Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 09 – Kampung Warna-Warni, Pasar Karat Dan Bakso Torpedo!

Khamis, 27 April 2017: Lawang – Malang (Karangploso)

Rasa tak sabar nak meninggalkan hotel bajet di Lawang ini. Nasib baik mandi pagi itu tiada drama air tak ada. Kami bergerak sekitar jam 9 pagi dan terus menuju ke Petilasan Tunggul Ametung di kaki Gunung Arjuna. Tunggul Ametung adalah penguasa wilayah Tumapel (Singosari) yang bernaung di bawah kerajaan Kediri di Daha. Ceritanya, Tunggul Ametung ini dibunuh oleh Ken Arok, dan bermula dari wilayah Singosari inilah kuasa beliau makin bertambah dan akhirnya beliau berjaya menundukkan kerajaan Kediri dan menubuhkan kerajaan Singosari atau Singhasari. Ok… cukuplah cerita sejarah Tunggul Ametung dan Ken Arok ni.

Kalau diikutkan Google Maps, petilasan ini letaknya di tempat yang tinggi, terhegeh-hegeh aku perhatikan motor Zaini mendaki. Dah berdua, memang beratlah sedikit motor tu. Nasib baik kami bertukar motor ketika di Trowulan. Jalan makin lama makin mengecil. Sebaik sahaja kami membelok dan melepasi ladang ternak lembu, jalan tar sudah bertukar menjadi jalan tanah merah.

Logo rasmi kembara kami

Di depan, boleh pula ada kerja-kerja memotong pokok, habis jalan ditutupnya. Dekat 10 minit juga kami menunggu dengan sabar dan aku tersengih-sengih macam kerang busuk sebelum abang-abang tu bagi laluan pada kami. Tak sampai 100 meter dari situ, jalan tanah merah dah bertukar menjadi jalan batuan yang besar-besar dan lubang yang dalamnya sesuai untuk majlis pengebumian. 50 meter melalui laluan gila ni aku katakan pada Zaini dan Ali, ini bukan benda main-main, jom patah balik. Aku ingat lagi Zaini katakan ini pada aku,

“Nasib baik hang bertimbang rasa dan fikir logik.” Hmm… aku hampir hilang pertimbangan sebenarnya…

Kami berpatah balik dan menuju ke checkpoint kedua iaitu Pabrik Teh Wonosari. Kebun teh ini masih di kaki Gunung Arjuna, malah lebih rendah kedudukannya daripada Petilasan Tunggul Ametung! Apalah yang aku fikirkan ketika melalui jalan berbatu yang mendaki gunung itu tadi.

Setiba di pintu masuk ladang, kami ditahan oleh pengawal keselamatan. Rupa-rupanya kena bayar nak masuk kebun teh ni. Aku tak puas hati sebenarnya sebab ni pertama kali aku kena caj nak masuk kebun teh, bukan nak masuk muzium atau zoo pun.

Melepasi pondok pengawal, kami perlahan-lahan melewati ladang teh yang luas sehinggalah kami tiba di kilang memproses teh. Agak mengecewakan sebab tiada spot yang betul-betul menarik untuk bergambar, kena jalan jauh baru ada tempat menarik. Patutlah kebun teh ni aku tak pernah dengar namanya.

Zaini bersemangat waja pagi itu

Kami cepat-cepat meninggalkan Kebun Teh Wonosari, sejurus melepasi pondok pengawal mula-mula tadi, kami singgah di sebuah restoran untuk bersarapan. Sekurang-kurangnya ada juga faedah mendaki tinggi-tinggi. Bukan permulaan yang baik pagi ini. Adakah nasib malang petang semalam terbawa-bawa hingga ke hari ini? Hmm

Ikut perancangannya, perjalanan hari ni akan berakhir di Karangploso. Aku sudah menghubungi temanku di kota Malang, Mbak Ajeng Ria akan rencana kembara aku di pulau Jawa sebelum pengembaraan ni bermula lagi. Beliau mengalu-alukan kedatangan kami ke terataknya, malah kalau diikutkan, semalam lagi diajaknya ke rumah.

Kami kemudiannya bergerak perlahan-lahan menuruni lereng Gunung Arjuna untuk ke Candi Sumberawan. Seronok juga melalui celah-celah rumah kampung. Binatang ternakan bersimpang-siur dan melihat penduduk setempat meneruskan aktiviti pagi mereka tanpa menghiraukan kelibat kami amatlah mengasyikkan.

Candi Sumberawan berbentuk stupa

Kawasan Candi Sumberawan ini agak luas. Dari kaunter tiket ke candi tersebut boleh tahan juga perjalanannya tetapi pemandangan serba hijau di sekeliling terasa seperti sedang menuju ke air terjun. Di belakang candi ada beberapa warung kopi dan di belakang warung ini pula ada sebuah tasik yang menyejukkan mata dan hati.

Candi Sumberawan merupakan sebuah stupa, ia adalah satu-satunya candi berbentuk stupa di Jawa Timur. Yang menariknya, dikhabarkan bahawa Hayam Wuruk (raja ke-4 Majapahit) pernah ke sini ketika beliau mengadakan lawatan ke tanah jajahannya di timur.

