Selasa, 2 Mei 2017: Pacitan – Gunungkidul – Wonosari
Kalau boleh nak jer rehat lepak-lepak hari ni, tetapi aku dan teman yang dua ini kena teruskan perjalanan, tak ada masa nak lepak rehat lama-lama. Kalau diikutkan rencana asal, kami akan meninggalkan Pacitan dan menuju ke Surakarta, melalui Ponorogo. Namun, kami dah agak capek dan kesihatan aku pula semakin meruncing. Maka, kami terus sahaja ke Yogyakarta, dengan destinasi akhir kami di rumah sahabat Ali, Ustaz Ashof di Wonosari.
Objektif hari ni satu jer, penuhi permintaan Zaini untuk ke Pantai Timang kerana di sana ada gondola ride yang agak hipster menurut komuniti traveler muda Malaysia dan Singapura.

Kami bertolak pagi hari menuju destinasi pertama, iaitu Pantai Teleng Ria yang agak panjang dan melengkung. Pantai ini pun keruh airnya, tak cantik tetapi popular sebab dekat dengan bandar. Aku ingat lagi Zaini ada luahkan rasa kecewa dia waktu kami tiba di Pantai Kartini, Jepara dan di Tuban. Katanya, pantai yang ada depan mata, di antara Rembang dan Tuban ni langsung tak cantik, tak capai standard dia. Aku faham apa dia kata. Masa tu aku cakap, tunggu kita sampai ke bahagian selatan pulau Jawa, pantai-pantai di daerah ini lebih memukau kerana berdepan dengan Lautan Hindi yang luas. Tapi bukan Pantai Taman Kili-Kili dan Pantai Teleng Ria nampaknya.

Namun, hari keramat yang ditunggu-tunggu telah tiba, dalam sejam perjalanan, kami tiba di Pantai Watukarung. Pantai Watukarung ini menjadi saksi keindahan Lautan Hindi yang berwarna biru gelap dan turquoise. Ye ke turquoise? Tengoklah gambar yea. Ini baru standard aku, bilang Zaini. Lega hati aku sebab capai juga impian mamat ni nak tengok indahnya pantai-pantai di pulau Jawa.

Ketika kami tiba di sini, yang ramainya adalah pelancong asing dari Eropah, surfers yang tidak mahu ketinggalan musim meluncur ombak di sini. Oh ya, musim meluncur di Watukarung bermula dari April hingga November, tak salah aku.

Setelah meneguk segelas kopi, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pantai Jogan, personal favourite aku. Google Map ni memang reliable, tetapi kadang-kadang dia ‘mainkan’ kita juga. Inilah yang terjadi ketika kami meninggalkan Watukarung untuk menuju ke Gunungkidul. Google Map tidak memberi arah yang sama ketika kami masuk tadi, tetapi jalan baru. Jalan ini, ya Allah, punyalah teruk dan tidak berturap tetapi apakan daya, jalan terus! Yang menariknya, jalan-jalan kampung yang rare seperti ini punya banyak pengalaman yang bisa kita kutip.
Pantai Jogan ini terletak di Kabupaten Gunungkidul, Jogja. Pertama kali aku ke sini ialah pada musim kemarau tahun 2015. Apa yang menarik di sini, Pantai Jogan ini bertebing, ‘tiada’ pantai. Ok, ada pantai tetapi kecil sahaja saiznya dan hanya boleh dijejak ketika air surut, itupun kena turun ke bawah dulu. Memang cantik memerhatikan pantai yang secoet ni dari atas tebing. Batuannya memukau, ditambah pula ada air terjun (bercampur dengan air longkang hahaha) yang melaju pada musim hujan. Bunyi deruan ombak yang menghempas batuan dan tebing tinggi sememangnya mengasyikkan.

Apa yang menarik, lawatan kali ini aku dikejutkan dengan kehadiran gondola di antara dua tebing. Jaraknya pendek dan kelihatan agak hambar, tidak seperti ‘sepupunya’ di Pantai Timang yang lebih popular, amat popular sekali.

Kami tak lama di Pantai Jogan, lalu menuju pula ke Pantai Timang kerana Zaini nak naik gondola di sana. Ketika kami tiba di kawasan parkir kenderaan sekitar 3 kilometer dari Pantai Timang, kami diserbu oleh pengusaha motor piang dan pacuan 4 roda untuk membawa kami ke pantai. Mereka bilang jalannya teruk dan naik skuter amatlah tak sesuai. Caj 50k rupiah dua hala taklah mahal mana tetapi kami sudah punya kenderaan, baik gunakan sahaja.

