Artikel Umum Sejarah

Kota Melaka… Polemik Kubu Batu Kubu Kayu?

Menarik perbincangan di alam maya tak lama dulu tentang kubu kota Melaka. Ada yang kata ia diperbuat daripada kayu dan ada yang kata diperbuat daripada batu.

Catatan orientalis memang mengatakan kubu kota Melaka diperbuat daripada kayu, dan ianya lemah sekali, itu kata Portugis. Catatan Ma Huan (seperti gambar di bawah) di dalam Ying-yai Sheng-lan juga mengatakan bahawa kubu ‘kedua’ di dalam kota Melaka diperbuat daripada pancang-pancang kayu (palisade). Catatan ini adalah pada tahun 1453, mungkin saja kubu itu sudah diubah batu pada tahun berikutnya, tetapi tiada bukti bertulis tentang ini juga. Jadinya, saya anggap kayu jugalah kubu kota ini.

Namun begitu, ada kajian sejarawan tempatan yang mengatakan kubu kota Melaka pasti ada bahagian yang diperbuat daripada batu. Ada benarnya juga, takkanlah Melaka, sebuah kota yang pesat dan maju tak berkebolehan membina binaan batu. Sebelum kedatangan Portugis, Tome Pires kata ada 84 bahasa boleh didengar di kota Melaka, ada 4,000 pedagang luar dalam satu-satu masa… tapi tembok batu tak boleh bina…hmmDon’t mess with Melaka lah!

Apa yang saya nak tulis ni bukan nak bincangkan kubu kota Melaka ni diperbuat daripada kayu atau batu, tetapi saya nak mencuit sedikit ‘kesedaran’ kebanyakan kita yang berasumsi bahawa kubu yang diperbuat daripada kayu ini amatlah tidak kuat dan tidak mampu menahan hentakan cannonball Portugis, seperti momokan cerita-cerita di kaca tv yang menyaksikan kemusnahan total, fatal dan langsung kubu kayu dengan hanya sekali tembakan cannonball besi padu yang besar dan tegar. Tentu sekali kita saksikan bagaimana kapal musnah ditembak meriam dari jarak yang dekat seperti terpapar dalam filem Pirates of the Caribbean dan berpuluh-puluh filem lainnnya. Tak salah berasumsi seperti ini… cuma eranya tak kena… bukan era Portugis menyerang Melaka.

Kembali kepada persoalan asal… kubu kota Melaka lemah kerana diperbuat daripada kayu, sekali hentam sahaja dengan peluru meriam kapal Portugis, berkecailah kubu itu. Ini asumsi yang popular!

Saya kongsikan apa yang saya tahu dan apa yang kebanyakan kita terlepas pandang apabila membincangkan secara amnya, adakah kubu kayu mampu menahan serangan cannonball pihak Portugis?

Kejatuhan Melaka adalah pada tahun 1511. Tahun 1511… 1511… orang putih kata, let that sink in… 1511…

Persoalan saya, pada tahun 1511 ini, sejauh manakah teknologi meriam dan cannonball galleon/carrack Portugis? Apakah bahan yang dijadikan cannonball ini? Apakah saiz cannonball ini? Adakah pasti setiap kali cannonball ini menghentam tembok kayu, maka berantakan dan berkecailah kubu yang diperbuat daripada kayu itu? Bagaimana pula dengan ketepatan meriam ini?

Sebelum itu, saya beri mukadimah sedikit ya.

Portugis bolehlah dianggap sebagai pelopor teknologi kapal tempur jarak jauh (warship technology) kerana merekalah yang mula-mula mempelopori laluan ke Timur dari Eropah. Pada zaman awal abad ke-16, teknologi persenjataan meriam tidaklah sehebat mana kerana peluru-peluru meriam kapal pada waktu itu diperbuat daripada igneous stone shot dan juga gangsa (bronze). Belum ada lagi peluru yang diperbuat daripada besi (iron) yang lebih murah dan efektif.

Apa itu igneous stone shot? Ia adalah peluru meriam yang diperbuat daripada batuan larva. Daripada temuan arkeologi kapal Esmeralda (kapal ekspedisi Vasco da Gama) yang tenggelam sekitar tahun 1503, komposisi stone shot ini adalah fossiliferous limestone dan juga granitic stone. Di Portugal ada ke batuan larva? Ada, pakar geologi di sana menyatakan batuan stone shot ini mungkin diambil daripada wilayah Abrantes, iaitu daripada sebuah kuari lama. kita lupakan peluru meriam versi batu ni, dan kita fokus kepada peluru meriam daripada logam.

Gangsa pula bukanlah raw material yang murah, oleh itu peluru meriam pada era itu hanyalah sebesar penumbuk dan ringan sahaja, muzzle velocity juga tidaklah sederas mana. Perlu diingat, pertempuran laut pada zaman itu lebih kepada taktik rapat, ceroboh dan tawan (grapple, board and siege) macam cerita lanun yang naik atas kapal orang tulah. Meriam pada kapal hanya berguna apabila kedudukan kapal musuh sudah begitu hampir untuk membantu fasa ceroboh (boarding) dilakukan.

Kapal perang Portugis (carrack, caravel and galley) pada waktu itu bukan dibina untuk membedil kubu kota di darat. Fikirkan secara lojik, dengan meriam sekecil itu, dan hanya berbekalkan belasan carrack, caravel dan galleon dan juga bilangan tentera yang tidaklah begitu ramai, bukankah agak mustahil untuk Portugis melenyapkan kubu Melaka dari jarak yang jauh…. dengan peluru gangsa dan batu sebesar penumbuk.

Mungkin kalian agak was-was terhadap pernyataan saya di atas. Ok, tak mengapa.

Saya ceritakan secara ringkas pasal peluru meriam ni… apa spesifikasi dan kebolehannya.

Kita semua tahu Portugis dan Sepanyol adalah kuasa yang kuat pada abad ke-16 di bawah pengaruh House of Habsburg (saya pernah tulis artikel tentang ini). Pernah tak kita bertanya, bagaimana British tiba-tiba menjadi kuasa besar dunia? Jawabnya ialah cannonball from iron! Ya, British telah memajukan peluru meriam yang diperbuat daripada besi untuk kegunaan kapal perangnya. Apa kelebihan peluru meriam besi ni? Besi lebih murah daripada gangsa, maka peluru meriam yang lebih besar dapat dibuat. British juga mencipta teknologi loadunload meriam yang lebih baik dan pantas daripada Sepanyol/Portugis dan mengadaptasi strategi baru yang menyerang kemudi kapal (rudder) dan badan kapal (hull). Pendek kata, tiada lagi strategi grapple-board-siege. Tiada lagi aksi soldadu bergayut dari kapal A ke kapal B. Dengan strategi baru inipun bukannya banyak kapal ditenggelamkan dengan peluru meriam ni. Bukan senang nak pecahkan kapal orang. Oh! Teknologi iron cannonball ni hanya maju pada abad ke-17 ya… Masa tu dah seratus tahun Portugis berkampung di Melaka.

V.S. Naipaul di dalam bukunya The Loss Of El Dorado ada menyatakan bahawa galleon Sepanyol sering dielak musuh daripada bertembung secara bersemuka kerana badan kapalnya yang tak lut peluru meriam. Badan kapal ni diperbuat daripada kayu, bukan batu.

Sekarang saya ceritakan tentang perihal berat peluru meriam pula.

Borgard’s standard ordnance telah menjadi rujukan baru kepada tentera laut diraja British pada abad ke-18. Borgardlah yang memperkenalkan klasifikasi peluru meriam berdasarkan berat cannonball itu, contohnya 4 pound, 12 pound hinggalah sebesar 42 pound. Meriamnya pula dikenali sebagai pounder, contohnya 36 pounder long gun.

Tahukah anda peluru meriam seberat 18 pound yang ditembak dari jarak 1,000 meter dengan menggunakan bahan api seberat 5 pound hanya mampu menembusi ketebalan 1 kaki benteng kayu yang diperbuat daripada pokok oak.

18 pound… 1,000 meter… 1 kaki sahaja!

Peluru gangsa Portugis mungkin hanyalah seberat 9 pound (habis berat dah ni, saya berpendapat hanya seberat 4 atau 6 pound sahaja)… dengan ketepatan yang ke laut. Nak load-unload meriam ni bukan macam zaman sekarang, seminit pun tak sampai. Dah bidik elok, tembak, tak tentu tepat lagi.

Fikirkanlah… boleh ke peluru tu nak hentam kayu jati dengan padunya dari jarak beratus meter? Berapa jauh agaknya kapal Portugis tu dengan benteng kota Melaka? 10 meter? 100 meter? 400 meter? Bagaimana pula dengan kedudukan kubu dan hubungannya dengan projectile trajectory, wind direction, air drag dan faktor lainnya? (Maaf, otak engineer saya berfikir komplikasi yang tak perlu difikirkan).

Pada saya meriam ini hanya membantu pendaratan tentera Portugis di pantai sahaja, bertindak sebagai pelindung, dan ia tidak mampu menghancurkan kubu kota Melaka yang diperbuat daripada kayu… MELAINKAN (ada caveatnya)… kubu kayu yang dimaksudkan itu hanyalah berupa dinding-dinding kayu yang tak nipis, tak tebal tetapi terukir indah, lebih berfungsi sebagai sempadan kota daripada mempertahankannya. Berfungsi seperti pagar rumah kita sahaja. Gajah pun mungkin terkesan dengan peluru meriam ni, senanglah tentera Portugis nak mendarat.

Namun, berikut adalah pendapat peribadi saya… Kalau dah kotanya pun ada dua kubu berlapis (seperti kata Ma Huan), mungkin ini sebuah kubu pertahanan kayu yang dibina khas, yang mungkin diperkukuhkan dengan tembaga atau logam lainnya, dan diukir dengan indah dan cantik sekali. Hutan kita tak ada pokok oak, kita ada pokok lagi keras daripada pokok oak, ok… oak pun keras juga ya.

Jadi persoalan akhirnya, kalau kubu kota Melaka kuat… macam mana Melaka boleh jatuh?

DENGKI, TAMAK, IRI HATI, PENGKHIANATAN, PEMBELOTAN, MUDAH DIBELI, TIKAM SAMA SENDIRI, BEREBUT HARTA, PEMIMPIN YANG LEMAH, PERPECAHAN YANG TERUK, WARGA LUAR YANG TAK KENAL DEK UNTUNG… banyak lagi…

Kesimpulan akhir saya, kubu kayu ke, kubu batu ke… tak menjadi persoalan besar penyebab kejatuhan kota Melaka. Teknologi Portugis belum di tahap membinasa sebenarnya. Melaka pun punya istinggar, rentaka dan lain-lain senjata moden. Catatan Portugis memperlekah persenjataan moden Melaka pada saya ia lebih kepada retorik penjajah di dalam bukunya. Bacalah NagaraKrtagama, fahamlah maksud saya. Setiap buku yang menceritakan keagungan itu pasti terselit retorik yang mengisahkannya. Melaka tewas bukan kerana hebatnya teknologi Portugis. Melaka tumpas bukan kerana mundurnya teknologi mereka. Melaka tewas kerana nanah di dalam. ‘Melakalah’ yang menumpaskan Melaka sebenarnya…

Apa beza dulu dan sekarang… berpecah-belah, tikam selagi mahu. Janganlah kita sampai jadi Melaka yang tak beraja hingga ke hari ini. Sayu hati menaip part last ni…

Akhir kata, adakah saya suka benteng kota daripada kayu atau daripada batu?