Plan nak pekena kopi di salah satu warung di sini, tetapi tiada siapa yang nak ambil order, maka kami pun berlalu pergi meninggalkan Candi Sumberawan. Di parkir, ada kejadian yang mencemaskan dan agak melucukan juga. Terkejut kami terdengar jeritan seorang bocah (anak kecil) yang dipatuk oleh seekor ayam jantan. Berlari ayahnya dengan wajah bengis mengejar ayam jantan tersebut, menangkap ayam itu lalu dihempasnya ke lantai. Nasib baik ayam tu tak apa-apa. Itulah kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya, kecewa gagal memberi perlindungan, ayam itu nyaris menjadi korban.

Arca dwarapala belah kiri jalan
Arca dwarapala

Kami menuju ke kecamatan Singosari untuk melawat dua monumen hebat kerajaan Singosari iaitu dua buah arca dwarapala dan juga Candi Singosari. Candi ini merupakan ikon yang paling terkenal di Malang. Sebenarnya malam semalam dah terlajak sampai ke sini, malah kami makan satey kambing depan candi ni tetapi tak semangat langsung nak pusing tengok-tengok, letih banget!

Candi Singosari

Selesai program kami di kecamatan Singosari, kami terus ke kota Malang. Kota ini memang sesak, mungkin tak pernah tak sesak. Ketika kami tiba di kota Malang, awan makin berkepul-kepul di langit, menghitam rupanya tapi belum tiba waktunya hendak membasahi bumi. Destinasi kami di sini ialah Kampung Warna-Warni Jodipan; ada juga yang menggelar tempat ini sebagai Kampung Tridi. Dari Jambatan Brantas (jalan besar) kami boleh melihat rumah-rumah penduduk yang sudah dicat dengan pelbagai warna. Dari jauh memang nampak cantik sekali tetapi kalau diperhati betul-betul, kelihatan sampah sarap di merata-rata tempat di tebing Sungai Brantas itu. Cacat sedikitlah pemandangan Jodipan ni pada aku.

Zaini dan Jodipan

Pelawat boleh turun ke kawasan perumahan Jodipan ini, macam-macam ada sebenarnya, tetapi Ali cakap tak perlulah sebab dari atas pun pemandangan dah terbaik. Aku pun setuju juga, lagipun malas nak turun naik tangga.

Ali dan Jodipan

Di sebelah perkampungan Jodipan adanya gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai barang lama, barang lusuh dan juga barang terpakai. Kalau di tempat kita, namanya pasar karat. Tempat ni macam heaven untuk Ali. Suka betul dia barang-barang antik ni. Aku ikutkan sahaja.

Sukanya dia…
Cari apa tu bro?
Aku rasa macam sebahagian daripada barangan pameran

Meninggalkan Jodipan kami menuju ke Karangploso, lokasi rumah Mbak Ajeng Ria. Hujan mulai turun, makin lama makin lebat, dan nasib malang, aku terpisah dengan Zaini dan Ali. Jalan sesak teruk pula masa tu sebab orang balik kerja. Alhamdulillah, selepas melilau dekat setengah jam, terjumpa juga hero dua orang ni. Kami pekena bakso dan solat dahulu sebelum bergerak dalam hujan menuju ke rumah Mbak Ajeng.

Dah dekat dengan lokasi kami tak terus pergi rumah tu, kami singgah dulu di sebuah kedai serbaneka dan di situ ada peniaga bakso jalanan. Adik yang berniaga ni peramah orangnya. Aku pun apa lagi, orderlah bakso spesial satu. Warna-warni baksonya. Menyelerakan sungguh, marvellous. Ali geleng kepala jer tengok aku melantak.

Aku dan peniaga bakso budiman

Ali ni sebenarnya orang yang berhati-hati dalam bab pemakanan. Dia takkan order air ais sebab curiga kebersihan ketul ais yang disimpan, sebab tu dia order Coke sepanjang masa. Zaini tak berkira sangat tapi orang muda antibodi kuatlah kot. Aku ni yang tak sedar diri, semua sapu.

Bakso spesial… kena torpedo lepas tu. Perut aku yang tak tahan, baksonya OK saja

Kami melepak di kedai serbaneka tu sehingga Mbak Ajeng pulang ke rumah. Kami disambut mesra oleh Mbak Ajeng ketika sampai di rumahnya. Diberinya kami sebuah bilik, segalanya sederhana di rumah ini tetapi Alhamdulillah, cukuplah untuk kamu berteduh buat dua malam di sini. Dua malam cukup masa untuk kami membasuh pakaian dan recharge tenaga apa yang patut.

Omah Backpacker, tempat kami tumpang teduh selama 2 malam

Malam itu jugalah bermulanya tragedi dalam pengembaraan aku kali ini. Aku mula kena sakit perut yang teruk, diarrhoea! Punyalah kerap aku ke jamban, aku rasa kering kot tangki air rumah tu.

Malam itu aku punyalah keletihan dan kesakitan, tak sempat nak bermesra dengan tuan rumah dan tetamu-tetamunya yang lain. Semuanya penangan bakso… terkena torpedo aku hari ni.

Esok jer lah yea… 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *