Artikel Umum Sejarah

Khublai Khan, Singosari dan Marco Polo

Penulisan mengenai Khublai Khan ini berdasarkan kepada pembacaan daripada buku ‘A Brief History Of Khubilai Khan’ yang ditulis oleh Jonathan Clements. Banyak buku terbitan Jonathan Clements di pasaran seperti Samurai, Marco Polo, Vikings dan lain lain lagi.

Sudut pandang beliau juga agak berlainan daripada arus perdana di dalam sesetengah subjek perbincangan. Sumber lain penulisan ini juga diambil daripada beberapa laman sesawang seperti wikipedia dan yang lain.

Mengapa aku memilih Khublai Khan dan apa koneksi logika dengan siri Tawarikh Nusantara yang aku nukilkan? Seperti di dalam Bahagian 7, aku ada menyebut tentang serangan Mongol ke atas Kerajaan Singosari di Jawa Timur dan aku merasakan ada baiknya aku menulis tentang serangan ini dari kacamata kajian Jonathan Clements. Apakah motif dan inisiatif Khublai Khan melakukan serangan ini?

Sebelum itu, siapakah Khublai Khan?

Beliau merupakan Khagan (Penguasa Agung) kelima Empayar Mongol dan merupakan pengasas Dinasti Yuan. Beliau memerintah Empayar Mongol di sebelah Timur di antara tahun 1260 M hingga 1294 M setelah abangnya Mongke meninggal dunia. Mengapa aku katakan sebelah Timur sahaja? Ini kerana walaupun kuasa Khagan itu ada di tangan Khublai Khan namun agak sukar untuk beliau benar benar menguasai Kerajaan Mongol Ilkhanate di Parsi (dan juga sekitar) serta Kerajaan Mongol Golden Horde di Eropah Timur dan sebahagian Asia Tengah.

Ilustrasi Khublai Khan dengan binatang eksotik peliharaannya di Xanadu (gambar ehsan Google)

Hanya kuasa Kurultai (persidangan pemimpin agung Mongol) yang memberi kuasa mutlak itu pada Khublai Khan. Kurultai adalah suatu entiti yang dihormati oleh pemimpin Mongol dan mengekang mereka daripada melancarkan perang ke atas Khublai Khan.
Namun begitu, di antara tahun 1260 M hinggalah ke tahun 1264 M, Khublai Khan menghadapi tentangan daripada adiknya sendiri iaitu Arigh Boke sebelum menyerah kalah akhirnya.

Begitulah secara ringkasnya biografi tentang Khublai Khan. Buat kali ini aku ingin menceritakan tentang misi ketenteraan terakhir Khublai Khan sebelum beliau meninggal dunia, iaitu menyerang Kerajaan Singosari.di Jawa Timur.

Di dalam Tawarikh Nusantara Bahagian 7 aku ada menyatakan bahawa wakil Dinasti Yuan yang bernama Meng Chi (Meng Khi) telah diperlakukan dengan kasar oleh Kertanegara. Telinga Meng Chi dipotong dan mukanya dicucuh dengan besi panas. Keberanian Kertanegara mencabar Dinasti Yuan ini mungkin kerana ambisi beliau ingin menakluk kawasan sekitar Kepulauan Jawa dan juga berkemungkinan besar beliau ada mendengar berita penentangan terhadap Khublai Khan di Burma, Jepun dan juga oleh Kerajaan Annam.

Setelah Meng Chi pulang ke China dan melaporkan kejadian tersebut kepada Khublai Khan, baginda mengarahkan agar tentera Dinasti Yuan dipersiapkan untuk menyerang Kerajaan Singosari. Namun misi ini bukan sahaja untuk menakluk Singosari tetapi juga untuk mendapatkan kembali Kerajaan Dharmasraya di Jambi yang dianggapnya sebagai vasal kepada Dinasti Yuan. Seperti yang telah dinukilkan sebelum ini, Kertanegara telah menghantar Arca Amogaphasa sebagai tanda kekuasaan Singosari ke atas Dharmasraya.

Lukisan wajah Khublai Khan yang paling terkenal (gambar ehsan Google)

Maka, pada tahun 1292 M, angkatan Dinasti Yuan yang berkekuatan lebih daripada 20,000 orang tentera dan 1,000 buah kapal telah berangkat meninggalkan pelabuhan di Selatan China iaitu Quangzhou menuju Jawa Timur.

Angkatan Dinasti Yuan ini terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Mongol, Cina dan juga Muslim Uighur tetapi kru kapal kebanyakannya terdiri daripada Orang Cina dan Mongol. Ike Mese (Uighur), Shi Bi (Mongol) dan Gaoxing (Cina) adalah jeneral yang bertanggungjawab dalam serangan ini. Dikatakan flotilla Marco Polo ke Parsi juga turut serta dalam angkatan laut ini namun, sebelum tiba di Kepulauan Jawa, flotilla ini bergerak menuju ke India sebelum ke Parsi.

Marco Polo pada waktu itu dalam perjalanan pulang ke Eropah dan diminta oleh Khublai Khan supaya menghantar puteri beliau untuk dinikahi oleh Raja Mongol Ilkhanate. Berkemungkinan besar flotilla ini telah mengurangkan jumlah kapal yang akan menyerang Singosari. Marco Polo tidak lagi berada di Khanbalik (Beijing) atau Xanadu sebelum pulang ke Eropah. Oleh itu, Marco Polo tidak melihat secara langsung detik detik suram pemerintahan Khublai Khan di Khanbalik.

Cap Mohor (gambar ehsan Google)

Tentera Yuan mendarat di Tuban, Jawa Timur pada tarikh 1 Mac 1293 dan terus menuju ke Singosari. Raden Wijaya iaitu menantu Kertanegara yang telah dibunuh oleh Jayakatwang pada May/Jun 1292 menyambut kedatangan tentera Yuan dan berkomplot dengan menyerahkan peta Kalang serta menyertai serangan terhadap Jayakatwang. Beliau juga berjanji untuk memberi ufti dan taat setia kepada Dinasti Yuan.

Tentera Jayakatwang ditumpaskan dan beliau ditangkap oleh tentera Yuan. Raden Wijaya meminta kebenaran untuk pulang ke Majapahit untuk mempersiapkan pemberian ufti. Sementara itu, tentera Yuan bersuka ria tanpa menyedari bahawa Raden Wijaya telah mempersiapkan tenteranya dan sedang menuju ke arah mereka.

Candi Singosari di Kabupaten Malang (gambar ehsan Google)

Serangan mengejut ke atas tentera Yuan itu telah menyebabkan mereka berundur ke kapal yang berlabuh. Di sana ketiga tiga jeneral ini mengambil keputusan untuk pulang ke China kerana tidak mahu terlepas musim angin yang bertiup ke Timur.

Dikatakan Jayakatwang dibunuh di atas kapal dalam perjalanan pulang ke China. Raden Wijaya pula membina Kerajaan Majapahit yang gemilang. Di China, Ike Mese dan Shi Bi dijatuhkan hukuman sebatan dan sebahagian harta mereka dirampas. Manakala Gaoxing pula diberi hadiah berupa emas kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ike Mese dan Shi Bi yang memberi kebenaran untuk Raden Wijaya pulang ke Majapahit dan juga menyelamatkan tentera Yuan yang tersisa daripada serangan Raden Wijaya.

Misi menyerang Singosari ini adalah yang terakhir dilakukan oleh Khublai Khan sebelum meninggal dunia. Ianya diserikan dengan kisah perjalanan pulang Marco Polo ke Eropah dan juga bermulanya Kerajaan Majapahit yang hebat di Trowulan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *