Ahad, 30 April 2017: Kediri – Gunung Kelud – Blitar – Tulungagung
Pengembaraan bermotosikal kami bukanlah tipikal kembara pulas throttle dari pagi sampai ke petang yang merangkumi jarak minimum 300km setiap hari. Ia adalah ride santai kerana beberapa asbab;
1) Jalan raya di pulau Jawa sibuk dengan kenderaan kecil dan besar yang bersimpang-siur sesuka hati. Amat berbahaya jika memandu laju.
2) Ada seksyen jalan yang kecil dan ada juga yang berlubang dan tidak rata. Samalah negara lain pun.
3) Kebanyakan masa kami menggunakan jalan kampung dan pekan kecil, jadi kena hati-hati lebih sikit.
4) Yang paling utama, kami banyak destinasi atau checkpoint yang sudah diatur sepanjang perjalanan. Jalan sikit, berhenti… memang tak jauhlah perjalanan kami dalam sehari.

Paling jauh kami ride sehari rasanya dari Lasem ke Lamongan yang berjarak sekitar 180 kilometer. Mungkin sebab tu jugalah fokus aku hilang dan pasport aku turut hilang sama, hmmm. Biasanya jarak perjalanan sehari bawah 150 kilometer, memang santai-santai.
Kami meninggalkan Kediri dan adik-adik Ali di Hotel Salmaa pagi Ahad itu. Destinasi pertama kami? Gunung Kelud! Hari minggu (Ahad) pasti ramai orang di puncak Gunung Kelud ni, bisik hatiku.
Perjalanan seperti biasa, aman damai dan tenang. Tak banyak kenderaan di jalan-jalan kampung ni. Masyarakat setempat pun sibuk dengan aktiviti pagi mereka, menyapu sampah, mengangkat kayu, punggah barang dalam lori, pendek kata, macam-macamlah aktivitinya.

Sampai di pintu masuk Gunung Kelud, kami bersarapan pagi dahulu. Sarapan pun pop mie (mi segera dalam cawan) jer. Seusai makan pagi kami pun memasuki kawasan wisata ini. Sebelum sampai ke puncak yang dituju, ada beberapa lokasi menarik yang boleh disinggahi, antaranya sebuah taman yang dihias indah khas untuk berswafoto dan sebatang jalan yang digelar ‘magnetic road‘.
Konsep jalan magnetik ni sama macam yang ada di Sabah tu. Free kan gear motor, tiba-tiba motor bergerak sendiri naik bukit seolah-olah ditarik oleh suatu tenaga magnetik. Terkial-kial aku mengimbangi motosikal. Semua kami keluar teori Einstein bagai… kakaka.

Sedikit lagi mendaki lereng gunung, kami sampai ke parkir Wisata Gunung Kelud. Punyalah banyak motor yang diparkir di situ. Sejuk rasa atas gunung ni, malangnya, kabus tebal sangat, apa pun tak nampak. Melepaslah kami nak bergambar macam di Omah Paralayang semalam. Selepas puas bergambar (tak puas pun), kami meneruskan perjalanan menuju Candi Penataran di Blitar. Jarak antara puncak Gunung Kelud dan candi ini sekitar 30 kilometer. Taklah jauh tapi sejam juga nak sampai.


Aku memasuki perkarangan Museum Penataran, tetapi muzium tutup, hari minggulah patut buka, ni tutup pula. Bukan selalu aku datang Blitar, huh. Ali dan Zaini lepak di luar saja, melepas lelah sambil main henpon.
Nasib baik sebelah muzium tu ada sebuah galeri yang dah dimakan usia. Berkarat sana sini dan cat pada bangunannya pun dah luntur. Di dalam galeri tu ada sebuah arca burung garuda yang sedang bertenggek atas atlas bulat besar sambil mengibarkan sayapnya. Sekeliling atlas itu tertera perkataan ‘Bhinneka Tunggal Ika‘ yang bermaksud ‘berbeda namun tetap satu’. Ia adalah moto Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) yang melambangkan kepelbagaian budaya, agama, etnik dan cara hidup, namun, disatukan di bawah payung republik yang bersatu.

Keluar dari perkarangan muzium, aku menuju ke Candi Penataran yang amat terkenal. Kalau ikut Google Map, sepatutnya candi ini bersebelahan dengan Museum Penataran, tetapi aku silap baca jalan yang dipaparkan, jawabnya 2 kali aku pusing jalan yang sama sebelum tiba di destinasi.