Saya bayangkan Melaka itu dikelilingi benteng kayu yang tebal, tegar, disadur dan dipupuk dengan logam untuk memperkukuhkannya lagi. Diukir dengan penuh megah, melambangkan jati diri bangsa Melayu yang berdaulat dan keagungan kesultanan Melayu yang bersusur galur ratusan tahun sebelumnya. Ya…. saya bayangkan kubu Melaka itu kayu… dan tiada apa yang perlu dimalukan, malah ia patut dimegahkan.

Sekian

p/s: Ini pendapat saya, saya hormat pendapat tuan-tuan. Saya hanya berkongsi persoalan dan pandangan, buat minda berfikir secara kritis dan berhemah… Banyak lagi sebenarnya persoalan saya ni

2 thoughts on “Kota Melaka… Polemik Kubu Batu Kubu Kayu?”

  1. Assalamua’laykum,

    Tergerak saya nak memberi komen, bagus tulisan tuan penuh dgn fakta2 yg diperolehi drpd kajian yg dibuat sendiri tanpa malas dan sekaligus tuan telah membuktikan kajian sejarah pada zaman ini sebenarnya mestilah bersifat investigative dan bukannya sekadar membaca dan menyalin sahaja kata sejarawan2 lalu yang dikhuatiri akan tahap sincerity nya.

    Soalan saya berkenaan Melaka ini:

    1. Benarkah Portugis itu menyerang melaka untuk menjajah?

    2. Sekiranya apa yg buku teks sejarah kita (yg mula dicetak oleh pemerintah negara kita, iaitu British) itu betul iaitu Melaka ialah sebuah empayar yang sangat besar dan mempunyai Raja2 yg berwibawa dan besar di zaman kegemilangannya, kenapa satu makam diraja pun kita tidak jumpa di melaka sekarang ini ya….

    3. Dan jika benar dulu Portugis pernah menjadi musuh no 1 melaka lah ya, bagaimana di Ujung Pasir Melaka sekarang terdapat sebuah Perkampungan Portugis@Perkampungan Musuh No 1 bangsa melayu pulak ya dgn aman damai tanpa dibunuh oleh orang2 melayu?

    Ini adalah tangible evidence yg pada saya wajib diselesaikan dahulu oleh mana2 sejarawan yg ikhlas mencari APA SEBENARNYA yg telah terjadi dahulu yg qualifies them to be called History.

    1. Salam Tuan,

      Terima kasih kerana sudi membaca dan bertanya. Saja jawab sekadar yang saya tahu dan baca dari pelbagai sumber. Mungkin tidak sama dengan maklumat yang tuan ada, bolehlah ini dijadikan feedback. Reply saya seperti di bawah

      1) Pendapat saya, ya, Portugis memang datang untuk menjajah Melaka seperti yang mereka lakukan di Goa, India sebelum itu.

      2) Setelah Portugis mengambil alih, Melaka, mereka membina tembok dan kota sebagai pertahanan utama. Batu-bata yang digunakan diambil dari bangunan-bangunan batu di sekitar kota Melaka dan juga makam-makam raja, kuburan pembesar dan lain-lain yang ada di sekitar kota Melaka.

      3) Soalan yang baik! Jarang orang nak tanya. Jawapannya panjang tapi saya pendekkan. Belanda ambil alih kota Melaka setelah mengepung dan menyerangnya pada tahun 1641. Tentera Portugis yang menyerah kalah diberi dua pilihan, sama ada mereka meletak senjata, jadi rakyat biasa dan dibenarkan tinggal di Melaka atau mereka ditahan sebagai POW di Goa, India. Ramai yang memilih untuk tinggal di Melaka. Kalau nak kaji perkara ni saya cadangkan tuan baca mengenai Restoration War di Portugal. Peperangan kemerdekaan antara Sepanyol dan Portugis ini menyebabkan sokongan dari Eropah dan Goa kepada Melaka terganggu dan terhenti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *