Ahad, 23 April 2017: Lasem – Tuban – Paciran – Lamongan
Pagi-pagi lagi kami dah bersiap. Hari ni tunggangan dijangka jauh dan panjang, dari Lasem hinggalah ke Lamongan yang berjarak sekitar 150 kilometer. Jaraknya kalau diikutkan taklah jauh mana tetapi ini pulau Jawa bukan Selatan Thailand yang jalannya besar dan luas. Lagipun kami akan berhenti di beberapa tempat.
Ada beberapa makam yang hendak aku singgahi, ada makam yang wajib pergi, ada yang sekadar checkpoint untuk berhenti rehat sambil melihat apa yang ada di situ.

Tanpa bersarapan, kami terus menuju ke lokasi pertama yang tidaklah berapa jauh dari pekan Lasem iaitu Pasujudan Sunan Bonang. Nak ke pasujudan ini kena panjat tangga yang tinggi. Lutut aku dah sedia maklum bermasalah, oleh itu kami tinjau-tinjau dari bawah sahaja. Namanya pasujudan kerana dikatakan di atas bukit ini ada sebuah batu yang menjadi tempat Sunan Bonang bersujud ketika solat.
Di atas bukit ini juga adanya sebuah makam yang dinamakan Makam Puteri Cempo (Champa). Makam ini dikatakan miliknya seorang puteri Champa yang aku tak dapat kenal pasti siapa gerangannya. Ada yang kata ia milik ibu Raden Patah iaitu Dewi Indrawati, ada pula yang mengatakan ia milik Bie Nang Tie atau nama Jawanya Winarti Kumudawardhani. Beliau adalah anak kepada Laksamana Champa, Bie Nang Oen yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan Adipati Lasem. Tiang penyangga di makam ini dikatakan diperbuat daripada tulang belakang ikan paus tetapi kini dah rosak dan sering dipulihara hingga keasliannya kian pudar.

Di hadapan bukit pasujudan, ada Watu Layar Bonang, lokasi di mana banyak perahu nelayan berlabuh. Aman damai rasanya di sini tetapi tiada pantai pasir melainkan tembok batu menghalang hakisan. Kami meneruskan perjalanan menelusuri jalan pantai yang menenangkan hingga tiba di sebuah desa yang bernama Desa Belimbing. Kami bersarapan di sini.

Dah jadi rutin harian pekena kopi hitam dan bakso. Keropok kulit lembu juga menjadi hidangan rutin kami sementara menunggu hidangan utama. Makcik empunya gerai rupa-rupanya pernah menjadi pembantu rumah di Malaysia. Beliau suka bekerja di Malaysia tetapi makcik sudah terlalu lama di bumi orang dan perlu pulang ke kampung halaman, begitulah kisah beliau.



Dari Desa Belimbing, kami menuju ke perbatasan Jawa Tengah dan Jawa Timur yang menempatkan dua buah tugu berbentuk candi. Perbatasan ini di antara Kabupaten Sragen di Jawa Tengah dan Kabupaten Ngawi di Jawa Timur. Terdapat juga sebuah tugu lelaki berkeris sambil berkuda yang besar di situ. Pada mulanya aku ingatkan ianya tugu Sunan Kudus tetapi rupa-rupanya ia adalah Tugu Pangeran Diponegoro.


Dari perbatasan ini, Tuban hanyalah berjarak 47 kilometer. Jalan menuju Tuban semakin sibuk tetapi taklah macam Semarang-Kudus tempoh hari. Tuban adalah sebuah bandar yang penting di Jawa Tengah. Dahulunya kota ini menjadi penempatan pedagang Cina yang datang berdagang dan kemudiannya menjadi penduduk tetap. Tuban juga sebuah kota yang amat penting untuk kerajaan Majapahit. Aku sempat snap gambar depan Klenteng Kwan Sing Bio yang terkenal sebelum terus menuju ke Alun Alun Tuban yang menempatkan Makam Sunan Bonang, Masjid Agung Tuban dan Museum Kambang Puteh.



Jalan di kota Tuban agak nyaman. Mungkin kerana hari ini hari libur. Berpandukan Google Maps, kami menghentikan penunggangan di Alun Alun Tuban yang menghadap Masjid Agung Tuban. Di tepi masjid ini letaknya Makam Sunan Bonang yang tekenal. Di kiri kanan lorong pejalan kaki menuju ke makam ini dipenuhi dengan kedai-kedai jualan pakaian, makanan dan pelbagai cenderamata kenangan. Ramai sungguh manusia yang melawat makam wali songo pada hari ini, hari cutilah katakan. Aku, Ali dan Zaini memasuki kawasan makam dan melabuhkan punggung berhampiran dengan pegawai yang mengelola ketibaan pelawat di pintu masuk makam. Kami dengan beg sandang yang besar, pasti mengundang tanda tanya masyarakat setempat.


Penjaga makam tersebut memberitahu kami hari ini mungkin seramai 70,000 pelawat bakal hadir. Sebelah pagi sahaja sudah 40 buah bas yang bertandang, makin malam melarut, lebih ramai lagi yang bakal tiba. Ali meminta kebenaran meninggalkan beg dan helm (helmet). Keliling makam kelihatan begitu ramai manusia yang melakukan pelbagai aktiviti ibadah. Kami hanya memerhatikan gelagat manusia di sini dari kejauhan.




Meninggalkan Makam Sunan Bonang, kami menuju ke Museum Kambang Putih di sebelahnya pula. Kambang Putih adalah nama lama bagi Tuban. Di hadapan muzium, ratusan beca sedang beratur menunggu pelawat yang ingin pulang ke parkir kenderaan setelah melawat Makam Sunan Bonang. Ada perbalahan berlaku di antara pelawat dan pengayuh beca, bertegang urat kerana hal tambang, bingit telinga dibuatnya. Aku dah tersengih menantikan tumbukan pertama yang tak kunjung tiba, nakal.

Antara koleksi Museum Kambang Putih ialah beberapa fosil purba, wang lama, manuskrip lama, relik Hindu-Buddha, keris lama dan yang paling menarik sekali adalah beberapa pedang Mongol yang berkarat teruk. Untuk pengetahuan kalian, tentera Kublai Khan pernah menyerang kerajaan Singosari pada penghujung abad ke-13, namun dikalahkan oleh Raden Wijaya, iaitu pengasas kerajaan Majapahit. Tuban adalah salah satu lokasi kapal perang Mongol berlabuh dan antara lokasi pendaratan utama.


Menuju kembali ke parkir motosikal, tersenyum kami melihat gelagat ibu-ibu sedang gigih berkawad di tengah Alun Alun Tuban, tengah hari rembang, matahari terpacak atas kepala.
Menelusuri laluan pantai Utara Jawa Tengah dan Jawa Timur pasti tidak dapat mengelak daripada melawat beberapa makam wali songo dan juga makam wali lainnya. Antara makam yang sempat aku santuni ialah Makam Syeikh Siti Jenar yang kedudukannya tidak jauh dari Alun Alun Tuban. Seperti juga makam-makam wali lainnya, ada beberapa Makam Syeikh Siti Jenar di Pulau Jawa, entah yang mana satu yang betulnya aku pun tak tahu.


Tidak jauh meninggalkan kota Tuban, kami singgah sebentar di sebuah kedai kopi yang bersebelahan dengan gigi air pantai. Angin yang membadai muka sekurang-kurangnya mengurangkan ketidakselesaan kami di dalam cuaca yang amat panas ini. Corong radio gerai memutar alunan musika wayang Jawa. Telefon bimbit dicas kembali sambil kami mencerna laluan yang bakal dilalui sebentar lagi. Rencananya dari Tuban kami akan ke Paciran untuk melawat Makam Sunan Drajat dan terus ke Lamongan untuk bermalam di sana. Jarak keseluruhan cuma 80 kilometer sahaja tetapi kondisi jalan tidak dapat kami jangka.

Sebuah lagi lokasi yang aku sempat lawati sebelum memecut tak berapa laju menuju Paciran ialah Makam Asmoroqondi. Pemilik makam ini bernama Syeikh Maulana Ibrahim Asmoroqondi, iaitu bapa kepada Sunan Ampel. Asmoroqondi ni sebenarnya ialah As-Samarkand, tapi pelat wong Jowo menyebutnya Asmoroqondi. Nama ni tiada kena-mengena dengan asmara dana yea. Syeikh Maulana Ibrahim diyakini berasal daripada Samarkand. Nama beliau ada tercatat di dalam Babad Tanah Jawi dan juga Babad Cirebon, ada unsur sejarah tu.



Kami sempat detour menuju Goa Suci di Leran Wetan, Palang, tetapi malangnya guanya yang ikonik tu kami tak jumpa. Bukan apa, kami dah masuk jauh ke dalam dan hari makin lewat, terpaksalah berkorban. Lain kalilah kalau ada rezeki. Aku ride di depan Zaini sepanjang perjalanan namun,kami terpisah di Paciran dek kerana kesesakan yang disebabkan oleh perarakan Israk Mikraj. Panjang sungguh perbarisan ni. Dahlah jalan kecil, boleh guna selorong sahaja. Apa-apa pun terleka juga aku melihat kemeriahan perarakan tersebut. Memang menarik dan unik budaya tempatan, kanak-kanak berpakaian indah berbaris dan berarak menuju suatu destinasi yang aku tak pasti. Terlalu penat nak mengambil gambar, so.. tak ada gambar.


Aku menanti Ali dan Zaini di hadapan simpang Makam Sunan Drajat dalam cuaca panas yang agak menggila. Benar sekali kata penjaga Makam Sunan Bonang tengah hari tadi, makin petang, makin ramai pengunjung. Jalan sesak mengalahkan Jalan Tun Razak hari Jumaat jam 6 petang, dalam hujan lebat! Jejaka tampan yang ditunggu tak kunjung tiba. Rupa-rupanya mereka dah terlepas simpang dan menuju ke Gresik!

Aku belum solat Asar lagi. Tak boleh tunggu ni. Lalu aku memecut meninggalkan Makam Sunan Drajat dan berhenti di sebuah masjid di sebuah desa yang bernama Banyubang Solokuro. Harapan aku bertemu Ali dan Zaini paling tidak pun di Lamongan nanti. Pandai-pandailah mereka mencari jalan ke sana. Nak dijadikan cerita selesai aku berwuduk, Zaini memberhentikan motosikal betul-betul depan aku, seberang jalan. Nasib baik Ali terdengar jeritan aku dan terlihat kelibat aku sebelum meninggalkan masjid tersebut. Lega sungguh rasanya.
Perjalanan dari Banyubang ke Lamongan ini bagaikan mimpi ngeri. Jalannya taklah kecil sangat, tetapi banyak kenderaan lalu-lalang, jalan kampunglah katakan, apa yang aku expect. Kepenatan dan hari pun dah beransur gelap, nak snap gambar pun dah tak semangat… Yang aku tahu sekarang ni nak cepat sampai Lamongan, cari hotel dan tidur.
Kami tiba di Lamongan sekitar jam 7.30 malam, hari dah gelap. Kami jumpa sebuah hotel patuh syariah, lalu aku dan Ali menuju ke receptionist untuk mendaftar masuk.
“Pasportnya pak?” Tanya si receptionist.
Aku meraba pinggang. Ah! Baru aku sedar poach bag aku tiada di pinggang. Habis beg aku selongkar… Tak ada! Motor aku selongkar dalam hujan renyai-renyai tu… Pun tak ada! Ah sudah… Aduh! Mungkin aku tertinggal ketika bersolat di Banyubang Solokuro. Aku teringat yang aku memang ada membuka ikatan beg lilit tersebut. Tak selesa alasannya… Aku salahkan perutku yang memboyot atas kesilapan ini.

Melalui tetapan di Gogle Maps, aku cuba menghubungi beberapa nombor premis yang berdekatan dengan Masjid Banyubang Solokuro tadi, tiada jawapan pasti daripada pemiliknya juga. Nak berpatah balik setelah kepenatan mengharungi hari yang panjang memang taklah. Nampak gayanya, terpaksalah aku membuat laporan polis di polsek (kepolisian sektor) berdekatan. Polsek ni balai polis daerahlah lebih kurang. Berbual sakan si Ali dan Zaini dengan pegawai polis yang super peramah tu. Sempat juga kami bertanya di mana restoran soto Lamongan yang paling top.


Hari yang panjang dan memorable tu kami tutup dengan pekena soto Lamongan di Depoh Asih Jaya yang terkenal. Walaupun aku sedih sebab kehilangan pasport, wang tunai 4 juta rupiah, dua kad debit dan kedua-dua geran motosikal asli, aku belasah dua pinggan soto juga malam tu. ‘Things’ bound to happen tapi attitude kita terhadap masalah itu lebih penting. Benda dah jadi bak kata Ali. Perjalanan akan tetap diteruskan, tiada erti menyerah, belum lagi…