Kembara JatengTim (Jawa Tengah, Jawa Timur) 2017
Kami sudah tiba di Blitar tengah hari itu. Zaini dan Ali tidak mahu mengikutku meninjau-ninjau Museum Candi Penataran yang berada tidak jauh daripada Kompleks Candi Penataran. Ternyata keputusan mereka agak bijak kerana muzium tidak dibuka pada hari tersebut!
Sedang aku menuju pulang ke parkir motosikal, mataku tertancap pada sebuah tugu garuda dan bumi yang agak lusuh rupa parasnya.
Tertulis pada ukur lilit bumi itu moto atau semboyan keramat Republik Indonesia;
‘BHINNEKA TUNGGAL IKA’
Lalu aku teringatkan Mpu Tantular, beliaulah yang mula-mula menuturkan kata-kata gagah ini. Ada sedikit kekesalan dalam jiwa kerana tidak sempat melawat Museum Mpu Tantular di Sidoarjo tempoh hari. Namun, aku sudah bertekad untuk menulis sedikit catatan mengenai Mpu Tantular dan kata-kata hikmat ini bila pulang nanti.
Mpu Tantular merupakan seorang pujangga, penyair dan penulis kitab terkenal yang hidup di zaman pemerintahan Hayam Wuruk, iaitu pada era keemasan Kerajaan Majapahit.
Tantular bermaksud ‘seseorang yang tidak mudah dipengaruhi’. Beliau menganut agama Buddha, namun tetap menerima pengaruh ajaran Hindu Siwa yang boleh dilihat di dalam penulisan beliau yang terkenal, Kakawin Sutasoma.
Kitab ini mengisahkan tentang seorang putera raja yang bernama Putera Sutasoma yang beragama Buddha Mahayana dan kuat beribadat. Beliau keberatan untuk berkahwin dan menjadi raja lalu melarikan diri daripada istana.
Kisah pengembaraan Sutasoma yang membawa beliau hingga ke Himalaya dan bertemu dengan pelbagai karakter-karakter mistik dan menarik memenuhi kakawin kuno ini.
Di dalam Kakawin Sutasoma yang berbahasa Jawa Kuno, Mpu Tantular menulis tentang penyatuan Buddha dan Hindu seperti yang tercatat pada pupuh 139, Bait 5,
Rwāneka dhātu winuwus Buddha Wiswa,
Bhinnêki rakwa ring apan kena parwanosen,
Mangka ng Jinatwa kalawan Śiwatatwa tunggal,
Bhinnêka tunggal ika tan hana dharma mangrwa.
bermaksud;
Konon Buddha dan Siwa merupakan dua zat yang berbeza.
Mereka memang berbeza, tetapi bagaimanakah boleh dikenali?
Sebab kebenaran Jina (Buddha) dan Siwa adalah tunggal (satu)
Terpecah-belahlah itu, tetapi satu jugalah ia
Tiada kerancuan (kekeliruan) dalam kebenaran
Terjemahan Dr. Soewito Santoso (Sutasoma, A Study In Old Javanese Wajrayana)
Slogan Bhinneka Tunggal Ika yang popular di tanah seberang berasal daripada penulisan beliau dalam Kitab Sutasoma ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan Bhinneka Tunggal Ika dan peranannya dalam pembikinan jatidiri bangsa Indonesia
Bhinneka Tunggal Ika bermaksud ‘berbeza-beza, namun tetap satu’. Daripada sudut nasionalisme Indonesia, slogan ini membawa maksud bahawa kepelbagaian agama, bangsa dan kepercayaan di seluruh pelusuk bumi sang garuda ini diraikan dalam satu Bangsa Indonesia yang merdeka dan bersatu.
Pupuh 139, Bait 5 Kakawin Sutasoma ini diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas dalam pembinaan Negara Indonesia sehingga terhasil slogan Bhinneka Tunggal Ika sebagai lambang penyatuan sebuah negara bangsa.
Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang Mpu Tantular dan asal-usul semboyan Bhinneka Tunggal Ika.
Rujukan:
Sutasoma: A Study In Javanese Wajrayana, Soewito Santoso, 1975
Bhinnekha Tunggal Ika: Khasanah Multikultural Indonesia Di Tengah Kehidupan Sara, Gina Lestari, 2015
Bhinneka Tunggal Ika Sebagai Pembentuk Jatidiri Bangsa, Turita Indah Setyani, 2009