Kembara JatengTim 2017

Kembara JatengTim 2017: Bahagian 01 – Ditipu Hidup-Hidup Dan Pak Assiry Sang Penyelamat

Selasa, 18 April 2017:  KL – KLIA 2

Rabu, 19 April 2017: KLIA 2 – Semarang

Salah satu impian besar aku adalah nak tour Indonesia, slowlybutsurely. Dah beberapa kali aku jejak Pulau Jawa, tapi plan kali ini lebih epik. Hajat di hati nak redah Jawa Tengah, Jawa Timur dan DI Yogyakarta dengan menggunakan jentera dua roda, seperti Kembara Jawa Tengah pada tahun 2016. Pada mulanya nak travel seorang diri, tapi rasa macam banyak kos nak kena keluarlah pula, lagipun ada teman lebih baik, ada juga teman bersembang, cumanya aku agak serik sikit nak ajak orang join. Sebabnya? Teman-teman payah nak dapat cuti panjang. Ada yang bini tak bagI ikut hehehe.

Aku dan Ali meninggalkan KL Sentral

Untuk kali ini, aku buat exception, jadinya, aku open trip ni pada Likers di Page Soullo Backpackerz. Ingatkan tak ada yang nak turut serta, rupa-rupanya ada satu budak muda yang hensem tapi lembut di dalam nak ikut. Oklah, dah kau kata ‘Yes I do’ maka ikutlah engkau. Lagi seminggu nak bertolak, kawan baik aku Ali Gaban pun nak ikut juga. Asalnya dia nak buat road trip Silk Road tapi tak jadi. Masalahnya si Ali ni, ride motor tak mahu. Oklah sayang, kau jadi Go Pro dan tripod bernyawa pun tak apalah. So, bertigalah kami.

Alhamdulillah, selamat mendarat di Bandara Ahmad Yani, Semarang

Mind you, ketiga-tiga kami ni punya atur cara yang berbeza. Aku nak melawat muzium, candi-candi dan tinggalan sejarah lainnya, si Zaini pula nak cari spot yang hipsterhipster dan si Ali pula lebih berminat nak melawat pesantren khat dan teman-temannya. Maka trip kali ini, yang dijangkakan mengambil masa hampir sebulan akan cuba memenuhi ketiga-tiga kehendak tersebut. Oleh itu… Moto kembara kami ialah ‘Kembara JatengTim 2017: Dari Candi ke Pesantren. JatengTim tu maksudnya Jawa Tengah dan Jawa Timur, digabungkan sekali. Urusan sewa motosikal kapcai pun dah selesai sebelum kami tiba di Semarang.

Menaiki teksi menuju Stesen Bas Treboyo

Ada juga janji temu dengan beberapa tokoh sejarah dan tempatan yang aku aturkan di sepanjang perjalanan ini nanti. Peluang untuk menggali ilmu dan pengalaman mereka sememangnya menjadi agenda utama pengembaraan kali ini.

Malam 18 April 2017 kami bertemu di KLIA2, flight awal pagi keesokan harinya. Malam itu kami merempat di tepi dinding balai pelepasanlah jawabnya. Itulah pertama kalinya aku dan Ali bertemu dengan Zaini Raif. Bercita-cita tinggi orangnya dan mudah didekati.

Suasana dalam Damri dari Treboyo ke Kudus
Ali terlena keletihan
Zaini mengenang nasib, ‘pasaipa la aku ikut depa depa ni’

19 April 2017, kami pun bertolak dengan penerbangan Air Asia ke Semarang. Tiada apa yang memorable sangat dalam penerbangan ke Semarang melainkan melayan perasaan dan tertidur dek keletihan. Setiba di Bandar Udara (Bandara) Ahmad Yani jam 8.40 pagi, seperti biasa, kami beratur panjang nak melepasi imigresen. Alhamdulillah, urusan dipermudahkan, kami lepas imigresen tanpa banyak soal.

Bas cute yang terkadang membingitkan telinga
Marhaen meneruskan kehidupan

Masalah pertama bermula, tuan punya kapcai yang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba. Whatsapp, telefon dan sms semua sudah dicuba tapi tuan motor menyembunyikan diri. Ah sudah… Panjang cerita ni. Aku cuba menyelesaikan masalah ini seorang diri, si Ali dan Zaini pula rancak bersembang dengan seorang abang yang berasal dari Betawi kalau tak salah aku. Aku tak mahu menyusahkan mereka pada hari pertama lagi. Biarlah aku cuba selesaikan dahulu masalah yang kian meruncing ini.