Candi Penataran memang spesial pada aku sebab ada beberapa binaan dalam kompleks candi ni. Tak seperti candi Majapahit, candi di Blitar ini berwarna kelabu. Malangnya cuaca agak panas dan ramai sangat pengunjung pada hari minggu. Agak tak selesa aku rasa ditambah lagi dengan kesihatan aku yang semakin memburuk.

Aku banyak hilang air kerana cirit-birit sepanjang perjalanan sejak berada di Malang. Nak buat macam mana… pengembaraan perlu diteruskan. Anggaplah semua ini sebagai satu cabaran.
Selain Candi Penataran, Blitar juga terkenal sebagai tempat makamnya presiden Indonesia pertama iaitu Soekarno. Ramai yang salah anggap, ingatkan Soekarno lahir di Blitar, tetapi sebenarnya beliau dilahirkan di Surabaya. Blitar adalah tempat tinggal beliau masa kecil.


Kami tiba di luar Kompleks Pemakaman Soekarno waktu zohor. Plannya aku nak masuk tapi orang terlampau ramai. Penyudahnya kami tinggalkan Makam Soekarno tanpa melawatinya. Kami bersolat terlebih dahulu sebelum menuju ke Istana Gebang iaitu rumah lama Soekarno. Nama jer istana tetapi ia hanyalah sebuah rumah biasa yang sudah dijadikan muzium.



Dalam rumah ni ada pelbagai barangan tinggalan Bung Karno yang rare, antaranya surat tulisan tangan beliau, potret keluarga dan juga cenderamata yang diberikan oleh kenamaan kepada Bung Karno. Apa yang menarik di sini, terdapat sebuah gong yang dinamakan Gong Perdamaian Dunia yang boleh ditemui juga di Laos dan beberapa tempat lagi.


Meja makan di rumah ini masih meja yang asli. Di meja inilah Soekarno mengadakan perbincangan penting dengan Supriyadi, pemimpin Angkatan Pembela Tanah Air ketika merancang penentangan terhadap pendudukan Jepun.

Dari Blitar kami kemudiannya menuju ke Tulungagung, sebuah pekan kecil di selatan pulau Jawa. Perjalanan mengambil masa sejam lebih, tak jauh dan tak memenatkan.
Berputar juga kami mencari hotel murah dan akhirnya kami settle di sebuah hotel berseni bina kolonial Belanda bernama Hotel Tanjung. Rasa eksklusif ruangan luar hotel ni tapi bila masuk bilik murah kami, sama sahaja dengan hotel bajet yang lain.


Masih ada sekitar 2 jam sebelum matahari terbenam. Aku meninggalkan Ali dan Zaini di hotel kerana ada sebuah candi yang aku nak lawati iaitu Candi Sanggrahan. Mereka berdua plannya nak pusing-pusing pekan Tulungagung.


Berpandukan Google Map aku tiba di Candi Sanggrahan yang terletak dalam sebuah kampung. Candi ini di kelilingi oleh rumah penduduk tetapi selamat di dalam kawasan yang terjaga rapi. Berhadapan dengan candi ini ada sebuah rumah yang bunyinya macam kedai makan yang punya karaoke set. Bingit telinga aku tatkala meneliti binaan indah Candi Sanggrahan. Nasib baik ada dua orang budak lelaki yang ramah menemaniku di sini. Ada juga geng bersembang.


Cadangnya aku nak lajak ke Candi Dadi tetapi candi ini terletak di atas bukit pula. Hari semakin petang dan aku pun tak berapa sihat, jawabnya balik ke hotellah. Malam itu aku tak buat apa melainkan menemani Ali menyiapkan sample seni halusnya. Memang berseni tangan abang sorang ni. Asyik aku tengok lenggokkan jarinya memutar pensil di atas kertas putih mulus.

Malam itu kami tiada plan apa. Lepas makan di sebuah restoran yang selesa kami pulang ke hotel dan tidur dengan nyenyaknya. Masih banyak tempat yang aku nak lawati di Tulungagung tetapi memandangkan keadaan aku yang semakin meruncing, kami terpaksa meneruskan perjalanan ke Pacitan esok hari. Hingga jumpa lagi Tulungagung!