Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 11 – Hari Aku Bertemu Pejuang Bahasa

Sabtu, 29 April 2017: Malang – Batu – Selorejo – Pare – Kediri

Pagi lagi aku sudah bangun dan bersiap untuk ke Candi Badut dan Candi Karang Besuki. Malam semalam Mbak Ajeng memaksa aku pergi ke sana sebelum meninggalkan Malang, rugi katanya. Pada aku bukanlah kerugian yang besar sangat sebab aku memang punya rencana untuk ke Malang lagi suatu hari nanti. Namun, ada benarnya juga kata Mbak Ajeng, alang-alang dah sampai kenapa tak diturut saja.

Aku biarkan Ali dan Zaini di bilik, dapat juga mereka berehat lebih sikit. Berpandukan Google Maps, aku meluncur perlahan menuju Candi Karang Besuki. Jalan agak sesak kerana ini waktunya orang ke kantor, toko dan pabrik, walaupun hari ni hari Sabtu. Tak lama kemudian aku tiba di sekitar Candi Karang Besuki tetapi candinya tidak kelihatan. Rupa-rupanya candi ini terletak di dalam kawasan tanah perkuburan, di belakang rumah penduduk. Jalan menuju tanah perkuburan ini pula kecil, sebuah kereta kancil pun tak muat rasanya.

Candi Karang Besuki. Rileks jer candinya

Candi ini mungkin paling kecil pernah aku lawati, hanya terdiri daripada beberapa bongkah batu yang membentuk satu lingkungan. Seram juga rasanya mengambil gambar di kawasan tanah perkuburan walaupun pada pagi hari. Aku kagum dengan usaha ‘dinas’ (jabatan kerajaan) yang melestarikan tinggalan sejarah di Indonesia. Candi sekecil ini pun mereka jaga. Seperti Candi Pamotan, candi ini juga bukanlah candi mainstream.

Penerangan tentang Candi Karang Besuki

Aku cepat-cepat meninggalkan Candi Karang Besuki dan maju ke arah Candi Badut yang tidak jauh dari tanah perkuburan ini. Candi ini memang besar, dan lain daripada yang lain kerana bentuknya segi empat yang hampir sempurna. Satu lagi, candi ini adalah buatan raja dari kerajaan Kanjuruhan dan bukannya Majapahit, Singosari ataupun Kediri yang lebih terkenal. Ramai budak-budak sekolah sedang menanti pintu pagar kompleks candi ini dibuka. Aku beranggapan mereka ini mungkin ada program mengenal budaya dan sejarah barangkali.

Candi Badut

Ketika aku tiba di Omah Backpacker, Ali dan Zaini sudah siap siaga menanti aku. Aku mengucapkan selamat tinggal pada Mbak Ajeng Ria dan berharap akan bertemu lagi dan kali ini aku nak luangkan masa lebih lagi di Desa Ngijo.

Destinasi kami yang pertama pagi itu ialah sebuah dataran tanah tinggi yang dinamakan Omah Paralayang. Kalau berani boleh saja mencuba aktiviti paragliding. Omah Paralayang ini agak menarik juga bagi kami mungkin kerana ia adalah puncak bukit pertama kami dalam pengembaraan ini. Dari dataran ini kami boleh lihat kota Batu, saujana mata memandang.

Kota Batu dari Omah Paralayang

Kota Batu terkenal sebagai kota liburan keluarga. Di sini ada 2 taman tema, Jatim Park I dan Jatim Park 2. Ada zoo, waterpark, Museum Angkot dan Trans Studio. Waktu malam pula boleh bawa keluarga ke Batu Night Spectacular menyaksikan pesta cahaya. Agro wisata pun ada, boleh petik epal dan tanam kobis. Nah… kami semua traveler bujang. Tak kena tema liburan keluarga ni dengan perjalanan kami kali ini, maka, tak pergilah tempat-tempat seru yang disebutkan tadi.

Amboi awak mu…
Nikmatnya… priceless!

Dari Omah Paralayang kami kemudiannya melalui deretan rumah kampung untuk ke Pujon Kidul, sebuah lokasi yang dikatakan sesuai untuk berselfie, tapi tempat ini biasa-biasa saja daripada pemerhatian kami. Tak apalah, satu jalan nak ke Selorejo, apa salahnya berhenti seketika, ya tak?

Meninggalkan Pujon Kidul, aku menoleh kebelakang, Ali dan Zaini tak kelihatan. Aku berpatah balik, rupa-rupanya tayar motor mereka bocor. Bonggol jalan kampung ni macam nak sekat lori pasir masuk, walhal jalannya kecil, berselisih kereta pun dah jadi masalah. Nasib baik ada kedai repair tayar di jalan besar, alatan yang digunakan agak ‘konservatif’ dan ambil masa agak lama untuk menyiapkan kerja baiki tayar tersebut. Siap! Monggo ke Selorejo.

Repair motor kejap

Jalan menuju Selorejo tak sibuk tetapi langit sudah mendung kelabu. Ikutkan hati nak teruskan saja ke Pare tapi nanti teringat-ingat pula wisata tasik di Selorejo ini. Aku tak berpuas hati kerana dikenakan bayaran untuk masuk tasik awam ini, nak parkir motor kena bayar lagi. Tasik ini biasa-biasa sahaja, nak kata menyesal datang tu taklah tetapi geram sebab bayar untuk sesuatu yang biasa-biasa. Ada bot yang boleh membawa kita ke tengah tasik, tapi kami tak naik pun. Ali masih sibuk dengan cubaan dia membuat video menggunakan apps FilmoraGo. Ok juga hasilnya yang sebelum ini.

Wisata tasik di Selorejo

Kali ni hujan betul-betul turun walaupun renyai-renyai sahaja. Kereta agak banyak antara Selorejo dan Pare, jadi aku berpesan kepada Ali dan Zaini supaya lebih berhati-hati. Yang sebenarnya aku yang kena beri lebih tumpuan sebab perut aku ni sepanjang masa memulas.

Zaini in prime form 

Sakit perut aku sudah dua hari berturut-turut, dan semakin kronik. Dalam perjalanan ke Pare ni sempat aku singgah di sebuah masjid di Djombok untuk melepas hajat. Sepanjang aku mengembara, tak pernah lagi aku diserang sakit perut yang kronik sebegini, ini kali pertama. Sengsara rasanya.

Candi Surowono
Relief pada Candi Surowono

Hujan berhenti setelah kami melepasi Kandangan. Checkpoint kami yang seterusnya ialah Candi Surowono yang terletak di Canggu, amat hampir dengan pekan Pare. Candi ini bersaiz sederhana dan indah sekali, bagi akulah. Ukiran bas-relief pada dinding candi jelas kelihatan. Yang lebih menarik, ketika kami sampai di sini ada sesi bergambar untuk pertandingan cowok cewek cantik.

Cewek manis berfotoan

Di tepi candi, terdapat beberapa barisan panjang, di atasnya diletakkan relik-relik lama yang dijumpai sekitar Candi Surowono… menarik.

Kami pekena air tebu sebelum meneruskan perjalanan ke pekan Pare, lebih tepat lagi ke Desa Pelem. Destinasi yang dituju ini adalah sebuah kawasan yang menjadi pusat pembelajaran bahasa Inggeris. Terdapat lebih 200 pusat pengajian swasta yang menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan jangka panjang di sini dan juga di Desa Tulungrejo. Tujuan aku hanya sebuah tempat iaitu Basic English Course (BEC) yang diusahakan oleh Pak Kalend Osen. Dulu hanya ada satu sahaja, Pak Kalend Osen, kini ada ratusan indie English course!