Aktiviti harian masyarakat berhampiran dengan pasar basah Demak
Isap kok lu… penat aih.. macetttt

Aku give up! Confirm si sial ni dah mainkan aku. Nasib baik aku tak bayar lagi. Time for solution mode. Aku pun cuba mencari pemilik motor sewa lainnya tapi ini Semarang, bukan Bandung, bukan Jogja, bukan Surabaya. Agak sukar juga nak mendapatkan kapcai sewa untuk jangka masa yang lama, terkejut tergempak, adhoc seperti ini. Akhirnya, aku mencadangkan pada Ali dan Zaini untuk menaiki kereta api dari Stasiun Kereta Api Tawang ke Stasiun Kereta Api Surabaya dan di sana sudah ada pemilik kapcai sewa yang sanggup menyewakan pada kami. 3 jam perjalanan pula… Aduh!!!

Ciri-ciri seni bina masyarakat Demak dan Kudus
Close up seni bina bumbung Tajug

Ali seperti biasa tenang, menyuarakan pendapat, “apa kata kita cuba sewa motor dari kawan aku di Kudus, Ustaz Assiry pasti boleh tolong kita.”

Ali pun menghubungi Ustaz Assiry dan dipendekkan cerita, menuju Kuduslah kami. Dari bandara, kami mengambil teksi menuju ke Stesen Bas Treboyo. Dari Treboyo kami mengambil Damri atau bas henti-henti yang tak ada aircond tu menuju Kudus. Agak sesak juga jalan menuju Kudus, almaklumlah, jalan ini adalah yang paling sibuk di Indonesia, jalan yang menghubungkan Jakarta di Barat dengan Surabaya di Timur. Dalam bas Ali dah terbongkang terlena keletihan, si Zaini pula sering memerhati jauh kehidupan masyarakat setempat melalui debu-debu tingkap yang melekat kemas.

Naik Angkot untuk ke Universitas Muria
Dalam karung guni tu ada daun, nak buat teh katanya
Lokasi kami menunggu Ustaz Assiry, berdekatan dengan Universitas Muria

Setiba di Kudus, kami menaiki Angkot menuju ke Universitas Muria Kudus (UMK) dan Ustaz Assiry tiba tidak lama kemudian menyambut kami dengan penuh rasa ukhwah, dibawanya kami ke Arjuna Resto yang dimilikinya, yang juga digunakan sebagai tempat warga pesantren khat berkumpul dan beramah-mesra. Aku dapat melihat 2 orang anak muda sedang berlatih menulis khat. Dinding di restoran ini pula dipenuhi hiasan khat yang amat indah. Ustaz Assiry sememangnya seorang yang berbakat besar. Kopi Kudus yang yang dijamu pula memang special, ia dicampur rempah ratus, memang sedap sungguh!

Ada tiga benda yang mengujakan terjadi pada hari ini.

Ustaz Assiry dua dari kanan
Kopi asri Kudus kata Ustaz Assiry. Kopi ini dicampur bunga cengkih, serai dan rempah ratus lainnya. Sedap…

Pertama, sikap ‘when you got problem, focus on the solution‘ yang dititipkan oleh ‘abangku’ di Penang sekali lagi memainkan peranannya. Kepada bapak yang sampai hati menipuku ini, ketahuilah bahawa doa orang yang teraniaya dan orang yang bermusafir itu amat dekat dengan Yang Esa. Wahai bapak, sesungguhnya aku marah dan kecewa. Namun, aku doakan kamu diberi kesihatan yang baik, hidup yang diberkati dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Aku maafkan kamu wahai bapak!

Kedua, Zaini yang tidak pernah berbackpack kasar seperti ini dalam hidupnya dah mula nampak mengapa ‘kegilaan’ aku dan Ali ini sebenarnya ada unsur-unsur indah yang hanya hadir dari keperitan mengharungi perjalanan.

Selamat menunaikan ibadah ngopi katanya
Ali sedang ngobrol sama Ustaz Assiry. Kelihatan dua pemuda sedang praktis khat mereka

Ketiga dan yang terakhir, aku berkawan dengan Ali cukup lama untuk kenal siapa dia. Tak keterlaluan jika aku katakan, Alilah rakan pengembara paling rapat denganku. Melihat wajah Ali yang bersinar-sinar apabila bertemu Ustaz Assiry dan bisa ngobrol bahasa Indonesia sampai berjam-jam yang penuh dengan hilai ketawa, itu suatu kepuasan yang amat sangat buatku. Memang hati Ali amat dekat dengan khat, iluminasi dan teman-temannya yang ini.

Tajug ni nama kota Kudus sebelum kedatangan Islam 
Seni khat yang indah di Arjuna Resto
Seni rupa yang indah

Kudus, kotanya kecil dan aku agak suka juga dengan kota ini. Ianya tidak ada dalam rencana asalku untuk ke sini hinggalah Ali memujukku sebelum kami meninggalkan Malaysia. Namun, apa yang terjadi hari ini menyebabkan aku ke sini lebih awal daripada perancangan asal dan hasilnya, dapatlah aku mengenal bumi Tuhan yang indah ini. Ali pula dapat bertemu rakannya dan buat pertama kali juga menjejakkan kakinya di bumi Kudus dan pesantren khat yang menjadi impiannya.

Bersambung pada bahagian 2 nanti…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *