Maafkan aku, agak lama juga aku tidak bersiaran. Ini kerana hampir sebulan aku dalam misi mengenal bumi Jawa Timur dan Jawa Tengah dengan lebih intim lagi.

Kembara JatengTim 2017 merujuk kepada Kembara Jawa Tengah dan Timur, walaupun pengembaraan ini juga meliputi Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta dan Daerah Khusus Ibukota Jakarta.
Mengapa JatengTim? Kerana sebahagian besar pengembaraanku ini meliputi 2 provinsi besar Kepulauan Jawa tersebut. Aku kepingin sekali untuk melihat rencam hidup masyarakat tempatan di samping melawat tinggalan candi, kota dan juga muzium yang menyimpan seribu satu kisah purba.

Ada janjitemu dengan beberapa tokoh sejarah dan tempatan yang aku aturkan di sepanjang perjalanan ini. Peluang untuk menggali ilmu dan pengalaman mereka sememangnya menjadi agenda utama pengembaraanku kali ini.

Alkisahnya, tanggal 19 April 2017, aku menjejakkan kaki di Semarang, maka, bermulalah pengembaraanku bersama dua lagi teman, Ali dan Zaini di Kepulauan Jawa. Masa yang di tetapkan ialah selama 26 hari, sehingga 9 Mei 2017.

Motosikal sudah pasti menjadi kenderaan pilihanku tatkala memacu di jalanan yang bermuka bumi tidak menentu dan kegawatan trafik yang selalu sahaja meruncing.
Keseluruhan perjalanan kami;
Semarang – Kudus – Jepara – Banyumanis – Tayu – Rembang – Lasem – Tuban – Paciran – Lamongan – Mantup – Mojokerto – Trowulan – Jombang – Gunung Penanggungan – Sidoarjo – Lawang – Malang – Cangar – Batu – Selorejo – Pare – Kediri – Gunung Kelud – Blitar – Tulungagung – Trenggalek – Pacitan – Gunungkidul – Wonosari – Yogyakarta – Selo – Cepogo – Salatiga – Ambarawa – Bandungan – Semarang – Demak – Kudus – Semarang – Jakarta

Zaini pulang lebih awal pada 10 Mei 2017. Manakala aku dan Ali pulang dari Jakarta pada 15 Mei 2017.


Banyak peristiwa yang terjadi dalam pengembaraan ini. Ada yang lucu, gembira, sedih, ada yang menyentap jiwa dan ada juga pengalaman yang menginsafkan. InshaAllah aku akan berkongsi suatu penceritaan pengalaman mengembara di bumi asing ini dan juga sejarah setempat yang sempat kukutip sewaktu berpetualang menghirup udara segar pergunungan dan debu asap kota yang memeritkan.