Isnin, 1 Mei 2017: Tulungagung – Trenggalek – Panggul – Pucung Wetan – Pacitan
Malam semalam di Tulungagung aku gagal tidur dengan nyenyak. Entah berapa kali aku berulang alik ke bilik air, tetapi pagi Isnin yang indah ini aku dah bersedia untuk menakluk dunia!
Seperti biasa kami bertolak tanpa makan pagi. Selalunya kami berhenti rehat di pertengahan jalan untuk breakfast atau brunch. Hari ni kami berhenti di sebuah Alfamart di Trenggalek. Makan roti atau apa sahaja yang ada.
Destinasi pertama kami pagi itu ialah Pantai Taman Kili-Kili. Ia merupakan pantai pertama di selatan pulau Jawa yang bakal kami lawati tetapi sebelum itu kami perlu melalui jalan kampung yang lain daripada yang lain sepanjang kembara kami yang sudah masuk berbelas hari ini.

Melepasi Trenggalek, dari jalan besar, kami membelok ke kanan untuk mendaki sebuah bukit yang cukup tinggi. Sangkaan aku, di seberang sana kami akan memasuki jalan besar kembali, rupa-rupanya kami terus menuruni dan mendaki beberapa buah bukit lagi. Ada beberapa perkampungan penduduk yang silih berganti sepanjang kami turun naik bukit-bukit ini. Jalannya kecil tetapi cukup besar untuk dua buah kereta kancil melaluinya serentak.
Sepanjang aku melewati laluan ini, aku terimbau kembali kenangan masa kecilku berjalan kaki di lorong-lorong kampung tidak berturap ketika aku membesar di sebuah setinggan di hujung Gugusan Manjoi. Rumah kampung di Panggul ni rapat-rapat dengan jalan, terasa bagaikan bahu saling bersentuh. Sesekali aku mengangkat tangan dan melemparkan senyuman kepada penduduk kampung seolah-olah aku adalah sebahagian daripada watak lokal di sini.

Beberapa kali juga aku berhenti untuk memastikan laluan yang aku ambil ini betul. Memang betul! Setelah hampir sejam mengendali jentera beroda dua melalui jalan kampung berbukit, kami masuk kembali jalan besar yang menghubungi Trenggalek dan jaluran pantai. Langsung tak ada rasa penyesalan ikut Google Map. Walaupun tiada sekeping gambar pun yang aku ambil, tetapi kenangan melalui laluan ini pasti akan aku kenang sampai bila-bila.
Sebelum tiba di Pantai Taman Kili-Kili, kami melewati beberapa bendang yang menenangkan, kali ini terpaksa berhenti ambil gambar.

Pantai Taman Kili-Kili berombak kuat, itu memang ciri-ciri pantai yang menghadap Lautan Hindi. Laut lepas selalunya menghasilkan ombak yang kuat. Malangnya, Pantai Taman Kili-Kili tidak seindah pantai-pantai di Gunungkidul, Yogyakarta. Airnya kelabu, agak keruh.

Namun, ada sesuatu yang menarik di Pantai Taman Kili-Kili yang tiada di pantai-pantai lain, iaitu Pusat Pemeliharaan Penyu atau nama lainnya Konservasi Budidaya Penyu. Ada 7 jenis penyu yang dipelihara di sini tetapi yang banyaknya adalah jenis Penyu Blimbing (Leatherback Turtle). Spesies yang lain ialah Penyu Sisik, Penyu Abu-Abu dan Penyu Hijau. Taklah banyak sangat anak penyu yang dibela semasa lawatan kami di sini tetapi aku dikhabarkan jumlah tikuk atau anak penyu yang dibela pernah mencecah lebih daripada seribu ekor.

Sebelum meneruskan perjalanan, sempat juga kami pekena mi segera semangkuk seorang dan kopi segera 3-in-1. Abang dan kakak yang menjaga gerai ini amat mesra sekali melayan kami. Almaklumlah, kami jer pelawat yang ada pada pagi menjelang tengah hari itu.

Perjalanan diteruskan semula setelah puas berehat, berbaring nikmat sambil dibadai angin pantai yang agak bertenaga. Destinasi seterusnya? Pantai Soge yang photogenic. Meninggalkan Panggul, kami melewati Pucung Wetan sebelum tiba di Pantai Soge. Angin kuat membadai pantai, lebih bertenaga daripada angin di Pantai Taman Kili-Kili sebentar tadi. Pantainya taklah menarik mana dan tak sesuai untuk mandi manda. Hujan pun dah mula menitis manja ke bumi.

Kami lepak merehatkan badan, melelap mata dalam sebuah wakaf kayu yang terdapat di sepanjang pantai ini. Keadaan aku semakin meruncing sebenarnya. Cirit-birit kini sudah ditambah pula dengan kepala pusing dan loya yang melampau. Dalam hati sekarang ni cuma mahu ada cukup tenaga untuk sampai di Pacitan sahaja. Nikmat mengembara dah jadi mode survival. Malang sekali…
Banyak gugusan pantai di sepanjang jalan menuju Soge seperti Pantai Tawang, Pantai Taman, Pantai Kunir dan lain-lain lagi tetapi kami tak singgah, tujuan utama hanyalah beberapa pantai yang sudah dikenal pasti sejak awal lagi. Kalau nak lawat semua pantai jawabnya sampai tengah malamlah kami tiba di Pacitan nanti.

Pacitan adalah kota besar terakhir di sebelah selatan Jawa Timur sebelum memasuki Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta. Ada dua perkara yang sinonim dengan Pacitan, yang pertama, Pacitan punya beberapa pantai yang amat sesuai untuk aktiviti surfing seperti Pantai Watukarung dan Pantai Srau. Yang kedua, Pacitan merupakan tempat di mana Presiden Susilo Bambang Yudhyono dilahirkan.
Sekitar jam 5.30 petang kami tiba di kota Pacitan. Aku, Ali dan Zaini terus sahaja mencari hotel bajet yang ada di sini. Hotel yang kami duduk ni bukannya di tengah kota pun tapi aku dah tak larat sangat nak meninjau-ninjau. Kepalaku pusing ya amat!

Aku terbaring di katil manakala Ali dan Zaini jalan-jalan di sekitar pekan. Serius aku dah tak mampu nak angkat kepala pun dah. Rehat dalam 30 minit, aku gagahkan juga untuk ke apotek atau farmasi untuk mendapatkan ubat yang sesuai. Malangnya, ubat-ubatan yang aku beli ini langsung tak memberi kesan.
Malam itu aku cuba tidur sebaik mungkin walaupun langsung tak nyenyak. Entah berapa kali aku ke bilik air. Aku hanya terlelap hingga ke pagi mungkin kerana badanku dah terlalu lemah dan letih.
Aku harap esok pagi aku bangun dengan kekuatan baru untuk meneruskan pengembaraan ini. Menuju Yogyakarta kita, kota kesukaanku…