Kembara JatengTim 2017
(19 April 2017 – 9 Mei 2017)
Rencana Hari Kedua
Hari pertama dijangkakan akan berakhir di Banyumanis. Hari kedua pula rencananya tamat di Tuban, sudah di Provinsi Jawa Timur.
Persinggahan utama yang pertama ialah di Bulu, Rembang. Di sinilah Raden Adjeng Kartini disemadikan. Di Rembang juga terdapat beberapa lokasi yang perlu aku lewati seperti Situs Perahu Kuno Punjulharjo, Pantai Karang Jahe dan juga Museum RA Kartini.
Tidak jauh dari Rembang ialah Bandar Lasem. Di sini terdapat beberapa situs bersejarah tinggalan masyarakat Cina yang datang berdagang dan membina komuniti mereka sebelum era Majapahit lagi.
Dari Lasem, aku akan terus menuju ke Tuban. Bandar ini amat penting suatu ketika dahulu bukan sahaja sebagai kota pesisir pantai yang penting untuk perdagangan, malah pertahanan perairan juga berpusat di Tuban. Di sini ada Makam Sunan Bonang, salah seorang daripada Wali Songo. Makam Bejagung Lor dan juga Makam Syeikh Siti Jenar yang terkenal juga hanya sepelaung dari Kota Tuban.
Tidak hairan mengapa banyak makam-makam penyebar Islam terawal terdapat di bahagian Utara Jawa Timur. Ini kerana Kerajaan Islam Demak banyak membantu usaha wali-wali ini.
Sebahagian daripada laluan hari kedua menggunakan Jalur 1, maka, hendaklah aku lebih berhati-hati di jalanan, InshaAllah
Bersambung rencana hari ketiga nanti, InshaAllah