Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 10 – Berikanku 10 Ajeng Ria, Akan Kutaklukkan Dunia

Jumaat, 28 April 2017: Karangploso – Sumber Brantas – Karangploso

Sebelum aku mulakan catatan Bahagian 10, ingin aku coretkan sedikit tentang bagaimana kami tidur sebilik tiga orang. Bukan semua hotel ada katil besar atau ada 3 buah katil. Biasanya dua katil single sahaja. Maknanya, seorang kena tidur atas lantai. Hampir setiap malam Ali yang tidur atas lantai, dalam sleeping bag yang dibawanya. Kalau kami nak gilir-gilir pun dia tak bagi. Dia kata, kami dah bawa motor siang hari, rehatlah atas katil empuk di malam hari pula. Bercucuran air mata aku dan Zaini melihat pengorbanan Ali. Zaini siap meraung-raung sambil pukul-pukul dada, punyalah terharu.

Pagi Jumaat tu kami keluar agak lewat, mungkin dalam pukul 9 pagi baru kami gerak. Hari ni perjalanan kami hanyalah menyusuri jalur lembah yang kemudiannya mendaki lereng Gunung Arjuna. Kemudian, kami akan berpatah balik ke Karangploso. Begitulah rencana ringkas kami hari ini. Hari rehatlah katakan.

View cantik, kena berhenti

Salah satu sebab kami keluar lambat adalah kerana sakit perut aku yang semakin mencengkam. Baik clearkan dulu apa yang patut sebab nak cari tandas bukan senang. Aku tak lena tidur malam tu sebab kerap ke tandas. Sengsara dia bukan main-main.

Cuaca terik pagi memang perfect untuk ride hari ini. Pada mulanya, perjalanan kami menuju ke arah kota Batu tetapi kami belum lagi hendak ke sana, kami nak bermesra dengan kehidupan marhaen di sepanjang lereng Gunung Arjuna. Kami singgah breakfast di sebuah kedai yang menjual… guess what… pecel lele lagi. Kedainya amat selesa dan makanan pun sedap.

Hutan lereng Gunung Arjuna

Jalan menuju Sumber Brantas pada permulaannya masih di kawasan wisata Batu. Memang ada papan tanda yang mengayat kami untuk ke taman tema mereka, tapi kami semua tak ada mood nak berfunfair.

Jalan makin mendaki dan kami mula disajikan dengan pemandangan kebun sayur di kiri dan kanan jalan. Semakin tinggi kami menunggang, semakin sejuk terasa.

Salah satu keseronokan menunggang di pulau Jawa adalah keindahan pekebunan tanah tingginya. Lereng gunung berapi yang amat subur sering kali dipugar oleh warga murba yang menetap di kawasan sekitar.

Sayuran yang ditanam. Tanahnya gebu elok

Destinasi pertama kami adalah Desa Sumber Brantas. Aku agak naive sebenarnya kerana berangan-angan kot-kotlah boleh menyentuh hulu Sungai Brantas yang megah itu. Sudah pasti, desa ini, dan hulu sungai itu jauh sekali kedudukannya.

Kami beberapa kali berhenti untuk mengambil gambar keindahan alam semula jadi lereng gunung ini. Sebaik melepasi Wisata Pemandian Air Panas Cangar, kami berpatah balik menuju ke Karangploso. Sempat juga Zaini membeli seplastik buah epal original Gunung Arjuna tetapi rasanya agak masam.

Si Zaini beli epal ori Batu

Kami tiba di Karangploso sebelum solat Jumaat bermula dan tidak ke mana-mana selepas itu. Kami semua melepak di bilik sahaja sambil melayan perasaan. Sakit perut aku makin menjadi-jadi… aduh!

Malam tu makan mi segera jer

Malam itu baru sempat aku bersembang dengan Mbak Ajeng Ria. Sehari suntuk beliau tiada di rumah kerana penuh dengan pelbaga aktiviti kemasyarakatan. Jadual beliau memang begitu padat. Ada sahaja aktiviti yang direncana beliau sama ada untuk pelancong asing yang menginap di Omah Backpacker atau untuk anak-anak SD (sekolah dasar) di Desa Ngijo, Karangploso.

Mbak Ajeng Ria juga pencinta sejarah seperti aku, maka, amat mudah untuk kami berbicara. Beliau juga, seperti aku, agak sedih pabila mengenangkan generasi muda yang tidak ambil peduli tentang sejarah setempat apatah lagi sejarah negara bangsa. Kerana itu jugalah beliau mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program pengenalan kepada anak-anak kecil yang masih bersekolah rendah. Inisiatif ini dinamakan beliau Omah Sinau.

Kelas Business Model Canvas. Gambar ihsan Mbak Ajeng Ria

Petikan di bawah, yang diambil daripada blog beliau menceritakan sepenuhnya mengapa Omah Sinau ditubuhkan.

Omah Sinau adalah sebuah gerakan sosial mandiri di bidang pendidikan dasar untuk anak dan pemberdayaan masyarakat desa. Kami meyakini bahwa masalah kemiskinan, kesehatan, populasi yang tidak terkendali, kriminalitas yang tinggi, akan bisa diatasi dengan pendidikan yang baik dan masyarakat yang memiliki daya saing.’

Jelajah Jejak Megalitikum. Gambar ihsan fb Omah Backpacker
Gambar ihsan Mbak Ajeng Ria
Melawat lokasi bersejarah di sekitar Malang. Gambar ihsan fb Omah Backpacker

Menurut beliau, walaupun Desa Ngijo ini adalah perkampungan pesisir bandar yang punya pelbagai kemudahan, gejala sosial yang berleluasa ditambah pula dengan ketidakpedulian ibu bapa dalam mendidik anak-anak benar-benar meranapkan masa depan anak-anak desa ini. Tambah beliau, kitaran yang memusnahkan ini perlu dihentikan dan cara yang paling baik adalah melalui pendidikan.

Kelas Sains Kampung Edukasi Ngijo. Gambar ihsan Mbak Ajeng Ria

Masa sengkang anak-anak ini perlu diisi dengan pelbagai aktiviti yang membina jati diri mereka. Maka, apa yang diusahakan oleh Mbak Ajeng Ria?

Antara aktiviti yang dimulakan beliau adalah;

1) Taman bacaan mini yang dilengkapi WiFi untuk kegunaan anak-anak.

2) Rumah bahasa percuma untuk anak-anak desa. Bahasa yang diajar adalah bahasa Inggeris, Jepun dan Perancis. Siapa yang mengajarnya? Pelancong asing (seperti aku) yang menumpang tidur di Omah Backpacker. Selagi kami berada di rumah ini, selagi itulah kami mendapat penginapan percuma, hanya perlu mengajar bahasa sahaja sebagai ganti. Ketika aku di sini, ada pelancong wanita muda yang berasal dari Lubnan yang mengembara solo.

3) Ada pelbagai kelas tarian, teater dan seni yang dipanggil Sanggar Minat.

4) Kelas Ajar Pusaka Budaya pula membawa anak-anak desa dan pelancong asing melawat beberapa lokasi menarik di Malang dan kawasan berdekatan.

5) Kelas yang terakhir ini amat mengujakan aku, namanya Kelas Berbagi Mimpi. Apa yang Mbak Ajeng lakukan, beliau bersama pasukannya akan ke sekolah-sekolah menengah luar bandar yang tidak cemerlang dan di sana pelajar-pelajar ini akan didedahkan dengan pelbagai profesion yang terdapat di luar sana. Bagi Mbak Ajeng, anak-anak ini perlu tahu bahawa destinasi dan cita-cita mereka bukanlah menjadi pekerja kilang atau buruh kasar sahaja tetapi mereka perlu bermimpi lebih jauh lagi.

Bule pun kena masuk kebun. Gambar ihsan Mbak Ajeng Ria

Mbak Ajeng amat berharap suatu hari nanti akan lahir usahawan-usahawan yang bakal membangunkan Desa Ngijo kelak dan kitaran yang membinasakan itu terhenti buat selama-lamanya.

Aku tak sempat menyantuni anak-anak Desa Ngijo kerana jadual perjalanan yang amat ketat dan juga aku tak berapa sihat. Aku berharap akan ke sini lagi suatu hari nanti. Memandangakan Bromo dan Semeru belum aku jejaki, insya-Allah peluang itu akan terus terbuka.

Pelancong masuk kelas silat. Gambar ihsan Mbak Ajeng Ria

Kami juga bersembang untuk beberapa lama tentang kisah sejarah, agama dan keunikan Islam di tanah Jawa. Banyak yang aku pelajari daripada Mbak Ajeng Ria. Beliau adalah contoh manusia yang tidak punya wang berjuta (oh.. rupiah memang berjuta) tetapi punya kekuatan jiwa yang tegar dan hati yang besar. Untuk berbakti itu sebenarnya tak perlu tunggu duit berkepul dalam bank.

Main sambil belajar
Kelas catur pun ada

Aku mengucapkan selamat malam sebelum meninggalkan ruang tamu dan melabuhkan mata. Kami akan menuju Kediri keesokan harinya.

Terima kasih Mbak Ajeng atas tunjuk ajar ini.

Hari-hari di Karangploso, adalah hari-hari aku mengenal mimpi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *