Isnin, 24 April 2017: Lamongan – Mantup – Mojokerto – Trowulan
Pagi lagi aku sudah bangun daripada tidur, fikiran agak tenang sedikit berbanding malam semalam. Aku memberitahu Ali yang aku perlu kembali ke Polsek Lamongan. Ada sedikit maklumat yang aku rasakan perlu disertakan dalam laporan polis. Aku suruh mereka rehat sahaja di bilik, nanti dah selesai segala urusan, aku akan kembali ke sini.
Sempat juga aku menelefon kedutaan Malaysia di Jakarta. Nampak gayanya terpaksa juga aku ke Jakarta untuk mendapatkan pasport kecemasan. Patutlah terdetik aku membeli tiket pulang dari Jakarta, ada sebab rupanya. Alhamdulillah. Apa-apa pun, misi jelajah JatengTim akan tetap diteruskan.
Kami meninggalkan Lamongan sekitar jam 9.30 pagi. Destinasi akhir hari ini ialah Trowulan, ibu kota kerajaan Majapahit suatu ketika dahulu. Jarak keseluruhan perjalanan hari ini lebih kurang 66 kilometer, ride santai-santai sahaja.
Keluar sedikit daripada Lamongan, kami berhenti servis motosikal dahulu. Zaini mengadu motornya terasa berat sedikit. Tukar minyak hitam, check angin tayar, check lighting dan apa sahaja yang patut. Kebetulan, sebelah kedai servis motor ada bundle pakaian. Ali, kalau dah nampak bundle memang habislah, favorite dia pakaian tema askar. Dari jenis material sampailah design, semua dia tahu. Aku pun terikut-ikut kan Ali, belilah sehelai baju seragam askar Korea Selatan.
Jalan kampung menuju Mantup agak baik, cuaca pun baik, panas terik. Semua berjalan lancar pagi itu.
Destinasi pertama yang kami tuju ialah Bendungan Rolak Songo iaitu empangan air kecil yang merentasi Sungai Brantas. Empang air ini ada sembilan pintu, sebab itulah namanya Rolak Songo. Yang istimewanya, bendungan ini dibina oleh Belanda pada tahun 1857. Hingga kini sungai ini menjadi nadi utama kehidupan masyarakat di Jawa Timur, terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam pertanian. Banyak cerita rakyat dan juga kisah sejarah yang memetik nama Sungai Brantas.
Lepas pekena air tebu di tepi Sungai Brantas, kami menuju ke pekan Mojokerto. Pekan ini humble sahaja, taklah besar mana. Dari Mojokerto kami terus menuju ke Trowulan tetapi di pertengahan jalan kami singgah di Petilasan Hayam Wuruk dan Petilasan Tribuana Tunggadewi.
Hayam Wuruk adalah raja ke-4 Majapahit dan yang terhebat, manakala Tribuana Tunggadewi adalah ibu kepada Hayam Wuruk dan raja Majapahit ke-3. Petilasan adalah tempat di mana seseorang itu pernah tinggal atau singgah dan juga tempat dia bertapa. Tilas adalah perkataan Jawa yang bermaksud ‘bekas’.
Memasuki Trowulan, matahari masih meninggi, jadi kami tak kalut sangat nak cari hotel. Oleh itu aku ajak Ali dan Zaini singgah sebentar di Candi Wringin Lawang. Candi ini lebih kepada sebuah gapura (pintu gerbang). Pada aku, Candi Wringin Lawang ini antara yang tercantik di Trowulan.
Dari Candi Wringin Lawang kami kemudiannya ke Perkampungan Majapahit. Ia dinamakan Kampung Majapahit kerana bahagian depan rumah-rumah di kawasan ini ditambah dan pagar luar direnovasi agar kelihatan sedondon dengan jiran-jiran yang lain. Dikatakan reka bentuk rumah ini adalah sama seperti di zaman kegemilangan kerajaan Majapahit.
Di perkampungan ini juga letaknya Makam Siti Inggil atau Makam Raden Wijaya, pengasas kerajaan Majapahit. Terus-terang aku katakan, aku agak meragui ‘kebenaran’ makam ini miliknya Raden Wijaya.
Kami lepak minum di gerai di tepi Makam Siti Inggil. Aku biasanya pekena teh botol. Ali macam biasalah, Coca Cola atau Pepsi yang dihentamnya. Zaini tak habis-habis dengan handphone dia… samalah dengan aku hahaha. Ride hari ni memang santai tak kalut-kalut walaupun panas ya amat.Tuan punya gerai ni bilang Siti Inggil tu maksudnya Tanah Tinggi. Ooo.. kami ingat nama orang, patutlah aku rasa pelik apa kena mengena Cik Siti Inggil dengan Raden Wijaya.
Keluar daripada Kampung Majapahit kami singgah sebentar di Maha Vihara Mojopahit. Di sini ada patung Buddha tidur yang besar, sama macam di Kelantan tapi tak sebesar Emerald Buddha di Bangkok. Keluar dari temple ni, singgah minum air kelapa pula. Sempat juga beramah mesra dengan anak gadis pelancong dari India yang dibawa jalan-jalan oleh temannya anak gadis Indonesia. Senyum meleret si Zaini, peramah sungguh awak yea… hehehe.
Dah habis sesi lawat-melawat, sekarang cari hotel pula. Adeh… Di Trowulan ni rupa-rupanya tak banyak hotel, tapi nasib kami baik sebab ada bilik kosong di Hotel Mulya Jaya. Biliknya cukup besar walaupun kami bertiga. Selesai urusan check in, kami letak beg dan zusss pegi ke pekan yang berdekatan dengan Trowulan iaitu Mojoagung untuk mencari sesuap nasi. Pekan ni sesak sikit sebab jalan utamanya adalah jalan besar (Jalur 15) yang menghubungkan Jogja/Solo dan Surabaya, jalan empat lorong. Itupun selamba jer kami buat U-Turn malam-malam di sini. Huh…
Ingatkan nak hantar dobi kain baju, tapi lead time nak dapat balik baju ambil masa 4 hari, basuh sendirilah jawabnya. Kami singgah makan pecel lele di warung tepi jalan seperti biasa. Makan minum di pulau Jawa ni murah… Alhamdulillah. Habis makan balik hotel, basuh baju dan rehat.
Malam itu aku ada janji temu dengan Pak Deni Indianto yang aku kenal melalui FB. Pak Deni ni memang patriotik orangnya, pernah aktif dalam persatuan berbusana kuno Jawa, ala-ala Armada Malaiu. Dah habis jual dah busananya kata Pak Deni pada aku sambil tersenyum kelat. Pak Denilah yang menularkan kejadian batu-bata Situs Kumitir yang dijual di pasaran gelap. Kerana pendedahan ini jugalah beliau diganggu oleh anasir-anasir berkepentingan tetapi Alhamdulillah, semuanya dah selesai.
Lepas Maghrib Pak Deni tiba. Beliau memang seorang yang mesra. Kami terus ke Makam Troloyo iaitu Makam pendakwah agung, Syeikh Jamadil Kubro. Sebelum masuk kami lepak di kedai minum di tepi kompleks makam. Berjam-jam juga kami bersembang macam kenal lama. Amat mudah berdiskusi dengan insan yang punya minat yang sama.
Dah puas bersembang dan minum kopi, kami menuju ke kompleks makam. Pak Deni bilang kita ikut pintu spesial, pintu belakang, terus ke Makam Pitu atau Makam Tujuh. Tuan punya kuburan di makam ini sebenarnya tidaklah diketahui walaupun ada nama yang diberikan kepada kubur-kubur tersebut. Yang pastinya, kewujudan makam kuno ini membuktikan adanya masyarakat Islam di Trowulan pada zaman pemerintahan kerajaan Majapahit yang mengamalkan ajaran Hindu-Buddha.
Di kompleks ini juga ada makam Kencono Wungu atau nama lainnya Tribuana Tunggadewi, raja Majapahit yang ke-3, tadi kan dah bagitahu. Bau dupa amat kuat sekeliling makam ini. Rupa-rupanya ada manusia dalam makam tu, pintunya ditutup rapat. Apabila mereka menyedari ada kelibat di luar makam, salah seorang daripada mereka menjenguk keluar dengan muka yang garang. Pak Deni memberi isyarat kepada aku untuk berlalu pergi.
Kami tiba di Makam Syeikh Jamadil Kubro. Tak ramai manusia malam ni, mungkin tak berapa lewat lagi. Mungkin juga pabila embun menitik galak baru ramai yang akan tiba. Berdekatan dengan makam ini ada sebuah pohon kayu tua. Kelihatan berduyun-duyun pengunjung mengopek kulit pohon kayu itu. Nak dibuat tangkal agaknya, takpun nak dibuat cenderamata kenang-kenangan… macam-macam.
Aku dan Pak Deni meninggalkan Makam Troloyo setelah melawat Makam Sunan Ngudung. Ada kelibat seorang lelaki yang ‘mencurigakan’ aku, beliau bersila dan menunduk, mukanya diselubung lengkap dengan kain serban, tapi jelas mulutnya terkumat-kamit. Menurut Pak Deni, ada sesetengah pengunjung yang berhari-hari lepak di makam, tak keluar langsung.
Selesai di Makam Sunan Ngudung, kami singgah di Sumur Upas untuk bertemu dengan rakannya yang merupakan penjaga tinggalan sejarah yang unik ini. Malam tu… gelap sangat, tak nampak apa, maknanya kena datang lagi esok hari. Apa-apa pun, bukan suka-suka boleh melawat tinggalan sejarah di luar waktu operasi, terasa privilege kejap.
Pak Deni menghantarku pulang ke hotel. Aku mengucapkan selamat tinggal pada Pak Deni, entah bila kan ketemu lagi. Setiba di bilik, Ali dan Zaini masih bergelak-tawa sambil televisyen bersiaran entah apa. Esok, kami akan berada satu hari lagi di sini sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Sesungguhnya Trowulan adalah destinasi penting untuk aku dalam jelajah kali ini…