Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 03 – Jepara, Perabot Jati Dan ‘Kura-Kura’ Besar

Jumaat, 21 April 2017
Kudus – Jepara

Hari ini hari Jumaat, jalan mungkin tak berapa sesak… atau mungkin amat sesak. Aku pun tak tahu. Yang aku tahu aku masih di Kudus lagi pagi itu. Sepatutnya kami dah ride meninggalkan Kudus awal pagi lagi. Lepas solat Jumaat, awan dah mula mendung, gelap, garang dari kejauhan. Aku makin restless.

Jarak perjalanan, taklah jauh mana tapi dah bertolak agak lewat

“Ali, aku rasa kita kena gerak sekarang, kalau tak, basah kuyup kita nanti.” Kami pun mengadap Ustaz Assiry dan mengucap selamat tinggal dan jumpa lagi, insya-Allah 20 hari dari sekarang. Ali memang bijak orangnya. Dia dah bawa karung plastik besar untuk kami sarungkan beg kami ni, kalau hujan pun, insya-Allah tak basah. Bijak… Bijak.

Selamat datang ke Jepara

Kami meninggalkan Kudus dan menuju ke Jepara lebih kurang jam 2.30 petang waktu tempatan, kiranya waktu Malaysia pukul 3.30 petang. Ini siri ride pertama kami, of course rasa berdebar-debar sikit sebab tak pernah lagi aku ride di Indonesia dengan sebuah kapcai yang lain. Kalau sebelum ni aku boleh belasah jer laju atau perlahan, sekarang nak kena pastikan orang belakang tak tertinggal. Kena pula Ali dan Zaini kurang pasti di mana destinasi akhirnya. Memang 100% main ikut, bertuah adik abang hehehe.

Pikap yang dah diperindah membawa kaum ibu ke suatu majlis

Meninggalkan kota, kami mula menelusuri kawasan pertanian dan penempatan. Ada beberapa ‘fabrik’ (kilang) yang kelihatan di pinggir jalan. Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami tetapi tidaklah serius. Beg aku beberapa kali hampir terjatuh akibat daripada kapcai terjun dalam lubang. Jalannya taklah teruk sangat tetapi taklah excellent juga, ok ok saja. Melewati Pecangaan, jalan mulai sesak, ini macet (kesesakan lalu lintas) kami yang pertama sejak mula ride di Jawa Tengah. Sesak nafas juga aku dibuatnya dalam usaha cuba mengimbangi tumpuan agar tak tersesat dan tak tertinggal tan sri dua orang di belakang tu.

Tugu Tiga Puteri di Bundaran Ngabul
Zaini berposing sakan

Aku ternampak beberapa buah pikap yang diubah suai menjadi teksi membawa rombongan kaum ibu ke sebuah majlis, meriah sekali pikap itu diperindah, aku tengok makcik-makcik dalam tu pun berseri-seri mukanya. Sempat jugalah aku berbalas senyuman. Aku tahu kami dah tiba di bandar Jepara apabila dari kejauhan terlihat pintu gerbang yang setia menyambut tetamunya, tertera perkataan ini ‘Jepara Bumi Kartini’. Ya, Jepara amat sinonim dengan Raden Adjeng Kartini, tokoh emansipasi wanita Indonesia. Nanti sahaja aku ceritakan tentang Ibu Kartini, buat masa ini, bergambar dengan pintu gerbang ni lebih utama.

Isi perut dengan kripik tempe dulu

Destinasi pertama kami di Jepara sudah semestinya Tugu Tiga Puteri yang terletak di tengah-tengah bulatan (Bundaran Ngabul) menuju pusat bandar Jepara. Tugu ini dirasmikan pada Disember 2016 bagi memperingati tiga tokoh wanita hebat kota Jepara iaitu Ratu Shima, Ratu Kalinyamat dan RA Kartini. Aku ada menulis tentang RA Kartini dan Ratu Kalinyamat di weblog ini. Boleh cari di sana jika nak tahu sejarah mereka serba ringkas. Ratu Shima adalah penguasa kerajaan kuno Kalingga. Tokoh ini yang belum lagi aku tulis, Insya-Allah nanti akan aku siapkan cerita mengenai beliau pula.

Alhamdulillah, lega rasanya apabila mata tertancap pada monumen ini. Sedar tak sedar ini adalah destinasi pertama daripada puluhan bucket list aku dalam pengembaraan ini. Kami mengambil keputusan untuk berhenti minum sebelum meneruskan perjalanan. Sempat juga mengambil 2, 3 keping gambar sebelum kami tak tahan godaan dan makan sedikit apa yang patut. Peniaga ini bukan orang Jepara tetapi asalnya dari Sumatera, sudah berpuluh tahun mengembara di bumi orang. Yang menariknya, orang Minang ni memang dah terkenal dengan kebolehan mereka berniaga kedai makan nasi padang. Pergilah ceruk mana pun di Indonesia ni, mudah nak dapatkan nasi padang, Lama juga kami berehat sambil aku on Google Maps dan cari destinasi seterusnya. Aku cadangkan pada teman agar kami ke Pantai Teluk Awur dahulu sebelum mencari penginapan di Pantai Kartini. Ok! Tiada bantahan daripada ahli kumpulan.

Perabot jati adalah ikon Jepara, banyak kelihatan di tepi jalan menuju Pantai Teluk Awur

Selain daripada RA Kartini, Jepara juga terkenal dengan perabot kayu jatinya dan merupakan pintu ke Pulau Karimunjawa yang amat popular dengan aktiviti berenang bersama anak jaws. Nope! Trip ni tak ke Karimunjawa.

Jalan menuju ke Pantai Teluk Awur dipenuhi dengan pemandangan kedai-kedai perabot kayu jati dan perusahaan-perusahaan kecil membuat perabot. Dalam hujan renyai-renyai mataku menjeling, melirik ke kiri, ke kanan, melihat pelbagai reka bentuk perabot jati yang dipamerkan. Peliknya aku tak nampak pula kilang-kilang besar. Aku beranggapan kilang-kilang besar sebenarnya tak berada di sini tetapi berhampiran dengan ladang kayu jati yang berselerakan di sekitar Jepara. Ketika menuju ke Jepara dari Kudus pun kami ada temui beberapa ladang kecil pokok kayu jati ni. Ada teman lokal yang mengingatkan aku supaya tidak membeli perabot yang dipamerkan di tepi jalan sepanjang kota Jepara kerana harganya tak murah, lebih kepada tourist trap, dan tourist mengikut perkiraan beliau bukan sahaja warga luar seperti aku, tetapi juga warga Indonesia dari kota-kota yang lainnya seperti Surabaya dan Jakarta. Kalau nak beli juga, baik berurusan dengan kenalan yang mengenali penjual perabot ini. Aku menyetujui nasihat beliau, tetapi kalau tak kenal orang lokal langsung, macam mana?

Tiap kali nampak pintu gerbang, itu maknanya destinasi dah dekat
Pantai Teluk Awur yang biasa-biasa

Pantai Teluk Awur agak mengecewakan, biasa-biasa aje pada pendapat aku. Pantai ini juga sedikit sebanyak mengesahkan teori aku selama ini yang mengatakan bahawa pantai umum yang ramai pengunjung di Indonesia sering dipenuhi dan dikotori oleh sampah sarap. Aku agak kecewa dengan senario ini kerana di Pulau Bangka pun aku menyaksikan perkara yang sama. Pantai Matras di Pulau Bangka amat indah sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila matahari mula melabuhkan tirainya, tetapi sampah sarap yang bertaburan hampir di seluruh tempat mencacatkan pandangan. Cacat total!

Rehat kejap, tengok laut ni dulu
Check WA dulu… sampah merata-rata

Memandangkan hari semakin lewat, kami terus sahaja menuju ke Pantai Kartini kerana di sana aku dapati ada beberapa hotel kelas melati. Kelas melati adalah hotel murah yang setaraf dengan rumah tumpangan. Harganya di antara rph 50,000 hingga rph 150,000 untuk semalam. Bajet yang aku tetapkan adalah sebanyak rph 150,000 semalam, seorang jatuh rph 50,000 atau lebih kurang RM17 semalam.

Kelihatan banyak kayu yang nak dijadikan perabot ketika menuju ke Pantai Kartini
Menuju dermaga ke Pulau Karimunjawa

Selesai urusan hotel, masih ada masa untuk kami bergambar dengan binaan penyu yang menjadi ikon Pantai Kartini. Anehnya, di sini ianya masih dipanggil kura-kura walaupun rupa penyu. Ikutlah wak… asal bahagia. Dulu dalam badan kura-kura ni ada ruangan dan dipenuhi dengan mainan kanak-kanak. Sekarang ni dah kosong. Selain daripada saiznya yang besar, kura-kura ni juga dibina dengan teliti dan halus sekali warna dan cat yang dikenakan, dari jauh memang nampak hiduplah.

Ali dan Zaini berposing dengan penyu besar
Sekitar Pantai Kartini
Malam tu kami dinner nasi goreng, mi goreng sahaja

Malam itu kami tak ke mana-mana, hanya sekadar berehat dan makan malam di luar kawasan pantai. Jauh menapak, tapi apakan daya dah tersilap strategi nak berjalan kaki. Apa-apa pun, mi goreng tepi jalan juga yang sedap. Esok perjalanannya panjang dan mengghairahkan hati, baiklah tidur awal…

Insya-Allah bersambung bahagian 4 nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *