Tinta Bicara

Malu Dengan Tanah Melayu Dan Kemerdekaannya?

Kadang-kadang aku terbaca beberapa status dan komen yang memperlekehkan cara bagaimana Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaannya.

Selalunya boleh baca komen-komen nakal tetangga dari seberang di media sosial apabila berlakunya ‘perang saudara’ claim itu ini dengan warga kita, tanahair. Komen yang memperkecilkan kemerdekaan Malaysia melalui rundingan.

Anjing British!
Malingsia!

Aku tak marah kerana bagi aku mereka tak faham. Banyak lagilah makiannya tetapi aku senyum sahaja kalau baca komen-komen emosi seperti ini sebab aku tahu ramai teman-teman aku di seberang laut sana waras dan mengagumi negara kita. Lagipun orang kita hentam pun apa kurangnya. Fair lah 🙂

Salah satu sebab aku buat posting ni adalah kerana aku masih terbaca komen-komen sinis anak muda kita sendiri yang mencela cara diplomasi pemimpin kita mendapatkan kemerdekaan dan membandingkannya dengan perjuangan ‘buluh runcing’ rakyat Indonesia dan ‘farmers freedom fighters’ di Vietnam. Mereka yang komen ni pula sebenarnya muda-muda lagi, ada yang menyusu badan atau ke hulu ke hilir tanpa seluar masa krisis matawang 1997. Bagi mereka, cara kita mendapatkan kemerdekaan adalah cara pengecut, cara tak ‘gentleman’.

Aku rasa terpanggil nak menulis tentang apa pandangan orang luar mengenai cara kita mendapatkan kemerdekaan dalam dua situasi berbeza, satu di Ninh Binh, Vietnam, satu lagi di Yogyakarta, Indonesia. Ini pengalaman aku sendiri…

Cerita 1
Angkringan Lek Man, Yogyakarta, 2015

Aku melepak di sini bersama teman warga Jogja yang aku hormati. Angkringan Lek Man ni terkenal dengan Kopi Joss, kopi yang dicelup arang. Aku pun tak faham kenapa nak dicelup arang tapi sedap nikmat kopinya! Kami duduk bersila atas tikar plastik, di tepi jalan sambil bersembang mesra.

Memandangkan aku pencinta sejarah dan teman aku ni pula memang well versed dengan sejarah Jogja, kami mula bersembang mengenai perjuangan Sultan Hamengkubuwono dan peranan keraton Jogja sebelum proklamator Soekarno mengisytiharkan penubuhan NKRI.

Besar jasa kota Jogja dan warganya dalam perjuangan kemerdekaan, begitu juga besar pengorbanan warga Minang, Aceh dan lain-lainnya dalam hal yang sama. Sepanjang perbualan kami, orang putih kata, aku ni ‘waxing the lyrical’ (puji menggunung melangit) akan kecekalan, kehebatan dan keberanian orang Indonesia berjuang menentang Jepun dan Belanda. Hampir semua topik perbincangan kami pasti melibatkan darah pejuang yang tertumpah.

Dalam aku puji bersungguh-sungguh tu, teman aku letak cawan kopi dan cakap pada aku dengan suara yang perlahan tetapi terang, muka serius, dahi berkerut sedikit dan renungan mata tajam ke lantai. Katanya (lebih kurang),

“Pak Hoirul (aku lah tu), memang benar… lumayan sekali darah yang udah tertumpah di bumi Indonesia, berani, ramai yang tewas… Saya bangga, warga Indonesia bangga… tapi saya iri hati sama negara kamu, gak perlu anak hilang ayah, isteri hilang suami, untuk merdeka seperti kami.”

Senyap sekejap kami, minum kopi diam-diam sambil refleksi. Betul dia cakap, kadang-kadang kita terlalu nampak yang gory, bloody dan grisly untuk kata ‘itu cara yang sepatutnya kita menuntut kemerdekaan’ sedangkan cara diplomasi yang juga menuntut pelbagai pengorbanan pun adalah ‘cara yang sepatutnya’.

Cerita 2
Ninh Binh, Vietnam, 2016

Pada bulan Ogos 2016, aku sebenarnya dalam rangka jelajah bumi Vietnam dari Dien Bien Phu di barat hingga Lung Cu di utara yang hanya sepelaung bersempadan dengan China sampailah ke Ho Chi Minh. Antara destinasi yang aku singgah ialah Ninh Binh yang terletak di antara Hanoi dan Hue.

Ninh Binh ni terkenal dengan panggilan ‘Ha Long Bay Darat’ kerana terusan-terusan yang mengelilingi sawah padi dan batuan karst seperti di perairan Ha Long Bay, cuma ia di darat. Aku sebenarnya ke sini lebih kepada nak melihat tinggalan lama di Hoa Lu yang merupakan ibu kota Dai Co Viet pada pada abad ke-10 Masihi.

Memandangkan dah sampai ke Ninh Binh aku naik jer lah row boat yang akan menyusuri batuan karst di Trang An Grottoes ni. Seperahu dengan aku adalah sepasang suami isteri dari Ho Chi Minh yang kebetulan fasih berbahasa Inggeris.

Setelah bertegur sapa, beliau bertanya ke mana dah aku pergi dan apa yang paling menarik setakat ni yang aku jumpa. Aku cakaplah antara tujuan utama aku dalam jelajah ni nak melawat Dien Bien Phu, tempat penamat ego Perancis di Indochina. Memang berbaloi aku habiskan sehari di sana dan aku cakap aku kagum dengan keberanian tentera Viet Minh menakluk Bukit A1 dan lain-lainnya. Gila ramai askar Viet Minh yang mati dalam pertempuran ni, malah sebelum perang pun dah makan ramai korban. Aku cakap, Malaysia merdeka melalui rundingan tetapi ada jer pertempuran kecil menentang penjajah di kebanyakan negeri, tetapi full scale war memang tak ada lah…

Brader Vietnam tu senyum sipu tengok aku, kemudian tak senyum, tengok mata aku tepat dan berkata,

“Baguslah kalau takde perang besar, tak perlu hadap kematian yang tak perlu…”

Aku terdiam, dan berfikir.. sama ada abang ni anti komunis atau memang beliau menangisi sejarah silamnya yang aku takkan tahu. Di wajahnya ada tanda kesedihan, walaupun seketika. Aku tak tanya mengapa dan kami melayan perasaan dan pemandangan indah batuan karst sebelum bersembang seketika kemudian.

Dua contoh ini mengingatkan aku yang kemerdekaan itu ada harganya. Negara seperti Indonesia, Timur Leste dan Vietnam membayar harga kemerdekaan dengan darah. Negara kita pula mendapat kemerdekaan di meja rundingan. Hanya kerana itu, adakah kemerdekaan kita second class? Tak ada nilai? Adakah perlu kita berasa ‘inferior’? Rendah diri?

Sun Tzu ada menyatakan;

‘The supreme art of war is to subdue the enemy without fighting.’ Terjemahannya, seni peperangan yang terhebat itu adalah menumpaskan musuh sebelum mengorak langkah menuju medan pertempuran.

Peperangan bukan sahaja suatu kemusnahan (destructive force) tetapi untuk bangun kembali daripada kemusnahan itu juga adalah suatu pertempuran!

Ketahuilah kalian bahawa hebatnya Melayu itu kerana diplomasinya. Diplomasi adalah ‘senjata’ Melayu sejak turun-temurun, dari zaman Sriwijaya yang menjalin hubungan diplomasi dengan dinasti Song di China, hingga ke Melaka yang bersahabat rapat dengan dinasti Ming, malah membantu Champa dalam urusan diplomasi dengan Ming untuk menghadapi Dai Viet. Kisah raja-raja Melayu yang hebat berdiplomasi, mempersenda raja Siam dalam mempertahankan kedaulatan negeri mereka, hinggalah ke zaman moden di mana kita masih mengamalkan kekuatan diplomasi kita ini untuk mendapatkan penghormatan kuasa-kuasa besar.

Oleh itu, aku cuma nak beritahu pada kalian, jangan malu merdekanya kamu kerana diplomasi, jangan rendah diri merdekanya kamu dengan pena, kertas dan air liur, kerana diplomasi itu adalah senjata leluhur kamu zaman-berzaman!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *