Rabu, 26 April 2017: Trowulan – Trawas – Sidoarjo – Pasuruan – Lawang
Sebelum memulakan ceritera perjalanan hari ke-8, aku nak coretkan sedikit perihal motosikal yang kami gunakan sepanjang pengembaraan di pulau Jawa. Kami menggunakan dua buah jentera skuter Honda Vario 125cc dan juga 150cc yang disewa di Kudus, atas ehsan Ustaz Assiry. Pada mulanya aku menggunakan motor yang berkapasiti besar sebab ingatkan sama sahaja dua-dua ni, dah sampai Trowulan baru kami sedar cc motor aku besar daripada yang ditunggang Zaini, jadinya kami bertukar jentera, dengan Petilasan Tribuana Tunggadewi menjadi saksi. Lagipun, Zaini dan Ali tunggang sebuah motor, ada baiknya punya motor berkapasiti besar sikit. Alhamdulillah, sehingga hari ni motor tak buat ragam lagi.

Kami meninggalkan Trowulan sekitar jam 8.30 pagi dan terus menuju ke kecamatan Trawas, di kaki Gunung Penanggungan. Di sini, sasaran kami adalah Candi Jolotundo yang akan aku ceritakan sebentar lagi. Perjalanan pagi itu amat indah. Tak lama meninggalkan Jalur 15, aku disajikan dengan pemandangan sawah bendang yang luas bertebaran. Angin pagi yang nyaman, disinari pancaran UV sang mentari, dirahmati pula dengan sedikitnya kenderaan besar di jalanan, ia adalah resipi terlengkap sebuah pengembaraan bermotosikal.

Seperti biasa, banyak rumah penduduk di sepanjang jalan desa. Masyarakat setempat leka melakukan rutin harian mereka. Ada yang mengangkat jerami penuh di belakang motosikal. Ada kalanya berselisih pula dengan motosikal yang diubah suai untuk menarik pelbagai jenis compartment buatan sendiri. Kebanyakan sawah baru selesai dibajak, ada juga kelihatan segerombolan petani yang bergotong-royong menanam padi secara manual. Kalaulah datang bulan Jun, pemandangan hijau melampau bakal menjadi kenangan indah pabila terimbau!

Dari kejauhan, kelihatan tersergam megah Gunung Penanggungan yang menyimpan seribu satu kisah sejarah dan misteri. Gunung ini tidaklah setinggi tetangganya Gunung Arjuna, tetapi keberadaan gunung ini di sini tidaklah boleh dipandang sepi.

Sedikit mendaki, kami tiba di sebuah gapura yang menandakan Candi Jolotundo tak berapa jauh lagi. Candi ini memang unik dan cantik. Uniknya kerana ada petirtaan atau ‘tempat mandi’ di mana air Gunung Penanggungan yang segar mengalir ke dalam kolam yang dipenuhi oleh ikan.

Sepanjang aku melawat candi di serata Asia Tenggara, inilah candi yang ada ikan tercantik! Dahulu, katanya ini tempat mandi raja-raja Kahuripan, tapi sekarang Wak Doyok kampung sebelah pun boleh mandi sini. Ketika kami sampai dah ada menusia yang mandi-manda dalam kolam tu.

Kalau ikut rancangan asal berbulan yang lalu, aku berencana untuk melawat Museum Mpu Tantular di Sidoarjo tetapi aku batalkan sahaja niat itu setelah Ali dan Zaini turut serta dalam pengembaraan ini. Lain kali aku pusing Jawa Timur, aku singgahlah. Tetapi tidak candi, ia adalah checkpoint perjalanan kami yang perlu dituruti satu-persatu.

Meninggalkan Candi Jolotundo kami menuju ke Sidoarjo dengan checkpoint kedua iaitu Candi Bangkal menjadi sasaran. Candi ini terletak di tepian sawah bendang, di satu kawasan tanah rendah yang pasti akan tenggelam apabila musim tengkujuh tiba. Nak masuk ke sini kena lalu jalan batu kerikil selorong di tepian sawah. Masuk jalan kampung ni excited dia lain macam…


Kami berbual mesra dengan penjaga candi ini. Aku tertarik dengan baju batik yang dikenakan oleh beliau, ia dikenali sebagai batik kawung. Corak batik ini wujud sejak zaman Ngayogyakarta Hadiningrat lagi. Corak daun pada baju wak penjaga candi itu diinspirasi daripada buah pokok kabung atau aren. Batik kawung ni ada falsafahnya tersendiri, yang berbunyi,
Ajining diri ana ing lathi, ajining raga ana ing busana, agama ageming diri.
bermaksud,
‘Harga diri tercermin daripada ucapan, harga diri juga tercermin daripada cara berpakaian, agama adalah tuntunan bagi kita’… begitulah falsafah di belakang motif kawung ini.

Ada 2 buah candi di pinggir Sidoarjo yang aku hendak lawati iaitu Candi Pamotan dan Candi Pari. Berpusing-pusing aku mencari Candi Pamotan di tengah-tengah kampung orang, rupa-rupanya candi ini ter’sandwich‘ dek dua buah rumah penduduk kampung. Candi ini kecil sahaja dan dikelilingi air. Terkesima aku dengan usaha kerajaan Indonesia dalam melestarikan tinggalan sejarah mereka hinggakan sekecil-kecil candi pun diwarta dan dipelihara. Geleng kepala Zaini tengok aku susah payah cari candi besar sikit daripada tayar bekho ni.



Jalur Surabaya – Malang sememangnya sesak, sesesak Semarang – Kudus tempoh hari. Sidoarjo adalah penamat sebelah Timur Jalur 1 yang menghubungkan Surabaya dengan Jakarta. Kami masuk sebentar jalur ini sebelum membelok masuk ke Wisata Lumpur Lapindo.

Wisata Lumpur Lapindo adalah sebuah kawasan tanah lapang yang amat luas… dan berlumpur. Sedih cerita asal muasal terjadinya kawasan lumpur tersebut. Dikisahkan, sebuah syarikat minyak diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti penggerudian (boring) di tapak ini. Tanpa diduga, telah berlaku underground blowout yang menyebabkan bertan-tan lumpur keluar ke permukaan dan menenggelamkan tanah pertanian dan pemukiman penduduk. Hingga ke hari ini masih kelihatan asap yang melepas keluar ke udara tandanya ia masih aktif.

Aku kena puji usaha masyarakat setempat yang cuba sedaya upaya menambah nilai pada lokasi pelancongan Lapindo ini. Untuk menambah kesan dramatik pada lokasi, mereka tanam separa dalam patung manusia pelbagai aksi yang berwarna putih… terus jadi insta worthy area!
Seusai rencana kami di Wisata Lumpur Lapindo, kami memasuki sebentar laluan super sibuk Jalan Raya Malang – Surabaya sebelum membelok keluar untuk ke Candi Gunung Gangsir dan mencari gerai makan. Dahlah tak breakfast, lunch pun berterabur. Seperti biasa kami singgah di sebuah gerai menjual pecel lele milik seorang warga Madura. Baik orangnya.



Selesai makan dan selesai melawat Candi Gunung Gangsir, kami mendaki lereng Gunung Penanggungan untuk ke Candi Belahan atau nama lainnya Sumber Tetek. Namanya Sumber Tetek sebab air memancut keluar daripada payu dara arca candi tersebut. Petirtaan atau kolam mandi ada untuk pengunjung yang mahu merasa segarnya air Gunung Penanggungan.

Mendaki lereng gunung ini menyajikan pemandangan yang menarik kerana padi bukit baru sahaja ditanam. Hijaunya kurang, taklah seperti padi yang sudah ditanam 2 bulan ke atas, tetapi indahnya tetap ada.
Meninggalkan Sidoarjo, kami meluncur perlahan ke arah Malang, tetapi sempat juga singgah di Candi Jawi, di Pasuruan. Candi putih yang dibina bagi memperingati kemangkatan Kertanegara, iaitu raja Singosari yang terakhir ini amat cantik sekali. Sekelilingnya ada kolam yang ada ikan… tapi kategori tak sama macam Candi Jolotundolah.



Hari dah semakin sayup, jalan makin sesak, penat juga rasanya menunggang dalam kesesakan lalu lintas ni. Kami tak book hotel mana-mana, main redah jer. Hari ni memang padahlah. Sampai ke Singosari kami pergi tapi tak jumpa-jumpa juga hotel bajet atau losmen. Berhenti solat di Singosari dan menenangkan diri sebelum ambil keputusan untuk patah balik ke arah Sidoarjo untuk mencari hotel bajet di Lawang. Ada sebuah gerai menjual satey kambing di hadapan Candi Singosari. Itulah makan malam kami. Walaupun hati sedikit kusut, tetapi satey kambing habis sepinggan juga. Habis makan baru gerak ke Lawang.
Jumpalah satu hotel murah ni, punyalah teruk biliknya, tilam bau hapak, bilik air pula macam tempat siksa tahanan perang, bertampung sana-sini dindingnya. Aku dah siap-siap nak mandi… buka paip air, setitik pun tak keluar. Aku pun pergilah mengadu pada penjaga lokap bernama hotel ni, rupa-rupanya ada centralised paip di belakang pejabat dia. On paip utama, baru boleh buka paip di bilik. Kalau dia tutup… macam mana? Kan susah nak berak malam-malam. Tapi penat punya pasal, terlelap juga kami malam tu. Nak berak tak berani, takut tak ada air!
Esok nak ke Malang yang tak berapa jauh dari Lawang. Insya-Allah akan ketemu teman FB yang aku hormat dan kagum atas kerja-kerja sosial beliau. Banyak yang hendak aku coretkan tentang beliau pula.