Menyesal juga kiranya kerana jalan menuju Pantai Timang ini memang teruk sekali, berlubang dan berbatu. Lelah, nak melepas 500 meter pun tercungap-cungap rasanya, tetapi keputusan telah dibuat, padan muka kami. Sesudah sampai di Pantai Timang, kami jalan kaki menuju ke arah gondola dan deretan gerai makan.

First impression aku tentang Pantai Timang? Indah khabar dari rupa. Gondola kuasa ‘tangan’ itu nampak tak berapa nak selamat. Kalau jatuh ke dalam laut memang arwahlah jawabnya. Zaini pun agak kecewa juga dengan ‘rupa’ sebenar Pantai Timang jika hendak dibandingkan dengan reputasinya yang menggunung. Aku dan Ali nasihatkan dia untuk naik sahaja gondola tu, nanti dah balik Malaysia teringat-ingat, terkenang-kenang pula.

Di sini ada platform untuk berswafoto, dan caj sebanyak 5k rupiah dikenakan untuk menggunakan platform tersebut. Semuanya berbayar di sini nampaknya. Aku sempat bersembang dengan seorang penduduk lokal, dia memberitahu, yang datang ke sini orang Malaysia dan Singapura yang ramainya. Orang Indonesia dan lain-lain tak ramai mana pun.
Tetapi aku tak sangkal, kehadiran pulau kecil yang dihubungkan oleh gondola dan titi gantung itu amat memukau. Kerana apa? Seperti aku bicarakan sebentar tadi, kalau jatuh, habislah. Ombaknya deras, lautnya gelap, walaupun indah, terasa aura ganasnya. Ada rasa adrenalin rush ketika menyaksikan ombak-ombak ini terliuk lentok menerjah batuan keras jauh di bawah sana. Dan melintasi ombak ganas ini dari atas? Itulah kelebihannnya Pantai Timang.

Setelah kami bersenang-senang di sini, kami meninggalkan Pantai Timang dan menuju ke sebuah lagi pantai kegemaranku iaitu Pantai Baron. Apa yang menarik di Pantai Baron? Deretan kapal nelayan yang berwarna-warni, memang sesuai untuk insta photo. Yang lebih menarik? Ada 2 sumber mata air dari bukit berdekatan yang bercantum dengan air laut, asyik sekali melihatnya.

Sebelum kami ke rumah Ustaz Ashof di Wonosari, sempat lagi aku bawa Ali dan Zaini melawat Pantai Slili, Pantai Krakal dan Pantai Indrayanti. Pantai-pantai ini di tepi jalan dan amat popular dengan penduduk setempat dan pelbagai aktiviti mereka, terasa meriah macam Pantai Merdeka di Kedah atau Telok Cempedak di Kuantan.

Setelah bertanya beberapa kali, akhirnya kami tiba di rumah Ustaz Ashof yang bersebelahan dengan sebuah masjid. Beliau adalah imam di masjid ini. Kami disambut dengan penuh ukhwah dan dijamu seadanya. Bukan setakat diberi makan dan tempat tinggal, aku malah dibawa bertemu dengan seorang doktor di rumah beliau dan dirawat sebaik boleh. Ubat-ubatan diberi dengan harga yang amat murah sekali.

Malam itu kami dikejutkan oleh bunyi pelik dari belakang masjid. Tak pernah lagi kami mendengar bunyi haiwan seperti itu. Ustaz Ashof tersengih melihat gelagat kami berhipotesis bagai. Ada yang kata burung, ada yang teka musang, macam-macam teori National Geographic keluar. Akhirnya, beliau memberitahu kami yang bunyi itu datangnya daripada seekor cicak tokek (gecko). Gelak sakan kami dibuatnya kerana semua tekaan kami meleset. Di Jombang kami bertemu burung, di Jogja kami bertemu cicak tokek pula.
Malam itu aku dan Zaini tidur awal sedikit manakala si Ali meluangkan masa beramah mesra bersama teman seperjuangannya. Esok hari insya-Allah kami akan ke kota Jogja.