Basic English Course College, Desa Pelem

Setiba di BEC aku bertanya kepada pelajar yang kebetulan berada di pintu masuk kolej. Aku bertanya sama ada mereka tahu Pak Kalend tinggal di mana, aku beranggapan Pak Kalend mungkin sudah bersara pada usia senja. Terkejut aku kerana adik itu memberitahu Pak Kalend ada di kantor sedang melayan tetamu. Berbunga hati aku bukan kepalang, memang antara bucket list dalam pengembaraan ini adalah melawat BEC dan Pak Kalend walaupun tipis kebarangkalian bertemu beliau.

Ali, Pak Kalend dan penulis

Kami menunggu dengan penuh semangat di luar ofis Pak Kalend. Tersengih aku macam kera dapat bunga. Pak Kalend ni luar biasa orangnya. Beliau merantau dari Kalimantan ke pulau Jawa untuk memperbaiki dirinya. Pada mulanya, beliau membuka kelas bahasa Inggeris dengan menumpang perkarangan masjid sebelum mengajar di rumah-rumah milik persendirian. Kini beliau memiliki sebuah kolej yang sudah dilawati oleh pelbagai lapisan masyarakat dan tokoh akademik dan politik antarabangsa.

Kami berdiskusi hampir 15 minit dan tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Sebelum kami meninggalkan Pak Kalend sempat aku bertanya ini pada beliau,

Can I get a hug?

Sumpah dekat seminggu aku kena bahan dengan Zaini… Can I get a hug… Can I get a hug katanya… huh!

Candi Tegowangi

Dari Desa Pelem, kami menuju ke candi terakhir untuk hari ini iaitu Candi Tegowangi. Seperti juga Candi Surowono, candi ini terjaga baik dan bas-reliefnya jelas kelihatan. Aku sempat mengambil video bas-relief ini untuk rujukan masa hadapan.

Relief pada Candi Tegowangi

Dari Candi Tegowangi kami langsung ke Kediri, tempat kami bakal bermalam. Di pertengahan jalan sempat aku singgah di Petilasan Sri Adji Jayabaya, seorang raja kerajaan Kediri yang amat terkenal. Aku hanya berfoto di luar petilasan sahaja kerana hari semakin sayup. Tak naklah aku masuk petilasan dah.

Gerbang masuk ke Petilasan Sri Adji Jayabaya
Petilasannya belakang pintu pagar tu

Di tepi jalan menuju Kediri, sebuah arca yang tak kurang terkenal iaitu Arca Totok Kerot tersergam megah. Arca ini dibina pada zaman kerajaan Kediri juga.

Arca Totok Kerot

Jalan antara Pare dan Kediri tak sibuk dan jalannya seperti jalan persekutuan di negara kita, cukup besar dan selesa. Ketika kami memasuki kota Kediri, kami tersangkut di tengah-tengah kota. Ada perarakan motor besarlah pula. Beratus motor di celah-celah kenderaan besar. Aku dah la nak pitam sebab buang air banyak sepanjang jalan, sakit perut la katakan.

Akhirnya, kami tiba di sebuah hotel yang bernama Hotel Salmaa. Hotel ini sering dikunjungi oleh Mak Liza, ibu kepada Ali. Dua adik Ali mengaji di Pesantren Lirboyo di Kediri. Pelan kami nak melawat pesantren ni esok.

Depan Hotel Salmaa

Terima kasih juga pada Mak Liza sebab belanja kami tidur semalam di sini. Tak lama kemudian, adik-adik Ali tiba di hotel dan join kami tidur di sini. Katanya, pesantren cuti, maka, kami batalkan saja niat nak melawat pesantren esok hari.

Makan malam tu siksa sungguh rasanya. Nak habiskan nasi di pinggan pun rasa macam merangkak. Kepala pusing, perut memulas. Aku minta diri awal dan pulang ke hotel lalu tidur.

Walaupun kesihatan aku makin terganggu tetapi pengembaraan perlu diteruskan. Hari ini aku ketemu dengan Pak Muhammad Kalend Osen. Ia suatu hari yang indah dalam lelah. Ini masanya untuk terus bermimpi!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *