Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 07 – Majapahit, Candi, Dan Urut Paling Best

Selasa, 25 April 2017: Trowulan – Jombang – Trowulan

Sesudah Subuh aku meninggalkan Ali dan Zaini di hotel. Hari ni banyak ‘benda’ sejarah yang aku nak buat… banyak sangat. Tak naklah aku menyiksa batin hero dua orang tu ikut aku tengok batu lusuh dan masuk muzium. Tahulah mereka nak buat aktiviti bebas apa kejap lagi.

Kebanyakan tempat yang aku nak lawat dah di’star‘ dalam Google Maps berbulan yang lalu, jadinya aku taklah meraba nak mencari destinasi mana yang nak dituju.

Aku sarapan pagi nasi berlauk yang aku tak tahu apa namanya di sebuah kedai makan yang baru dibuka. Atas bawah, atas bawah kakak kedai makan tu tengok aku… ‘Kok dari mana lho bapak ini…’

Candi Brahu
Laman Candi Brahu yang kemas

Selesai sarapan aku terus menuju ke Candi Brahu. Seperti yang aku sangka, pintu pagar tak buka lagi. Aku snap gambar dari luar jer, dan tunggu sampai pintu dibuka. Kalau ikut kata Mpu Sindok, candi ni tempat pembakaran mayat raja-raja, tapi taklah pula sesiapa pun pernah jumpa apa-apa bekas abu mayat. Candi Brahu ni punya laman yang luas dan kemas. Sesuai sangatlah nak snap Instagram worthy picture.

Candi Gentong I
Candi Gentong II

Sebelah dengan Candi Brahu letaknya Candi Gentong I dan Candi Gentong II. Feel candi ni macam tapak candi di Sungai Batu. Banyak batu-bata bersusun tetapi di Candi Gentong ni susunannya lebih tinggi dan teratur dibandingkan dengan Sungai Batu. Semasa ekskavasi dibuat, banyak ditemukan seramik purba seperti tembikar dari kerajaan Ming dan Yuan China, emas, relik Buddha dan lain-lain lagi.

Makam Panjang

Destinasi seterusnya ialah Candi Bajang Ratu, tetapi dalam perjalanan ke sana aku singgah sebentar di Makam Panjang namun aku tak masuk, nampak macam baru nak buka dan nampak juga penjaganya sedang berkemas-kemas. Sesat ranat aku ketika lalu di celah-celah rumah orang menuju makam ni. Makam Panjang boleh tahan juga popularnya. Ada beberapa kisah mistis Makam Panjang, antaranya ia dikatakan milik Mbah Dono Puro yang dianggap sebagai asal leluhur orang Jawa sekitar Trowulan. Makam ini juga merupakan tempat beliau bertapa untuk bertemu ‘Gusti’.

Candi Bajang Ratu
Laman Candi Bajang Ratu yang luas

Candi Bajang Ratu mungkin candi yang tercantik dan ikon kepada Trowulan. Lamannya dijaga, dikemas rapi dan indah sekali, Insta worthy tak dapat disangkal. Namanya candi, tetapi yang sebenarnya ia adalah sebuah gapura (pintu gerbang) yang wujud sebelum Jayanegara (raja Majapahit ke-2) mangkat. Setelah beliau mangkat, candi ini diupgrade menjadi tugu peringatan kemangkatan Jayanegara.

 

Pintu gerbang desa Kumitir

Menuju ke Candi Tikus, aku kemudiannya detour ke sebuah perkampungan yang bernama desa Kumitir. Desa ini menjadi tular pada awal tahun 2017 kerana ada kegiatan penjualan batu-bata daripada tembok kuno zaman Majapahit. Pak Deni yang aku jumpa semalam itulah yang tularkan. Memang ada aktiviti pembuatan bata di desa ini tetapi tembok yamg dikatakan itu sudah tiada lagi… habis sudah dikerjakan.

Tempat membuat bata di desa Kumitir

Aku lebih teruja berbalas senyuman dengan penduduk sekitar dan melihat aktiviti harian mereka. Hidup mereka simple sahaja, tak nampak langsung kemewahan dunia yang dikejar.

Aku tiba di Candi Tikus kemudiannya. Candi ini comel sahaja, kecil. Yang sebenarnya, tiada siapa tahu bila dan untuk apa candi ini dibina. Nama ‘tikus’ pada candi ini pun baru lagi, ceritanya, ketika kerja-kerja penggalian dilakukan, punyalah banyak tikus yang keluar dari candi tersebut. Banyaknya luar biasa sekali. Dah jadi sarang tikus candi ni.

Candi Tikus

Menuju ke Museum Trowulan, aku singgah sebentar di Situs Lantai Segi Enam. Zaman Majapahit lagi dah ada lantai jubin yang bersegi enam, rupanya saling tak tumpah macam lantai pejalan kaki tepi jalan raya tu. Tapak ini ditemukan pada tahun 1982, taklah lama mana. Penjaga situs ini amat mesra sekali, mungkin aku manusia pertama yang melawat rasanya. Kerana peramahnya pakcik seorang ni, aku bagi tips baik punya.

Lantainya di bawah bangunan berbumbung tu
Lantai segi enam
Close up lantai segi enam

Aku bilang pada pakcik tu yang aku nak ke Sumur Upas. Dia kata di sebelah Sumur Upas ada tapak pendopo kuno. Aku pun pergilah ke tapak tu. Yang menariknya, tak sampai 10 minit, pakcik ni dah berdiri tepi aku. Sanggup dia berjalan kaki ke sini semata-mata nak assist aku. Tapak pendopo ni memang betul-betul sebelah Sumur Upas, yang tinggal cuma bekas batu berlubang untuk dipasakkan tiang. Beria-ia pakcik ni follow aku, kot-kotlah aku nak tanya apa-apa.

Penulis dan pakcik peramah
Tapak tiang pendopo kuno.
Bekas pelapik tiang

Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, aku ke bangunan sebelah, iaitu Sumur Upas. Bangunan berbumbung ini pernah menjadi isu kontroversi kerana ada pihak yang tidak mahu ia berbumbung. Pemasangan bumbung dan pembinaan dinding batu bakal menghad skop pencarian dan potensi ekskavasi pada masa akan datang. Keputusan telah dibuat, berbumbung berdindinglah ia. Pada aku ia binaan yang amat kemas dan dapat memelihara tinggalan ini untuk jangka masa yang panjang.

Sumur Upas dan Candi Kedaton di dalam bangunan ini
Sumur Upas

Sumur Upas ini kalau diperhati betul-betul seakan-akan sebuah ‘maze‘ yang besar tetapi ia adalah ruangan seperti bilik. Mungkin kompleks ini milik seorang bangsawan yang mempunyai portfolio tertentu dalam kerajaan Majapahit. Mungkin juga tempat ini sebahagian daripada binaan untuk latihan ketenteraan. Di tengah-tengah Sumur Upas ada ruangan yang ditutup rapi dan kejap sekali kerana ia mengeluarkan gas beracun. Ruangan ini bagaikan suatu perangkap untuk penceroboh.

bahagian ini adalah ruangan gas beracun, betul-betul di tengah Sumur Upas

Di sebelah Sumur Upas, di dalam bangunan yang sama, ada sebuah candi yang dinamakan Candi Kedaton. Aku amat berharap tapak arkeologi Sungai Batu juga akan dipulihara dan dipelihara seperti Sumur Upas ini.

Pendopo Agung dalam fasa pemuliharaan
Arca Gajah Mada

Aku meneruskan perjalanan ke Pendopo Agung yang terletak tidak begitu jauh dari Sumur Upas. Di Pendopo Agung ini ada Petilasan Raden Wijaya, petilasan lagi… Arca Patih Gajah Mada dan Paku Bumi tempat patih mengikat gajahnya. Aku tidak lama di sini kerana tak sabar hendak menjejakkan kaki ke destinasi akhir aku di Trowulan iaitu Museum Trowulan yang duduknya berhadapan dengan Kolam Segaran.

Kolam Segaran

Kolam Segaran ada kisahnya. Pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk, beliau menyambut rombongan rasmi daripada kerajaan China (tidak pasti sama ada Ming atau Yuan) dengan mengadakan jamuan besar-besaran. Perkakas yang digunakan diperbuat daripada emas; sudu emas, mangkuk emas, gelas emas, semuanya emas. Semua ini sengaja dilakukan oleh Hayam Wuruk untuk menunjuk-nunjuk, bahawa Majapahit adalah kerajaan yang kaya dan hebat. Kemuncaknya, selesai makan besar, Hayam Wuruk mengarahkan semua perkakas emas tadi dibuang sahaja ke dalam Kolam Segaran. Haaa… kalau nasib baik, lompatlah dalam kolam ini dan cari, kalau nasib baiklah. Apa-apa pun, memang ada penemuan di sini berupa mata kail dan piring yang diperbuat daripada emas.

Museum Trowulan

Museum Trowulan… semuanya disemadikan di sini. Di hadapan muzium ini ada pohon majapahit tapi masa aku berada di sini tak nampak pula buahnya. Aku menghabiskan masa berjam juga di sini. Ada pameran tentang komuniti Islam di Majapahit, juga sedikit informasi tentang candi-candi yang ada di Trowulan. Seperti muzium-muzium yang lain, tak sah kalau tak ada seramik dan tembikar.

Pelbagai seramik dipamerkan

Nisan Troloyo (Makam Pitu)

Di bahagian luar muzium banyaknya tinggalan relik Majapahit seperti makara, arca dwarapala, garuda, kala dan lain-lain lagi. Sememangnya Majapahit kaya dengan tinggalan.

Bahagian luar muzium
Ya saya… tapi mana tahan…
Pelbagai relief kala dan lain-lain
Arca dwarapala
Lagi batuan berukir

Ali menghubungi aku, ajak makan tengah hari. walaupun dah masuk petang. Kebetulan aku pun dah selesai berputaran di Trowulan. Aku kembali ke Hotel Mulya Jaya dan kami terus ke lokasi semalam untuk makan tengah hari. Pecel lele lagi… kalau tak mahu lele, ayam goreng pun boleh.

Makan lele lagi…

Petang itu rencananya kami akan ke Jombang untuk melawat rakan seperjuangan Ali dalam bidang penulisan khat dan seni halus. Jalan raya petang itu agak sesak tetapi kami dah terbiasa dengan keadaan sesak yang mencengkam. Aku terpisah lagi daripada Ali dan Zaini, tetapi kami lebih independent sekarang, yang penting lock siap-siap destinasi di Google Maps. Jumpa di destinasi sahaja kalau terpisah. Setiba di Jombang, sambil menunggu Ali dan Zaini, aku berhenti rehat dahulu sambil pekena air kelapa yang menghadap bendang yang memukau.

Tenang pekena ayaq nyoq dengan view macam kat kampung

Rupa-rupanya Ali dan Zaini dah sampai. Rumah Ustaz Athok agak tersorok, terpaksa beliau keluar ke lorong untuk menunggu kami. Kami disambut penuh ukhwah oleh beliau. Masuk ke kawasan rumah, kelihatan banyak burung dalam sangkar. Peminat burung juga Ustaz Athok ni. Menurut beliau, jika burung itu merdu suaranya, pasti akan dibawa masuk ‘lomba’ atau pertandingan. Burung yang menang biasanya bernilai jutaan rupiah… lumayan banget!

Di rumah Ustaz Athok
Ustaz Athok, Ali dan dugong kat tengah tu

Selesai makan malam, Ustaz Athok cuba sedaya upaya menghalang kami pulang, tidur sahaja di Jombang. Baik sungguh hati beliau. Malangnya, kami tak dapat memenuhi permintaan beliau kerana jadual yang padat. Akhirnya, Ustaz Athok bilang, kalau gak bisa bermalam, picit aja… Aku dan Zaini dah terbeliak biji mata. Picit? Massage? Urut? Why not… nak cuba juga urut Jawa.

Separuh bogel menanti diurut

Dalam 10 minit, datang seorang wak ni, kurus dan muda lagi… Zaini dah separuh bogel di ruang tamu. Ali dan Ustaz Athok pula dah ke pesantren khat. Aku macam biasalah, main handphone. Zaini kata sedap gila picit kali ni. Aku tak nak urut di ruang tamu, malu kat orang, masuk bilik tidur kecil. Memang best urut Wak Jombang ni… angin pruup pruup keluar, picitnya tak keras, tak lembik… sedey molek orang Kelantan kata.

Lewat malam, tiba masanya kami mengundur diri. Layanan Ustaz Athok memang first class. Hari ni memang digunakan sepenuhnya olehku dari pagi sampailah ke larut malam.

Aku memang tak suka ride malam, sebab mata tak berapa nak perform, tapi kalau dah terpaksa, OK sahaja aku. Kenderaan dah menyurut di jalanan, begitu juga dengan tenaga aku, tapi macam biasalah, kalau dah bertiga ni, bukan boleh tidur, menyembang yang lebih.

Esok kami akan meninggalkan Trowulan dan menuju ke Sidoarjo dan Malang. Terima kasih Tuhan atas rahmat-Mu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *