aku ke sebuah gudang kosong. Aduh! Ini masalah lojistik pertama kami. Aku mati akal lalu berhenti dan bertanya pada pemilik gerai makan di mana ada hotel murah. Nasib aku malang kerana beliau tidak tahu tetapi salah seorang pelanggan beliau menawar diri membantu kami untuk ke sebuah hotel murah. Aku tak menolak, Alhamdulillah pertolongan Tuhan itu ada sahaja untuk insannya. Perkara yang aku suka tentang bumi Jawa ini adalah sikap warganya yang sering membantu. Mereka membantu tanpa mengharapkan balasan.


Hotel yang kami duduk ini memang teruk dari segi kualitinya. Tiada soket di dalam bilik, kami terpaksa mengecas telefon bimbit di receptionist… Huh! Tapi harganya amat murah dan kami bukan nak bermewah pun, janji lepas tidur malam. Selesai makan malam di gerai tepi jalan kami bersembang hingga larut malam sebelum tidur kepenatan.
Seperkara yang menarik tentang Zaini, dia ada koleksi lagu-lagu retro zaman aku budak-budak dulu seperti Belaian Jiwa nyanyian Carefree, dan dia tak pernah tak online. Sepanjang masa, sama ada lagu kuat berkumandang atau beliau berbual di telefon berjam-jam. Golongan hipster yang aku tak paham tapi kagum juga sebenarnya hahaha…
Lagu Aduh Neng yang dipasang Zaini menutup tirai malam itu… dan malam esoknya… dan malam seterusnya… dan seterusnya…
What a day!