Kembara JatengTim 2017
(19 April 2017 – 15 Mei 2017)
Rencana Hari Pertama
Tinggal 14 hari lagi sebelum aku berangkat pergi ke Semarang. Kali ini yang pastinya aku tidak keseorangan. Tidak solo lagi… Ada seorang anak muda berjiwa kental sanggup nak bersusah-payah di celah-celah kesibukan Jalur 1 yang merupakan lebuhraya tersibuk di seluruh Indonesia.
Perjalanan hari pertama akan bermula dari Semarang menuju ke Demak dan seterusnya menuju ke Jepara. InshaAllah akan cuba melawat Masjid Demak dan tinggalan Kerajaan Islam Demak, yang merupakan kerajaan Islam pertama di Tanah Jawa.

Hajat di hati hendak lajak ke Kudus, tempat bersemadinya Sunan Kudus tetapi mungkin juga hasrat itu terpaksa ditunda ke hari muka, mungkin juga aku ke sana… entahlah… tiba masanya akan kutentukan nanti.
Di Jepara, InshaAllah akan cuba melawat beberapa lokasi bersejarah dan tempat tarikan pelancong yang popular di bandar yang terkenal dengan perabot jatinya dan juga pintu masuk ke Pulau Karimunjawa.

Apa lagi yang menarik di sini?
Raden Adjeng Kartini… beliau lahir di sini dan adalah pejuang emansipasi wanita yang diangkat oleh Soekarno suatu ketika dahulu. Mungkin aku bisa belajar satu dua perkara di sini.

Dari Jepara aku akan terus ke Banyumanis melalui perdesaan di Kembang dan Keling yang berlatarbelakangkan Gunung Muria yang indah dan megah. Sawah padi yang terbentang pastinya menambah mistik perdesaan ini.
Gunung Muria adalah tempat bersemadinya Sunan Muria, salah seorang Wali Songo atau Wali Yang Sembilan. Malangnya kedudukan makam Sunan Muria di sebalik pergunungan ini mungkin menidakkan peluang aku untuk menziarahinya.

Aku berkemungkinan besar akan bermalam di Banyumanis. Di Banyumanis terdapatnya Benteng (Kubu) Portugis yang terkenal. Di sini jugalah, bermulanya pantai-pantai bahagian paling Utara di Jawa Tengah dan Timur, bermula dari Banyumanis, Jawa Tengah hinggalah ke Gresik, berdekatan dengan Surabaya.
Pantai-pantai di sebelah Utara Jawa Timur ini memainkan peranan besar di zaman Kerajaan Majapahit. Banyak kapal-kapal dagang yang singgah di sepanjang pantai di sini terutama sekali di zaman eksplorasi dan navigasi lautan Laksamana Cheng Ho, Dinasti Ming.

Begitulah coretan rencana hari pertama kembara yang aku namakan Kembara JatengTim 2017. Jateng singkatan kepada Jawa Tengah, manakala Jatim adalah singkatan untuk Jawa Timur. Diadu domba (aku reka perkataan ni) keduanya jadilah JatengTim…
InshaAllah aku akan berkongsi rencana hari kedua tidak lama lagi.
InshaAllah….
Manusia cuma boleh merancang, rancangan Allah yang terbaik. Rancangan mahu ke Kudus ditunda kelain waktu, sekalinya ia menjadi tempat pertama dan 2 malam bermalam di sini. Sungguh diluar jangkaan.
Saya lihat banyak tempat yang dilawati dan bertemu beberapa karyawan khat tersohor, masyaAllah. Semuanya tidak di dalam perancangan plan hari pertama.
Benar puan 🙂